Selasa, 30 Ogos 2022

Lelaki bertindak ceroboh kurungan singa di Ghana maut dibaham

Gambar hiasan.

Tindakan seorang lelaki yang memanjat pagar untuk memasuki kurungan singa di sebuah zoo di Ghana menyaksikan dia maut dibaham haiwan buas itu, lapor NDTV pada 29 Ogos 2022.


Menurut kenyataan Suruhanjaya Perhutanan Ghana, lelaki berkenaan diserang selepas dia melompat melepasi pagar keselamatan di zoo yang terletak di ibu negara Ghana itu.


"Penceroboh terbabit cedera diserang oleh seekor singa betina yang ditempatkan di kurungan, di dalam kawasan berpagar, bagaimanapun mangsa kemudian maut akibat kecederaannya," katanya.


Ketika kejadian, singa betina yang menyerangnya itu sedang menjaga dua ekor anaknya dan disahkan masih berada dalam kurungan di Zoo Accra.


"Kami sedang menyiasat kes itu untuk mengetahui bagaimana lelaki itu masuk ke kawasan larangan," kata jurucakap polis memberitahu AFP.


Penjaga zoo berjaya memujuk singa, betina dan dua ekor anak mereka ke dalam kurungan supaya pegawai polis dapat mengambil mayat lelaki itu dan membawanya ke hospital.


Susulan kejadian itu, Suruhanjaya Perhutanan berkata pegawai telah melawat zoo itu untuk memastikan semua kemudahan kekal selamat. Suruhanjaya itu menambah bahawa tiada singa melarikan diri dari Zoo Accra.


Zoo Accra bermula sebagai zoo peribadi milik Presiden pertama Ghana, Kwame Nkrumah, pada awal 1960-an sebelum dibuka kepada umum selepas beliau digulingkan pada 1966. - Sumber NDTV.


BACA: Lelaki Maut Dipatuk Tedung Peliharaan Sendiri Ketika Memandikan Haiwan itu.


Lelaki itu dipercayai telah memecah masuk ke dalam kandang singa itu dalam usaha untuk mencuri seekor anak singa, lapor Joy Online.


EmoticonEmoticon