Rabu, 14 Januari 2026

UMNO tidak akan keluar kerajaan - Tok Mat

UMNO tidak akan keluar kerajaan - Tok Mat


UMNO menegaskan parti itu tidak akan keluar Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti itu tidak akan membiarkan negara ini dalam keadaan huru-hara.


"Tidak. Itu jalan mereka yang tunduk kepada emosi, bukan kerja negarawan. Bak kata orang tua-tua, berfikir biar panjang, bertindak biar bijak," katanya dalam ucapan Perasmian Serentak Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.


Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh ketika berucap pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO berkata, Pemuda UMNO menolak sebarang usaha merampas kuasa dan 'menebuk atap' sehingga mengakibatkan kerajaan sedang memimpin negara ketika ini tumbang.


Beliau bagaimanapun mahu dan menggesa partinya menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan untuk menjadi pembangkang selain menegaskan jika tindakan itu diambil UMNO tidak akan menyebabkan kerajaan sedia ada runtuh berikutan ia mempunyai sokongan kira-kira 153 Ahli Parlimen ketika ini.


Mengulas lanjut, Mohamad berkata, sekiranya kerajaan runtuh tanpa pelan penggantian jelas, yang lahir bukanlah kebebasan tetapi kekosongan kuasa.


"Kita telah menyaksikan di beberapa negara, bagaimana pertelingkahan politik yang tidak terkawal telah melumpuhkan institusi negara. Parlimen menjadi medan tempur, kerajaan bertukar tanpa hala tuju, ekonomi terjunam, pelabur melarikan diri.


"Dan akhirnya, rakyat yang menanggung derita paling besar. Apabila politik menjadi medan dendam, pihak ekstrem muncul. Apabila kepimpinan berpecah, campur tangan asing mula mengintai.


"Inilah yang akan berlaku apabila kemarahan mengatasi kebijaksanaan, dan apabila kuasa dijatuhkan tanpa tanggungjawab untuk membina semula," katanya.


Beliau turut mengingatkan ahli parti itu, bahawa keluar masuk sesebuah kerjasama politik bukan merupakan jawapan untuk UMNO pulih.


"Ia bukan jalan keluar yang merawat masalah dan sakit kita. Ia hanyalah satu peralihan dan pemesongan fokus yang sangat bersifat jangka pendek," katanya.


Menyentuh mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Mohamad berkata, parti itu dihukum oleh rakyat negeri itu disebabkan mereka gagal membaca persekitaran yang berubah.


Katanya, UMNO juga terlalu terbawa dengan isu nasional, tanpa lantang mengetengahkan agenda tuntas untuk Sabah bagi orang Sabah.


"Orang Sabah memilih untuk menolak kita. Mereka memilih perikatan lokal yang lebih serasi dengan sentimen tempatan. Ini menunjukkan masih banyak isu yang belum berjaya kita uruskan dengan berkesan.


"Parti belum pulih. Banyak yang harus kita tambah baik dan kemaskan. Yang jelas, semua itu mesti dilakukan dengan menerima secara terbuka dan berlapang dada," katanya.


Selasa, 13 Januari 2026

Cabul peserta ratu cantik Unduk Ngadau, ahli politik dipenjara 43 bulan, denda RM14,000

Cabul peserta ratu cantik Unduk Ngadau, ahli politik dipenjara 43 bulan, denda RM14,000


Seorang ahli politik yang mencabul peserta ratu cantik Unduk Ngadau 2021 dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 43 bulan dan denda RM14,000 oleh Mahkamah Majistret Kota Kinabalu semalam.


Majistret Marilyn Kelvin menjatuhkan hukuman itu ke atas Phillip Among, 53, selepas mendapati beliau bersalah atas empat pertuduhan mencabul mangsa terbabit pada 19 Mei 2021, antara jam 2 petang hingga 10 malam.


Mahkamah turut memutuskan, pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap Among yang juga penyelaras Parlimen parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah bagi Bahagian Putatan, tetapi kini digantung jawatannya susulan dua laporan polis dibuat terhadapnya berhubung dakwaan serangan seksual.


Among yang ketika kejadian adalah ketua teknikal bagi pertandingan Unduk Ngadau 2021 itu, disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun, denda, sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.


Bagi pertuduhan pertama, kedua dan keempat, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan dan denda RM3,000, atau lapan bulan penjara jika gagal membayar denda, bagi setiap pertuduhan.


Bagi pertuduhan ketiga, Among dijatuhi hukuman penjara 16 bulan dan denda RM5,000, atau lapan bulan penjara jika gagal membayar denda, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjara ialah 43 bulan.


Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara itu dijalankan serentak bermula tarikh sabitan hari ini, menjadikan Among perlu dipenjara selama 16 bulan dan membayar denda keseluruhan RM14,000.


Mahkamah juga membenarkan permohonan Among menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi, tetapi semua denda dibayarnya semalam.


Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan pada 10 Jun 2021, dengan perbicaraan bermula pada 12 April 2022.


Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil lapan saksi, manakala pihak pembelaan memanggil dua saksi.


Untuk rekod, pada 19 Disember 2025, Among dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan denda RM5,000, atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda, dalam satu kes berasingan kerana mencabul seorang remaja perempuan lain.


Hukuman dijatuhkan oleh Majistret Dzul Elmy Yunus selepas mendapati Among bersalah mencabul seorang gadis berusia 18 tahun pada 17 April 2021, kira-kira jam 11 malam, di ruang tamu Jesselton Capsule Inn, Asia City.


Beliau diwakili peguam Abdul Fikry Jaafar Abdullah, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Yousof Tahir Mahmood.

Bapa tiri rakam video isteri dan dua anak tirinya dalam tandas

Bapa tiri rakam video isteri dan dua anak tirinya dalam tandas


Seorang bapa tiri diberkas polis selepas disyaki merakam video secara sembunyi terhadap ahli keluarganya sendiri di bilik air sebuah rumah di Kampung Tanjung Batu Laut, di Tawau kelmarin.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berumur 39 tahun itu ditahan jam 8.07 malam, kurang dua jam selepas pihaknya menerima laporan pada jam 6.27 petang hari sama.


Menurutnya, perbuatan menjijikkan itu terbongkar apabila kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun menemui telefon bimbit dipercayai milik bapa tirinya disorokkan di dalam tandas rumah dalam keadaan sedang merakam, sebelum menyerahkan kepada ibunya.


"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa rakaman video yang mengaibkan membabitkan mangsa serta anak-anaknya, dipercayai dirakam tanpa pengetahuan mereka ketika menggunakan bilik air.


"Suspek yang bekerja sebagai buruh serta tinggal serumah dengan mangsa akhirnya mengakui perbuatan itu selepas disoal oleh ahli keluarganya," katanya dalam kenyataan hari ini.


Jasmin berkata, pemeriksaan awal ke atas telefon bimbit yang dirampas menemukan sebanyak 10 klip video membabitkan mangsa serta dua anak.


Katanya, suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 377D dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan tidak senonoh serta mengaibkan kehormatan mangsa.


Beliau berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam perbuatan tidak bermoral dan mencabul privasi, apatah lagi membabitkan ahli keluarga sendiri.


"Tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang termasuk perbuatan mencemar maruah ahli keluarga atau orang lain" katanya.

Pengadil aksi JDT lawan Negeri Sembilan buat keputusan kurang tepat - FAM

Pengadil aksi JDT lawan Negeri Sembilan buat keputusan kurang tepat - FAM


Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengakui terdapat kesilapan dalam keputusan yang dibuat oleh pengadil semasa aksi Liga Super antara Negeri Sembilan FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Jumaat lalu.


Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, Jawatankuasa Penilaian Prestasi telah meneliti laporan penilai pengadil serta membuat analisis menyeluruh terhadap insiden-insiden utama yang berlaku dalam perlawanan tersebut.


Menurutnya, hasil penilaian mendapati terdapat keputusan yang kurang tepat dilakukan oleh pengadil perlawanan, S Logeswaran serta pengadil Video Bantuan Pengadil (VAR), Muhd Usaid Jamal.


"Ia melibatkan penguatkuasaan Undang-undang Permainan 12 berkaitan Kesalahan dan Kelakuan Tidak Bersopan.


"Sehubungan itu, FAM telah memutuskan untuk merujuk kedua-dua pengadil terbabit kepada fasa pemulihan dan pemurnian selama dua minggu bagi memperbaiki prestasi mereka.


"FAM memandang serius isu prestasi pengadil dan tidak pernah berkompromi dalam hal-hal berkaitan kualiti pengadilan," katanya dalam satu kenyataan.


Sebelum ini, Logeswaran menjadi perhatian peminat bola sepak selepas bertindak melanjutkan masa permainan melepasi tujuh minit masa kecederaan yang diumumkan oleh pegawai perlawanan.


Situasi menjadi semakin panas apabila JDT berjaya menjaringkan gol kemenangan 1-0 menerusi Manuel Hidalgo pada waktu yang sudah melepasi tempoh tambahan tersebut.


Ketegangan turut memuncak apabila beberapa keputusan lain dipersoalkan termasuk kegagalan pengadil mengambil tindakan terhadap pemain, Eddy Israfilov yang jelas dilihat menyiku penyerang import NSFC, Joseph Esso pada separuh masa pertama.


Mengulas lanjut, Noor Azman memaklumkan bahawa Unit Pengadil FAM dan Jawatankuasa Penilaian Prestasi telah menghantar surat rasmi kepada semua pegawai perlawanan yang terlibat untuk menghadiri sesi bedah siasat perlawanan.


"Objektif utama sesi ini adalah untuk menilai dan membimbing pegawai perlawanan agar mereka dapat memperbaiki setiap kelemahan yang dikenal pasti.


"Mana-mana pegawai perlawanan yang menunjukkan prestasi lemah akan dipanggil untuk bimbingan dan pemulihan prestasi bagi memastikan mutu pengadilan Liga Malaysia sentiasa terpelihara," ujarnya.


Logeswaran (tengah) diiringi keluar padang dengan kawalan ketat anggota keselamatan dan polis selepas tamat perlawanan.
Sultan Selangor gariskan tiga ketetapan ternakan babi

Sultan Selangor gariskan tiga ketetapan ternakan babi


Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah menetapkan tiga ketetapan utama berhubung pengurusan serta hala tuju operasi penternakan babi di negeri ini.


Istana Alam Shah dalam satu kenyataan memaklumkan, ketetapan itu dibuat selepas baginda meneliti secara mendalam perkara berkenaan susulan perkenan menerima menghadap Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir. Izham Hashim serta Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam.


Menurut kenyataan itu, Sultan Sharafuddin menitahkan supaya tiada lagi operasi penternakan babi dibenarkan di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat.


"Justeru, operasi sedia ada hendaklah dihentikan secara berperingkat dan seterusnya dipindahkan sepenuhnya ke kawasan Bukit Tagar mengikut perancangan tersusun serta mematuhi semua keperluan perundangan dan peraturan berkaitan," katanya.


Kenyataan sama memaklumkan, satu kajian terperinci serta bancian menyeluruh berasaskan data sah perlu dilaksanakan bagi mengenal pasti statistik serta kuantiti sebenar keperluan dan permintaan daging babi khusus untuk kegunaan rakyat bukan Islam di Selangor sahaja.


"Baginda menegaskan bahawa tiada sebarang tujuan atau perancangan untuk eksport hasil penternakan tersebut.


"Dapatan kajian ini hendaklah dijadikan asas utama dalam menentukan skala, kapasiti dan keluasan operasi penternakan babi di Bukit Tagar supaya ia kekal pada tahap munasabah dan terkawal" jelasnya.


Berdasarkan kenyataan itu, Sultan Sharafudin turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Selangor tidak akan menyediakan sebarang peruntukan kewangan atau membuat pelaburan bagi mana-mana operasi penternakan babi pada masa hadapan, termasuklah di kawasan Bukit Tagar.


"Segala urusan berkaitan hendaklah dilaksanakan tanpa melibatkan dana awam negeri," katanya.


Sehubungan itu, baginda berharap semua pihak yang terlibat dapat melaksanakan ketetapan berkenaan dengan penuh tanggungjawab, berhemah serta mematuhi undang-undang.


"Ini demi memastikan kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di Negeri Selangor sentiasa terpelihara," katanya.

Isnin, 12 Januari 2026

Jakarta bakal robohkan lebih 100 tiang monorel terbengkalai sejak 20 tahun lalu

Jakarta bakal robohkan lebih 100 tiang monorel terbengkalai sejak 20 tahun lalu


Kerajaan Wilayah Jakarta akan merobohkan lebih 100 tiang konkrit projek monorel yang terbengkalai sejak lebih dua dekad lalu, sekali gus menamatkan satu 'noda' infrastruktur yang mencacatkan beberapa laluan utama ibu kota Indonesia.


Gabenor Jakarta, Pramono Anung mengumumkan kerja perobohan akan bermula 14 Januari 2026 dan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya Jakarta.


Projek itu akan memberi fokus awal kepada koridor Jalan HR Rasuna Said yang selama ini dibayangi struktur tidak lengkap tersebut.


Projek monorel itu dilancarkan pada 2004 tetapi terhenti pada 2007 akibat kekangan pembiayaan dan perselisihan antara pemaju.


Pembinaan hanya sempat disambung ringkas pada 2013 sebelum sekali lagi terhenti kerana pertikaian korporat.


Akibatnya, deretan tiang konkrit kekal berdiri, mengurangkan kapasiti jalan, menimbulkan risiko keselamatan, serta memberi impak negatif kepada pemandangan dan pembangunan bandar.


Justeru, Kerajaan Wilayah Jakarta telah memperuntukkan 100 bilion rupiah (RM24 juta) untuk projek ini.


Ia bukan sahaja untuk merobohkan tiang monorel tetapi juga untuk baik pulih jalan, pembinaan semula kaki lima, kemudahan untuk orang kurang upaya, sistem pencahayaan, landskap dan peningkatan sistem perparitan di kawasan berkenaan.


Langkah itu bertujuan memulihkan estetika bandar serta memastikan kemudahan infrastruktur yang lebih selamat dan moden.


Menurut Pramono, kos 100 bilion rupiah merangkumi pakej pemulihan yang lebih besar - bukan sekadar perobohan struktur.


"Jika hanya meroboh tiang, kosnya tentu jauh lebih rendah," katanya merujuk kepada anggaran sebenar perobohan tiang yang lebih sederhana jika diasingkan dari keseluruhan program pembangunan semula.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya Jakarta, Heru Suwondo berkata, jadual perobohan telah dipercepat dan akan bermula dengan 98 tiang yang terletak di sepanjang Jalan Rasuna Said manakala tiang lain yang terdapat di kawasan seperti Jalan Asia Afrika akan diuruskan pada fasa seterusnya.


Projek itu dibiayai sepenuhnya melalui belanjawan bandar raya Jakarta dan dianggap sebagai langkah penting dalam meremajakan koridor utama ibu kota, sekali gus memperbaiki persekitaran, keselamatan jalan raya serta mendorong pembangunan perbandaran yang lebih efisien.

Dr. Akmal minta restu Presiden UMNO, Ketua Menteri sebelum umum keputusan

Dr. Akmal minta restu Presiden UMNO, Ketua Menteri sebelum umum keputusan


Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh akan bertemu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh sebelum membuat sebarang pengumuman berhubung kedudukannya dalam parti dan kerajaan negeri.


Beliau berkata, langkah itu diambil bagi memastikan setiap keputusan adalah berhemah dan berpandukan suara akar umbi, selain menghormati kepimpinan tertinggi parti serta kerajaan negeri.


"Apa pun saya percaya, kuasa Ketua Menteri Melaka yang memilih saya sebagai Exco, maka saya perlu akur dan ikut apa yang diperkatakan dan kuasa Presiden yang memilih saya untuk mewakili parti untuk bertanding dalam pilihan raya.


"Jadi ini dua insan yang perlu saya dapatkan persetujuan dan pandangan sebelum umum apa-apa pada Perhimpunan Agong UMNO (PAU) Khamis ini," katanya ketika ditemui selepas menghadiri proses mediasi berhubung kes saman fitnah Teresa Kok hari ini.


Menurutnya, sebarang tindakan rasmi termasuk kemungkinan menyerahkan surat rasmi kepada pihak berkaitan adalah bergantung kepada hasil perbincangan tersebut.


"Saya tak nak mengecewakan suara yang telah kita bawa, maka sebagai pemimpin yang ada tanggungjawab, suara akar umbi di bawah yang perlu kita angkat ke atas. Harapan saya adalah suara mereka tidak diketepikan. Ini bukan soal jawatan, saya sayang UMNO," ujarnya.


Beliau berkata, pihaknya tidak pernah memulakan serangan terhadap mana-mana pihak, sebaliknya hanya mempertahankan perkara yang wajar termasuk isu polemik seperti stoking dan logo halal yang terlebih dahulu dibangkitkan oleh pihak lain.

Pengantin antara 8 maut, silinder gas meletup lepas majlis perkahwinan

Pengantin antara 8 maut, silinder gas meletup lepas majlis perkahwinan


Pasangan pengantin baharu antara lapan individu yang maut selepas satu silinder gas meletup di sebuah rumah di Islamabad, ketika mereka tidur awal pagi semalam, lapor BBC.


Kejadian berlaku pada 7 pagi (10 pagi waktu Malaysia) selepas pasangan berkenaan selesai mengadakan majlis perkahwinan mereka pada hari sebelumnya.


Selain pasangan pengantin, enam lagi mangsa termasuk ahli keluarga dan tetamu yang menginap di rumah berkenaan turut terkorban dalam kejadian tragis itu.


Letupan kuat itu turut menyebabkan lebih 12 individu lain mengalami kecederaan dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.


Kesan letupan mengakibatkan bumbung rumah runtuh sepenuhnya, sebahagian dinding hancur dan perabot bertaburan di atas lantai.


Petugas kecemasan memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada kebocoran gas yang memenuhi ruang rumah sebelum meletup secara tiba-tiba.


Kemusnahan dahsyat itu turut menyebabkan tiga rumah berhampiran mengalami kerosakan pada struktur bangunan.


Bapa pengantin lelaki, Hanif Masih berkata, semua mangsa baru sahaja masuk tidur kira-kira 3 pagi sebelum dikejutkan dengan runtuhan bangunan berkenaan.


Beliau meluahkan rasa hiba apabila kehilangan isteri, anak lelaki, menantu serta adik iparnya serentak dalam kejadian yang menyayat hati itu.


Beberapa mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan terpaksa diusung keluar oleh pasukan penyelamat menggunakan pengusung.


Timbalan Pesuruhjaya Polis, Sahibzada Yousaf berkata, pihaknya menggunakan anjing pengesan dan teknologi canggih bagi memastikan tiada mangsa tertinggal di bawah sisa konkrit.


Pengerusi Senat Pakistan, Yusuf Raza Gilani menyifatkan insiden itu sebagai tragedi yang mengubah suasana keraian perkahwinan menjadi hari berkabung.


Beliau turut menggesa jabatan berkaitan supaya lebih serius dalam memastikan langkah keselamatan penggunaan silinder gas dipatuhi bagi mengelak kejadian serupa berulang.


Pegawai forensik menggunakan pengesan logam untuk memeriksa serpihan rumah yang rosak selepas letupan silinder gas di Islamabad pada 11 Januari 2026. - Foto AFP.

Ahad, 11 Januari 2026

Remaja perempuan, lelaki ditemui meninggal dunia dalam kereta di Sandakan

Remaja perempuan, lelaki ditemui meninggal dunia dalam kereta di Sandakan


Seorang pelajar perempuan yang dilaporkan hilang ditemui meninggal dunia dalam kereta bersama seorang lelaki di Bandar Sejati Walk di Sandakan pagi tadi.


Pelajar berusia 17 tahun itu ditemui bersama lelaki berusia 18 tahun di bahagian penumpang belakang kenderaan kira-kira jam 8 pagi tadi.


Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan K Ramasamy, berkata sepasukan anggota polis bersama unit forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat awam mengenai penemuan itu.


Katanya, pemeriksaan mendapati semua tingkap kereta tertutup rapat dan berkunci dengan barang berharga milik mangsa masih berada dengan mangsa.


"Hasil siasatan awal juga mendapati mangsa lelaki keluar dari rumahnya untuk bertemu dengan pelajar itu pada Jumaat lalu, sebelum kedua-duanya gagal dihubungi.


"Bapa mangsa kemudian menemui kereta miliknya di tempat letak kereta Bandar Sejati Walk sebelum menemui kedua-dua mangsa selepas membuka pintu kereta menggunakan kunci pendua," katanya.


Ramasamy berkata, pemeriksaan awal juga tidak menemui sebarang unsur jenayah atau khianat dan mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk proses bedah siasat.


Katanya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.


Dua mangsa ditemui meninggal dunia dalam kereta dalam kejadian di Bandar Sejati Walk, di Sandakan. - Foto Berita Harian.
Peserta larian malam diganggu sembilan 'entiti' menyeramkan

Peserta larian malam diganggu sembilan 'entiti' menyeramkan


Bukan sekadar program larian biasa, sebaliknya keberanian peserta 'Nightmare Run' di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban 3 benar-benar diuji apabila mereka terpaksa berdepan 'gangguan' sembilan entiti berkostum menyeramkan, pada malam Jumaat.


Program larian yang bermula jam 9 malam itu pada awalnya berlangsung dalam keadaan tenang, namun bertukar menjadi suasana mengujakan apabila kelibat 'hantu' yang diimport dari pelbagai watak filem Hollywood mula kelihatan.


Antara yang ditampilkan ialah ghostface, grim reaper, scarecrow dan werewolf.


Pengarah Program, Muhammad Najmi Afiq Mohd Suhaimi, 24, berkata, seramai 150 peserta termasuk dari luar kampus yang terlibat dalam program terbabit.


"Peserta perlu melalui empat 'checkpoint' yang menempatkan sembilan entiti yang akan muncul secara mengejut.


"Kehadiran entiti inilah yang membuatkan acara larian malam ini jadi lebih menarik dan mengujakan kerana tema begini belum pernah lagi dibuat," katanya ditemui di lokasi program.



Menurutnya, program berkenaan dianjurkan oleh penuntut semester lima Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran serta Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar UiTM Seremban 3 dengan kerjasama pengumpul koleksi kostum hantu Hollywood.


Tambahnya, idea penganjurannya juga secara tidak langsung mahu memeriahkan suasana kolej dengan aktiviti sihat.


"Biasanya kawasan kampus agak lengang pada waktu malam, jadi kami mahu membuktikan aktiviti malam juga boleh diisi dengan program sihat dan menyeronokkan.


Sementara itu, penuntut Kolej Mara Seremban, Nurul Adeella Mohamad Asri, 19, berkata, dia tertarik untuk menyertai larian tersebut yang dianggap lain daripada kebiasaan.


"Ia bukan program biasa, tapi penuh suasana mendebarkan kerana tiba-tiba kami dikejutkan dengan entiti yang menyeramkan," katanya. - Sumber Sinar Harian.