Rabu, 11 November 2026

Hina Perdana Menteri di Facebook, lelaki 35 tahun dipenjara tiga bulan


SEPANG - Padah memuat naik komen berunsur penghinaan dan kebencian terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Facebook, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sepang, di sini, hari ini.


Tertuduh, Mohamed Shazrin Jamil, 35, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Raja Shahril Anuar Raja Baniamin.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi bersifat jelik melampau menerusi akaun Facebook ‘Shazrin Kedah’ pada 12 Mac lalu, kira-kira jam 6.15 petang, dengan niat menyakitkan hati orang lain.


Hantaran berkenaan mengandungi kata-kata kasar dan berunsur kebencian yang boleh menyinggung perasaan serta menjatuhkan maruah Perdana Menteri.


Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Fadhli Ab Wahab memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam serta keperluan mencegah kesalahan sama daripada berulang.


Beliau turut menegaskan bahawa sifat komen yang menghina, penggunaan bahasa kesat serta kebolehcapaiannya kepada orang awam merupakan faktor pemberatan.


Bagaimanapun, peguam Amer Haiqal Mohd Yusof merayu supaya hukuman diringankan atas alasan tertuduh tidak bekerja, mempunyai sumber kewangan terhad dan perlu menjaga ibu bapanya yang menghidap beberapa penyakit kronik.


Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadap tertuduh. Lelaki itu dibawa ke Penjara Kajang hari ini bagi menjalani hukuman.


EmoticonEmoticon