Rabu, 26 November 2025

Lelaki mati ditembak di Seremban terlibat kes samun, mempunyai 42 rekod jenayah

Lelaki mati ditembak di Seremban terlibat kes samun, mempunyai 42 rekod jenayah


Mangsa tembak dan tetak berhampiran sebuah restoran di Seremban minggu lalu dipercayai terbabit dalam kes samun di negeri ini serta Lembah Klang.


Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, maklumat itu diperoleh selepas pihaknya menahan empat lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30 hingga 40-an pada 21 dan 22 November lalu.


Katanya, empat suspek itu direman untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.


Menurut beliau, lelaki yang maut ditembak itu mempunyai 42 rekod jenayah, kesemua jenayah dilakukannya melibatkan pelbagai kesalahan seperti samun, mendatangkan kecederaan dan pecah rumah.


Ketika kejadian, mangsa yang berusia 33 tahun itu bersama keluarganya ke sebuah restoran untuk makan malam.


Ketika sedang menuju ke kenderaan, beberapa buah kereta yang dinaiki enam suspek bertutup muka telah menghalang kereta mangsa.


Suspek yang disyaki bersenjata pistol dan parang telah keluar dan menyerang mangsa yang kemudian melarikan diri ke arah jalan raya.


Namun suspek terus mengejar mangsa dan melepaskan tembakan diikuti serangan menggunakan parang sehingga mangsa mengalami kecederaan parah.


Menurut Alzafny, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan pemeriksaan awal terdapat kesan tembakan dan tetakan pada tubuh mangsa.


Alzafny (gambar kecil) bekata, mangsa tembak dan tetak berhampiran sebuah restoran di Seremban minggu lalu dipercayai terbabit dalam kes samun di negeri ini serta Lembah Klang. - Foto Kosmo Online.

Selasa, 25 November 2025

Polis tembak mati penjenayah dalam kejadian berbalas tembakan di Dengkil

Polis tembak mati penjenayah dalam kejadian berbalas tembakan di Dengkil


Polis menembak mati seorang lelaki dipercayai penjenayah dalam kejadian berbalas tembakan di tepi jalan Batu 8, Jalan Banting - Dengkil, Dengkil, Selangor malam tadi.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M Kumar berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Jenayah Berat (D9) JSJ Bukit Aman terserempak sebuah Perodua Mayvi dinaiki seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di kawasan Dengkil pada 8.10 malam tadi.


Katanya, pihaknya ketika itu melakukan operasi mengesan dan mencegah kejadian jenayah samun di sekitar kawasan Banting, Dengkil dan Sepang, Selangor.


"Ketika pasukan serbuan cuba menahan (kenderaan itu), suspek tiba-tiba bertindak melepaskan tembakan dari dalam kenderaan ke arah pasukan polis. Polis kemudian membalas tembakan sehingga tiada ancaman keselamatan.


"Suspek disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan. Hasil siasatan awal mendapati suspek disyaki seorang lelaki warga tempatan, namun tiada sebarang pengenalan diri dijumpai," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, pemeriksaan dalam kenderaan suspek menemui sepucuk senjata api jenis Colt 45, tujuh paket plastik lut sinar disyaki mengandungi dadah dan tiga butir peluru.


Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihaknya berhubung kes berkenaan.

Isnin, 24 November 2025

Besi 'longshaft' lori seberat 100kg tercabut terkena MPV, seorang lelaki maut

Besi 'longshaft' lori seberat 100kg tercabut terkena MPV, seorang lelaki maut


Perjalanan lima sekeluarga ke Felda Pemanis, Segamat bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut selepas dipercayai terkena besi penyambung 'longshaft' yang tercabut dari sebuah lori di Jalan Sri Bengkal, Sri Gading pagi tadi.


Dalam kejadian itu pada kira-kira jam 8.30 pagi, mangsa, Juhari Murid, 63, bersama isteri, Zaina Khalid, 58, menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dipandu adik lelakinya, Aspar, 56, serta dua lagi adiknya dari Senggarang, Batu Pahat.


Difahamkan, besi dari lori tapper dianggarkan seberat 100 kilogram itu tercabut dan menembusi cermin hadapan MPV dan terkena muka mangsa. Bagaimanapun, Zaina, Aspar dan dua lagi adik mangsa terselamat.


Anak mangsa, Noor Shahin, 31, berkata, dia menerima panggilan daripada sepupu memaklumkan mengenai insiden yang mengorbankan bapanya di lokasi kejadian.


"Sebaik mendapat berita sedih itu, saya teringat rasa tidak sedap hati semalam selepas ibu memberitahu dia bersama ayah mahu ke Segamat atas urusan keluarga.


"Saya bergegas dari Muar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat selepas dimaklumkan mengenai kejadian," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Batu Pahat hari ini.


Menurutnya, dia sempat membuat panggilan video dengan ayahahnya sehari sebelum kejadian dan meluahkan rasa teruja untuk bertemu cucunya berusia tiga bulan.


"Semalam ayah sangat gembira. Ayah beritahu tidak sabar nak jumpa cucu. Sepatutnya hari ini saya balik dari Muar untuk berjumpa ayah.


"Minggu lalu, saya balik ke Batu Pahat dan kami sempat berjumpa seperti biasa. Ayah seorang yang sangat penyayang terhadap empat orang anak dan cucunya," ujarnya.


Beliau berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya kerana insiden tersebut meragut nyawa ayahnya.


Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mangsa yang duduk di bahagian penumpang hadapan mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Sri Gading.


"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta berkenaan dalam perjalanan menuju Parit Yaani untuk ke Segamat.


"Sewaktu tiba di tempat kejadian, satu objek dipercayai komponen lori jenis Coupling Shaft tercabut dari lori yang datang dari arah bertentangan sebelum meluru dan menembusi cermin hadapan kereta.


"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian," katanya dalam kenyataan.


Keadaan cermin hadapan Perodua Alza pecah selepas besi tercabut dan menghentam mangsa. - Foto tular.

Ahad, 23 November 2025

Tayar dah pecah, lelaki tetap pandu melulu beritahu polis tak berhenti sebab rumah dah dekat

Tayar dah pecah, lelaki tetap pandu melulu beritahu polis tak berhenti sebab rumah dah dekat


Polis membuka siasatan berhubung video tular memaparkan sebuah kereta dipandu dalam keadaan berbahaya dan didakwa pemandunya berada di bawah pengaruh alkohol di Lebuhraya Sungai Besi menghala ke Taman Naga Emas.


Video berdurasi satu minit itu memaparkan sebuah Range Rover Velar bergerak dengan tayar belakang kanan dalam keadaan pecah dan hancur, sebelum tular di media sosial pada semalam.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, hasil semakan mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 8 pagi.


"Pergerakan berbahaya kenderaan berkenaan turut dirakam oleh seorang penunggang motosikal sebelum kenderaan itu berhenti di kawasan persimpangan lampu isyarat Jalan Kuchai Maju," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, pemandu kereta merupakan seorang lelaki berusia 32 tahun telah hadir ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur pada pukul 10.30 pagi, hari ini bagi membantu siasatan.


"Proses siasatan sedang dijalankan termasuk menjalankan ujian saringan air kencing dan EBA (Evidential Breath Analyzer) terhadap individu terbabit.


"Pemandu memberi alasan tayar pecah terlanggar lubang dan memandangkan kediamannya dekat maka pemandu memandu terus kenderaannya untuk pulang ke rumah" ujarnya.


Jelasnya, tangkapan terhadap pemandu akan dilakukan dan siasatan berhubung kejadian berkenaan sedang dijalankan oleh pihaknya.


"Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya," katanya.


Semalam, media melaporkan, seorang lelaki tetap memandu kenderaannya walaupun bahagian tayar belakang telah pecah dan hanya bergerak menggunakan rim sahaja.


Kejadian yang berlaku di ibu kota itu menyaksikan seorang pemandu bersama dua lagi temannya memandu kenderaan utiliti sukan mewah dengan hanya menggunakan tiga roda bertayar lengkap.


Tangkap layar keadaan tayar kereta pecah, namun masih dipandu oleh seorang lelaki tanpa mempedulikan pengguna jalan raya lain, semalam.

Sabtu, 22 November 2025

Kanak-kanak ditemukan meninggal dunia dalam kereta rosak di Labuan

Kanak-kanak ditemukan meninggal dunia dalam kereta rosak di Labuan


Mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia lingkungan lapan tahun ditemukan dalam sebuah kereta rosak yang diletakkan di belakang premis, kawasan perindustrian Kampung Muslim, di Labuan pagi tadi.


Kejadian disedari seorang mekanik pada jam 8.45 pagi ketika cuba mengalihkan sebuah Proton Gen-2 yang sudah lama tersadai di belakang sebuah bengkel.


Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, mekanik terbabit terhidu bau busuk dari dalam kereta berkenaan.


"Pemeriksaan kemudian dilakukan sebelum menemukan mayat kanak-kanak di bahagian dalam kenderaan itu.


"Siasatan awal mendapati kereta itu adalah kenderaan rosak yang diletakkan di kawasan bengkel sejak Jun lalu," katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, polis menerima maklumat kejadian pada jam 9.10 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi.


"Pasukan perubatan yang tiba pada jam 10.26 pagi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.


"Identiti mangsa dikenal pasti sebagai Budin Jimsalim, lelaki, berbangsa Bajau, dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri


"Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Labuan untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian," katanya.


Mohd Hamizi berkata, setakat ini tiada unsur jenayah ditemui namun siasatan masih diteruskan dan kes mati mengejut (SDR).


"Polis turut merakam keterangan saksi dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi bagi membantu siasatan," katanya.


Polis menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian. - Foto Polis.

Jumaat, 21 November 2025

Nenek nyaris dipatuk ular tedung selar ketika ke tandas

Nenek nyaris dipatuk ular tedung selar ketika ke tandas


Seorang wanita warga emas nyaris dipatuk ular tedung selar sepanjang hampir lima meter ketika hendak ke tandas di rumahnya di Kampung Ketembar, Masjid Kuala Pegang, Baling hari ini.


Warga emas berusia lingkungan 70 tahun terkejut sebaik membuka pintu tandas berkenaan dan ternampak ular itu melingkar.


Disebabkan itu, dia yang tinggal bersama dua cucunya bertindak menghubungi anak lelakinya untuk meminta pertolongan sebelum menghubungi bomba.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, panggilan berhubung kejadian itu diterima pada jam 6.40 pagi tadi.


Menurutnya, sepasukan enam anggota yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Basri Osman tiba di lokasi tidak lama kemudian.


"Anggota bomba mengambil masa 30 minit untuk menangkap ular itu kerana reptilia itu agak agresif sehingga menegak badannya dan berdiri kira-kira satu meter.


"Dengan hanya menggunakan penjerut, anggota kami berdepan cabaran untuk menangkap reptilia itu dan berisiko disebabkan tandas itu sempit serta perlu berhati-hati untuk mengelak sebarang kemungkinan," katanya.


Zulkhairi berkata, ular tedung selar itu dipercayai masuk melalui lubang paip bilik air yang tiada penutup.


Beliau berkata, ular itu bagaimanapun berjaya ditangkap dan dilepaskan ke habitat asal jauh dari penempatan penduduk.


"Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan perubahan cuaca yang tidak menentu ini yang menyebabkan persekitaran lembab dan sejuk ketika ini," katanya.


Anggota bomba cuba menangkap ular tedung selar dalam tandas rumah penduduk di Kampung Ketembar, Masjid Kuala Pegang. - Foto Bomba.
Polis tahan dua lelaki lakukan perkara tak senonoh dalam kereta

Polis tahan dua lelaki lakukan perkara tak senonoh dalam kereta


Polis menahan dua lelaki yang disyaki terbabit dalam rakaman melakukan perkara tidak senonoh di dalam kereta seperti tersebar beberapa hari lalu.


Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, lelaki masing-masing berusia 19 dan 36 tahun itu ditahan pada semalam dan hari ini.


"Polis Kontinjen Negeri Sembilan menjalankan siasatan terhadap dua laporan polis yang diterima berhubung penularan video di media sosial berkaitan kelakuan tidak senonoh dua individu dalam sebuah kenderaan.


"Hasil siasatan, polis mendapati kejadian itu berlaku di kawasan Bahau. Tangkapan dibuat ke atas dua lelaki pada semalam dan hari ini," katanya dalam kenyataan hari ini.


Alzafny berkata, turut dirampas sebuah kenderaan jenis Perodua Alza dan dua telefon bimbit.


Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 377d Kanun Keseksaan bagi kesalahan kelucahan melampau di tempat awam dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun.


"Polis turut menjalankan siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ke atas penularan berita tidak benar dalam media sosial mengaitkan kes ini dengan imam masjid di daerah Seremban.


"Kami sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh berdasarkan peruntukkan undang-undang sedia ada.


"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan atau kandungan di ruangan awam mahupun media sosial," katanya.

Khamis, 20 November 2025

FIFA boleh naikkan denda, penggantungan jika rayuan FAM gagal di CAS - Hannah Yeoh

FIFA boleh naikkan denda, penggantungan jika rayuan FAM gagal di CAS - Hannah Yeoh


Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) boleh meningkatkan denda dan penggantungan sekiranya rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak berjaya di peringkat Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).


Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, ketika ini FIFA melalui jawatankuasa rayuan memutuskan untuk mengekalkan keputusan asal iaitu mengenakan denda RM1.8 juta kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).


Katanya, FIFA turut mengekalkan hukuman terhadap tujuh pemain termasuk penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak serta denda RM10,500 bagi setiap pemain.


"FAM bagaimanapun mengesahkan akan membawa kes itu ke CAS. Sekarang ini ada dua proses yang sedang berlangsung. Pertama, skop siasatan oleh mantan Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif.


"Skop siasatan Tun Raus adalah untuk meneliti prosedur dalaman dan prosedur operasi standard FAM dalam pengurusan dokumen tujuh pemain Harimau Malaya yang digantung selama 12 bulan.


"Tujuannya adalah bagi memastikan kegagalan seperti ini tidak berlaku lagi. Ia juga selari dengan perenggan 246 Laporan Jawatankuasa Rayuan FIFA," katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di peringkat jawatankuasa bagi KBS di Dewan Rakyat, hari ini.


Hannah berkata, laporan dan hasil siasatan oleh Tun Raus adalah sangat penting untuk disiapkan secepat mungkin.


"Saya sudah meminta Pesuruhjaya Sukan untuk meneliti dan memberikan kerjasama bagi mengambill tindakan terhadap sebarang penemuan untuk pastikan ia tidak berulang lag," katanya.


Hannah berkata, CAS boleh menyarankan kepada FIFA untuk meningkatkan denda dan penggantungan jika FAM tidak berjaya di peringkat CAS.


"Selepas itu, jika FAM kalah di CAS, FIFA tribunal akan bermesyuarat untuk mengambil keputusan berhubung status tujuh pemain berkenaan sama ada boleh bermain untuk Malaysia atau tidak.


"Keputusan itu boleh dirayu oleh FAM ke CAS sekali lagi, selepas itu ia akan dipanjangkan ke AFC untuk tindakan selanjutnya dalam konteks perlawanan kelayakan Piala Asia.


"Jika keputusan berhubung pemain itu tidak berubah, Jawatankuasa Disiplin Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pula akan membuat keputusan," katanya.


Hannah berkata, AFC sudah maklumkan kepada FIFA untuk membuat keputusan sebelum 31 Mac 2026 iaitu tarikh akhir perlawanan kelayakan Piala Asia.


"Jika FAM masih kalah di peringkat CAS, mengikut peraturan sedia ada di AFC, keputusan perlawanan akan dikira terbatal dan pasukan lawan akan diberikan tiga mata dan tiga gol," katanya menjelaskan Jawatankuasa AFC berhak jatuhkan hukuman lain selain daripada potongan mata.


Hannah Yeoh di  Dewan Rakyat. - Foto Bernama.

Rabu, 19 November 2025

Lelaki pukul polis trafik berang ditegur tak pakai helmet

Lelaki pukul polis trafik berang ditegur tak pakai helmet


Seorang penunggang motosikal di Maros, wilayah Sulawesi Selatan mengundang perhatian ramai apabila cuba menyerang anggota polis trafik hanya kerana ditegur tidak memakai topi keledar, dalam kejadian di Jalan Sam Ratulangi kelmarin, lapor portal berita INews Sulsel.


Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @rakyatsulsel menunjukkan lelaki terbabit mengamuk dan cuba memukul anggota terbabit sambil dihalang isterinya.


Ketua Unit Trafik Polis Maros, AKP Muhammad Arafah memberitahu bahawa penunggang motosikal itu pada awalnya ditegur kerana tidak memakai topi keledar.


"Lelaki itu kemudian diarah untuk mengelak daripada memasuki kawasan kawalan trafik tetapi arahan tersebut diabaikan, menyebabkan dia ditahan dan diminta untuk menunjukkan dokumen kenderaan.


"Dia bagaimanapun menunjukkan sikap agresif dan cuba menyerang salah seorang anggota kami," kata Muhammad.


Anggota berkenaan diarah untuk membuat laporan agar siasatan dapat dijalankan.


Tangkap layar video menunjukkan lelaki itu cuba memukul anggota polis trafik selepas ditegur tidak memakai topi keledar. - Foto Istimewa.

Selasa, 18 November 2025

Khidmat urut tawar seks songsang guna aplikasi media sosial tumpas

Khidmat urut tawar seks songsang guna aplikasi media sosial tumpas


Menggunakan aplikasi media sosial bagi menawarkan perkhidmatan urutan badan yang diselitkan aktiviti seks songsang terbongkar menerusi serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah premis di Taman Miharja, Kuala Lumpur semalam.


Lebih mengejutkan, kegiatan tidak bermoral itu turut menyasarkan pelanggan lelaki tempatan, selain warga asing, dengan bayaran antara RM200 hingga RM800 bagi setiap perkhidmatan yang dibayar secara dalam talian.


Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban, berkata operasi khas itu dijalankan hasil risikan dan maklumat awam selama dua minggu sebelum pasukannya digerakkan ke lokasi pada jam 10.37 malam.


Beliau berkata, operasi melibatkan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya itu turut menahan 18 lelaki, masing-masing 15 warga Myanmar, seorang warga Vietnam, seorang warga India serta seorang warga Myanmar yang dipercayai bertindak sebagai penjaga premis.


"Modus operandi mereka ialah menawarkan urutan badan dan aktiviti seks songsang kepada pelanggan lelaki tempatan dan asing menerusi aplikasi Telegram serta WhatsApp.


"Kumpulan ini dipercayai beroperasi sejak enam bulan lalu dan memperoleh keuntungan dengan mengenakan bayaran tinggi yang dibayar menerusi dalam talian," katanya dalam kenyataan hari ini.



Katanya, semakan awal mendapati seorang warga India yang ditahan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sektor pembinaan.


"Selain itu, seorang warga Myanmar ditahan didapati mempunyai Pas Lawatan Sosial (PLS) manakala dua warga Myanmar serta seorang warga Vietnam didapati tinggal lebih masa.


"Baki 13 warga Myanmar lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas sah untuk berada di negara ini," katanya.


Menurutnya, pihaknya turut menyita pasport India, Vietnam dan Myanmar, selain buku tempahan pelanggan, kunci premis, kondom dan minyak pelincir yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan tersebut.


"Seramai 13 warga Myanmar ditahan di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63, dua warga Myanmar dan seorang warga Vietnam di bawah Seksyen 6(3) akta sama.


"Manakala seorang warga India serta seorang warga Myanmar disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.


Tambahnya, semua individu ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut, manakala seorang lelaki warga tempatan diberikan notis hadir bagi membantu siasatan.


"JIM komited meneruskan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mencabul undang-undang.


"Tindakan berterusan diambil demi mempertahankan kestabilan dan kemakmuran Malaysia MADANI agar negara kekal aman dan sejahtera," katanya.


Kumpulan ini dipercayai beroperasi sejak enam bulan lalu dan memperoleh keuntungan dengan mengenakan bayaran tinggi yang dibayar menerusi dalam talian.