Rabu, 3 Ogos 2022

Bumi semakin laju berputar, catat hari paling singkat pada 29 Jun lalu


Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, media sering melaporkan saintis menyatakan Bumi berputar semakin cepat, menjadikan piawaian satu hari lebih pendek daripada 24 jam. Trend ini dilaporkan dijangka berterusan pada tahun-tahun akan datang.


Pada 29 Jun 2022 lalu, Bumi mencatatkan rekod terbaharu hari paling singkat apabila melengkapkan putaran penuh dalam masa 1.59 milisaat kurang daripada putaran standard 24 jam, lapor akhbar The Guardian pada 1 Ogos 2022.


Menurut akhbar Independent, planet ini baru-baru ini mencatatkan peningkatan dalam kelajuan putarannya. Pada 2020, Bumi merekodkan bulan paling singkat sejak tahun 1960-an. 


Pada 19 Julai tahun itu, tempoh masa terpendek yang direkodkan pula adalah 1.47 milisaat lebih pendek berbanding hari biasa selama 24 jam - Saintis mula mengukur putaran planet dengan jam atom berketepatan tinggi pada tahun 1960-an.


Seterusnya pada tahun 2021, Bumi terus berputar pada kadar meningkat, namun tiada sebarang rekod baharu dicatatkan. Bagaimanapun, menurut laman web Interesting Engineering, fasa 50 tahun bagi hari-hari tersingkat mungkin telah bermula sekarang.


Meskipun punca sebenar bagi kelajuan putaran Bumi yang berbeza masih tidak diketahui, saintis-saintis membuat spekulasi bahawa ia mungkin disebabkan oleh proses yang berlaku dalam lapisan dalam dan luar teras, lautan, air pasang atau perubahan iklim.


Sebilangan penyelidik turut percaya bahawa ia mungkin berkaitan dengan pergerakan kutub geografi Bumi merentasi permukaannya yang digelar sebagai 'Chandler Wobble'.


Bencana alam dan kesan cuaca seperti El Nino juga boleh mempengaruhi kelajuan putaran Bumi. Gempa bumi di Lautan Hindi pada tahun 2004 memendekkan tempoh hari hampir tiga mikrosaat, lapor The Guardian.


Menurut Independent, jika Bumi terus berputar pada kadar meningkat, ia boleh membawa kepada pengenalan saat lompat negatif. Ia merupakan usaha untuk memastikan kadar Bumi mengorbit Matahari adalah sama dengan ukuran jam atom.


Bagaimanapun, saat lompat negatif boleh mencetuskan impak yang berpotensi mengelirukan telefon pintar, komputer dan sistem komunikasi.


Contohnya, jam akan berubah dari masa 23:59:59 menjadi 23:59:60, sebelum menginjak kepada pukul 00:00:00. Lompatan masa seperti ini boleh memusnahkan program dan data disebabkan cap masa pada penstoran data.


Jika Bumi terus berputar pada kadar meningkat, ia boleh membawa kepada pengenalan saat lompat negatif. - Foto The Guardian.


EmoticonEmoticon