Rabu, 23 September 2026

Imigresen tumpas sindiket tawar pengangkutan kepada PATI, 53 ditahan


Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan kegiatan sindiket yang menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi satu operasi khas di sekitar Kampung Dato' Abu Bakar Baginda, Kajang dan Putrajaya, kelmarin.


Dalam operasi bermula jam 3 hingga 6 petang itu, seramai 35 pegawai daripada Bahagian Penguatkuasaan dan Pasukan Taktikal Khas (PASTAK), Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya berjaya memintas serta menahan tujuh van yang membawa penumpang warga asing.


JIM dalam kenyataan berkata, pemeriksaan awal mendapati enam daripada van terbabit dipandu oleh lima lelaki Bangladesh dan seorang lelaki Indonesia yang tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah.


Menurutnya, semua pemandu warga asing terbabit dikesan tidak memiliki lesen memandu kompeten, malah ada dalam kalangan mereka yang hanya menggunakan lesen memandu percubaan.


"Turut ditahan dalam serbuan itu, seorang lelaki tempatan yang juga pemandu serta pemilik salah sebuah van berkenaan.


"Siasatan awal mendapati sebahagian pemandu warga asing berkenaan mendakwa menerima bayaran antara RM1,600 hingga RM1,800 sebulan daripada pemilik van yang disyaki warga tempatan bagi menjalankan perkhidmatan berkenaan," katanya, hari ini.


Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas penumpang van membawa kepada penahanan seramai 53 warga asing berusia lingkungan 18 hingga 59 tahun kerana disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah.


"Tangkapan itu membabitkan 44 warga Indonesia yang terdiri daripada 12 lelaki dan 32 wanita, lapan lelaki Bangladesh serta seorang lelaki Myanmar.


"Siasatan awal turut mendapati warga asing berkenaan dipercayai menggunakan perkhidmatan van berkenaan untuk perjalanan pergi dan balik ke tempat kerja di sekitar Kampung Dato' Abu Bakar Baginda, Kajang dan Putrajaya dengan bayaran kira-kira RM100 sebulan," katanya.


Katanya, semua tujuh van berkenaan disita kerana disyaki digunakan untuk melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.


"Usaha kini sedang giat dijalankan bagi mengesan pemilik kenderaan lain yang terbabit bagi membantu siasatan.


"Semua enam pemandu warga asing dan seorang lelaki tempatan itu ditahan di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.


"Sementara itu, 53 penumpang warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya di bawah Seksyen 51(5)(b) akta yang sama untuk siasatan lanjut.


"Kes turut disiasat di bawah Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM)," katanya.


EmoticonEmoticon