Selasa, 26 April 2022

ATM rampas 510 kilogram daun ketum yang ditinggalkan di tebing Sungai Golok


Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merampas longgokan plastik hitam mengandungi daun ketum seberat 510 kilogram, yang ditinggalkan di tebing Sungai Golok di Kampung Nibong dekat Tanah Merah, Kota Bharu, pagi tadi.


Longgokan bungkusan daun ketum itu yang dianggarkan bernilai RM15,300 ditemukan oleh sepasukan anggota Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Briged), yang melakukan rondaan rutin di sepanjang tebing itu pada kira-kira pukul 7.30 pagi.


"Pemeriksaan ke atas bungkusan plastik hitam menemukan sejumlah 50 plastik hitam berisi daun ketum seberat 510 kg. Bungkusan plastik daun ketum berkenaan dipercayai mahu diseludup ke negara jiran.


"Rampasan ini memberi petunjuk bahawa penyeludupan daun ketum di sempadan Kelantan-Thailand semakin aktif berikutan permintaan dan harga yang tinggi di pasaran Thailand," kata Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Abu Hasan Assha’ari Kamis.


Menurutnya, sejak Januari hingga hari ini, sembilan kes rampasan ketum direkodkan oleh ATM menerusi Op Merpati di kawasan negeri ini yang bersempadan dengan Thailand, dan rampasan daun ketum di sekitar lokasi berkenaan adalah yang kedua dalam bulan ini.


Abu Hasan Assha’ari memberitahu, kesemua barangan rampasan diserahkan kepada Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk tindakan lanjut.


"ATM menyeru kepada penduduk setempat untuk terus memberikan sokongan kepada pasukan keselamatan dengan menyalurkan maklumat berkaitan jenayah rentas sempadan.


"Hal ini bagi membolehkan tindakan sewajarnya segera diambil untuk menjamin kedaulatan negara dan menjaga keselamatan sempadan Malaysia- Thailand," katanya.


Daun ketum seberat 510 kilogram yang ditinggalkan di tepi Sungai Golok dekat Kampung Nibong, Tanah Merah hari ini. - Foto ATM.


EmoticonEmoticon