Sebuah bangunan empat tingkat yang dibina secara tidak sah yang sebelum ini digunakan sebagai penempatan pelarian etnik Rohingya dekat Kampung Sungai Makau, Hulu Langat, mula dirobohkan oleh pemilik kawasan tapaknya sejak kelmarin.
Usaha merobohkan bangunan terbabit disahkan anak perempuan kepada pemilik kawasan tapak binaan itu, yang memaklumkan kerja perobohan terbabit dianggarkan sudah mencapai hampir 20 peratus setakat semalam.
"Untuk makluman, binaan atas kawasan rizab sungai yang terletak di belakang bangunan itu juga sudah dirobohkan. Hari ini, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) hadir menanggalkan tiang elektrik di kawasan berkenaan.
"Selepas mereka alihkan tiang berkenaan, baru kita boleh teruskan kerja perobohan bangunan terbabit. Setakat ini, kerja merobohkan bangunan flat itu dianggarkan sudah mencapai kira-kira 20 peratus," katanya semalam.
Tinjauan mendapati kerja perobohan yang dilaksanakan terhadap bangunan empat tingkat itu dijalankan dengan menggunakan jengkaut.
Wanita itu menjangkakan kerja perobohan binaan di kawasan itu mengambil masa yang agak lama berikutan masih ada beberapa barangan peribadi milik keluarganya yang belum dikeluarkan sepenuhnya daripada kediaman mereka yang terletak di belakang bangunan terbabit.
"Kami sekeluarga pernah menetap di kediaman itu ketika saya masih kecil. Walaupun kini sudah berpindah, masih terdapat beberapa barangan yang belum sempat dikeluarkan.
"Saya sudah mengatur lori untuk memindahkan barangan berkenaan. Pada masa sama, kami turut mengalihkan sisa runtuhan bangunan yang dirobohkan bagi memastikan laluan tidak terhalang.
"Justeru, keadaan itu menyebabkan kerja perobohan mengambil sedikit masa untuk diselesaikan," ujarnya.
Katanya, proses merobohkan keseluruhan penempatan itu dijangka mengambil masa sehingga tiga bulan untuk diselesaikan, bergantung kepada kemampuan kewangan keluarga.
"Kerja perobohan bangunan ini bergantung kepada keadaan kewangan kami. Jika tidak mempunyai dana yang mencukupi, kerja berkenaan mungkin terpaksa ditangguhkan," katanya.











