Isnin, 1 Ogos 2022

Serpihan logam disyaki komponen milik roket China ditemui di Miri


Serpihan logam disyaki sebahagian daripada komponen roket Long March 5B milik China ditemui di Sepupok, Niah, Miri. Komponen itu dijumpai oleh penduduk, yang kemudian melaporkan kepada polis, semalam.


Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, tinjauan awal pihaknya mendapati terdapat serpihan logam terbenam ke dalam tanah pada kedalaman kira-kira satu meter di sekitar rumah seorang penduduk.


"Setakat ini, polis tidak dapat mengesahkan asal usul serpihan logam tersebut dan telah meminta bantuan dari beberapa pihak untuk menjalankan analisis di lokasi kejadian.


"Pihak yang terlibat ialah Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)," katanya ketika dihubungi.


Beliau menasihati orang ramai agar tidak berada di kawasan berhampiran kerana dibimbangi serpihan logam tersebut mengandungi bahan radioaktif yang boleh memudaratkan kesihatan.


"Kawasan tersebut sedang dipantau dengan rapi oleh pihak berkuasa bagi memastikan tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.


"Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak benar kerana ia boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat," jelasnya.


Semalam, MYSA mengesahkan kemasukan semula serpihan roket Long March 5B milik China ke ruang udara Bumi, melintasi ruang udara Malaysia dan dikesan di beberapa kawasan termasuk ruang udara Sarawak sebelum direkodkan jatuh di Laut Sulu.


BACA: Serpihan roket China 'menerangi' ruang udara Sarawak, terhempas sekitar Laut Sulu.


Serpihan logam yang dijumpai oleh penduduk. - Foto Melvin Joni.


EmoticonEmoticon