Seorang juruterbang Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines) ditahan selepas disyaki cuba menyeludup 25 kilogram (kg) dadah ke Indonesia.
Suspek, 39, ditahan di pintu masuk Terminal 3, Lapangan Terbang Soekarno Hatta pada malam Selasa lalu selepas Bahagian Kastam dan Cukai, menemui 15 paket besar mengandungi 70,114 kapsul estacy dan methamphetamine dianggarkan bernilai RM45 juta (harga pasaran Indonesia).
Pengarah Pencegahan Jenayah Narkotik, Polis Republik Indonesia (POLRI), Brigider Jeneral Eko Hadi Sontoso, berkata tindakan suspek membawa dadah diketahui selepas petugas Bahagian Kastam dan Cukai melihat objek mencurigakan dalam pemeriksaan mesin pengimbas bagasi milik suspek.
"Berdasarkan siasatan awal, suspek dipercayai menerima bayaran sebanyak RM50,000 bagi membawa dadah berkenaan dari Kuala Lumpur ke Indonesia, melalui Jakarta.
"Bekalan dadah berkenaan dikirimkan oleh seseorang individu di Malaysia sebelum diambil oleh seorang lagi individu lain di hotel penginapan suspek di Jakarta," kata kenyataan yang memetik Kompas.com dan CNN Indonesia.
Katanya, pada masa ini pasukan siasatan masih lagi melakukan penyelidikan bagi mengesan suspek di Malaysia dan jaringannya di Indonesia berdasarkan keterangan daripada suspek.
Eko Hadi berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan sindiket ini adalah jaringan antarabangsa.
"Siasatan juga mendapati, suspek yang turut didapati positif dadah turut mengakui bahawa ini adalah kali ketiga dia membawa bekalan dadah.
"Kali pertama, suspek menyeludup dadah ke Sabah dan kali kedua dia dilaporkan menyeludup tujuh kg dadah methamphetamine ke Jakarta," katanya.
Suspek yang kini ditahan di Pusat Tahanan POLRI, berhadapan tindakan atas kesalahan membawa, mengimport, menjadi orang tengah atau melakukan komplot jahat mengedar dadah dengan jumlah besar.
Indonesia menguatkuasakan undang-undang dadah yang ketat dan pada 2015 dan melaksanakan hukuman mati terhadap dua warga Australia yang terlibat dalam sindiket dadah Bali Nine kerana cuba menyeludup heroin keluar dari pulau peranginan Bali.


EmoticonEmoticon