Khamis, 8 Januari 2026

AGC putuskan tiada tindakan lanjut terhadap 47 pertuduhan Zahid


Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkait dana Yayasan Akalbudi membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Jabatan itu dalam satu kenyataan, hari ini, berkata keputusan berkenaan sekali gus membawa kepada penamatan muktamad kes terbabit.


Menurutnya, ia selaras kuasa serta budi bicara Peguam Negara bawah Perlembagaan dan undang-undang berkaitan.


AGC menegaskan keputusan terbabit diambil berasaskan pertimbangan profesional dan undang-undang dengan mengambil kira kepentingan keadilan, integriti proses pendakwaan serta keperluan memastikan kepastian dan ketelusan sistem keadilan jenayah.


Kenyataan itu memaklumkan terdahulu AGC merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023 yang telah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan berkenaan.


"Berikutan keputusan DNAA itu, siasatan lanjut dan terperinci telah dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang merangkumi aspek berkaitan sumber dana, kaedah perolehan serta penggunaan dana berkenaan.


"Ia termasuk perkara-perkara dibangkitkan melalui enam representasi dikemukakan kepada jabatan ini selepas Ahmad Zahid dipanggil untuk membela diri.


"Selepas meneliti keseluruhan bahan serta keterangan baharu diperoleh hasil siasatan lanjut dan penelitian terbabit, AGC berdasarkan penilaian serta pertimbangan pendakwaan, mendapati keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong penerusan pendakwaan bagi semua pertuduhan berkenaan," katanya.


Menurut AGC, penelitian itu dilakukan dengan turut mempertimbangkan empat perkara, termasuk skop dan fokus siasatan pada peringkat awal yang berkaitan secara langsung dengan pertuduhan difailkan.


"Selain itu, pertimbangan dan penilaian dalaman pendakwaan yang telah direkodkan pada peringkat awal berhubung kesesuaian dan kecukupan keterangan bagi menyokong pendakwaan serta kebolehkekalan penerusan pendakwaan," katanya.


AGC berkata, pertimbangan itu turut mengambil kira langkah siasatan lanjut dan terperinci yang kemudian dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi melengkapkan dan memperhalusi gambaran keseluruhan fakta, konteks serta keterangan baharu kes.


"Selain itu, dapatan hasil siasatan lanjut terbabit yang merangkumi keseluruhan tempoh penubuhan serta operasi Yayasan Akalbudi, termasuk aliran dan sumbangan dana ke dalam yayasan berkenaan dari semasa ke semasa," katanya.


Disember lalu, AGC dilapor menegaskan keputusan memohon DNAA Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi, dibuat selaras peruntukan undang-undang.


Pada 4 September 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.


Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan, membuat keputusan berkenaan selepas pendakwaan memaklumkan bahawa AGC ingin memberhentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid.


Mahkamah Tinggi turut dilapor memaklumkan bahawa siasatan yang masih berjalan dan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja, menjadi asas keputusannya ketika itu untuk menolak permohonan Ahmad Zahid supaya dibebaskan sepenuhnya daripada 47 pertuduhan berkenaan.


Pada Jun 2024, media melaporkan Mahkamah Tinggi menolak permohonan Badan Peguam untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Peguam Negara memberhentikan prosiding kes dihadapi Ahmad Zahid membabitkan dana Yayasan Akalbudi.


Melalui permohonan pada 2 Disember 2023, Badan Peguam yang menamakan Peguam Negara serta Ahmad Zahid selaku responden, memohon perintah supaya keputusan Peguam Negara yang memohon agar Timbalan Perdana Menteri itu dilepas tanpa dibebaskan, dibatalkan.



EmoticonEmoticon