Khamis, 10 November 2022

Lamborghini baru keluar kedai remuk akibat kemalangan


Seorang pemandu terpaksa berputih mata apabila dia merosakkan kereta Lamborghini baharu miliknya yang berharga kira-kira RM1.47 juta dalam satu kemalangan yang melibatkan beberapa kenderaan di lebuh raya Thailand.


Memetik laman berita Bangkok Post pada 5 November 2022, lima orang dilaporkan cedera dalam kemalangan tersebut yang berlaku berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang di Bangkok.


Lamborghini berwarna kuning yang dimiliki lelaki dari Singapura itu mempunyai nombor pendaftaran berwarna merah, yang menunjukkan bahawa dia baharu sahaja membeli supercar tersebut.


Kereta itu boleh dipandu pada kelajuan mencecah 350 kilometer sejam (km/j) dengan jarak 0 hingga 96 km/j dalam masa 2.8 saat.


Lelaki itu didakwa menyebabkan kemalangan di lebuh raya tersebut pada 5 November lalu, demikian menurut seorang jurucakap polis trafik.


Pegawai yang tiba di lokasi kejadian menemui beberapa tiang utiliti dan penghadang jalan berselerak di seberang jalan bersama beberapa kenderaan yang remuk.


Perkhidmatan kecemasan menemui kereta Lamborghini kuning itu tidak jauh daripada beberapa kenderaan lain yang rosak.


Siasatan awal mendapati lelaki itu memandu laju berhampiran lapangan terbang dan menyebabkan pelanggaran selepas merempuh sebuah kereta Toyota.


Lamborghini itu kemudian melanggar tiang utiliti dan bekalang trap pikap sebelum merempuh penghadang lalu terbalik. Pemiliknya kemudian dibawa ke balai polis tempatan untuk disoal siasat.


Polis sedang meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan itu untuk menentukan sama ada tindakan lanjut akan diambil.


Kereta itu didakwa merempuh lima kenderaan lain di lebuh raya. - Foto Thailand Posts.

Lima orang dilaporkan cedera dalam kemalangan tersebut. - Foto Bangkok Post.

Antara kenderaan yang remuk. - Foto Bangkok Post.


EmoticonEmoticon