Rabu, 9 Februari 2022

Tiga tahun kumpul syiling RM18,887 untuk tunai umrah


Seorang wanita di wilayah Kalimantan Barat menjadi tular di media sosial, kerana berkongsi video memaparkan duit syiling mencecah 65 juta rupiah (RM18,887) yang berjaya dikumpulkan hanya masa tiga tahun.

 

Menurut laman berita Kumparan pada 29 Januari 2022 mengatakan, impian Mustafa Tarmizi, penduduk Desa Sentebang, Kecamatan Jawai, Kabupaten Sambas, Kalimantan Barat, untuk menunaikan umrah bersama isteri akhirnya menjadi kenyataan.


Nia, adik kepada Mustafa berkata, abangnya mula menyimpan duit syiling sejak 22 Februari 2019 untuk kegunaan pergi umrah. Abangnya memililh menyimpan duit syiling kerana jika simpan dengan duit kertas, memang selalu digunakan.


"Tiga tahun lepas abang cakap nak pergi umrah, nak menabung duit syiling. Kalau simpan guna duit kertas tak mungkin katanya sebab kalau ada duit kertas tak boleh simpan," kata Nia, pada Khamis 27 Januari 2022 lalu.


Mustafa hanyalah seorang penjual kayu. Syiling yang dikumpulkan datang daripada baki wang belanja harian mereka. Selain itu, beliau juga merupakan pengerusi pengurusan masjid di tempat kediamannya. Setiap hari Jumaat, Mustafa terjumpa dengan kenalan dan dia akan menukar duit syiling mereka dengan wang kertas.



Selama tiga tahun syiling itu diisi dalam 14 gelen air mineral. Satu gelen air mineral mengandungi pelbagai nilai duit syiling. Masa yang diperlukan untuk mengira syiling-syiling itu hampir sehari dan dibantu oleh beberapa saudara.


Kini duit syiling tersebut telah ditukar di salah sebuah kedai di situ. Nia mendedahkan, alasan tidak menukarnya kepada bank adalah kerana kedai itu gembira menerima pertukaran itu.


"Alhamdulillah, hasil menabung selama tiga tahun, dapat mengumpul sebanyak 65 juta rupiah. Wang hasil menabung ini untuk menunaikan umrah," tulis Nia keterangan pada perkongsian yang dimuat naik di akaun Instagramnya.


Hantaran itu mendapat perhatian orang ramai yang rata-rata turut mendoakan agar Mustafa dan isterinya dapat menunaikan niat itu; "Semoga perjalanan mereka dipermudahkan dan dilancarkan niat untuk ke Tanah Suci," kata seorang netizen.


Nia menunjukkan duit syiling yang dikumpul dalam masa tiga tahun. - Foto Kumparan.


EmoticonEmoticon