Jumaat, 22 Januari 2021

Ahli politik ditahan jual dadah diproses sendiri campuran ganja dan ketamin


Kuala Lumpur: Seorang ahli perniagaan berusia 35 tahun yang juga bekas calon bagi satu kerusi parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, ditahan polis kira-kira jam 1.45 petang selepas disyaki mengedar dadah di Pudu, di sini, pada Rabu.


Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, pasukan polis pada mulanya menahan suspek yang dikesan menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan. Hasil pemeriksaan, polis menemui 40 botol mengandungi 400 milimeter (ML) cecair dadah beserta wang tunai RM250 pada suspek.


Menurutnya, susulan itu pihaknya menyerbu rumah suspek di Ampang, Selangor, dan hasil pemeriksaan di dalam rumah terbabit menemui pokok ganja, daun kering disyaki ganja serta cecair dadah disyaki ketamin dan THC.


"Hasil daripada tangkapan itu, kami membuat serbuan di rumah suspek yang terletak di Ampang, Selangor sekitar pukul 1 pagi semalam dan berjaya membawa kepada penemuan tujuh pokok ganja serta dua anak pokok ganja," katanya ketika dihubungi hari ini.


Menurut Saiful Azly, pemeriksaan lanjut polis turut berjaya merampas 1,500 gram ganja, cecair ganja (3,000 ML), cecair kimia, ganja, tempat siram pokok ganja serta sebuah kereta BMW disyaki milik suspek berkenaan.


Tambah beliau, kesemua rampasan di rumah suspek dianggarkan berjumlah RM60,760 melibatkan pokok ganja bernilai RM4,500, ganja bernilai RM3,000 serta cecair dadah bernilai RM53,100.


Hasil soal siasat polis ke atas suspek mengaku terbabit dalam kegiatan itu sejak Oktober tahun lalu. Polis juga difahamkan suspek telah menghasilkan sendiri dadah berkenaan dengan campuran jenis ganja dan ketamin sebelum menjual di luar pada harga RM300 sebotol.


Suspek telah direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 27 Januari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 6B akta sama. Difahamkan, isteri bersama pembantu rumah suspek turut ditahan untuk siasatan lanjut.


EmoticonEmoticon