Rabu, 8 Jun 2022

Harga tiket Candi Borobudur dicadang dinaikkan RM439


Kerajaan memutuskan untuk menaikkan harga tiket Candi Borodubur sebanyak 750,000 rupiah (RM227) bagi pelancong domestik dan AS$100 (RM439) bagi pelancong asing. Harga tiket bagi golongan pelajar pula adalah 5,000 rupiah (RM1.50), lapor CNN Indonesia pada 6 Jun 2022.


Pihak kerajaan turut bersetuju mengehadkan kemasukan pelancong ke Candi itu sebanyak 1,200 orang sehari. Pelancong juga diwajibkan menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan tempatan untuk mengelilingi kawasan Candi itu.


Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Binsar Pandjaitan berkata, kenaikan harga tiket tersebut bertujuan memelihara sejarah, khazanah dan kebudayaan Indonesia.


Bagaimanapun, kenaikan harga tersebut ditentang banyak pihak kerana berisiko menyebabkan pelancong tidak berminat datang.


Ahli Parti Demokratik, Putu Supadma Rudana berkata, kenaikan harga tersebut adalah tidak wajar kerana kuasa membeli orang ramai masih rendah selepas fasa pandemik. Putu yang juga Pengerusi Persatuan Muzium Indonesia berharap pihak kerajaan mempertimbangkan semula keputusan tersebut.


"Jangan disebabkan harga tiket itu menjejaskan penduduk setempat yang sangat bergantung kepada kedatangan pelancong untuk meneruskan kehidupan harian mereka," katanya. 


Sementara itu, Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo menjelaskan alasan menaikkan bayaran masuk ke Candi Borobudur untuk pelawat adalah bagi mengehadkan jumlah pengunjung di puncak candi berkenaan.


"Kenaikan harga 750,000 rupiah adalah bagi pelancong yang hendak naik ke bangunan Candi, sementara tiket masuk adalah 50,000 rupiah (RM15).


"Namun pelancong yang membayar 50,000 rupiah hanya dibenarkan memasuki kawasan sehingga pelataran Candi sahaja dan tidak dibenarkan naik ke kawasan stupa iaitu lokasi suci kuil.


"Masuk kawasan dan naik ke Candi adalah dua perkara berbeza yang perlu disampaikan kepada orang ramai agar bisa tahu kenapa ada pembatasan naik ke Candi," jelasnya.


Tambah Ganjar, buat masa ini pelancong masih tidak dibenarkan naik ke kuil. Mereka hanya boleh berada di kawasan halaman Candi Borobudur, dan keputusan untuk menaikkan harga tiket itu juga belum muktamad. - Sumber CNN Indonesia.


Harga tiket Candi Borobudur dicadang dinaikkan 750,000 rupiah (RM227) bagi pelancong domestik dan AS$100 (RM439) bagi pelancong asing. - Foto Google.


EmoticonEmoticon