Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Teluk Intan, hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua cucu tiri dalam kejadian berasingan di Bagan Datuk.
Tertuduh berusia 57 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norhamizah Shaifuddin.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang mempunyai hubungan amanah dengan mangsa sebagai datuk tiri telah melakukan amang fizikal dan bukan fizikal terhadap seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun kira-kira jam 12.30 tengah hari di dalam bilik utama sebuah rumah di Hutan Melintang, Bagan Datuk, pada 6 Jun lalu.
Mekanik itu turut didakwa melakukan perkara sama terhadap seorang lagi cucu tirinya berusia tujuh tahun kira-kira jam 12.30 tengah hari di lokasi sama pada hujung tahun lalu.
Kesemua kes masing-masing didakwa di bawah Seksyen 14(a), Seksyen 14(b) dan Seksyen 15(e) yang dibacakan bersama Seksyen 16 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Tertuduh berhadapan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh dihukum dengan hukuman sebat.
Selain itu, tertuduh juga boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali dan sebagai tambahan kepada hukuman kesalahan yang disabitkan, tertuduh berhadapan dengan penjara tidak lebih 5 tahun dan hendaklah dikenakan tidak kurang 2 sebatan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izzudin Fakri Hamdan dan Anisah Pisol manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Pihak pendakwaan kemudian memohon tertuduh dikenakan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan.
Mahkamah bagaimanapun menetapkan RM6,000 bagi setiap pertuduhan untuk jaminan dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri setiap bulan di balai berdekatan serta mendapatkan khidmat peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK). Kes disebut semula pada 12 Ogos depan.

EmoticonEmoticon