Tindakan pantas Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan seorang lelaki disyaki 'pemancing' tabung di Masjid Bandar Baru Sungai Buloh (MBBSB), semalam.
Pengurus MBBSB, Muhammad Faaez Khesim berkata, pihaknya berterima kasih dan mengucapkan syabas atas komitmen PDRM yang tiba hanya beberapa minit sahaja selepas laporan dibuat dan membuat tangkapan.
Beliau berkata, suspek adalah lelaki tidak dikenali yang disyaki sudah beberapa kali mencuri duit tabung MBBSB dan terbabit beberapa kejadian sama di sekitar kawasan itu.
"Pihak masjid bekerjasama dengan pihak polis sebab kita sudah lama sasarkan suspek ini kerana dia buat kerja berulang kali dah, di MBBSB sahaja dalam tiga kali yang kami dapat kesan dia curi duit tabung di bahagian koridor.
"Jadi kami sudah kenal pasti kenderaan suspek. Kali pertama dia masuk dia pecahkan tabung sampai tabung itu rosak.
"Sekarang tinggal satu tabung sahaja kerana agak berat untuk kami bawa masuk ke ruang solat (berkunci)," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, suspek menyasarkan tabung di bahagian koridor masjid itu untuk 'memancing' duit menggunakan dawai dan akan mencuri masuk seawal 12.30 tengah malam sehingga jam 3 pagi.
Muhammad Faaez berkata, suspek sama dipercayai mencuri di masjid berkenaan dua kali dalam tempoh beberapa hari sekitar awal bulan ini.
Katanya, selepas menyedari modus operandi suspek terbabit, pihak masjid bekerjasama dengan PDRM untuk memerhatikan gerak geri suspek melalui kamera litar tertutup (CCTV).
"Selepas dua kali dia pecah masuk kami pun berpakat dengan pihak Balai Polis Sungai Buloh. Kali pertama dan kedua dia masuk selang beberapa hari sahaja kemudian seminggu tidak kelihatan.
"Difahamkan suspek juga dipercayai mencuri di masjid lain dalam seminggu itu. Tetapi kali ketiga ini nampak sahaja pergerakan mencurigakan terus saya hubungi pihak polis dan maklumkan kepada Ketua Polis Balai.
"Tak sampai beberapa minit, saya rasa dalam dua ke tiga minit sahaja mereka (polis) sampai dan tahan lelaki itu. Jadi saya ucapkan syabas dan terima kasih kepada PDRM kerana betul-betul memberikan komitmen," katanya.


EmoticonEmoticon