Dulu Pernah Viral Mengemis Tepi Jalan, Kini Cuba Nasib Bergelar Miss Universe




Benarlah kata peribahasa, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Itulah yang berlaku pada seorang gadis bernama Rita Gaviola, beberapa tahun lalu dia adalah pengemis jalanan dan mempunyai kehidupan serba kekurangan.


Kerana desakan hidup, dia seringkali dilihat mengemis di bandar Lucban, Filipina. Ayahnya bekerja sebagai pengutip sampah manakala ibunya tinggal di rumah untuk menjaga dia dan lima adik-beradik yang lain.


Tiada seorang pun diantara adik beradiknya bersekolah pada waktu itu. Keluarganya hampir sentiasa berlapar sehingga Rita terpaksa keluar mengemis atau meminta sumbangan makanan.



Menurut CBN, kehidupan gadis ini berubah drastik selepas gambarnya dirakam oleh seorang jurufoto, Filipina, Topher Quinto Burgos, yang kebetulan menghadiri Festival Pahiyas di Lucban, pada Mei 2016.


Burgos tertarik dengan keindahan semula jadi di kawasan berkenaan merakamkan beberapa keping foto termasuk foto Rita secara senyap-senyap, dan kemudiannya memuatnaik ke laman sosial. Dengan hanya beberapa keping gambar itu, Rita menjadi viral serta-merta.


Susulan itu, Rita telah mendapat perhatian ramai serta berjaya meraih perhatian beberapa ratu cantik Filipina yang berusaha membantu gadis itu keluar dari kancah kemiskinan.


Selebriti seperti Miss World Philippines 2015, Hillarie Danielle Parungao, Miss International Philippines 2014, Bianca Guidotti dan Miss Earth 2015, Angelia Ong menggunakan media sosial masing-masing memuji fizikal Rita yang jelita menyerupai model.


Sebagai anggota etnik minoriti Badjao di Filipina, Rita dijuluki gelaran 'Badjao Girl'. Pada usia 13 tahun bakat Rita diketengahkan dalam dunia peragaan dan hiburan. Dia mula memperagakan pelbagai jenama dan berlakon watak kecil dalam siri televisyen (TV).


Susulan itu, Rita yang merupakan anak sulung daripada lima adik beradik kemudian ditawarkan menjadi model, dan berjaya mencipta nama sebagai gadis termuda yang beraksi di peringkat antarabangsa dalam rancangan TV 'Big Brother'.



Peluang berkenaan digunakan Rita untuk membina pengaruh dan khalayaknya sendiri. Walaupun dahulu tidak bersekolah, gadis itu kini mengutamakan pelajarannya. Kemahsyuran tidak membuatnya lupa akan kepentingan pendidikan dan terus berusaha mengubah nasib keluarganya.


Rita Gaviola adalah bukti bahawa kisah seperti Cinderella benar berlaku dalam kehidupan nyata. Dalam kes Rita yang diambil bukan kasut tetapi hanyalah fotonya. Kehadiran Rita di lokasi Burgos merakam gambar tepat pada waktunya seterusnya membawa tuah dan rezeki.


Rita baru-baru ini menyuarakan hasratnya di Instagram untuk menyertai pertandingan ratu cantik bertaraf antarabangsa, Miss Universe. Apa-apapun diharapkan impian Rita bakal menjadi kenyataan kerana tiada apa yang mustahil kalau dia berusaha untuk kejayaan. - Sumber SinarPlus.



EmoticonEmoticon