Khamis, 30 Jun 2022

Disney dakwa tawar RM1.3 bilion untuk Johnny Depp jayakan semula watak jack sparrow


Disney dakwa menawarkan AS$301 juta (RM1.3 bilion) kepada pelakon Johnny Depp, 59, untuk kembali membintangi sekuel filem Pirates of the Carribean susulan kemenangan samannya terhadap bekas isteri, Amber Heard, baru-baru ini.


Menurut laporan New York Post, sumber dalaman Disney menunjukkan minat untuk menjalinkan kerjasama dengan Depp dan sudah menghubunginya.


Depp yang melakonkan watak Jack Sparrow menerajui sekuel terdahulu filem itu selama 15 tahun. Bagaimanapun, pada 2018 dia digugurkan daripada sekuel berkenaan.


Penampilan terakhirnya adalah menerusi sekuel Black Pearl in Dead Men Tell No Tales pada 2017 sebelum mengucapkan selamat tinggal terhadap projek berkenaan.


"Mereka ada cuba mendapatkan pelakon itu selepas kes perbicaraannya bersama Amber dan bertanya sekiranya dia berminat kembali berlakon untuk satu atau dua filem itu," kata sumber tersebut.


Sumber itu turut mendedahkan, Depp dirisik bagi menjayakan projek lain untuk Disney Plus.


"Tawaran itu adalah untuk Johnny Depp kembali menghidupkan watak Jack Sparrow dalam Pirates of the Carribean 6 serta putaran cerita mengenai kehidupan awal Captain of the Black Pearl untuk Disney Plus," katanya.


Disney dikhabarkan sudah pun menyiapkan draf untuk watak Jack Sparrow dalam projek akan datang itu. Syarikat produksi terbabit sangat berharap Depp akan memaafkan mereka dan kembali menjayakan watak ikonik itu.


Sementara itu, pihak pengurusan Johnny Depp menafikan pelakon itu sedang dalam perbincangan untuk menghidupkan semula watak sebagai Kapten Jack Sparrow.


Jurucakap Depp memberitahu NBC News, berita pelakon itu kembali melakonkan watak utama dalam sekuel itu adalah rekaan semata-mata.


"Ia dibuat-buat," kata wakil Depp.


Johnny Depp Menang Saman


Memetik laporan Vulture, tujuh juri sebulat suara memutuskan Depp berjaya dalam kes samannya dan menganugerahkan ganti rugi sebanyak AS$15 juta (RM65.8 juta).


Heard diperintahkan membayar ganti rugi pampasan sebanyak AS$10 juta (RM43.9 juta) berserta ganti rugi punitif AS$5 juta (RM21.9 juta) kepada bekas suaminya.


Selain itu, barisan juri turut menganugerahkan Heard ganti rugi sebanyak AS$2 juta (RM8.78 juta) bagi satu daripada tiga tuntutan saman balas terhadap Depp.


Barisan juri mencapai keputusan itu selepas perbincangan selama 12 jam, dalam perbicaraan selama enam minggu.


EmoticonEmoticon