Khamis, 30 April 2026

Semua 14 ADUN BN Negeri Sembilan kekal bersama Kerajaan Perpaduan

Semua 14 ADUN BN Negeri Sembilan kekal bersama Kerajaan Perpaduan


Semua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan bersetuju untuk terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan di negeri berkenaan bagi memastikan kestabilan terus terpelihara, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Presiden UMNO itu berkata, keputusan itu dicapai hasil perbincangan dalam pertemuannya bersama semua wakil rakyat terbabit hari ini.


"Saya mengadakan perbincangan dengan semua 14 ADUN itu untuk melihat semula bahawa dengan tidak berhajat untuk kita 'retract' (langkah dibuat ADUN terbabit), tetapi kita mahu membetulkan persepsi bahawa mereka bukan berhasrat untuk menebuk atap atau membentuk kerajaan negeri melalui pintu belakang.


"Parti di peringkat nasional dan juga semua ADUN yang saya temui bersetuju supaya kita terus bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan supaya tidak berlaku sebarang penggugatan," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Perasmian dan Menyaksikan Majlis Pertukaran MoU Antara MyDigital ID Sdn Bhd dan Rakan Kerjasama Strategik di Putrajaya hari ini.


Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, langkah yang diambil semua 14 ADUN terbabit sebenarnya berniat baik bagi mempertahankan institusi raja dan adat di Negeri Sembilan, dihormati dan didukung semua rakyat.


"Kita tahu negara sedang menghadapi permasalahan ekonomi global dan kita harus bersatu hati untuk bersama-sama bukan hanya menangani, tetapi bersama untuk mendukung seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri.


"Ini bagi mewujudkan kestabilan politik demi untuk kita bersama-sama menghadapi yang disebut sebagai krisis global ini demi kepentingan rakyat keseluruhannya," katanya.


Ditanya sama ada langkah menarik sokongan terhadap Menteri Besar, namun masih menyokong Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan sebagai tindakan untuk menukar Menteri Besar, Ahmad Zahid berkata, sebarang permasalahan atau pertikaian harus didepani secara bersama.


"Barisan Nasional dan Pakatan Harapan (PH) mempunyai perjanjian yang kita panggil sebagai Perjanjian 18 perkara. Di antara perjanjian itu jika ada dispute (pertikaian) atau ada permasalahan yang harus kita sama-sama depani, maka kita kembali ke meja perbincangan untuk membincangkan apakah duduk perkara yang boleh sama-sama kita mencapai penyelesaiannya.


"Dan pada hemat saya, Perdana Menteri selaku Pengerusi PH sangat berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk kita sama-sama melihat jika ada perkara-perkara secara perinciannya boleh kita selesaikan cara bersama," katanya.

Pegawai tentera mabuk didakwa bunuh warga Bangladesh di mahkamah

Pegawai tentera mabuk didakwa bunuh warga Bangladesh di mahkamah


Seorang pegawai tentera dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini, atas tuduhan membunuh seorang lelaki Bangladesh dalam kemalangan maut di Lebuhraya Maju (MEX) pada 23 April lalu.


Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Kapten Jad Faid Arhan, 31, yang bertugas di bahagian artileri Kementerian Pertahanan, ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.


Beliau didakwa menyebabkan kematian Muzahid Millad, 22, seorang pencipta kandungan permainan video yang dikenali sebagai 'Advance Gaming' pada jam 5.30 pagi di Kilometer 1.9 MEX dari arah Salak Selatan menuju ke Jalan Tun Razak pada 23 April lalu dan sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan jika hukuman mati tidak dikenakan.


Jad Faid yang memakai kemeja-T berkolar merah dan seluar denim biru gelap, hanya berkata 'saya faham (pertuduhan)' dan kelihatan tenang di kandang tertuduh.


Beliau yang digari diminta majistret untuk menanggalkan pelitup muka sebelum prosiding bermula. Illi Marisqa tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 31 Julai sebagai tarikh sebutan kes itu.



Pendakwaan kes itu dilakukan Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Nordin Ismail dan Timbalan Pendakwa Raya, Iman Nurhidayah Ezani serta Izzat Amir Idham, manakala Jad Faid diwakili peguam Muhammad Nazreen Jaafar Abdullah.


Sementara itu, di hadapan Majistret Tengku Syazwany Yasmyn Tuan Roslan, Jad Faid mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memandu kereta Ford Fiesta dalam keadaan mabuk.


Perbuatannya itu menyebabkan dia gagal mengawal kenderaan lalu mencederakan penumpang e-hailing warga Bangladesh, Nafisa Tabassum Adiba, dan pemandu e-hailing, Jailani Sapih, 41, yang parah.


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) kerana memandu dengan paras alkohol melebihi had ditetapkan sehingga menyebabkan kecederaan kepada pemandu dan penumpang kenderaan e-hailing yang sabit kesalahan boleh dipenjara antara tujuh hingga 10 tahun serta denda antara RM30,000 hingga RM50,000.


Nordin memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan yang sama seperti kes sebelumnya, manakala Muhammad Nazreen pula memaklumkan pihak pembelaan tidak akan memohon jaminan memandangkan terdapat pertuduhan bunuh.


Tengku Syazwany Yasmyn tidak membenarkan jaminan dan memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.


Dalam kejadian pada 23 April lalu, kereta dipandu Jad Faid dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan e-hailing dinaiki Muzahid dan isterinya, Nafisa yang sedang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke pusat bandar.


Muzahid maut di tempat kejadian, manakala isterinya dan pemandu kenderaan e-hailing itu parah dan dirawat di hospital.


Polis memaklumkan ujian pernafasan terhadap suspek menunjukkan paras alkohol melebihi had dibenarkan.

Rabu, 29 April 2026

Kurung isteri, anak 7 Jam: Lelaki kena dua pertuduhan, diperintah jalani pemeriksaan mental

Kurung isteri, anak 7 Jam: Lelaki kena dua pertuduhan, diperintah jalani pemeriksaan mental


Lelaki yang mengamuk dan mengurung isteri dan anaknya selama tujuh jam minggu lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau atas dua pertuduhan termasuk ugutan bunuh, sebelum diperintah menjalani pemeriksaan mental di hospital.


Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh Salleh Abdul, 38, didakwa mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana secara salah mengurung isteri dan anak perempuannya, manakala pertuduhan kedua mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dengan kata-kata ancaman.


Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah pekerja ladang, kira-kira jam 7 malam pada 23 April lalu.


Bagaimanapun bapa kepada empat anak itu mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan pertama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Bagi pertuduhan kedua, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah dengan kata-kata "siapa masuk sini, saya kasi cincang mereka", namun mahkamah belum menjatuhkan hukuman.


Majistret Don Stiwin Malanjum kemudian menetapkan 26 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi pertuduhan pertama dengan jaminan RM2,500. Mahkamah turut mengarahkan tertuduh dihantar ke hospital bagi menjalani pemeriksaan mental.


Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Dalam kejadian 23 April lalu, tertuduh dilaporkan mengamuk sambil mengurung isterinya bersama tiga anak dalam rumah di kawasan ladang berkenaan sebelum mengugut untuk membunuh mereka.


Polis mengambil masa kira-kira tujuh jam untuk memujuk suspek yang dipercayai di bawah pengaruh dadah sebelum menyerbu dan menahannya menggunakan Taser Gun.

Suspek pukul isteri hamil hingga keguguran pernah berkahwin 9 kali, ada 11 anak

Suspek pukul isteri hamil hingga keguguran pernah berkahwin 9 kali, ada 11 anak


Suspek yang memukul isterinya yang hamil sehingga mangsa keguguran di Ambangan Heights, Sungai Petani, Khamis lalu, didapati pernah berkahwin sebanyak sembilan kali dan mempunyai 11 anak.


Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, kesemua perkahwinan suspek adalah membabitkan pasangan yang bekerja sebagai penjawat awam di beberapa negeri.


Beliau berkata, bagaimanapun siasatan awal mendapati suspek ketika ini hanya mempunyai tiga isteri, manakala enam wanita lain berstatus bekas isteri selepas mereka berpisah.


"Kejadian terbaru membabitkan suspek berusia 43 tahun itu berlaku Khamis lalu, dan laporan awal dibuat abang mangsa berusia 45 tahun yang mendapat tahu daripada pihak hospital bahawa adiknya dipukul suami.


"Pada 26 April lalu, mangsa sendiri membuat laporan dan mengadu sakit teramat sangat dan pemeriksaan doktor mendapati mangsa mengalami kecederaan parah iaitu patah tulang rusuk kiri dan kanan serta tulang belakang serta mengalami keguguran," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.


Adzli berkata, mangsa mendakwa dipukul berulang kali dengan besi, penyangkut baju, getah paip dan batang besi langsir serta batang penyapu.


"Suspek adalah individu sama terbabit dengan kes yang pukul isteri di Johor Baharu dan dia dijatuhi hukuman 10 tahun penjara, namun dia dalam proses rayuan dan masih dalam jaminan mahkamah sebanyak RM7,000.


"Sebaik sahaja suspek dikenal pasti, kita tubuhkan dua pasukan mengesannya iaitu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah sebelum dia berjaya ditahan di sebuah inap desa di bandar raya ini pada jam 4.45 petang semalam," katanya.


Adzli berkata, suspek dipercayai bersembunyi di inap desa terbabit dan polis turut merampas empat telefon bimbit dan sebuah kereta jenis Mercedes Benz.


Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati dia negatif dadah.


"Suspek mempunyai empat rekod jenayah membabitkan jenayah pukul dan ugutan yang dilakukan terhadap isteri dan teman wanitanya sebelum ini.


"Selain itu suspek turut terbabit dalam kes menyembunyikan kelahiran pada 2018 dan kes masih dalam bicarakan di Alor Setar," katanya.


Adzli berkata, siasatan awal ke atas suspek mendapati perkahwinannya yang terakhir adalah bersama mangsa di negara jiran.


Katanya, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 323 dan 326 Kanun Keseksaan.

Selasa, 28 April 2026

PM, Zahid bertemu di Putrajaya, bincang perkembangan Negeri Sembilan?

PM, Zahid bertemu di Putrajaya, bincang perkembangan Negeri Sembilan?


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini.


Difahamkan, pertemuan itu berlangsung sejurus mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikan Perdana Menteri.


Berdasarkan gambar dikongsikan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dengan keterangan 'sedang berlangsung', pertemuan itu turut disertai Menteri Pengangkutan yang juga Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Menteri Dalam Negeri merangkap Ketua Setiausaha Agung Pakatan Harapan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.


Pertemuan dipercayai berkaitan kemelut politik di Negeri Sembilan.


Terdahulu, Perdana Menteri dilaporkan berkata, beliau juga dijangka bertemu dengan Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO hari ini bagi membincangkan mengenai perkembangan di Negeri Sembilan.


Perkara itu turut disahkan Ahmad Zahid, namun enggan mendedahkan lokasi serta masa pertemuan itu diadakan.


Semalam, UMNO dan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan mengumumkan menarik sokongan terhadap Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat, Datuk Seri Aminuddin Harun.


Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias, dilaporkan berkata keputusan dibuat secara sebulat suara membabitkan semua 14 ADUN UMNO/BN Negeri Sembilan susulan krisis adat yang berlaku ketika ini.


Bagaimanapun, Aminuddin pada sidang medianya memaklumkan, beliau akan meneruskan tanggungjawab mentadbir negeri biarpun 14 ADUN BN menarik sokongan kepadanya.


Beliau berkata, sudah menyembah maklum mengenai kedudukan semasa ADUN yang menyokongnya kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.


Golongan mahasiswa bebas kritik kerajaan - PM Anwar

Golongan mahasiswa bebas kritik kerajaan - PM Anwar


Golongan mahasiswa bebas mengkritik kerajaan sama ada melalui saluran rasmi mahupun secara digital dalam memperjuangkan isu-isu mereka.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan saluran rasmi tersedia untuk membawa isu berkait mahasiswa terus kepada pihak berkuasa.


Katanya, perubahan landskap aktivisme daripada bentuk tradisional kepada ruang maya seperti media sosial, forum dan TikTok adalah selari dengan perkembangan semasa, namun tidak menjejaskan hak pelajar untuk bersuara.


"Ini tidak menghalang mana-mana pihak untuk berhimpun atau berkumpulan. Maksudnya, bukan sahaja dalam bentuk tradisional, tetapi juga secara dalam talian.


"Namun, tiada halangan dikenakan. Kalau ingin mengkritik boleh, dan isu-isu yang dibangkitkan, apabila ada keputusan, kita akan jawab," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan salah seorang penuntut Universiti UCSI pada Majlis Temu Anwar dan Peluncuran Pembinaan Bangunan Baharu Universiti UCSI hari ini.


Mengulas lanjut, Anwar berkata, golongan mahasiswa dan pelajar juga boleh menggunakan saluran sedia ada termasuk melalui surat rasmi atau pertemuan terus dengan pihak berkaitan bagi memastikan idea mereka dapat diterjemahkan dan dipertimbangkan.


Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata, meskipun Malaysia kini menjadi tumpuan dengan lebih 160,000 pelajar asing, namun kejayaan itu tidak harus diukur semata-mata dari segi angka sebaliknya pada kemampuan melahirkan insan berilmu dan berakhlak.


"Kehadiran pelajar asing di Malaysia merupakan tertinggi dalam kalangan negara ASEAN. Namun, tanggungjawab kita bukan sekadar menarik pelajar luar, tetapi memastikan universiti kita mempunyai mutu yang melayakkan mereka sebagai institusi pendidikan tinggi sebenar.


"Kita perlu berhati-hati supaya universiti tidak menjadi sekadar ‘kilang sijil’. Saya minta Kementerian Pendidikan Tinggi memantau dengan rapi," katanya.

Isnin, 27 April 2026

Tarik sokongan terhadap MB keputusan parti di peringkat negeri - Ahmad Zahid

Tarik sokongan terhadap MB keputusan parti di peringkat negeri - Ahmad Zahid


Tindakan UMNO Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun adalah keputusan parti itu di peringkat negeri.


Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) peringkat nasional akan meneliti keputusan penarikan sokongan dan implikasi politik yang dijangka akan berlaku susulan tindakan berkenaan.


"Kita melihat bahawa perkembangan yang berlaku di Negeri Sembilan adalah masalah di negeri berkenaan. Kita harus membezakan tentang sistem adat yang ada.


"Keputusan yang dibuat oleh (Ahli Dewan Undangan Negeri) ADUN-ADUN UMNO di Negeri Sembilan adalah keputusan mereka sendiri.


"Kepimpinan UMNO dan BN di peringkat nasional akan meneliti dan melihat apakah implikasi politik dijangka berlaku daripada keputusan yang mereka telah umumkan itu," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Wawancara Eksklusif Bersama Presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.


Terdahulu UMNO Negeri Sembilan menarik balik sokongannya terhadap Aminuddin susulan krisis yang membabitkan Institusi Adat dan Perlembagaan di negeri itu.


Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, keputusan itu dibuat sebulat suara oleh semua 14 ADUN kerana hilang kepercayaan kepada kepimpinan Aminuddin.


Mengulas lanjut, Ahmad Zahid mengakui, pihaknya mengetahui rancangan penarikan sokongan yang dibuat oleh UMNO Negeri Sembilan.


Menurutnya, sistem yang ada pada parti itu kebiasaannya menghormati keputusan dibuat oleh perhubungan UMNO negeri atau ADUN.


"Perkara ini akan dirujuk dan kita akan memutuskan apabila ia dibawa ke Biro Politik dan Majlis Tertinggi UMNO," katanya.


Pengerusi BN itu berkata, pihaknya juga terbuka untuk mengadakan pertemuan bersama UMNO Negeri Sembilan pada bila-bila masa.


"Saya mempunyai waktu yang sangat terbuka untuk mereka dan mereka boleh datang bertemu dengan saya bila-bila masa. Pada hari ini atau selepas ini," katanya.


Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau akan bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan mengenai perkara itu. Katanya, pertemuan itu juga boleh diadakan pada bila-bila masa.

Kes hantaran menghina Sultan Selangor, MCMC rekod keterangan lelaki bantu siasatan

Kes hantaran menghina Sultan Selangor, MCMC rekod keterangan lelaki bantu siasatan


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merekodkan keterangan seorang lelaki, hari ini bagi membantu siasatan berhubung kandungan jelik melampau berunsur Agama, Raja, dan Kaum (3R) terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.


MCMC dalam kenyataan berkata, pihaknya mengambil rakaman percakapan individu terbabit iaitu pentadbir akaun Facebook HuaYan The Pureland Learning Centre untuk membantu siasatan.


Katanya, pihaknya bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan siasatan kes berkenaan.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta 588 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


"Manakala PDRM menjalankan siasatan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM500,000 atau dipenjarakan bagi tempoh sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda tidak lebih RM500,000 atau dipenjarakan bagi tempoh sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan," katanya.


Kenyataan itu berkata, pihaknya memandang serius penyebaran kandungan jelik melampau terhadap Institusi Diraja kerana boleh menjejaskan keyakinan awam serta keharmonian dan ketenteraman masyarakat.


"Orang ramai diingatkan menggunakan media sosial secara beretika dan bertanggungjawab. Sebarang kandungan jelik, hasutan atau fitnah terutama membabitkan Institusi Diraja akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang," katanya.


Hari ini media melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap pemilik akaun Facebook susulan hantaran gambar yang mengandungi unsur penghinaan terhadap Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M Kumar dipetik berkata, hantaran yang dimuat naik pada 25 April lalu kini sedang dipantau rapat oleh pihak berkuasa.

Aminuddin diarah teraju Negeri Sembilan seperti biasa, DAP tolak kerajaan 'tebuk atap'

Aminuddin diarah teraju Negeri Sembilan seperti biasa, DAP tolak kerajaan 'tebuk atap'


Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan pentadbiran kerajaan negeri akan terus berjalan seperti biasa sepertimana titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir agar beliau meneruskan tugasnya.


Perkara itu dimaklumkan selepas 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) mengumumkan penarikan sokongan terhadap kerajaan negeri, sekali gus mencetuskan ketidaktentuan politik di negeri berkenaan.


Menurut Aminuddin, beliau telah menghadap dan mempersembahkan kedudukan terkini kepada Tuanku, yang kemudiannya menitahkan supaya pentadbiran negeri diteruskan sehingga terdapat kejelasan muktamad mengenai situasi tersebut.


"Selaras dengan peruntukan undang-undang tubuh kerajaan negeri, pentadbiran akan terus berfungsi seperti biasa bagi memastikan urusan kerajaan berjalan lancar dan kepentingan rakyat terus terpelihara," katanya dalam sidang media di kediaman rasmi beliau, hari ini.


Dalam masa sama, beliau mengakui terkejut dengan tindakan barisan ADUN UMNO dan Barisan Nasional itu kerana sebelum ini masih terdapat perbincangan termasuk berkaitan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).


Katanya, permintaan penangguhan sidang DUN sebelum ini juga datang daripada pihak BN sendiri dan telah dipersetujui bersama.


Mengulas kedudukan kerajaan, Aminuddin tidak menolak kemungkinan pentadbiran diteruskan sebagai kerajaan minoriti sekiranya sokongan majoriti tidak lagi diperoleh.


Sementara itu, DAP menegaskan pendirian mereka untuk menolak sebarang amalan ‘tebuk atap’ yang boleh menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri dan kekal komited bersama persetujuan politik terdahulu.


Ketua DAP Negeri, Anthony Loke Siew Fook berkata, kesemua 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari DAP termasuknya akan tetap memberikan sokongan penuh kepada Datuk Seri Aminuddin Harun meneruskan tugas sebagai Menteri Besar seperti yang dinasihatkan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, sebentar tadi.


"Pendirian kita jelas, kita telah mengadakan mesyuarat tergempar sebentar tadi dan semua ADUN DAP menyatakan sokongan berterusan dan penuh kepada Datuk Seri (Aminuddin) untuk terus memangku jawatan Menteri Besar.


"Bagi kita kedudukan beliau sebagai Menteri Besar kekal sehinggalah dibuktikan sebaliknya. Itu pendirian kita… yang paling penting kelangsungan kerajaan negeri mesti dipertahankan dan pentadbiran mesti dijalankan seperti biasa supaya kemajuan pembangunan dan juga segala perancangan dapat diteruskan.


"Kita tidak akan menyokong mana-mana usaha Kerajaan Tebuk Atap, no backdoor government. Kita tidak akan menyokong mana-mana pihak untuk menubuhkan kerajaan pintu belakang," katanya dalam sidang media bersama kepimpinan PH Negeri Sembilan di kediaman rasmi Menteri Besar, hari ini.


DAP berisiko tinggalkan PH, ikut Rafizi hadapi PRU16?

DAP berisiko tinggalkan PH, ikut Rafizi hadapi PRU16?


Pakatan Harapan (PH) tampak sedang berdepan ujian paling getir menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). Isunya bukan sekadar soal strategi, tetapi keutuhan dalaman dan kejelasan arah politik.


Analisis semasa menunjukkan jenama PH semakin pudar selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan. Kegagalan menghidupkan semula identiti asal gabungan itu membuka ruang kepada kekeliruan dalam kalangan penyokong akar umbi.


Dalam konteks ini, pergerakan aktif bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli pasca kekalahan jawatan parti menimbulkan persoalan besar: adakah beliau sekadar menyusun langkah peribadi atau sedang merintis platform baharu?


Dalam masa sama, ketiadaan gerak signifikan daripada pimpinan baharu parti menambahkan lagi persepsi bahawa PH kehilangan momentum. Persoalan lebih besar ialah implikasi terhadap rakan komponen khususnya DAP.


Jika wujud perubahan landskap politik melibatkan Rafizi, tidak mustahil DAP akan menilai semula kedudukannya dalam PH.


Sejarah politik Malaysia membuktikan parti tidak kekal dalam satu pakatan jika kepentingan strategik tidak lagi sehaluan.


Dalam masa sama, isu mafia korporat dan kemelut pekerja asing jika gagal ditangani serius oleh Perdana Menteri berisiko menghakis undi bukan Melayu dan pengundi atas pagar - teras penting PH sejak beberapa PRU.


Selain itu, spekulasi tarikh PRU16 yang dikaitkan dengan pertimbangan dasar tidak popular seperti rasionalisasi subsidi RON95 menambahkan tekanan kepada kerajaan.


Jika pilihan raya diadakan sebelum pelaksanaan dasar tersebut, ia mungkin memberi kelebihan jangka pendek, tetapi berisiko mencetuskan ketidakpercayaan selepas mandat diperoleh.


Justeru, PH perlu segera memperkukuh naratif, menyatukan kepimpinan dan mengembalikan keyakinan rakyat. Tanpa langkah drastik, tidak mustahil senario 'perpecahan dalaman' menjadi realiti.


Ketika itu, persoalan sama ada DAP akan kekal atau memilih haluan baharu bersama figura seperti Rafizi bukan lagi spekulasi, tetapi berpotensi menjadi realiti. - Sinar Harian.