Selasa, 8 Februari 2022

Pemburu tangkap buaya raksasa seberat 410 kilogram


Seorang pemburu dari Mississippi berjaya menangkap dan membunuh seekor buaya berusia hampir 80 tahun yang berukuran sepanjang empat meter di sebuah tasik di selatan Florida, lapor Daily Mail pada 4 Februari 2022.


Doug Borries, seorang pemburu berpengalaman yang memiliki Dynamic Outdoors TV, memuat naik video penangkapan buaya seberat 410 kilogram (kg) itu dalam halaman Facebooknya.


Bagaimanapun, reptilia ganas yang sering memakan haiwan ternakan di tasik itu bukanlah buaya terbesar ditangkap di Florida. Borries pernah mencatatkan sembilan rekod dunia dan 36 rekod negeri bagi usahanya dalam memburu dan memancing.


Sementara itu, Borries berkata, dia mula memburu buaya besar tersebut selepas rakannya memaklumkan mengenai reptilia ganas itu yang sudah wujud sejak zaman kanak-kanaknya.



"Rakan saya mendakwa dia melihat buaya itu sejak dia masih kecil. Jadi, saya rasa sudah tiba masanya untuk memburu reptilia itu kerana beberapa anak lembu telah hilang" katanya kepada WWXV25.


Borries menemukan buaya itu di sebuah tasik di Okeechobee County, kira-kira 457.2 meter menggunakan skop senapang STW 7mm miliknya. Reptilia ganas itu ditembak di bahagian atas kepala ketika ia menghampiri Borries pada jarak 164 meter.


Pemburu itu kemudian menarik buaya berusia 80 tahun itu keluar dari dasar tasik dan terkejut melihat saiznya yang begitu besar. Difahamkan selepas ditangkap daging buaya tersebut telah diproses untuk dimakan.


Netizen yang mengulas perkongsian tersebut bagaimanapun terpolarisasi mengenai amalan memburu dengan beberapa mempertahankan Borries, mengatakan ia adalah tangkapan yang mengagumkan manakala yang lain telah mengkritiknya kerana membunuh reptilia itu.


Borries menangkis kritikan itu selepas menyatakan ancaman buaya terhadap nyawa manusia, merujuk kepada ketika Lane Graves yang berusia dua tahun telah disambar dan dibunuh oleh seekor buaya di Walt Disney World pada Jun 2016.


Doug Borries menangkap buaya seberat 410 kilogram dan sepanjang empat meter. - Foto Dynamic Outdoors TV.


EmoticonEmoticon