Ahli perniagaan, Albert Tei memfailkan saman sivil terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Azam Baki serta kerajaan, susulan dakwaan beliau dipaksa memakai baju lokap berwarna jingga ketika masih dalam siasatan.
Tei memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam. Peguamnya, N Surendran, mempersoalkan asas undang-undang yang mewajibkan seseorang yang sekadar disiasat dipakaikan pakaian lokap.
Beliau berkata, gambar Tei yang kemudiannya tersebar luas telah menimbulkan persepsi bahawa anak guamnya sudah bersalah, walaupun belum dibicarakan di mahkamah.
Menurut Surendran, Tei memohon deklarasi mahkamah bahawa tindakan berkenaan adalah tidak berperlembagaan, selain menuntut ganti rugi yang akan ditaksirkan oleh mahkamah.
"Walaupun ketika saya menjadi Ahli Parlimen lapan atau sembilan tahun lalu, saya sudah membangkitkan isu ini - seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah.
"Di bawah undang-undang mana menyatakan bahawa sesiapa yang ditangkap dan masih disiasat, termasuk orang awam, mesti dipaksa memakai baju lokap berwarna jingga?
"Gambar mereka dirakam dan disebarkan di internet, media dan televisyen. Apa akan berlaku jika akhirnya mahkamah membebaskan mereka?
"Adakah maruah yang tercalar itu boleh dipulihkan semula?" katanya sambil menegaskan tiada undang-undang di Malaysia yang membenarkan amalan sedemikian.
Kenyataan itu dibuat selepas prosiding sebutan kes rasuah membabitkan Tei, yang turut dikaitkan dengan bekas setiausaha politik Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Tei berkata, saman berkenaan bukan satu-satunya tindakan undang-undang yang akan diambilnya, selain mendakwa beliau dipaksa memakai kemeja-T jingga tertera perkataan "lock-up", digari dan dibawa ke beberapa lokasi.
"Dengan pakaian sama, saya dibawa ke beberapa tempat dan dilihat oleh ramai orang. Apakah niat SPRM? Tindakan ini jelas bertujuan menimbulkan prejudis terhadap saya di mata masyarakat," katanya.
Beliau turut mendakwa SPRM bertindak secara sengaja untuk memberi tekanan mental dan melemahkan semangatnya.
"Saya ingin menegaskan dan memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta Azam bahawa mereka telah memandang rendah kesungguhan, ketegasan dan keazaman saya dalam perjuangan ini.
"Saya tidak akan berputus asa," katanya sambil mendakwa dirinya adalah mangsa dan pemberi maklumat dalam beberapa skandal membabitkan tokoh berpengaruh.
Tei turut mempersoalkan mengapa individu berprofil tinggi seperti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, isterinya dan beberapa yang lain tidak dikenakan pakaian sama, sekali gus mendakwa wujud layanan tidak sama rata dalam penguatkuasaan.
Beliau mendakwa SPRM seolah-olah telah menjatuhkan hukuman sebelum keputusan mahkamah dan mencabar agensi itu menjelaskan asas undang-undang amalan berkenaan, termasuk mendedahkan statistik individu yang ditahan, dipakaikan baju lokap jingga dan kemudiannya dibebaskan oleh mahkamah.
Sebagai simbol perjuangannya, Tei membeli sendiri baju sama secara dalam talian dan mewujudkan platform media sosial yang memaparkan gambarnya mengenakan pakaian berkenaan, yang dinamakan Albert Tei Reformati.

EmoticonEmoticon