Isnin, 7 Ogos 2023

Wanita 'belasah' bekas suami tuntut hutang RM87,000


Tindakan seorang wanita yang ingin menuntut hutang RM87,000 daripada bekas suaminya dengan memukul lelaki itu di Bukit Indah, Ampang Jaya, mengundang padah apabila dia ditahan polis semalam.


Wanita yang bekerja sebagai akauntan berusia 38 tahun itu yang juga suspek ditahan di Ampang, pada 9.45 malam tadi selepas bekas suaminya berusia 28 tahun membuat laporan polis mengenai kejadian berkenaan.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisiner Mohd Azam Ismail berkata sebelum kejadian bekas suami wanita terbabit sedang mengemas rumah sewa mereka sebelum diserahkan kepada pemilik rumah.


"Mangsa dan suspek dilaporkan bercerai pada 11 Julai lalu dan mempunyai seorang anak perempuan berusia satu tahun tujuh bulan.


"Suspek dilaporkan datang ke rumah sewa dan memarahi bekas suaminya disebabkan hutangnya berjumlah RM87,000 daripada suspek.


"Suspek kemudiannya terus menumbuk bibir dan mengetuk kepala bekas suaminya dengan hulu pengikis simen selain menendang mangsa di bahagian perut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Mohd Azam berkata pihak polis sedang mendapatkan permohonan reman di Mahkamah Majistret Ampang hari ini.


Beliau berkata, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan/ Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga, jika disabit kesahan boleh dipenjara selama tempoh sehingga setahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman-hukuman berkenaan.


EmoticonEmoticon