Rabu, 8 Jun 2022

Lembu bunuh kanak-kanak kena tangkap, berdepan hukuman penjara dan kerja berat

Gambar hiasan.

Pihak berkuasa Sudan Selatan mengesahkan bahawa polis negara berkenaan menangkap seekor lembu kerana membunuh seorang budak lelaki berusia 12 tahun, lapor akhbar Daily Star pada 6 Jun 2022.


Polis menahan lembu jantan itu bersama pemiliknya selepas haiwan itu dituduh menyerang mangsa di sebuah ladang di negeri Lakes. Laporan menyatakan bahawa serangan lembu tersebut mengakibatkan mangsa mati di tempat kejadian.


Jurucakap polis Sudan Selatan, Mejar Elijah Mabor berkata, 'suspek' kini dalam tahanan polis.


"Lembu itu ditahan di sebuah balai polis Daerah Pusat Rumbek. Bedah siasat dilakukan sebelum mayat mangsa dihantar ke rumah keluarganya untuk tujuan pengebumian," ujarnya.


Kejadian itu bukan kes pertama melibatkan penahanan haiwan di Sudan Selatan. Bulan lalu, seekor kambing jantan ditangkap atas tuduhan membunuh seorang wanita berusia 45 tahun.


Dalam serangan kejam itu, Adhieu Chaping telah dirempuh di tulang rusuk berulang kali oleh haiwan itu sebelum mati akibat lukanya.


"Pemiliknya tidak bersalah, tetapi kambing jantan itu yang melakukan jenayah jadi ia patut ditangkap," kata seorang jurucakap polis menjelaskan penahanan kambing jantan tersebut.


Pada minggu lalu, kambing tersebut dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan kerja berat selepas didapati bersalah.


Menurut lapor akhbar The Independent, mana-mana haiwan ternakan yang membunuh seseorang, secara automatik diberikan sebagai pampasan kepada keluarga mangsa apabila ia telah menjalani hukumannya. - Sumber Daily Star.


EmoticonEmoticon