Jumaat, 8 September 2023

Kerana berebut kekasih remaja 19 tahun gigi patah ditampar


Gara-gara cemburu, dua wanita tempatan yang juga pembantu kedai makan ditahan polis pada Rabu lalu kerana dipercayai menampar seorang kenalan mereka sehingga mangsa patah gigi.


Dalam kejadian pada Isnin pukul 12.46 tengah malam itu, mangsa yang berusia 19 tahun mendakwa ditampar kedua-dua pipinya di muara Jambatan Angkat Kuala Terengganu.


Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek berusia 40 dan 23 tahun tidak berpuas hati dengan mangsa berhubung isu teman lelaki.


"Mangsa membuat laporan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada pukul 4 pagi, Isnin lalu.


"Dia kemudiannya menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu," kata Abdul Rahim ketika dihubungi.


Abdul Rahim berkata, kedua-dua suspek kemudiannya berjaya ditahan di sebuah kedai makan di bandar raya ini pada pukul 2.15 petang pada hari Rabu.


Beliau berkata, dua suspek berkenaan telah ditahan reman selama empat hari bermula semalam sehingga Ahad bagi membantu siasatan.


Beliau menjelaskan, kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan (KK) kerana mendatangkan kecederaan kepada mangsa.


Jika sabit kesalahan, kedua-dua suspek berdepan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.


Dua pembantu kedai makan (dua dan tiga dari kanan) ditahan reman kerana disyaki mencederakan kenalan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu semalam. - Foto Utusan Malaysia.


EmoticonEmoticon