Khamis, 25 Jun 2026

Polis serbu majlis ulang tahun pertubuhan haram, tahan 19 orang

Polis serbu majlis ulang tahun pertubuhan haram, tahan 19 orang


Seramai 19 lelaki termasuk lima remaja diberkas polis selepas disyaki terbabit dalam aktiviti pertubuhan haram. Semua mereka ditahan dalam operasi bersepadu Op Cantas Bersepadu (Gengsterisme), 9 malam tadi.


Operasi dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) itu dijalankan di sebuah premis makanan di Jalan Masjid, Keningau yang dikenalpasti menjadi lokasi kumpulan itu berhimpun.


Difahamkan, semua ahli kumpulan itu berkumpul di lokasi serbuan bagi memperingati sambutan ulang tahun Kumpulan Kappa Rho Kappa atau Knight's Of The Right Kepper's (KRKK) yang diadakan pada 24 Jun setiap tahun.


Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, berdasarkan siasatan awal, kumpulan itu diwartakan sebagai pertubuhan haram oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 16 Disember 2015.


Katanya, semua individu ditahan disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966, manakala beberapa individu lain turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.


"Pemeriksaan fizikal mendapati lima individu yang mempunyai tanda tatu di tangan yang menandakan mereka ahli kumpulan KRKK.


"Selain itu, dua individu lagi didapati memiliki Kad Keahlian KRKK dan hanya empat suspek memiliki keterangan diri jenis MyKad, MyPR, MyKAS dan Pasport," katanya ketika dihubungi, semalam.


Menurutnya, 15 individu lain didapati tidak memiliki dokumen keterangan diri.


"Semua suspek mengaku tujuan mereka berkumpul adalah untuk memperingati sambutan ulang tahun pertubuhan berkenaan. Pihak polis turut merampas 15 telefon bimbit bagi membantu siasatan lanjut," katanya.

Guru didakwa dua pertuduhan amang seksual terhadap pelajar lelaki di bilik hotel

Guru didakwa dua pertuduhan amang seksual terhadap pelajar lelaki di bilik hotel


Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Rabu atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun, awal Jun lalu.


Tertuduh, Muhammad Izzuddin Mohmad Asari, 31, membuat pengakuan itu dan memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan berasingan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.


Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang juga guru kontrak didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang berusia 13 tahun 1 bulan, manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa yang sama.


Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu kira-kira jam 8 pagi pada 4 Jun lalu.


Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa di bawah Seksyen 14(d) akta yang sama.


Jika sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan, tertuduh boleh dihukum dengan hukuman pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat.


Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 oleh seorang penjamin dan menetapkan 23 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.


Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh dikehendaki melaporkan diri di Balai Polis Jertih, Besut pada setiap awal bulan.


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Nor Aishah Mohamad, manakala tertuduh diwakili peguam, Abdul Hayyi Salim.

‘Kalau bukan Zahid, siapa yang halang Onn Hafiz ke program Felda? - Akmal Saleh

‘Kalau bukan Zahid, siapa yang halang Onn Hafiz ke program Felda? - Akmal Saleh


Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pengarah Felda menjelaskan pihak yang mengeluarkan arahan pembatalan sambutan Hari Peneroka Felda Negeri Johor serta menghalang Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memasuki kawasan Felda.


Beliau berkata, persoalan itu timbul selepas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menafikan mengeluarkan arahan membatalkan program berkenaan mahupun menghalang Menteri Besar Johor daripada memasuki kawasan Felda.


Menurutnya, terdapat pihak yang sebelum ini menuding jari kepada Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berhubung kontroversi tersebut.


Bagaimanapun, katanya, Ahmad Zahid sendiri telah menjelaskan bahawa walaupun beliau merupakan menteri yang menyelia Felda, agensi itu masih berada di bawah Jabatan Perdana Menteri.


"Kalau bukan arahan daripada menteri penyelia iaitu Ahmad Zahid, mestilah arahan yang Felda dapat daripada orang atau pihak yang lebih atas daripada menteri penyelia, iaitu kemungkinan arahan daripada Jabatan Perdana Menteri ataupun arahan daripada Perdana Menteri sendiri.


"Ini soalan saya. Jadi, saya minta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Ketua Pengarah Felda untuk menjawab siapa yang tak bagi (sambutan diadakan) ini. Janganlah jadi bak kata pepatah, dah baling batu, lepas itu sorok tangan. Rakyat nak tahu," katanya dalam satu rakaman video yang dimuat naik di Facebook miliknya pada Rabu.


Sebelum ini, sambutan Hari Peneroka Felda Negeri Johor yang dijadualkan berlangsung pada 20 dan 21 Jun di Felda Ulu Belitong, Kluang, dibatalkan dan didakwa atas arahan pihak pengurusan Felda Kebangsaan.


Program itu kemudiannya dilaporkan diteruskan dalam skala lebih sederhana menerusi Majlis Penyerahan Hak Milik Peneroka Felda.


Onn Hafiz pada Selasa pula mendedahkan beliau dihalang daripada memasuki kawasan Felda bagi menghadiri majlis penyerahan geran hak milik kepada peneroka.


Keadaan itu menyebabkan majlis yang pada asalnya dijadualkan berlangsung di Felda Ulu Belitong, Kluang, pada 20 dan 21 Jun lalu terpaksa dipindahkan ke Dewan Dato Onn, Taman Sri Lambak, Kluang.


Terdahulu, Ahmad Zahid, seperti dilaporkan media berkata tiada sebarang arahan atau halangan untuk Onn Hafiz memasuki kawasan Felda.


Ahmad Zahid menjelaskan tindakan seperti yang didakwa Onn Hafiz itu juga tidak pernah diarahkan olehnya.


"Saya tidak pernah mengarahkan atau menghalang Menteri Besar Johor untuk masuk ke dalam kawasan Felda," katanya.

Rabu, 24 Jun 2026

Penuntut IPTS maut dibunuh di Bandar Sunway: Mangsa, suspek saling mengenali, ada hubungan istimewa - Polis

Penuntut IPTS maut dibunuh di Bandar Sunway: Mangsa, suspek saling mengenali, ada hubungan istimewa - Polis


Mangsa dan suspek kes pembunuhan seorang penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang ditemukan maut di sebuah kondominium di Bandar Sunway, Petaling Jaya pada Selasa dipercayai saling mengenali serta mempunyai hubungan istimewa.


Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal turut mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada isu peribadi melibatkan emosi, perasaan serta perbelanjaan harian.


"Setakat ini, kita percaya motif kejadian adalah disebabkan isu peribadi yang melibatkan emosi, perasaan serta perbelanjaan harian," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di Shah Alam hari ini.


Menurut beliau, fokus siasatan kini tertumpu kepada seorang lelaki warga asing yang ditahan di lokasi kejadian sejurus mayat mangsa ditemukan.


"Setakat ini, tiada petunjuk yang mengaitkan individu lain dengan kejadian tersebut. Bagaimanapun, pihak polis tidak menolak sebarang kemungkinan sehingga siasatan selesai sepenuhnya," katanya.


Beliau berkata, beberapa barang kes telah dirampas termasuk senjata yang digunakan dalam kejadian berkenaan.


"Pemeriksaan awal oleh pasukan forensik mendapati terdapat beberapa kecederaan pada tubuh mangsa," katanya.


Shazeli berkata, pihaknya sedang mendapatkan pengesahan lanjut daripada pihak institusi berkenaan termasuk tempoh pengajian, bidang pengajian dan hubungan antara kedua-dua individu tersebut.


"Setakat ini, kita telah merakam percakapan beberapa jiran dan saksi yang berada berhampiran lokasi kejadian bagi membantu siasatan," katanya.


Sebelum ini, media melaporkan polis menerima maklumat kejadian pada jam 11.03 pagi sebelum menemui mangsa berusia lingkungan 20-an dalam keadaan tidak bernyawa dengan kesan kecederaan pada tubuh.


Seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 20-an turut ditahan di lokasi sama bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ibu rayu kewarganegaraan 2 anak dibawa bapa ke Indonesia pada 2004

Ibu rayu kewarganegaraan 2 anak dibawa bapa ke Indonesia pada 2004


Seorang ibu merayu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mempertimbangkan semula permohonan kewarganegaraan dua anak lelakinya selepas permohonan daftar lewat kad pengenalan mereka ditolak, namun ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan hubungan ibu dan anak.


Peguam Panel Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), May Eva Sofea Zainal Abidin dan Muhammad Falaq Adnan, hadir ke ibu pejabat JPN Putrajaya, hari ini, bagi mengemukakan rayuan serta mendapatkan penjelasan berhubung penolakan permohonan terdahulu.


May Eva berkata, berdasarkan maklum balas diterima daripada JPN, permohonan sebelum ini ditolak berikutan terdapat percanggahan maklumat dalam dokumen dimiliki dua beradik terbabit termasuk perbezaan ejaan nama, tarikh lahir dan tempat kelahiran antara sijil kelahiran Malaysia dengan pasport Indonesia.


Katanya, dua beradik itu dilahirkan di Malaysia, masing-masing pada 1999 di Kelantan dan 2003 di Sungai Buloh, sebelum didakwa dibawa keluar ke Indonesia oleh bapa kandung mereka pada 2004 tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah.


"Ketika itu anak sulung berusia lima tahun manakala adiknya baru berusia setahun. Mereka ditinggalkan bersama datuk dan nenek di Indonesia tanpa dokumen asal dari Malaysia.


"Susulan itu, mereka didaftarkan dalam kartu keluarga di Indonesia yang kemudiannya menjadi asas kepada pengeluaran pasport negara itu.


"Bagaimanapun, maklumat dalam pasport Indonesia berbeza dengan sijil kelahiran Malaysia termasuk ejaan nama, tarikh lahir dan tempat lahir yang direkodkan sebagai Indonesia," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.



Beliau berkata, dua beradik itu hanya kembali ke Malaysia pada 2023 dan kini masih menggunakan pasport Indonesia kerana belum memperoleh dokumen pengenalan Malaysia.


Katanya, pihak JPN mencadangkan untuk maklumat dalam pasport Indonesia diselaraskan terlebih dahulu sebelum permohonan dikemukakan semula.


Bagaimanapun, May Eva berkata, cadangan itu sukar dilaksanakan kerana anak guamnya dimaklumkan oleh Kedutaan Indonesia bahawa pembetulan terbabit perlu dilakukan di Indonesia.


"Kami berpandangan langkah itu tidak praktikal kerana memerlukan kos yang tinggi, sedangkan perkara ini boleh diselesaikan di sini, tambahan pula, ibu mereka kini berdepan masalah kewangan.


"Kami berharap kes ini dapat dipertimbangkan berdasarkan fakta-fakta istimewa kerana mereka dibawa keluar dari Malaysia ketika kecil tanpa sebarang dokumen yang sah, bukannya atas kehendak sendiri," katanya.


Katanya, MHO turut berharap aspek kemanusiaan diberi perhatian memandangkan kedua-dua beradik itu disahkan mempunyai hubungan darah dengan ibu mereka menerusi ujian DNA serta memiliki sijil kelahiran Malaysia.



"Kedua-duanya kini bekerja sebagai pencuci namun berpotensi memperoleh peluang pendidikan serta pekerjaan yang lebih baik sekiranya diberikan status kewarganegaraan," katanya.


Sementara itu, ibu, Siti Zubaidah, 50, berkata beliau merayu urusan dua anak lelakinya yang kini berusia 27 dan 23 tahun dipermudahkan serta dapat memperoleh pengiktirafan sebagai warganegara selepas melalui pelbagai kesulitan sejak dibawa keluar dari negara ketika masih kecil.


"Saya berharap JPN dapat memudahkan urusan anak-anak saya. Saya sudah tiada kemampuan untuk menghantar mereka pulang ke Indonesia bagi membetulkan maklumat pasport.


"Saya sudah berhenti kerja kerana syarikat mengurangkan pekerja. Sepanjang tiga tahun menguruskan pelbagai urusan berkaitan dokumen, saya sudah menghabiskan banyak wang.


"Saya benar-benar berharap JPN dapat mempertimbangkan rayuan ini dan tidak menyukarkan lagi urusan anak-anak saya," katanya.

Papagomo dihalang guna media sosial sebar kandungan palsu, fitnah terhadap MCMC

Papagomo dihalang guna media sosial sebar kandungan palsu, fitnah terhadap MCMC


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengeluarkan perintah injunksi interim ex-parte terhadap blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papagomo dalam satu tindakan sivil yang dimulakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).


MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan menerusi perintah itu, mahkamah menghalang Wan Muhammad Azri daripada menerbitkan sebarang pernyataan berunsur fitnah terhadap suruhanjaya tersebut serta menghentikan serta-merta penerbitan dan penyebaran kandungan memudaratkan dalam talian melalui media sosial.


Mahkamah turut menetapkan bahawa Wan Muhammad Azri tidak boleh menggunakan mana-mana platform media sosial untuk menyebarkan kandungan palsu, mengelirukan atau memudaratkan sama ada melalui akaun sedia ada atau akaun baharu.


"Perintah injunksi interim ini akan terus berkuat kuasa sehingga pendengaran inter-partes atau arahan lanjut oleh mahkamah," menurut kenyataan itu.


MCMC memaklumkan tindakan itu susulan Notis Tuntutan yang dikeluarkan kepada Wan Muhammad Azri pada 9 April berhubung penerbitan kandungan palsu yang menuduh suruhanjaya itu menyekat laporan berita sebuah portal berita.


Menurut kenyataan itu, Wan Muhammad Azri juga didapati berulang kali menggunakan akaun media sosial untuk menyebarkan kandungan yang memudaratkan dalam talian.


"Perintah injunksi interim dan tindakan sivil ini berdasarkan undang-undang sedia ada yang memberi fokus kepada kandungan dalam talian yang boleh menjejaskan kepentingan awam, menggugat keharmonian masyarakat serta menghakis keyakinan terhadap institusi awam," menurut kenyataan itu.


Pada 9 April, MCMC memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Wan Muhammad Azri susulan dakwaan suruhanjaya itu menyekat laporan mahkamahnya yang melibatkan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.


MCMC menegaskan dakwaan berkenaan adalah tidak benar dan tidak berasas.

Dua anggota polis parah diserang penagih dadah ganas di Kampung Sungai Jernih, Ijok

Dua anggota polis parah diserang penagih dadah ganas di Kampung Sungai Jernih, Ijok


Dua anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama cedera parah selepas diserang menggunakan pisau oleh seorang suspek dipercayai penagih dadah di Kampung Sungai Jernih, Ijok, Selama, Perak, tengah hari semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, seorang konstabel polis mengalami kecederaan serius di bahagian muka manakala seorang lagi anggota polis berpangkat sarjan cedera di kepala, lengan dan perut selepas diserang suspek yang bertindak agresif ketika cuba diberkas.


Sumber berkata, anggota polis sebelum itu menerima maklumat kehadiran seorang lelaki disyaki penagih dadah yang berada di sebuah pondok di kampung berkenaan.


Susulan itu, dua anggota polis terbabit diarahkan menjalankan pemantauan sebelum membuat tangkapan terhadap suspek berusia 30-an.


Bagaimanapun, sebaik anggota polis menghampiri pondok itu, suspek bertindak melarikan diri sejurus menyedari kehadiran polis.


Salah seorang mangsa berjaya menahan suspek namun berlaku pergelutan sebelum suspek dikatakan mengeluarkan sebilah pisau kecil dan menyerang anggota polis terbabit.


Akibat serangan itu, konstabel polis mengalami torehan panjang di bahagian muka dari dahi hingga ke pipi selain kecederaan pada lengan kanan.


Seorang lagi anggota polis berpangkat sarjan yang cuba membantu rakannya turut terkena serangan pisau sehingga mengalami kecederaan di bahagian kepala, lengan serta bahagian atas perut.


Selepas menyerang kedua-dua anggota polis terbabit, suspek melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran. Kedua-dua mangsa kemudiannya mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Selama.


Berikutan kejadian itu, polis melancarkan operasi mengesan suspek termasuk melaksanakan Op Tutup di semua laluan keluar masuk kawasan berkenaan. Setakat ini, difahamkan suspek masih diburu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Selasa, 23 Jun 2026

'ibu ayam' dipenjara 6 tahun kerana dagang remaja untuk eksploitasi seks

'ibu ayam' dipenjara 6 tahun kerana dagang remaja untuk eksploitasi seks


Seorang pelayan restoran dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen Tawau, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memperdagangkan seorang remaja perempuan untuk tujuan eksploitasi seksual.


Tertuduh Nur Aisyah Udin, 20, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.


Mengikut pertuduhan, wanita warga Indonesia yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri didakwa memperdagangkan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun 10 bulan dan 15 hari bagi maksud eksploitasi seksual.


Perbuatan itu didakwa di lakukan di dalam bilik sebuah inap desa di Jalan Masjid (Fajar) jam 5.30 petang, 2 Jun lalu.


Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif bersama Suhayl Aminin Sallehuddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Terdahulu, Nur Nisla dalam hujahnya berkata fakta bahawa wang tunai RM150 yang dirampas daripada mangsa yang baru selesai melayani pelanggan membuktikan wujud unsur eksploitasi seksual terhadap remaja terbabit.


Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan dalam satu serbuan menerusi Operasi Pintas (Pelacuran) sempena perayaan Pesta Keamatan di inap desa berkenaan sebelum menemukan mangsa seorang remaja perempuan yang disyaki terbabit dengan aktiviti tidak bermoral.


Hasil siasatan lanjut, remaja perempuan terbabit mendedahkan dia dijaga oleh tertuduh yang berperanan sebagai 'ibu ayam' yang mengawal serta menguruskan aktiviti pelacuran di premis terbabit.


Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap tertuduh selepas dia mengaku bersalah atas satu lagi pertuduhan memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah mengikut Seksyen 6(1)(c) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).


Hakim Ahmad Faizadh memerintahkan kedua-dua hukuman penjara itu berjalan secara berasingan selain mengarahkan tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut selepas selesai menjalani hukuman.

Dompet hilang didakwa mengandungi RM10,000: Penghantar barang dibebas dengan jaminan polis

Dompet hilang didakwa mengandungi RM10,000: Penghantar barang dibebas dengan jaminan polis


Seorang penghantar barang yang ditahan bagi membantu siasatan kes kecurian dompet di sebuah pasar raya di Semenyih yang tular di media sosial, dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini.


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata suspek dibebaskan dan polis sedang melengkapkan kertas siasatan.


"Suspek dibebaskan dengan jaminan polis bagi melengkapkan kertas siasatan. Perkembangan lanjut akan dimaklumkan," katanya ketika dalam kenyataan ringkas, hari ini.


Ditanya sama ada wang tunai RM10,000 yang didakwa hilang bersama dompet itu sudah ditemui, Naazron hanya berkata perkembangan lanjut mengenai perkara berkenaan akan dimaklumkan kemudian.


Sebelum ini, Naazron memaklumkan lelaki tempatan berusia 37 tahun yang bekerja sebagai penghantar barang itu ditahan pada jam 1 pagi, 18 Jun lalu bagi membantu siasatan kes kecurian dompet di sebuah pasar raya, di Semenyih.


Suspek pada mulanya direman empat hari sebelum tempoh remannya disambung sehingga hari ini bagi membantu siasatan lanjut.


Kes itu mendapat perhatian ramai selepas satu rakaman video berdurasi tujuh minit 11 saat tular di media sosial berkaitan kehilangan sebuah dompet di pasar raya berkenaan.


Dalam laporan awal, polis memaklumkan kejadian kecurian dompet itu dipercayai berlaku kira-kira jam 3 petang, 17 Jun lalu sebelum laporan polis dibuat pada jam 9.37 malam hari sama.


Polis memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Isnin, 22 Jun 2026

Wanita dakwa dimanipulasi bekas kekasih hingga salah guna mesin pin TNG dipenjara 2 tahun

Wanita dakwa dimanipulasi bekas kekasih hingga salah guna mesin pin TNG dipenjara 2 tahun


Bekas juruwang sebuah pasar raya yang mendakwa dirinya dimanipulasi bagi menampung gaya hidup bekas kekasih, dipenjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini selepas mengaku bersalah atas 14 pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram berjumlah RM568,200.


Hakim Norma Ismail menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan dihadapi Nur Atiqah Asyirah Muhamad Fauzi, 29, dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula hari ini.


Ketika rayuan bagi meringankan hukuman, peguam Arik Zakri Abdul Kadir yang mewakili Nur Atiqah berkata anak guamya telah dimanipulasi oleh bekas kekasihnya untuk menampung gaya hidup sehingga lelaki itu dapat memiliki kenderaan.


"Selama lapan tahun bekerja, tertuduh merupakan seorang pekerja yang berdedikasi, berdisiplin dan pernah menerima anugerah. Kejadian ini telah menjadi pengajaran kepada tertuduh dan dia telah insaf serta tidak akan mengulanginya lagi.


"Saya memohon anak guam dikenakan hukuman rendah atas alasan dia menjaga ibunya yang diserang angin ahmar selain telah memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan dan ini kesalahan pertamanya," kata peguam itu.


Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Batrisyia Mohd Khusri pula memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira tertuduh seorang juruwang kanan yang telah diberikan amanah terhadap mesin terminal tersebut dan tindakan tertuduh merugikan syarikat selain ia dilakukan secara terancang.


"Mengenai tertuduh merupakan pekerja yang berdedikasi, tertuduh telah menggunakan ilmu dan kemahiran untuk melakukan pecah amanah manakala 'romance scam' tidak boleh diambil kira dan ia bukan alasan untuk tertuduh melakukan kesalahan itu," katanya yang mengendalikan kes tersebut bersama TPR Megat Mahathir Megat Tharih Affendi dan Nurliyana R.Azmi.


Mengikut dua pertuduhan pecah amanah, Nur Atiqah yang diamanahkan dengan mesin terminal pin milik pasar raya berkenaan, menyalahgunakan mesin tersebut dengan mengeluarkan nilai pin Touch 'n Go eWallet berjumlah RM98,800 untuk ditebus nilai ke akaun Touch 'n Go eWallet milik tertuduh, antara 7 Jan 2023 hingga 9 Julai 2024.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 14 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.


Wanita itu juga didakwa atas 12 pertuduhan memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM469,400 ke Touch 'n Go eWallet milik tertuduh, adik-beradik dan rakan-rakannya secara menebus nilai pin Touch 'n Go antara Januari 2023 hingga Ogos 2024 di pasar raya sama di Kepong.


Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Akta Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.


Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh dikenakan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.


Mengikut fakta kes, perbuatan itu terbongkar selepas pengurus pasar raya itu mengesyaki Nur Atiqah telah mengambil sebuah mesin peranti terminal e-pay tanpa kebenaran.


Hasil semakan rekod e-pay kemudian mendapati tertuduh menggunakan mesin peranti terminal tersebut bagi tujuan tambah nilai Touch 'n Go eWallet sejak Ogos 2022 hingga Julai 2024 untuk kegunaan peribadi.