Sabtu, 8 Mac 2025

Lelaki muat naik video di TikTok mengaku Imam Mahdi, jeneral empat bintang

Lelaki muat naik video di TikTok mengaku Imam Mahdi, jeneral empat bintang


Seorang lelaki berusia 60 tahun mengaku dirinya sebagai Imam Mahdi dan jeneral empat bintang, lapor laman berita Serambi News pada 7 Mac 2025.


Pengakuan kontroversi itu dibuat Abdul Rosid warga Desa Panyindangan, Kecamatan Pakenjeng, Kabupaten Garut, Jawa Barat di Indonesia hingga mencetuskan kekecohan dalam kalangan masyarakat setempat.


Ia disampaikan menerusi video yang dimuat naik di TikTok pada 26 Februari lalu.


Kepala Badan Kesatuan Bangsa dan Politik (Bakesbangpol) Garut, Nurrodhin mendakwa Abdul Rosid pernah mengarahkan para pengikutnya supaya solat menghadap ke arah timur, serupa dengan ajaran Sensen Komara, tokoh dari Negara Islam Indonesia (NII) beberapa tahun lalu.


"Setakat ini, pengikutnya adalah ahli keluarganya sendiri. Kami sedang menyiasat jumlah keseluruhan pengikutnya," ujarnya.


Menerusi pertemuan bersama pemerintah desa dan komuniti setempat, Abdul Rosid menyatakan dia tidak pernah memaksa sesiapa untuk menjadi pengikutnya.


"Jika ada masyarakat yang berminat, saya mengalu-alukannya," tambahnya.


Dalam video tular itu, Abdul Rosid juga menyampaikan doa perlindungan bagi berbagai pihak, termasuk masyarakat Indonesia dan para pemimpin negara.


Abdul Rosid juga menegaskan identitasnya sebagai Imam Mahdi dan menyampaikan doa bagi sejumlah tokoh nasional, termasuk Presiden Prabowo Subianto dan Wakil Presiden Gibran Rakabuming Raka, Kapolri, serta jajaran TNI.


"Tak lupa bagi orang yang mendengarkan kabar gembira dari saya sebagai Imam Mahdi, dan tentunya juga, semua Ulil Amri yang ada di pusat, pada khususnya Pak Prabowo sekeluarga, juga wakilnya Bapak Gibran, sama ada dalam perlindungan Tuhan," ucapnya.


Dalam video yang dirakam di dalam ruangan itu terlihat 12 orang dewasa dan sejumlah anak-anak yang ikut serta mendengarkan Abdul Rosid berbicara.


Sebagai mengakhiri kenyataannya, Abdul Rosid turut menggelarkan dirinya sebagai Jeneral Tentera Udara 4 Bintang dan menjemput pengikutnya di dalam dan di media sosial untuk berdoa bersama-sama agar semua orang mendapat perlindungan. - Sumber Serambi News.


Pengikut Abdul Rosid terdiri daripada ahli keluarganya sendiri. - Foto TikTok.

Jumaat, 7 Mac 2025

Emas bernilai lebih RM12 bilion ditemui di Sungai Indus

Emas bernilai lebih RM12 bilion ditemui di Sungai Indus


Pakistan menemui rizab emas yang besar di Sungai Indus, dianggarkan bernilai sekitar 800 billion rupee (RM12.72 bilion), lapor laman berita India Times pada 6 Mac 2025.


Penemuan dibuat semasa tinjauan yang dilakukan di daerah Attock dalam wilayah Punjab, demikian menurut laporan media sekali gus memberikan talian hayat ekonomi kepada Pakistan yang kekurangan wang.


Ekonomi Pakistan menghadapi cabaran yang ketara seperti inflasi yang tinggi, rizab asing yang berkurangan dan mata wang yang semakin lemah.


Penemuan emas ini datang pada masa yang tepat. Rizab emas Pakistan pada masa ini hanya berjumlah AS$5.43 bilion, salah satu yang terendah di Asia Selatan, seperti yang dilaporkan oleh The Express Tribune.


Perlombongan emas yang baru ditemui ini boleh mengurangkan pergantungan Pakistan kepada import emas, yang akan menjadi langkah penting ke arah menstabilkan kewangan negara.


Simpanan emas itu ditemui oleh Perkhidmatan Kejuruteraan Nasional Pakistan (NESPAK) dan Jabatan Galian dan Galian, Punjab.


Pengarah Urusan NESPAK, Zargham Eshaq Khan mengesahkan bahawa perunding kerajaan telah menandatangani perjanjian untuk penerokaan 9 kawasan emas di sepanjang Sungai Indus bagi membuka laluan kepada perlombongan emas komersial.


Wilayah Lembah Indus yang secara sejarahnya kaya dengan sumber alam semula jadi, telah lama dikaitkan dengan emas dan logam berharga lain.


Kawasan itu menyaksikan kemasukan kontraktor perlombongan tempatan berhubung spekulasi deposit emas di sana, memaksa kerajaan wilayah Punjab campur tangan dan menafikan kebenaran untuk pengekstrakan tanpa permit. - Sumber Times Of India.

Dihasut teman lelaki, gadis letak racun dalam makanan berbuka puasa bapanya

Dihasut teman lelaki, gadis letak racun dalam makanan berbuka puasa bapanya


Seorang remaja perempuan tergamak cuba meracun bapanya sendiri pada ketibaan Ramadan.


Pelaku dikenali sebagai GN, 17, cuba mencampurkan racun di dalam juadah berbuka puasa bapanya JR, 40.


Cubaan itu bagaimanapun tidak berjaya selepas disedari bapanya yang berasa curiga dengan hidangan tersebut ketika kejadian di Bone, Sulawesi Selatan, Indonesia pada Sabtu lalu (1/3/2025).


"Ibu bapa pelaku curiga, kerana juadah berbuka puasa yang dihidangkan pelaku berbau racun," kata Kasi Humas Polres Bone, Inspektor Rayendra.


Untuk mengesahkan, JR kemudian pergi ke gudang penyimpanan racunnya. Ternyata setelah diperiksa racun yang disimpan di gudang sebelum ini sudah tiada.


"Ternyata pelaku telah mencurahkannya ke dalam juadah berbuka dengan niat untuk membunuh bapanya.


"JR bertindak segera membuang makanan tersebut. Dia turut melaporkan kejadian tersebut, namun enggan meneruskan pendakwaan kerana anaknya masih di bawah umur.


"Racun yang digunakan anaknya adalah jenis sidamethrin (racun rumput atau racun perosak)," jelas Rayendra.


Menurutnya lagi, pelaku mengakui perbuatannya dan mendedahkan telah disuruh teman lelakinya berbuat demikian.


"Dia sempat disoal siasat dan dikembalikan semula kepada keluarganya yang mahu menolak laporan itu. Motif sebenar dia berbuat demikian masih tidak jelas," ujarnya lagi. - Sumber Liputan 6.


Inspektor Rayendra ketika ditemui, Rabu (5/3/2025), di Mapolres Bone, Jl Yos Sudarso, Watampone, Kabupaten Bone, Sulawesi Selatan. - Foto Tribun Timur.

Khamis, 6 Mac 2025

Pencuri telan barang kemas bernilai lebih RM3 juta

Pencuri telan barang kemas bernilai lebih RM3 juta


Seorang lelaki di negeri Florida ditangkap selepas menyamar sebagai wakil kepada seorang pemain bola keranjang terkenal dan menelan barang kemas bernilai ratusan ribu dolar, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) pada 5 Mac 2025.


Jaythan Gilder, 32, didakwa mencuri beberapa barang kemas yang ditunjukkan oleh pekerja butik Tiffany & Co selepas memberitahu mereka bahawa dia 'mewakili' seorang atlet profesional.


Polis berkata, suspek ditahan selepas cuba melarikan diri bersama dua pasang anting-anting bernilai AS$769,500 (RM3.4 juta) dan cincin berlian.


"Semasa soal siasat, Glider berkata barang kemas yang dicurinya tercicir ketika dia melarikan diri. 


"Namun, ujian X-ray mendedahkan beberapa objek asing di dalam perut suspek. Objek itu adalah barang kemas yang dicuri," kata polis. 


Gilder didakwa atas kesalahan rompakan dan akan dihadapkan ke mahkamah untuk perbicaraan tidak lama lagi. - Sumber BBC News.


Imbasan X-ray mendedahkan barang kemas yang dicuri dalam perut suspek. - Foto Jabatan polis Orlando.

Rabu, 5 Mac 2025

Lori bawa 46 motosikal hangus terbakar ketika sedang bergerak

Lori bawa 46 motosikal hangus terbakar ketika sedang bergerak


Satu klip video tular di media sosial memaparkan sebuah lori yang membawa 46 motosikal terbakar secara tiba-tiba di sebatang jalan di Indonesia, lapor portal berita NTB Satu semalam.


Rakaman itu dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @maymunahtj. Ia memaparkan lori tersebut hangus dijilat api ketika sedang bergerak seperti dalam adegan filem Ghost Rider.


Orang ramai mula panik dan menjauhkan diri ketika menyaksikan motosikal-motosikal itu terbakar sambil mengeluarkan asap tebal ke udara.


Pemandu lori bahkan sanggup mempertaruhkan nyawanya untuk menjauhkan kenderaan itu dari kawasan penduduk.


Seorang saksi berkata, kebakaran dipercayai berpunca daripada bahagian enjin salah sebuah motosikal yang diangkut.


Menurut Kompas.com, lori itu terbakar ketika melintas di Kecamatan Torgamba, Kabupaten Labuhanbatu Selatan, Sumatera Utara hujung minggu lalu (2/3/2025) sekitar pukul 12.30 tengah malam (waktu tempatan).


Rakaman itu mencatatkan lebih 189,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.


"Pemandu lori sanggup fikir tentang keselamatan orang lain dari dirinya sendiri," kata seorang netizen.


Tangkap layar menunjukkan lori membawa motosikal itu dijilat api di Indonesia. - Foto TikTok.

Selasa, 4 Mac 2025

Isteri didakwa belasah suami guna penyapu, pisau berhadapan hukuman penjara 10 tahun

Isteri didakwa belasah suami guna penyapu, pisau berhadapan hukuman penjara 10 tahun


Seorang pendandan rambut yang patah kaki kanan didakwa di Mahkamah Sesyen, Seremban hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap suaminya menggunakan batang penyapu, alat pemberat (dumbbell) dan sebilah pisau pada hujung Februari lalu.


Tertuduh, Sharifah Nurul Ainasama Syed Omar, 40, yang hadir ke mahkamah dalam keadaan bertongkat bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Danial Zafri Zairi, 31, yang merupakan suaminya dengan menggunakan batang penyapu, alat pemberat dan sebilah pisau.


Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 5 pagi di Taman Iringan Bayu, Seremban pada 26 Februari lalu.


Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, Sharifah Nurul Ainasama boleh dipenjara hingga 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua kali tempoh maksimum atau denda atau sebat.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh, namun jika mahkamah membenarkannya, pihaknya memohon jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan.


Norazihah berkata, suami tertuduh mengalami kecederaan lecetan kerana tertuduh menggunakan pisau, selain terdapat beberapa kesan lebam di belakang badan akibat dipukul dengan penyapu dan kesan gigitan serta kecederaan tisu lembut.


Sementara itu, Sharifah Nurul Ainasama yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah dia menggunakan tongkat kerana kakinya patah selepas bergaduh dan dipukul suaminya terlebih dulu.


Dalam rayuannya, wanita itu memohon jaminan rendah kerana mempunyai dua anak hasil perkahwinan terdahulu, namun belum menimang cahaya mata hasil perkahwinan dengan mangsa.


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan melapor diri di balai polis terdekat.


Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam pada 14 April depan.


Nurul Ainasama didakwa memukul suaminya di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini. - Foto Kosmo Online.

Isnin, 3 Mac 2025

Pengantin buat majlis pada bulan puasa, tiada hidangan makanan disediakan

Pengantin buat majlis pada bulan puasa, tiada hidangan makanan disediakan


Sepasang pengantin baharu di Banjarnegara, wilayah Jawa Tengah menjadi perhatian pengguna media sosial apabila melangsungkan perkahwinan pada hari pertama bulan Ramadan, lapor portal berita Wolipop pada 3 Mac 2025.


Menurut jurusolek pengantin, Desta Prayoga, majlis tersebut tetap diadakan meskipun pada bulan puasa bagi mengikut kiraan weton kalendar Jawa.


"Akad nikah dan majlis pada 1 Mac 2025.


"Sebenarnya, dari awal lagi sudah dijangkakan puasa bermula pada 1 Mac. Namun, disebabkan kiraan hari baik (weton Jawa), majlis tetap diadakan," katanya.


Tambah Desta, keluarga pengantin dan tetamu yang hadir tetap berpuasa ketika majlis berlangsung dan tiada hidangan makanan disediakan.


"Alhamdulillah, ramai tetamu datang. Tuan rumah memberikan bungkusan makanan kepada tetamu untuk dibawa pulang," katanya.


Video mengenainya yang dimuat naik di platform TikTok menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada pengguna media sosial.


"Setahu saya, mengikut adat Jawa, tidak boleh mengadakan kenduri kahwin ketika bulan puasa," kata seorang netizen.


"Kenapa tidak langsungkan akad nikah sahaja dulu? Kemudian, buatlah majlis selepas raya," kata pengguna media sosial lain. - Sumber Wolipop.


Pasangan pengantin melangsungkan perkahwinan pada 1 Ramadan. - Foto TikTok @prayoga_makeup.

Ahad, 2 Mac 2025

Pasar raya rugi lebih RM6,000 selepas wanita 'lepas hajat' demi content

Pasar raya rugi lebih RM6,000 selepas wanita 'lepas hajat' demi content


Sebuah pasar raya mengalami kerugian sebanyak A$1,500 (RM6,693) selepas seorang wanita membuang air kecil di atas produk makanan, lapor akhbar New York Post pada 25 Februari 2025.


Kelli Tedford, 23, dari New Hampshire, Amerika Syarikat didakwa berkelakuan jijik semata-mata demi content atau kandungan untuk meraih populariti.


Jurucakap pasar raya Monadnock Food berkata, berdasarkan kamera litar tertutup (CCTV), Tedford didapati sengaja merakam dirinya membuang air kecil di atas makanan organik seperti quinoa, kacang walnut dan hirisan buah kelapa yang dipamerkan untuk jualan.


"Akibat tindakan itu, pihak pasar raya terpaksa menarik semua produk yang tercemar dari rak jualan, menyebabkan kami mengalami kerugian besar selain perlu menanggung kos pembersihan menyeluruh.


"Selepas mendapat laporan mengenai insiden itu, saya segera menghubungi pelanggan yang membeli makanan di bahagian tersebut serta memastikan tiada produk segar seperti sayur-sayuran, buah-buahan, daging dan makanan sejuk beku terjejas," katanya.


Tambahnya, pihak pasar raya telah mengambil tindakan segera termasuk bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Keene dan pihak polis bagi memastikan keselamatan kawasan jualan mereka terjamin.


Rentetan peristiwa itu, Tedford telah ditahan oleh pihak berkuasa dan sedang berdepan tindakan undang-undang atas kesalahan mencemarkan bahan makanan dan mengganggu ketenteraman awam.


Siasatan lanjut mendapati ini bukan kali pertama Tedford melakukan perbuatan menjijikkan tersebut malah wanita itu pernah tular di media sosial selepas dirakam membuang air kecil di tempat awam pada 2021. - Sumber New York Post.


Sebuah pasar raya mengalami kerugian A$1,500 selepas Kelli Tedford (gambar kanan) membuang air kecil di atas produk makanan. - Foto Site News.

Sabtu, 1 Mac 2025

Kanak-kanak lelaki empat tahun parah diserang sekumpulan anjing liar

Kanak-kanak lelaki empat tahun parah diserang sekumpulan anjing liar


Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun cedera parah selepas diserang sekumpulan anjing liar di Kampung Dedek dekat Langkawi, hari ini.


Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, Ahmad Raihan Abdul Mukmin mengalami kecederaan di kepala, badan dan kaki akibat digigit haiwan itu sebelum diselamatkan orang ramai yang berada berdekatan.


Ibu mangsa, Nur Solehah Mat Hahir, 25, berkata, kejadian berlaku ketika Ahmad Raihan sedang bermain berhampiran rumah.


"Sejurus kejadian itu anak saya dibantu orang ramai dan dihantar ke Hospital Sultanah Maliha (HSM) menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk menerima rawatan.


"Ketika kejadian saya tiada di rumah dan hanya mendapat makluman mengenai kejadian anak saya digigit anjing selepas diberitahu oleh seorang jiran, disusuli panggilan telefon oleh ibu saya.


"Buat masa ini anak saya sedang dirawat di HSM. Luka di kepala agak teruk, selain beberapa kesan gigitan anjing di badan dan kaki," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Nur Solehah berkata, laporan polis berkaitan kejadian itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi pada jam 12.30 tengah hari tadi.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari mengesahkan menerima dua laporan berhubung kejadian kanak-kanak lelaki diserang anjing sehingga cedera parah.


"Mangsa adalah kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dan pihak HSM serta ibu mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian itu, hari ini.


"Ketika kejadian, mangsa dilaporkan dikelilingi dan diserang sekumpulan anjing berhampiran rumahnya," katanya dalam kenyataan, petang tadi.


Mangsa diserang sekumpulan anjing berhampiran rumahnya di Kampung Dedek, Langkawi. - Foto Sinar Harian.

Jumaat, 28 Februari 2025

Pesara tentera maut dilanggar pacuan empat roda elak anjing melintas jalan

Pesara tentera maut dilanggar pacuan empat roda elak anjing melintas jalan


Seorang lelaki warga emas yang juga pesara tentera maut selepas bertarung nyawa hampir tiga jam ketika mendapatkan rawatan setelah terlibat dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan, semalam.


Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kejadian pukul 10.28 pagi di Kilometer 86, Jalan Kota Tinggi-Kluang itu melibatkan Hassenol Ahmad, 64, yang menunggang motosikal Suzuki Shogun 125 dan sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dipandu lelaki berusia 28 tahun.


Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika warga emas itu dalam perjalanan dari arah Kota Tinggi ke bandar Kluang, manakala Toyota Hilux dari arah bertentangan.


"Sebaik tiba di lokasi kejadian, seekor anjing dikatakan melintas jalan secara tiba-tiba menyebabkan pemandu hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan ketika cuba mengelak binatang itu.


"Akibat daripada itu, Toyota Hilux melanggar motosikal ditunggang mangsa sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan serta dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang untuk rawatan," katanya melalui kenyataan hari ini.


Menurut Bahrin lagi, kira-kira pukul 1.30 tengah hari iaitu hari yang sama, anak mangsa hadir ke kaunter aduan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dan melaporkan bapanya telah meninggal dunia semasa dirawat di HEBHK.


Sementara pemandu Toyota Hilux yang berusia 28 tahun dan beralamat di Simpang Renggam katanya, sakit di bahagian dada dan mendapat rawatan di klinik swasta.


"Pemandu tersebut telah ditangkap untuk siasatan lanjut. Hasil pemeriksaan ujian air kencing mendapatiya negatif dadah. Pemandu tersebut akan dipohon tahanan reman di mahkamah untuk siasatan lanjut," ujarnya.


Keadaan motosikal ditunggang Hassenol Ahmad selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 86, Jalan Kota Tinggi - Kluang pada pagi Khamis. - Foto Kosmo Online.