Rabu, 20 April 2022

Pemandu Ferrari didakwa cekik dan tumbuk pengguna jalan raya dikenal pasti


Polis telah mengenal pasti identiti pemandu kereta mewah Ferrari yang didakwa mencekik leher dan menumbuk kepala seorang pengguna jalan raya di Jalan Raja Abdullah, Kampung Baru, kelmarin.


Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisoner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya sudah memperoleh perintah meneruskan siasatan (OTI) daripada Timbalan Pendakwa Raya berhubung kes terbabit.


"Butiran suspek sudah diperoleh dan tindakan lanjut sedang diambil, kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Terdahulu, seorang pengguna Twitter dengan nama @qiltinho meminta bantuan orang ramai untuk mendapatkan video ketika kejadian dia dipukul oleh pemandu Ferarri untuk dijadikan bukti. Dalam ciapan itu, lelaki berkenaan juga berkongsi laporan polis yang dibuatnya di Balai Polis Chow Kit.


Menurut laporan, kejadian bermula di lampu isyarat Jalan Sultan Ismail pada jam 12.40 tengah malam ketika dia memandu keluar bersama seorang rakan wanita dengan menaiki kereta Proton X70.


Dakwanya, ketika lampu isyarat bertukar hijau, sebuah kereta mewah jenis Ferarri berwarna putih di depannya tiba-tiba mengundur ke belakang, dan melanggar bahagian depan kenderaannya.


Lelaki itu mendakwa mengekori kereta suspek yang menghala ke arah Kampung Baru, sebelum mereka berhenti di depan sebuah premis di Jalan Raja Abdullah, dan dia turun daripada kenderaannya untuk berbincang dengan suspek.


Dakwanya lagi, suspek tidak mengaku melakukan pelanggaran selain mengugutnya dan merampas telefon bimbit serta membalingnya.


Suspek juga didakwa mencekik leher dan menumbuk kepalanya dengan tangan hingga dia jatuh. Akibat serangan itu, mangsa didakwa mengalami kecederaan di siku dan buku lali kiri serta badan. - Sumber Harian Metro.


Foto tular insiden membabitkan pemandu Ferrari yang didakwa memukul pengguna jalan raya lain.


EmoticonEmoticon