Suasana di tapak pasar malam Taman Industri Alam Jaya, Bandar Puncak Alam, gempar dengan kehadiran pihak berkuasa yang melaksanakan operasi bersepadu, kelmarin.
Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) berkata, pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kuala Selangor bagi memastikan pematuhan terhadap syarat lesen perniagaan, undang-undang kecil serta peraturan yang berkuat kuasa.
Katanya, operasi berlangsung dari jam 4 petang hingga 1 pagi tadi membabitkan kekuatan 96 anggota.
"Operasi bersepadu ini dijalankan hasil pemantauan berterusan MPKS yang mendapati terdapat peniaga menggajikan pekerja warga asing serta warga asing menjalankan aktiviti perniagaan di tapak pasar malam.
"Tindakan diambil bagi membendung pelanggaran syarat lesen perniagaan, memastikan pematuhan undang-undang kecil dan mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih teratur, selamat serta adil kepada semua peniaga yang mematuhi peraturan," katanya dalam kenyataan, semalam.
MPKS berkata, sepanjang operasi berlangsung pihaknya memeriksa sebanyak 34 perniagaan dan mengeluarkan 34 kompaun terhadap peniaga yang menjalankan perniagaan tanpa lesen di bawah Undang-Undang Kecil Penjaja (MDKS) 2007.
Selain itu, satu kompaun turut dikeluarkan terhadap pemegang lesen yang didapati melanggar syarat lesen kerana menggajikan pekerja warga asing.
"26 notis arahan memberhentikan perniagaan dan satu notis amaran atas kesalahan melanggar syarat lesen dikeluarkan, di samping melaksanakan penutupan terhadap 27 premis yang didapati melakukan pelanggaran.
"Sebanyak lima tindakan sitaan turut dilaksanakan melibatkan pelbagai peralatan perniagaan seperti khemah, payung, meja, alat penimbang, tong ikan, bakul sayur serta peralatan lain yang digunakan dalam aktiviti perniagaan yang melanggar peraturan," katanya.
Beliau berkata, 11 kompaun dikeluarkan terhadap peniaga yang gagal menjaga kebersihan kawasan perniagaan di bawah Undang-Undang Kecil Penjaja (MDKS) 2007.
Pada masa sama, semakan lesen ke atas peniaga juga diperiksa dan mengambil tindakan menarik balik satu lesen perniagaan kerana melanggar syarat lesen dengan menggajikan pekerja warga asing.
"Dalam pada itu, JIM Selangor memeriksa seramai 83 orang warga asing dan menahan 12 individu untuk tindakan serta siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang imigresen.
"PKD Daerah Kuala Selangor turut menjalankan pemeriksaan ke atas pengendali makanan dan mengeluarkan lapan Notis 32B di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, melibatkan tujuh kes di bawah Peraturan 32(1)(b) dan satu kes di bawah Peraturan 36(1)(a).
"Manakala JKM Daerah Kuala Selangor menyelamatkan dua wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan yang dipercayai berasal dari Kemboja dan bukan warganegara Malaysia.
"Ketiga-tiga individu itu kemudian diserahkan kepada JIM Selangor bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.
MPKS berkata, secara keseluruhan operasi itu merekodkan 34 pemeriksaan, 27 penutupan perniagaan, satu penarikan lesen perniagaan, lima tindakan sitaan, 45 kompaun dan 34 notis pelbagai kesalahan.

EmoticonEmoticon