Jumaat, 22 April 2022

AS lancar roket membawa 'muatan misteri', ia mungkin sistem pengintip untuk pantau pegerakan kapal di lautan


Sebuah roket membawa 'muatan misteri' untuk Pejabat Peninjau Kebangsaan (NRO) Amerika Syarikat (AS) dilancarkan ke angkasa lepas dari California, Ahad lalu, lapor Daily Mail pada 18 April 2022.


Roket Falcon 9 milik SpaceX yang membawa satelit NROL-85 dilancarkan pada 17 April 2022, pukul 6.13 pagi (waktu tempatan) dari tapak pelancaran 4E di Pangkalan Tentera Udara Vandenberg, barat laut Los Angeles.


"Roket itu berlepas dengan daya tujahan sebesar 1.7 juta paun mendorong roket hingga ke langit," jelas laporan itu.


Berdasarkan masa pelancaran dan faktor lain termasuk dokumen perolehan ketenteraan, seorang pakar angkasa membuat spekulasi bahawa roket Falcon 9 membawa dua Sistem Pengawasan Lautan Tentera Laut (satelit NOSS) yang mampu memantau dan mengesan kapal di laut secara elektronik.


Vandenberg menerusi kenyataan memaklumkan ia merupakan misi pertama NRO untuk menggunakan semula roket penggalak SpaceX, dan ia juga merupakan penerbangan SpaceX ke-14 bagi tahun ini.


"Dua setengah minit selepas pelancaran, roket penggalak mula jatuh dan berpusing menggunakan tiga enjin untuk menukar haluan kembali ke Vandenberg, mendarat di Zon Pendaratan 4 kira-kira lapan minit selepas lepas landas," jelas kenyataan itu.


SpaceX pula tidak mendedahkan butiran lain mengenai satelit itu dan hanya menyatakan proses peringkat kedua roket mencapai orbit. Sementara itu, NRO hanya menyifatkan satelit NROL-85 sebagai 'muatan keselamatan negara yang amat kritikal'.


"Saya berbangga dengan kerja berpasukan, kemahiran dan keazaman yang menjayakan pelancaran ini, dan akhirnya untuk menyampaikan maklumat kritikal kepada penggubal dasar, tentera dan komuniti perisikan negara kita," kata Pengarah NRO, Chris Scolese.


NRO ialah agensi kerajaan yang bertanggungjawab membangunkan, membina, melancarkan dan menyelenggara satelit AS, yang menyediakan data risikan kepada penggubal dasar kanan, komuniti perisikan dan Jabatan Pertahanan. - Sumber Daily Mail.


Roket Falcon 9 membawa satelit NOSS berlepas dari tapak pelancaran 4E di Pangkalan Tentera Udara Vandenberg, California. - Foto SpaceX.


EmoticonEmoticon