Isnin, 27 Julai 2026

Helah 'tumpang tandas' terbongkar, janda dan suami orang kantoi berkhalwat

Helah 'tumpang tandas' terbongkar, janda dan suami orang kantoi berkhalwat

(Foto dijana AI)

Seorang janda muda memberi alasan hanya menumpang menggunakan tandas ketika ditangkap berkhalwat bersama seorang lelaki berstatus suami orang di sebuah hotel di Batu Pahat, malam tadi.


Lelaki berkenaan pula merayu kepada penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) supaya dilepaskan kerana bimbang perbuatannya diketahui isteri dan anak-anak yang masih bersekolah.


Menurut kenyataan JAINJ, pasangan berkenaan ditahan dalam operasi pemeriksaan berkala dan rambang di bilik hotel sekitar negeri Johor yang dijalankan kira-kira jam 11.40 malam.


JAINJ memaklumkan, ketika pemeriksaan dijalankan di sebuah bilik hotel, penguat kuasa mengetuk pintu sebelum ia dibuka kira-kira lima minit kemudian oleh seorang lelaki yang hanya memakai baju-T dan berseluar dalam.


"Lelaki tersebut cuba menutup semula pintu apabila mengetahui kehadiran penguat kuasa. Namun, tindakan pantas anggota berjaya menghalang pintu daripada dikunci semula sebelum pemeriksaan diteruskan.


"Penguat kuasa kemudian memasuki bilik selepas menunjukkan kad kuasa dan memperkenalkan diri. Keadaan bilik ketika itu gelap dan pemeriksaan awal tidak menemukan individu lain," menurut kenyataan itu.


Menurut JAINJ, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat pakaian wanita termasuk pakaian dalam wanita di atas kerusi, selain mendapati pintu tandas dalam bilik berkenaan tertutup.


"Penguat kuasa mengetuk pintu tandas dan ia dibuka kira-kira tiga minit kemudian, namun individu di dalamnya tidak terus keluar.


"Penguat kuasa wanita kemudian masuk ke dalam tandas dan menemui seorang wanita yang hanya memakai seluar dalam tanpa pakaian lain," katanya.


JAINJ berkata, wanita terbabit kemudian diarahkan memakai pakaian lengkap sebelum dibawa keluar bagi membantu siasatan.


"Hasil soal siasat mendapati kedua-dua individu berkenaan bukan pasangan suami isteri yang sah. Lelaki terbabit berstatus suami orang berusia lingkungan 30-an, manakala wanita itu berstatus janda berusia hujung 20-an," katanya.


Menurut kenyataan itu, kedua-duanya bekerja di Batu Pahat dan dipercayai sudah berkenalan lebih setahun.


"Pasangan berkenaan hadir ke hotel terbabit menggunakan dua kenderaan berasingan kira-kira jam 10.30 malam dan bayaran bilik hotel dibuat oleh lelaki tersebut.


"Wanita terbabit pada mulanya memberi alasan hanya menumpang menggunakan tandas, namun selepas soal siasat lanjut dijalankan, dia mengaku berada di dalam bilik bersama lelaki yang bukan suaminya," katanya.


JAINJ berkata, pasangan berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor.


"Kes berkenaan akan dirujuk untuk tindakan lanjut dan pasangan itu akan didakwa di Mahkamah Syariah," katanya.


Dalam pada itu, JAINJ memaklumkan operasi pemeriksaan dan penguatkuasaan di hotel-hotel seluruh Johor akan diteruskan dari semasa ke semasa.

'Saya tak tahu sebab apa mereka halau' - Ratusan pelarian Rohingya diusir dari Pulau Pinang berkampung depan pejabat UNHCR

'Saya tak tahu sebab apa mereka halau' - Ratusan pelarian Rohingya diusir dari Pulau Pinang berkampung depan pejabat UNHCR


Ratusan pelarian Rohingya berkampung di hadapan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) di Jalan Bukit Petaling, Kuala Lumpur, hari ini.


Difahamkan, semua warga asing terbabit tiba di ibu negara awal pagi hari ini menaiki tiga bas selepas mereka diusir keluar oleh penduduk tempatan di penempatan mereka di Pulau Pinang.


Tinjauan di lokasi mendapati mereka mendirikan beberapa khemah di hadapan pejabat UNHCR dan kelihatan anak-anak kecil bermain di sekitar kawasan itu.


Turut kelihatan sekumpulan pegawai dan anggota polis berkawal di sekitar kawasan itu untuk menjaga ketenteraman awam.


Warga Rohingya, Rizuan, 28, berkata, mereka tiba di kawasan itu menaiki bas yang disewa sendiri selepas khuatir keselamatan diri susulan diancam penduduk tempatan sekiranya tidak keluar dari kawasan itu.


"Saya tak tahu sebab apa mereka halau, mereka tak bagi banyak masa untuk keluar, jadi kita semua bawa apa boleh sahaja, barang-barang semua tinggal sana (Pulau Pinang).


"Saya sudah tinggal sana 14 tahun, sebelum ini tak ada masalah. Saya tak tahu apa jadi buat mereka marah. Saya sewa rumah dengan orang Malaysia juga. Mungkin satu dua orang (Rohingya) buat hal kami semua kena," katanya ketika ditemui hari ini.



Katanya setakat ini mereka sekeluarga tidak mempunyai perancangan ke mana hala tuju seterusnya dan sedang menanti bantuan daripada pihak UNHCR.


Menurutnya, setakat ini tiada apa-apa perkembangan daripada pihak UNHCR atau mana-mana agensi berkaitan dan mungkin akan terus berkhemah di kawasan itu sehingga mendapat penempatan lain lebih sesuai untuk isterinya yang sedang mengandung.


Ahmad, 40-an turut mendakwa bahawa dia tidak tahu mengapa penduduk tempatan mengusir mereka selepas bertahun-tahun menetap di kawasan itu.


"Saya pun tidak tahu pasal apa, mereka datang dan suruh kami pindah. Kami pun tidak mahu cari masalah jadi kami semua naik bas malam tadi dan keluar daripada kampung itu," katanya.


Terdahulu tular di media sosial beberapa klip video memaparkan beberapa bas dikatakan membawa pelarian Rohingya keluar dari kawasan perkampungan dikatakan di Penaga, Pulau Pinang.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook ketika dihubungi mengesahkan kehadiran pegawai dan anggota hanya untuk mengawal keselamatan di lokasi. - Harian Metro.

Berpenampilan wanita, alat kelamin wanita, selepas berusia 26 tahun dia disahkan sebenarnya lelaki

Berpenampilan wanita, alat kelamin wanita, selepas berusia 26 tahun dia disahkan sebenarnya lelaki

(Foto dijana AI)

Seorang wanita berusia 26 tahun disahkan dilahirkan tanpa rahim dan ovari, selain secara biologi adalah lelaki selepas menjalani pemeriksaan kesihatan, lapor the Global Times.


Wanita yang dikenali sebagai Li itu bekerja di Shenzhen, wilayah Guangdong, selatan China. Semasa menjalani pemeriksaan kesihatan yang dianjurkan syarikat tempatnya bekerja, imbasan ultrabunyi mendapati dia tidak mempunyai rahim, ovari atau tiub fallopio, selain terdapat jisim pada kedua-dua sisi rongga abdomennya.


Ujian kromosom kemudian mengesahkan Li secara biologi adalah lelaki, sebelum pemeriksaan lanjut mendapati dia menghidap Complete Androgen Insensitivity Syndrome (CAIS) atau Sindrom Ketidakpekaan Androgen Menyeluruh.


Menurut media sama, sindrom ketidakpekaan androgen adalah gangguan keturunan yang berpunca daripada mutasi pada gen reseptor androgen (AR).


Keadaan itu menyebabkan individu yang mempunyai kariotip 46, XY gagal membentuk ciri fizikal lelaki yang lazim dan akhirnya memiliki penampilan luaran seperti wanita.


Difahamkan, Li mempunyai penampilan wanita, alat kelamin luaran wanita dan faraj, namun tidak mempunyai rahim serta ovari.


Keadaan itu bermakna dia tidak akan mengalami haid atau mampu mengandung, manakala jisim yang dikesan dalam abdomennya sebenarnya adalah sepasang testis yang tidak turun ke kedudukan normal.


Li berkata, dia turut memaklumkan keadaan kesihatannya kepada teman lelakinya ketika itu, namun mereka kemudian berpisah disebabkan perbezaan personaliti. Dia mengakui keadaan fizikalnya menyebabkan tekanan dari segi psikologi dan fisiologi.


Li berkata, dia tidak pernah memberitahu ibu bapanya bahawa dia tidak mengalami haid sejak di bangku sekolah menengah kerana berasa malu untuk membincangkan perkara itu.


Selepas salah satu testisnya mengalami perubahan patologi, dia menjalani pembedahan membuang testis kiri yang tidak turun ke kedudukan normal atas saranan doktor.


Li yang kini kembali menjalani rutin kerja seperti biasa berkata, dia berharap dapat mengambil seorang anak angkat suatu hari nanti kerana amat menyayangi kanak-kanak dan pernah mengikuti pengajian pendidikan prasekolah di universiti.

Ahad, 26 Julai 2026

'Kami tidak sanggup berpisah' - Tiga beradik perempuan pilih kahwini lelaki sama

'Kami tidak sanggup berpisah' - Tiga beradik perempuan pilih kahwini lelaki sama


Tiga beradik perempuan di daerah Amroha, Uttar Pradesh mencetuskan kontroversi apabila mengambil keputusan berkahwin dengan lelaki yang sama kerana tidak sanggup dipisahkan selepas mendirikan rumah tangga.


Saroj, 20, Savitri, 19, dan Santosh, 18, yang merupakan pencipta kandungan media sosial dari Kampung Dhauriya di Hasanpur, dilaporkan mengahwini jurukamera mereka, Vikas, dalam satu upacara di Kuil Chamunda Mata pada 17 Julai lalu.


Rakaman majlis tersebut mula tular pada Rabu, sekali gus mengundang pelbagai reaksi termasuk bantahan daripada beberapa pertubuhan Hindu.


Dalam video berkenaan, Vikas dilihat menyapukan sindoor atau serbuk merah pada dahi setiap pengantin perempuan selepas mereka selesai menjalani upacara perkahwinan mengikut adat Hindu. Tiada ahli keluarga daripada kedua-dua pihak dilihat menghadiri majlis tersebut.


Menjelaskan keputusan luar biasa itu, Saroj berkata, mereka bertiga membesar bersama sejak kecil dan tidak dapat menerima hakikat bahawa perkahwinan akan memisahkan mereka.


"Kami sentiasa bersama sejak kecil dan tidak dapat membayangkan hidup berjauhan. Apabila mengetahui keluarga mahu mengahwinkan kami dengan lelaki berbeza, kami sangat tertekan sehingga pernah terfikir untuk menamatkan riwayat hidup.


"Akhirnya kami memutuskan lebih baik berkahwin dengan lelaki yang sama supaya dapat terus bersama. Kami semua sudah dewasa dan membuat keputusan ini secara sukarela," katanya.


Menurut tiga beradik itu, Vikas telah bekerja sebagai jurukamera mereka sejak enam bulan lalu dan sering melakonkan watak suami dalam kandungan media sosial yang dihasilkan bersama.


Vikas berkata, beliau memahami hubungan rapat antara tiga beradik itu dan bersetuju menerima lamaran mereka demi memastikan mereka tidak dipisahkan.


"Saya tahu mereka sangat rapat dan berkali-kali menyatakan tidak mahu hidup berasingan selepas berkahwin.


"Saya menghormati perasaan mereka dan bersetuju kerana mahu mereka terus bersama. Kami membuat keputusan ini atas persetujuan bersama dan berharap orang ramai menghormatinya," katanya.


Susulan kritikan yang diterima, tiga beradik itu turut memuat naik satu lagi video mempertahankan tindakan mereka.


Mereka merujuk kepada Raja Dasharatha dalam epik Hindu Ramayana yang mempunyai tiga permaisuri, sambil mempersoalkan mengapa tindakan tersebut dipertikaikan pada masa kini.


"Kami tidak melakukan sebarang kesalahan. Kami semua sudah dewasa dan membuat pilihan sendiri," kata mereka.


Bagaimanapun, peguam Mahkamah Tinggi Allahabad, Anurag Pandey berkata, perkahwinan tersebut tidak mempunyai pengiktirafan undang-undang di bawah Akta Perkahwinan Hindu.


Menurutnya, undang-undang Hindu tidak membenarkan seorang lelaki berkahwin dengan lebih daripada seorang wanita pada masa yang sama, sekali gus menjadikan perkahwinan itu terbatal dan tidak mewujudkan hubungan perkahwinan yang sah.


Sementara itu, pengurus Kuil Chamunda Mata, Dr Shivcharan Das berkata, tiada sami berada di lokasi ketika upacara tersebut berlangsung kerana kuil berkenaan sedang menjalani kerja pengubahsuaian.


Pegawai Polis Hasanpur, Pankaj Tyagi berkata, pihaknya telah mengambil keterangan daripada keempat-empat individu terbabit serta keluarga masing-masing selepas video berkenaan tular.


"Mereka memaklumkan bahawa semua pihak sudah dewasa dan menjalankan upacara itu atas kerelaan sendiri. Setakat ini tiada sebarang laporan polis diterima dan ibu bapa mereka juga tidak membantah keputusan tersebut.


"Jika laporan dibuat atau terdapat sebarang kesalahan yang boleh diambil tindakan mengikut undang-undang, siasatan serta tindakan sewajarnya akan dijalankan," katanya.


Walaupun beberapa pertubuhan Hindu tempatan membantah perkahwinan itu kerana didakwa bertentangan dengan norma agama dan masyarakat, sehingga kini tiada sebarang aduan rasmi dikemukakan kepada pihak berkuasa.


Tiga beradik perempuan dari Amroha, Uttar Pradesh mencuri perhatian selepas berkahwin dengan seorang jurukamera dikenali sebagai Vikas, dalam satu majlis yang mengundang pelbagai reaksi di media sosial. - Foto tular Hindustan Times.
Polis tahan lelaki disyaki banyak kali curi duit tabung di Masjid Bandar Baru Sungai Buloh

Polis tahan lelaki disyaki banyak kali curi duit tabung di Masjid Bandar Baru Sungai Buloh


Tindakan pantas Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan seorang lelaki disyaki 'pemancing' tabung di Masjid Bandar Baru Sungai Buloh (MBBSB), semalam.


Pengurus MBBSB, Muhammad Faaez Khesim berkata, pihaknya berterima kasih dan mengucapkan syabas atas komitmen PDRM yang tiba hanya beberapa minit sahaja selepas laporan dibuat dan membuat tangkapan.


Beliau berkata, suspek adalah lelaki tidak dikenali yang disyaki sudah beberapa kali mencuri duit tabung MBBSB dan terbabit beberapa kejadian sama di sekitar kawasan itu.


"Pihak masjid bekerjasama dengan pihak polis sebab kita sudah lama sasarkan suspek ini kerana dia buat kerja berulang kali dah, di MBBSB sahaja dalam tiga kali yang kami dapat kesan dia curi duit tabung di bahagian koridor.


"Jadi kami sudah kenal pasti kenderaan suspek. Kali pertama dia masuk dia pecahkan tabung sampai tabung itu rosak.


"Sekarang tinggal satu tabung sahaja kerana agak berat untuk kami bawa masuk ke ruang solat (berkunci)," katanya ketika dihubungi hari ini.


Beliau berkata, suspek menyasarkan tabung di bahagian koridor masjid itu untuk 'memancing' duit menggunakan dawai dan akan mencuri masuk seawal 12.30 tengah malam sehingga jam 3 pagi.


Muhammad Faaez berkata, suspek sama dipercayai mencuri di masjid berkenaan dua kali dalam tempoh beberapa hari sekitar awal bulan ini.


Katanya, selepas menyedari modus operandi suspek terbabit, pihak masjid bekerjasama dengan PDRM untuk memerhatikan gerak geri suspek melalui kamera litar tertutup (CCTV).


"Selepas dua kali dia pecah masuk kami pun berpakat dengan pihak Balai Polis Sungai Buloh. Kali pertama dan kedua dia masuk selang beberapa hari sahaja kemudian seminggu tidak kelihatan.


"Difahamkan suspek juga dipercayai mencuri di masjid lain dalam seminggu itu. Tetapi kali ketiga ini nampak sahaja pergerakan mencurigakan terus saya hubungi pihak polis dan maklumkan kepada Ketua Polis Balai.


"Tak sampai beberapa minit, saya rasa dalam dua ke tiga minit sahaja mereka (polis) sampai dan tahan lelaki itu. Jadi saya ucapkan syabas dan terima kasih kepada PDRM kerana betul-betul memberikan komitmen," katanya.


Rakaman CCTV memaparkan sepasukan polis menahan seorang lelaki di perkarangan masjid terbabit awal pagi semalam. - Foto MBBSB.
MPKS, Imigresen Gempur Pasar Malam Bandar Puncak Alam, 27 Premis Diarah Tutup, 45 Kompaun Dikeluarkan

MPKS, Imigresen Gempur Pasar Malam Bandar Puncak Alam, 27 Premis Diarah Tutup, 45 Kompaun Dikeluarkan


Suasana di tapak pasar malam Taman Industri Alam Jaya, Bandar Puncak Alam, gempar dengan kehadiran pihak berkuasa yang melaksanakan operasi bersepadu, kelmarin.


Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) berkata, pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kuala Selangor bagi memastikan pematuhan terhadap syarat lesen perniagaan, undang-undang kecil serta peraturan yang berkuat kuasa.


Katanya, operasi berlangsung dari jam 4 petang hingga 1 pagi tadi membabitkan kekuatan 96 anggota.


"Operasi bersepadu ini dijalankan hasil pemantauan berterusan MPKS yang mendapati terdapat peniaga menggajikan pekerja warga asing serta warga asing menjalankan aktiviti perniagaan di tapak pasar malam.


"Tindakan diambil bagi membendung pelanggaran syarat lesen perniagaan, memastikan pematuhan undang-undang kecil dan mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih teratur, selamat serta adil kepada semua peniaga yang mematuhi peraturan," katanya dalam kenyataan, semalam.


MPKS berkata, sepanjang operasi berlangsung pihaknya memeriksa sebanyak 34 perniagaan dan mengeluarkan 34 kompaun terhadap peniaga yang menjalankan perniagaan tanpa lesen di bawah Undang-Undang Kecil Penjaja (MDKS) 2007.


Selain itu, satu kompaun turut dikeluarkan terhadap pemegang lesen yang didapati melanggar syarat lesen kerana menggajikan pekerja warga asing.


"26 notis arahan memberhentikan perniagaan dan satu notis amaran atas kesalahan melanggar syarat lesen dikeluarkan, di samping melaksanakan penutupan terhadap 27 premis yang didapati melakukan pelanggaran.


"Sebanyak lima tindakan sitaan turut dilaksanakan melibatkan pelbagai peralatan perniagaan seperti khemah, payung, meja, alat penimbang, tong ikan, bakul sayur serta peralatan lain yang digunakan dalam aktiviti perniagaan yang melanggar peraturan," katanya.


Beliau berkata, 11 kompaun dikeluarkan terhadap peniaga yang gagal menjaga kebersihan kawasan perniagaan di bawah Undang-Undang Kecil Penjaja (MDKS) 2007.


Pada masa sama, semakan lesen ke atas peniaga juga diperiksa dan mengambil tindakan menarik balik satu lesen perniagaan kerana melanggar syarat lesen dengan menggajikan pekerja warga asing.


"Dalam pada itu, JIM Selangor memeriksa seramai 83 orang warga asing dan menahan 12 individu untuk tindakan serta siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang imigresen.


"PKD Daerah Kuala Selangor turut menjalankan pemeriksaan ke atas pengendali makanan dan mengeluarkan lapan Notis 32B di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, melibatkan tujuh kes di bawah Peraturan 32(1)(b) dan satu kes di bawah Peraturan 36(1)(a).


"Manakala JKM Daerah Kuala Selangor menyelamatkan dua wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan yang dipercayai berasal dari Kemboja dan bukan warganegara Malaysia.


"Ketiga-tiga individu itu kemudian diserahkan kepada JIM Selangor bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.


MPKS berkata, secara keseluruhan operasi itu merekodkan 34 pemeriksaan, 27 penutupan perniagaan, satu penarikan lesen perniagaan, lima tindakan sitaan, 45 kompaun dan 34 notis pelbagai kesalahan.

Kenyataan Sanusi cermin sikap PAS pecah belahkan rakyat - Dakwa Fahmi

Kenyataan Sanusi cermin sikap PAS pecah belahkan rakyat - Dakwa Fahmi


Kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menyentuh isu kaum, mencerminkan sikap sebenar pimpinan PAS yang sering memainkan sentimen perkauman dan memecahbelahkan masyarakat.


Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata politik sedemikian tidak sepatutnya diamalkan, sebaliknya ahli politik perlu menggalakkan perpaduan serta memahami kepelbagaian rakyat di negara ini.


"Kenyataan beliau mencerminkan satu sikap yang agak meluas dalam PAS. Sebelum ini pun kita lihat ada kenyataan mengenai isu pendatang daripada Presiden PAS sendiri.


"Ini bukan satu politik yang baik, yang sepatutnya politik itu menggalakkan perpaduan, memahami perbezaan dan berusaha untuk menyatupadukan rakyat. Bukan memecahbelahkan ataupun memisah-misahkan rakyat," katanya ketika ditemui pemberita pada Program Wayang Pacak di Taman Saujana Rompin, Jempol malam tadi.


Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata negara telah lama merdeka dan Bulan Kebangsaan juga telah dilancarkan, justeru, semua pihak sepatutnya menumpukan usaha menyatupadukan rakyat, bukannya mengeluarkan kenyataan yang membeza-bezakan atau memecahbelahkan masyarakat.


"Jadi saya harap Datuk Seri Sanusi mengambil iktibar dan mengubah sikap beliau. Tapi saya percaya itu tidak akan berlaku," katanya.


Sebelum ini, Sanusi dilaporkan berkata Malaysia merupakan satu-satunya Tanah Melayu yang menjadi tempat orang Melayu, manakala kaum lain mempunyai negara asal masing-masing seperti India dan China.


Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat berkata demikian ketika Ceramah Perdana Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bersempena dengan PRN Negeri Sembilan di Jempol pada 24 Julai.


Selain itu, Fahmi turut menyentuh mengenai kenyataan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki kelmarin yang mengaitkan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, sebagai calon Menteri Besar sekiranya Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun tewas pada PRN itu.


Beliau berkata mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan, jawatan Menteri Besar itu sememangnya khas untuk orang Melayu sejak ia digubal lagi dan sehubungan itu, beliau menggesa Asyraf Wajdi memohon maaf atas kenyataan berkenaan.


"Saya harap beliau memohon maaf kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan atas kekhilafan yang telah beliau lakukan," katanya.


Dalam pada itu Fahmi menolak ramalan bekas Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin mengenai sokongan pengundi Melayu terhadap PH di Johor, yang mendakwa hanya menerima sekitar 10 peratus sokongan pengundi Melayu.


Beliau menegaskan situasi politik serta dinamika pengundi di Negeri Sembilan pula jauh berbeza dan yakin dengan pentadbiran Aminuddin yang terbukti cemerlang dalam menjaga kebajikan seluruh lapisan rakyat tanpa mengira kaum.


Ditanya berhubung kenyataan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat) yang membayangkan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) mungkin diadakan pada hujung tahun, Fahmi menjelaskan perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam Kabinet dan menyifatkan kenyataan Tok Mat itu sekadar pandangan peribadi.


Beliau menegaskan fokus utama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan jemaah menteri ketika ini adalah untuk menstabilkan ekonomi negara, serta memulihkan kesan konflik geopolitik di Asia Barat, bukannya berpolitik berpanjangan atau mengadakan pilihan raya awal.

Sabtu, 25 Julai 2026

Emas 74kg, wang tunai RM77 juta dalam rumah bekas pendakwa raya dirampas

Emas 74kg, wang tunai RM77 juta dalam rumah bekas pendakwa raya dirampas


Pihak berkuasa Indonesia menahan bekas pendakwa raya anti rasuah selepas merampas wang tunai bernilai berjuta-juta dolar dan lebih 70 kilogram jongkong emas dari rumah dan hartanah miliknya, kata seorang pegawai.


Ekonomi terbesar Asia Tenggara itu sudah lama bergelut dengan gejala rasuah dan menahan ramai pegawai awam sejak beberapa tahun kebelakangan ini.


"Febrie Adriansyah didakwa melakukan pengubahan wang haram semasa berkhidmat sebagai ketua pendakwa raya anti rasuah Indonesia," kata Penolong Peguam Negara bagi Pengawasan, Rudi Margono kepada pemberita semalam.


Febrie meletak jawatan pada 11 Julai lalu selepas memegang jawatan itu selama lebih empat tahun, berikutan serbuan ke atas hartanah, termasuk rumahnya di luar Jakarta.


Polis merampas wang tunai berjumlah AS$19 juta (RM77.7 juta) dalam pelbagai mata wang dan 74 kilogram jongkong emas bernilai jutaan dolar.


Selepas disoal siasat selama berjam-jam, Febrie menafikan sebarang salah laku lewat semalam dan mendakwa bahawa beliau adalah mangsa 'penjenayahan' dalam kenyataan kepada saluran televisyen tempatan.


Peguamnya, Febri Diansyah berkata, anak guamnya berharap agar proses undang-undang boleh berjalan dengan adil.


Siasatan terhadap Febrie dimulakan oleh polis dan diserahkan kepada pakar-pakar antirasuah di bekas pejabatnya.


Febrie diiring ke kenderaan polis selepas soal siasat di Pejabat Peguam Negara Indonesia pada 24 Julai 2026. - Foto AFP.

Febrie menafikan sebarang salah laku.
Didakwa ganggu teman wanita, remaja dipukul tiga pelajar di Ampang

Didakwa ganggu teman wanita, remaja dipukul tiga pelajar di Ampang


Seorang remaja lelaki dipercayai dipukul tiga pelajar di kawasan tangga Flat Sri Nilam, Ampang semalam, selepas didakwa mengganggu teman wanita salah seorang daripada suspek.


Difahamkan, ketiga-tiga pelajar lelaki yang dipercayai dari sekolah yang sama sudah ditahan polis, petang tadi.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya terkesan video tular memaparkan kejadian itu di Facebook, hari ini.


Katanya, mangsa ketika itu berada di sebuah sekolah menengah di Ampang, dibawa ke bawah tangga sebuah blok di flat berkenaan oleh seorang pelajar lelaki pada 12.31 tengah hari, semalam.


"Apabila sampai di lokasi, mangsa dipukul tiga pelajar lelaki. Suspek menampar muka dan menendang badan mangsa.


"Motif kejadian itu dipercayai kerana remaja terbabit dikatakan mengganggu teman wanita salah seorang suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurutnya, kejadian itu dirakam oleh seorang pelajar lelaki dan kemudian ia disebarkan ke dalam kumpulan WhatsApp.


"Susulan itu, ketiga-tiga suspek sudah ditahan dan kes ini masih dalam siasatan lanjut mengikut Seksyen 147/507B Kanun Keseksaan," katanya.


Terdahulu, video memaparkan kejadian seorang pelajar lelaki dipukul pelajar lain tular di media sosial.


Berdasarkan video, ketika kejadian beberapa pelajar lain turut berada di kawasan itu dan ada yang cuba meleraikan kejadian serta menghalang suspek melakukan kekerasan terhadap mangsa.

DBKL bersama agensi lain gempur Pasar Borong Kuala Lumpur

DBKL bersama agensi lain gempur Pasar Borong Kuala Lumpur


Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama agensi lain terus menggempur Pasar Borong Kuala Lumpur dengan struktur binaan haram turut dirobohkan, Khamis Lalu.


DBKL berkata, Operasi Tindakan Khas Bersepadu itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) WPKL, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan Alam Flora Sdn Bhd.


Menurutnya, operasi itu membabitkan premis perniagaan, aktiviti penjajaan, penglibatan warga negara asing, binaan struktur tanpa kelulusan, 'ali baba' lesen, halangan kawasan laluan awam, halangan lalulintas serta pemandu bukan warga negara sekitar Jalan 1/3a dan Jalan 2/3a, di Pusat Bandar Utara, Pasar Borong Kuala Lumpur.


"Operasi ke atas pemandu bukan warganegara dijalankan bagi membuat tindakan penguatkuasaan ke atas mana-mana individu atau pemandu atau pemilik-pemilik kenderaan yang melakukan pelbagai kesalahan am.


"Ia membabitkan pemandu tanpa lesen, kenderaan tamat lesen memandu tidak sah, cukai jalan tamat tempoh, ketiadaan perlindungan insurans, pelanggaran spesifikasi teknikal kenderaan, membuat halangan lalulintas, memandu secara merbahaya, pemandu warga negara asing termasuk pemegang kad UNCHR dan lain-lain pelanggaran kesalahan jalan raya.


"Menerusi operasi ini, DBKL mengeluarkan 102 notis kompaun, JSPT PDRM mengeluarkan 81 notis kompaun dan JPJ mengeluarkan 104 notis kompaun pelbagai kesalahan lalu lintas kepada pemandu dan pemilik kenderaan menerusi Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta JPJ turut membuat sitaan terhadap tujuh buah kenderaan motosikal elektrik (EV) dan DBKL menunda 41 buah kenderaan yang membuat halangan lalu lintas di kawasan awam," katanya dalam kenyataan di Facebook.



Katanya, dalam operasi bersama ini juga, DBKL turut membuat tindakan penguatkuasaan merobohkan 18 unit struktur binaan yang dibuat oleh pemilik-pemilik premis perniagaan tanpa kelulusan di hadapan premis dan lorong belakang melibatkan sambungan berbumbung (awning), dinding tambahan, ruangan setor kekal yang gagal mematuhi notis penguatkuasaan yang dikeluarkan sebelum ini untuk membuka atau mengosongkan.


"DBKL turut mengeluarkan 11 notis penguatkuasaanbaharu ke atas pemilik premis untuk tindakan penguatkuasan selepas ini jika gagal dipatuhi.


"Menerusi pemeriksaan bersama JIM, PDRM di sekitar kawasan perniagaan, DBKL membuat tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan 28 notis kompaun ke atas premis perniagaann yang didapati melanggar syarat lesen yang dikeluarkan selepas gagal mempamerkan lesen perniagaan, melantik pembantu warga negara asing tanpa kebenaran, tiada lesen perniagaan, berniaga selain dari yang dilesenkan, membuat halangan di kaki lima atau siar kaki premis, tiada lesen papan tanda iklan dan lain-lain kesalahan am.


"Turut dibuat empat tindakan sita dan pindah barangan serta peralatan perniagaan yang dijalankan oleh warga negara asing di tempat awam," katanya.


Menurut DBKL, tindakan penguatkuasaan dijalankan menerusi kesalahan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Perlesenan Penjaja (WPKL) 2016, UUK Pelesenan Tred, Perniagan Dan Perindustrian (WPKL) 2016UUK Iklan (WPKL) 1992, Akta Jalan Parit Dan Bangunan 1974 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.


"Pelbagai barangan yang di sita, dipindakan ke Setor Sitaan DBKL untuk rekod dan dokumentasi," katanya.