Rabu, 28 Mei 2025

Puluhan ribu orang sanggup bersesak cari kerja

Puluhan ribu orang sanggup bersesak cari kerja


Berpuluh-puluh ribu orang sanggup berkumpul dan beratur pada awal pagi untuk mendapatkan pekerjaan di sebuah ekspo di Bekasi, wilayah Jawa Barat, lapor portal berita NTV News.


Ekspo Bekasi Pasti Kerja itu diadakan di Pusat Konvensyen Universiti Presiden dekat daerah Cikarang Utama, semalam.


Rakaman video dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @bekasi.terkini menunjukkan pekarangan universiti itu dibanjiri berpuluh-puluh ribu individu yang cuba menyerahkan resume mereka.


Mereka tetap sabar menunggu sehingga tidak mempedulikan kesihatan dan keadaan diri.


Kesesakan melampau itu juga menyebabkan sejumlah pencari kerja yang kebanyakannya wanita, rebah ke tanah.


"Sejumlah pencari kerja rebah dan kami segera membantu mereka bersama pasukan kecemasan," kata Ketua Sumber Manusia Polis Metro Bekasi, Pesuruhjaya Endang Longla.


Rakaman itu mencatatkan lebih 55,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi daripada netizen.


"Mereka yang di 'atas' sibuk kaut duit, yang di bawah sibuk cari duit," kata seorang netizen. 


"Zaman sekarang sudah canggih. Kenapa tak gunakan online?" kata pengguna media sosial lain.


Berpuluh ribu orang berkumpul untuk mendapatkan pekerjaan di sebuah expo di Bekasi. - Foto Instagram.

Selasa, 27 Mei 2025

Lelaki mengamuk ibu tidak beri wang beli iPhone idamannya

Lelaki mengamuk ibu tidak beri wang beli iPhone idamannya


Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan seorang lelaki di Makassar, wilayah Sulawesi Selatan mengamuk di warung milik ibunya kerana tidak diberikan wang untuk membeli telefon pintar iPhone, lapor laman berita TribunNews semalam.


Dalam video tersebut, lelaki tidak berbaju itu dilihat melempar barang dalam keadaan marah-marah sebelum dia mencapai sebatang kayu dan menghampiri ibunya.


Dia kemudian memukul benda-benda yang berada di sekelilingnya dengan batang kayu tersebut.


Kotak paparan kaca tempat makanan diletakkan tidak terlepas daripada hentakan lelaki itu.


Benda-benda seperti jag gelen, pinggan, meja, dan juga topi keledar dilihat bertaburan di atas lantai.


Seorang penduduk dengan pantas menghampirinya dan merampas kayu yang dipegang sebelum lelaki tersebut berlalu dari situ.


Selepas amukan berakhir, restoran itu dilihat berada dalam keadaan bersepah dengan barang-barangan berselerak di serata tempat.


Tidak dinyatakan keadaan lelaki tersebut dan ibunya selepas kejadian itu. - Sumber Tribun News.


Seorang lelaki marah kepada ibunya kerana tidak memberikan wang untuk dia membeli iPhone. - Foto Lambe Turah.

Ahad, 25 Mei 2025

Kereta terbabas dikejar penduduk kampung, dua askar curi lembu serah diri ke balai polis

Kereta terbabas dikejar penduduk kampung, dua askar curi lembu serah diri ke balai polis


Dua anggota tentera tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin selepas cubaan mencuri lembu berjaya dihidu penduduk kampung di Simpang Bekoh, di Jasin semalam.


Suspek yang masing-masing berusia 26 tahun itu hadir ke IPD kira-kira pukul 2.30 petang sebelum ditahan dan direman selama sehari bagi membantu siasatan.


Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, sebelum kejadian satu laporan turut dibuat pemilik ternakan terlibat di Balai Polis Simpang Bekoh pada pukul 3.25 pagi.


"Pengadu seorang lelaki berusia 41 tahun mendakwa dia telah menerima panggilan daripada rakannya mengatakan terdapat sebuah kenderaan jenis Proton Persona telah menceroboh kawasan kandang.


"Kawan pengadu juga memberitahu telah ternampak dua lelaki, salah seorang daripadanya sempat masuk ke dalam kandang lembu, manakala rakannya menunggu di dalam kereta," katanya kepada pemberita, hari ini.


Mengulas lanjut beliau berkata, penduduk kampung kemudian cuba mengejar suspek, namun anggota tersebut melarikan diri dengan menaiki kereta sebelum kenderaan dipandu terbabas melanggar penghadang sungai.


"Mereka terus meninggalkan kenderaan tersebut dan lolos. Bagaimanapun pada pukul 2.30 petang hari sama, suspek datang serah diri ke IPD dan salah seorang mengaku kenderaan yang ditinggalkan di lokasi adalah miliknya," ujarnya.


Katanya, suspek juga mengakui telah melakukan kegiatan itu sebelum ini dan berjaya mencuri seekor lembu di kawasan sama yang dipercayai untuk dijual sempena perayaan Aidiladha.


Ujarnya lagi, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Jasin esok bagi permohonan sambung reman bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 379 kerana mencuri.


Kereta milik suspek yang ditinggalkan ketika cuba mencuri lembu di Simpang Bekoh, Jasin, Melaka. - Foto Kosmo Online.

Sabtu, 24 Mei 2025

Lelaki parah ditetak bekas suami teman wanitanya akibat cemburu

Lelaki parah ditetak bekas suami teman wanitanya akibat cemburu


Angkara cemburu, seorang lelaki parah ditetak tiga individu termasuk bekas suami teman wanitanya di Pangsapuri Puchong Intan, Taman Puchong Intan, pagi tadi.


Mangsa yang berusia 47 tahun cedera di kepala dan badan dikejarkan ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang dan kini dilaporkan stabil.


Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintenden Mohd Fairus Jaafar memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 2.15 pagi daripada seorang wanita yang memaklumkan teman lelakinya diserang di kediaman mereka.


"Bekas suami wanita terbabit datang bersama dua rakannya ke lokasi sebelum memukul dan menetak mangsa menggunakan senjata tajam dipercayai pisau serta batang besi.


"Berdasarkan siasatan awal, kejadian itu dipercayai berpunca daripada masalah rumah tangga serta perasaan cemburu," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Menurut Mohd Fairus, ketiga-tiga suspek sudah dikenal pasti sebagai lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an hingga 40-an.


"Kita masih lagi memburu mereka," ujarnya lagi.


Kes itu katanya disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata.


Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.


Mohd Fairus memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 2.15 pagi Sabtu daripada seorang wanita yang memaklumkan teman lelakinya diserang di kediaman mereka. - Foto IPD Subang Jaya.

Jumaat, 23 Mei 2025

Wanita disiasat bela anjing terbiar untuk dimasak sebagai makanan

Wanita disiasat bela anjing terbiar untuk dimasak sebagai makanan


Seorang wanita warga China kini sedang disiasat selepas didakwa mengambil anjing terbiar dari beberapa rumah perlindungan untuk disembelih dan dijadikan hidangan makanan.


Menurut laporan South China Morning Post (SCMP) kegiatan tersebut terbongkar selepas wanita yang dikenali dengan nama samaran Zhixuan memuat naik beberapa hantaran dan video di media sosial yang menunjukkan dia sedang memasak haiwan berkenaan.


Difahamkan, wanita itu menghubungi kakitangan pusat perlindungan haiwan di wilayah Liaoning menerusi aplikasi pesanan, kononnya ingin mengambil anjing secara percuma untuk dijaga.


Zhixuan berjanji akan membela haiwan-haiwan itu dengan baik dan bersetuju untuk menerima lawatan susulan daripada pihak rumah perlindungan.


Namun, beliau sebaliknya didakwa menyembelih anjing-anjing tersebut dan menjadikannya sebagai hidangan, malah memuat naik video memasak daging anjing di media sosial.


Susulan itu, kakitangan pusat perlindungan menemui hantaran tersebut dan segera membuat laporan kepada pihak berkuasa.


Pengarah kumpulan penyelamat haiwan, Tan berkata, Zhixuan enggan memohon maaf walaupun telah ditegur secara peribadi.


Justeru, beliau menegaskan keperluan untuk menyaring latar belakang individu yang ingin memelihara haiwan liar atau terbiar bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.


Sementara itu, pihak Biro Penyeliaan Pasaran memaklumkan bahawa daging anjing yang dirampas dalam kes berkenaan sedang disiasat. - Sumber SCMP.


Seorang wanita warga China kini sedang disiasat setelah didakwa mengambil anjing terbiar daripada beberapa rumah perlindungan untuk dibunuh dan dijadikan hidangan makanan. - Foto AFP.

Khamis, 22 Mei 2025

Suami tergamak curang hamilkan ibu mentua sendiri

Suami tergamak curang hamilkan ibu mentua sendiri


Seorang lelaki di Soppeng, wilayah Sulawesi Selatan menjadi perhatian ramai kerana menjalin hubungan sulit dengan ibu mentuanya sendiri, lapor laman berita iNews pada 22 Mei 2025.


Menurut laporan, lelaki yang hanya dikenali sebagai BR itu sebelum ini tinggal bersama isterinya, AL, 21, dan ibu mentuanya, FR, 36.


Hubungan sulit mereka yang bermula sejak tahun lalu akhirnya meruntuhkan rumah tangga BR apabila ibu mentuanya didapati hamil.


Ketua Polis Soppeng, Asisten Komisioner Aditya Pradana berkata, proses rundingan sudah diadakan sesama mereka dan BR membuat keputusan untuk menceraikan AL.


"Pihak keluarga perempuan menerima kejadian itu sebagai musibah. Mereka memberi syarat agar BR menceraikan AL serta menikahi ibu mentuanya," kata Aditya.


Sementara itu, menurut Ketua Kampung Abbanuange, Buhari, proses perceraian BR dan AL telah diserahkan ke Mahkamah Agama Soppeng dan mereka dijadualkan hadir ke mahkamah pada 27 Mei ini.


"Betul, menantu itu hamili ibu mentuanya. Tetapi itu kes lama, dia sudah bersalin, dan kedua-dua pihak telah berdamai," kata Buhari.


Buhari turut mengesahkan bahawa keadaan sosial di kawasannya kondusif dan persetujuan telah dicapai antara kedua-dua keluarga, serta tiada unsur paksaan.


"Dia ceraikan isterinya dulu. Ada persetujuan antara dua keluarga. Masalah ini juga sudah aman," ujarnya. - Sumber iNews.


BR menjalin hubungan sulit dengan ibu mentuanya sendiri. - Gambar hiasan.

Rabu, 21 Mei 2025

Penduduk berang, kontraktor cakap hanya potong rumput, rupanya mendirikan menara 5G

Penduduk berang, kontraktor cakap hanya potong rumput, rupanya mendirikan menara 5G


Lebih 120 penduduk Taman Kajang Mulia, di Kajang mendesak agar menara telekomunikasi di padang permainan taman perumahan itu dipindahkan serta-merta kerana didakwa dibina tanpa permit dan persetujuan penduduk.


Wakil penduduk, Ling, 59, berkata, pembinaan struktur itu bermula Mac 2023 tanpa sebarang notis rasmi atau pelan pembangunan yang dikemukakan kepada penduduk.


"Pada awalnya, kontraktor mendakwa mereka hanya memotong rumput, kemudian menyatakan mahu memasang lampu. Jadi, kami tidaklah berasa curiga.


"Tetapi mereka kemudiannya mendirikan menara telekomunikasi 5G, tanpa persetujuan kami.


"Hanya pada September 2023 barulah mereka peroleh permit, itu pun selepas ia sudah dibina," katanya ketika ditemui hari ini.


Ling mendakwa, struktur itu dibina terlalu hampir dengan kawasan rumah dan padang permainan iaitu sekitar 30 meter, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap risiko keselamatan penduduk terutama warga emas dan kanak-kanak.


"Kami bawa isu ini kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, Cheong Kian Young dan beliau sudah tulis surat sokongan bertarikh 7 Mei lalu agar menara itu dipindahkan ke lokasi yang lebih sesuai.


"Bagaimanapun, sehingga kini, tiada maklum balas daripada pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).


"Baru-baru ini kontraktor pula datang untuk membuat sambungan bekalan elektrik ke menara itu. Kami halang secara aman sebab kami memang sentiasa berada di padang itu untuk bersenam. Tapi kami dimarahi, diherdik dan diminta supaya menunjuk kad pengenalan seperti pesalah," katanya.


Suri rumah itu mendakwa, tindakan pihak syarikat yang membina dahulu, kemudian memohon permit sudah membelakangkan undang-undang.


"Jika bina rumah tanpa permit pun diarahkan roboh, kenapa tidak menara sebesar ini? Kalau syarikat besar boleh buat sesuka hati, apa akan jadi kepada undang-undang negara ini?


"Kami bukan menentang pembangunan, tetapi biarlah telus dan ikut prosedur. Kalau mahu bina, beri notis, adakan perbincangan. Bukan tipu kami dan kemudian ugut guna saluran undang-undang apabila kami bersuara," katanya.


Katanya, penduduk menuntut agar permit menara tersebut ditarik balik dan struktur itu segera dirobohkan serta dipindahkan ke lokasi yang lebih sesuai demi keselamatan dan kesejahteraan komuniti setempat.


"Kami juga sudah tulis surat ke Pejabat Menteri Besar Selangor dan Menteri Komunikasi 20 Mei lalu untuk memohon menara berkenaan dipindahkan," katanya.


Penduduk Taman Kajang Mulia mendesak agar menara telekomunikasi dipindahkan kerana didakwa dibina tanpa permit dan tanpa persetujuan mereka. - Foto Harian Metro.

Selasa, 20 Mei 2025

Orang ramai gempar keranda bergerak sendiri di tanah perkuburan

Orang ramai gempar keranda bergerak sendiri di tanah perkuburan


Penduduk di Jember, wilayah Jawa Timur digemparkan dengan kejadian seram sebuah keranda yang terletak di tanah perkuburan bergerak sendiri secara tiba-tiba, lapor portal berita Tribunnews.


Kejadian berlaku di Tanah Perkuburan Dusun Krajan Desa dekat daerah Jenggawah baru-baru ini.


Rakaman dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @renkjenewa memaparkan keranda berwarna hijau itu bergerak sendiri pada waktu tengah malam.


Situasi bertambah seram apabila keranda itu terangkat dan jatuh beberapa kali, seolah-olah ada 'makhluk halus' sedang mengamuk. 


Seorang penduduk setempat dikenali sebagai Muhammad Rahman berkata, orang ramai ketakutan dan enggan menggunakan laluan di hadapan tanah perkuburan selepas menonton video tular itu.


"Warga setempat mulai resah kerana jalan di kawasan perkuburan agak gelap pada waktu malam," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Jenggawah, AKP Eko Basuki Teguh tampil menasihati orang ramai untuk tidak percaya dengan perkara yang karut marut.


Keranda itu terangkat dan jatuh beberapa kali di sebuah tanah perkuburan di Indonesia. - Foto TikTok.

Isnin, 19 Mei 2025

Penduduk jumpa seekor ular sawa gergasi sedang telan lembu

Penduduk jumpa seekor ular sawa gergasi sedang telan lembu


Seekor ular sawa gergasi sepanjang 6.5 meter (21.3 kaki) ditemui penduduk kampung sedang menelan seekor lembu dalam kejadian di Sidenreng Rappang, wilayah Sulawesi Selatan, lapor portal berita Detikcom hari ini.


Reptilia itu kemudian dibunuh penduduk Desa Betao Riase.


"Ya, seekor lembu milik penternak ditelan oleh ular sawa," kata Setiausaha Desa Betao Riase, Risno.


Kejadian itu terjadi pada Sabtu (17/5/2025). Ketika itu, seorang penduduk yang merupakan penternak lembu sedang dalam perjalanan ke kebunnya dan ternampak seekor ular sawa sedang menelan seekor lembu.


"Seorang penternak ternampak seekor ular sawa sedang menelan seekor lembu miliknya ketika dia berjalan menuju ke kebun," jelasnya.


Petani itu kemudian memanggil penduduk setempat untuk membantu mengeluarkan lembunya dengan cara membunuh ular tersebut.


Namun, lembu itu sudah mati ditelan ular tersebut. - Sumber Detik.com.


Seekor ular sawa sepanjang 6.5 meter berjaya ditangkap oleh penduduk yang sedang menelan seekor lembu. - Foto istimewa / detiksulsel.

Ahad, 18 Mei 2025

Polis tahan 4 individu sebar video palsu puntianak bertenggek di atas dahan pokok

Polis tahan 4 individu sebar video palsu puntianak bertenggek di atas dahan pokok


Empat individu ditahan kerana menyebarkan video palsu berhubung dakwaan penampakan puntianak di sebuah kampung di Sinjai, wilayah Sulawesi Selatan, sehingga mencetuskan keresahan orang ramai, lapor laman berita Tribunnews pada 11 Mei 2025.


Polis Sinjai Timur menahan Adil, 33, Rosandi, 36, Arman, 42 dan Harmin, 32, pada Ahad lalu.


"Kami sudah menyoal siasat kesemua mereka yang menyebarkan video palsu tersebut," kata Ketua Polis Sinjai Timur, Inspektor Muhsin.


Tambah Muhsin, kesemua individu terbabit mengaku mereka mengambil video dari laman sosial sebelum memuat naiknya semula dengan keterangan palsu yang menyebut bahawa kejadian berlaku di Kampung Lasiai.


"Video itu sebenarnya palsu. Namun, mereka menyebarkannya melalui laman Facebook dan menulis keterangan seolah-olah ia berlaku di Kampung Lasiai," jelasnya.


Tambah Muhsin, keempat-empat individu tersebut tidak ditangkap untuk didakwa, sebaliknya mereka diperintah membuat surat perjanjian serta meminta maaf secara terbuka.


"Mereka membuat surat perjanjian yang menyebut tidak akan mengulangi perbuatan tersebut. Jika mereka mengulanginya, barulah kita akan mendakwa mereka," katanya.


Minggu lalu, satu video tular memaparkan kelibat wanita berambut panjang bertenggek di atas dahan pokok yang didakwa puntianak.


Video itu meresahkan penduduk kampung sebelum polis tampil menjelaskan bahawa ia adalah palsu. - Sumber Tribun News.


Video tular memaparkan kelibat wanita berambut panjang bertenggek di atas dahan pokok yang didakwa puntianak. - Foto Istimewa/Suara Jelata.

Tangkapan skrin 4 pelaku yang menyebarkan video puntianak yang menggemparkan penduduk Daerah Sinjai Timur. Polis mengesahkan video tersebut adalah palsu. - Foto Tribun Timur.