Khamis, 5 November 2020

Jika perlu, kerajaan sedia nasihat Agong isytihar darurat - Datuk Takiyuddin Hassan


Kuala Lumpur: Kerajaan sedia mempertimbangkan keperluan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya diisytiharkan darurat bagi kawasan Parlimen Batu Sapi dan Sarawak berikutan pilihan raya yang akan berlangsung dalam tempoh terdekat.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, berkata Yang di-Pertuan Agong memiliki kuasa yang jelas untuk mengisytiharkan proklamasi darurat di seluruh negara atau mana-mana bahagian berdasarkan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.



"Baru-baru ini, seperti yang semua rakyat Malaysia maklum, kerajaan memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong supaya menggunakan Perkara 150 ke seluruh negara disebabkan lebih 20 alasan yang diputuskan Kabinet.


"Jika dirasakan perlu, kerajaan akan memikirkan (beri nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong), kalau tidak keseluruhan (negara), atau mana-mana bahagian (kawasan tertentu untuk dilaksanakan darurat).


"Pokoknya, dari segi Perlembagaan, ia adalah dibolehkan," katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan rakyat hari ini.


Beliau menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) sama ada kerajaan bercadang menghadap Yang di-Pertuan Agong sekali lagi bagi mendapatkan perkenan isytihar darurat di kawasan tertentu bagi menangguhkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak berikutan penularan COVID-19.


Menjawab soalan asal Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang meminta kerajaan menyatakan kos disalurkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi PRN Sabah baru-baru ini, Takiyuddin berkata, ia membabitkan peruntukan sebanyak RM130 juta.


"Kos bagi pelaksanaan PRN Sabah oleh SPR adalah berjumlah RM130 juta yang merangkumi perolehan pembelian dan sewaan peralatan pilihan raya, keperluan peralatan dan sistem komunikasi dan teknologi (ICT), logistik, elaun petugas pilihan raya serta keperluan lain yang berkaitan.


"Perbelanjaan ini turut mengambil kira keperluan peralatan mengikut garis panduan pencegahan COVID-19," katanya.


Sumber: Berita Harian


EmoticonEmoticon