BATU PAHAT - Enam sekeluarga bersama seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan terbabit dalam pergaduhan di tempat awam yang dipercayai berpunca daripada isu parkir kenderaan pada September lalu.
Kesemua tertuduh iaitu Siti Jumaidah Samsudin, 41, Mohamad Nor Hashim, 38, Norlaileasma Md Baharom, 44, Bitah A Kadir, 75, Aina Maisara Anuar, 19, Aina Aliesya, 20, serta remaja berkenaan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama terbabit dalam pergaduhan di Kampung Parit Bilal, kira-kira jam 8.40 malam pada 27 September lalu.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Berdasarkan laporan, kejadian dipercayai bermula apabila Siti Jumaidah yang berkunjung ke rumah adiknya tidak berpuas hati dengan tindakan pelanggan sebuah kedai makan meletakkan kenderaan di hadapan rumah berkenaan.
Keadaan kemudian menjadi tegang apabila beberapa individu yang dikenali datang ke rumah itu dan berlaku perselisihan faham dengan adik Siti Jumaidah berkaitan isu parkir.
Dalam kejadian itu, Siti Jumaidah mendakwa dirinya dipukul dan ditarik sehingga mengalami kecederaan pada muka serta terseliuh tangan kiri. Dia kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat.
Insiden pergaduhan berkenaan turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sebuah rumah berhampiran lokasi kejadian.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Shahzleen Ibrahim, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan Siti Jumaidah diikat jamin RM1,000, manakala enam tertuduh lain masing-masing dibenarkan jaminan RM500.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 15 Januari depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

EmoticonEmoticon