Isnin, 12 Januari 2026

Jakarta bakal robohkan lebih 100 tiang monorel terbengkalai sejak 20 tahun lalu

Jakarta bakal robohkan lebih 100 tiang monorel terbengkalai sejak 20 tahun lalu


Kerajaan Wilayah Jakarta akan merobohkan lebih 100 tiang konkrit projek monorel yang terbengkalai sejak lebih dua dekad lalu, sekali gus menamatkan satu 'noda' infrastruktur yang mencacatkan beberapa laluan utama ibu kota Indonesia.


Gabenor Jakarta, Pramono Anung mengumumkan kerja perobohan akan bermula 14 Januari 2026 dan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya Jakarta.


Projek itu akan memberi fokus awal kepada koridor Jalan HR Rasuna Said yang selama ini dibayangi struktur tidak lengkap tersebut.


Projek monorel itu dilancarkan pada 2004 tetapi terhenti pada 2007 akibat kekangan pembiayaan dan perselisihan antara pemaju.


Pembinaan hanya sempat disambung ringkas pada 2013 sebelum sekali lagi terhenti kerana pertikaian korporat.


Akibatnya, deretan tiang konkrit kekal berdiri, mengurangkan kapasiti jalan, menimbulkan risiko keselamatan, serta memberi impak negatif kepada pemandangan dan pembangunan bandar.


Justeru, Kerajaan Wilayah Jakarta telah memperuntukkan 100 bilion rupiah (RM24 juta) untuk projek ini.


Ia bukan sahaja untuk merobohkan tiang monorel tetapi juga untuk baik pulih jalan, pembinaan semula kaki lima, kemudahan untuk orang kurang upaya, sistem pencahayaan, landskap dan peningkatan sistem perparitan di kawasan berkenaan.


Langkah itu bertujuan memulihkan estetika bandar serta memastikan kemudahan infrastruktur yang lebih selamat dan moden.


Menurut Pramono, kos 100 bilion rupiah merangkumi pakej pemulihan yang lebih besar - bukan sekadar perobohan struktur.


"Jika hanya meroboh tiang, kosnya tentu jauh lebih rendah," katanya merujuk kepada anggaran sebenar perobohan tiang yang lebih sederhana jika diasingkan dari keseluruhan program pembangunan semula.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya Jakarta, Heru Suwondo berkata, jadual perobohan telah dipercepat dan akan bermula dengan 98 tiang yang terletak di sepanjang Jalan Rasuna Said manakala tiang lain yang terdapat di kawasan seperti Jalan Asia Afrika akan diuruskan pada fasa seterusnya.


Projek itu dibiayai sepenuhnya melalui belanjawan bandar raya Jakarta dan dianggap sebagai langkah penting dalam meremajakan koridor utama ibu kota, sekali gus memperbaiki persekitaran, keselamatan jalan raya serta mendorong pembangunan perbandaran yang lebih efisien.

Dr. Akmal minta restu Presiden UMNO, Ketua Menteri sebelum umum keputusan

Dr. Akmal minta restu Presiden UMNO, Ketua Menteri sebelum umum keputusan


Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh akan bertemu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh sebelum membuat sebarang pengumuman berhubung kedudukannya dalam parti dan kerajaan negeri.


Beliau berkata, langkah itu diambil bagi memastikan setiap keputusan adalah berhemah dan berpandukan suara akar umbi, selain menghormati kepimpinan tertinggi parti serta kerajaan negeri.


"Apa pun saya percaya, kuasa Ketua Menteri Melaka yang memilih saya sebagai Exco, maka saya perlu akur dan ikut apa yang diperkatakan dan kuasa Presiden yang memilih saya untuk mewakili parti untuk bertanding dalam pilihan raya.


"Jadi ini dua insan yang perlu saya dapatkan persetujuan dan pandangan sebelum umum apa-apa pada Perhimpunan Agong UMNO (PAU) Khamis ini," katanya ketika ditemui selepas menghadiri proses mediasi berhubung kes saman fitnah Teresa Kok hari ini.


Menurutnya, sebarang tindakan rasmi termasuk kemungkinan menyerahkan surat rasmi kepada pihak berkaitan adalah bergantung kepada hasil perbincangan tersebut.


"Saya tak nak mengecewakan suara yang telah kita bawa, maka sebagai pemimpin yang ada tanggungjawab, suara akar umbi di bawah yang perlu kita angkat ke atas. Harapan saya adalah suara mereka tidak diketepikan. Ini bukan soal jawatan, saya sayang UMNO," ujarnya.


Beliau berkata, pihaknya tidak pernah memulakan serangan terhadap mana-mana pihak, sebaliknya hanya mempertahankan perkara yang wajar termasuk isu polemik seperti stoking dan logo halal yang terlebih dahulu dibangkitkan oleh pihak lain.

Pengantin antara 8 maut, silinder gas meletup lepas majlis perkahwinan

Pengantin antara 8 maut, silinder gas meletup lepas majlis perkahwinan


Pasangan pengantin baharu antara lapan individu yang maut selepas satu silinder gas meletup di sebuah rumah di Islamabad, ketika mereka tidur awal pagi semalam, lapor BBC.


Kejadian berlaku pada 7 pagi (10 pagi waktu Malaysia) selepas pasangan berkenaan selesai mengadakan majlis perkahwinan mereka pada hari sebelumnya.


Selain pasangan pengantin, enam lagi mangsa termasuk ahli keluarga dan tetamu yang menginap di rumah berkenaan turut terkorban dalam kejadian tragis itu.


Letupan kuat itu turut menyebabkan lebih 12 individu lain mengalami kecederaan dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.


Kesan letupan mengakibatkan bumbung rumah runtuh sepenuhnya, sebahagian dinding hancur dan perabot bertaburan di atas lantai.


Petugas kecemasan memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada kebocoran gas yang memenuhi ruang rumah sebelum meletup secara tiba-tiba.


Kemusnahan dahsyat itu turut menyebabkan tiga rumah berhampiran mengalami kerosakan pada struktur bangunan.


Bapa pengantin lelaki, Hanif Masih berkata, semua mangsa baru sahaja masuk tidur kira-kira 3 pagi sebelum dikejutkan dengan runtuhan bangunan berkenaan.


Beliau meluahkan rasa hiba apabila kehilangan isteri, anak lelaki, menantu serta adik iparnya serentak dalam kejadian yang menyayat hati itu.


Beberapa mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan terpaksa diusung keluar oleh pasukan penyelamat menggunakan pengusung.


Timbalan Pesuruhjaya Polis, Sahibzada Yousaf berkata, pihaknya menggunakan anjing pengesan dan teknologi canggih bagi memastikan tiada mangsa tertinggal di bawah sisa konkrit.


Pengerusi Senat Pakistan, Yusuf Raza Gilani menyifatkan insiden itu sebagai tragedi yang mengubah suasana keraian perkahwinan menjadi hari berkabung.


Beliau turut menggesa jabatan berkaitan supaya lebih serius dalam memastikan langkah keselamatan penggunaan silinder gas dipatuhi bagi mengelak kejadian serupa berulang.


Pegawai forensik menggunakan pengesan logam untuk memeriksa serpihan rumah yang rosak selepas letupan silinder gas di Islamabad pada 11 Januari 2026. - Foto AFP.

Ahad, 11 Januari 2026

Remaja perempuan, lelaki ditemui meninggal dunia dalam kereta di Sandakan

Remaja perempuan, lelaki ditemui meninggal dunia dalam kereta di Sandakan


Seorang pelajar perempuan yang dilaporkan hilang ditemui meninggal dunia dalam kereta bersama seorang lelaki di Bandar Sejati Walk di Sandakan pagi tadi.


Pelajar berusia 17 tahun itu ditemui bersama lelaki berusia 18 tahun di bahagian penumpang belakang kenderaan kira-kira jam 8 pagi tadi.


Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan K Ramasamy, berkata sepasukan anggota polis bersama unit forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat awam mengenai penemuan itu.


Katanya, pemeriksaan mendapati semua tingkap kereta tertutup rapat dan berkunci dengan barang berharga milik mangsa masih berada dengan mangsa.


"Hasil siasatan awal juga mendapati mangsa lelaki keluar dari rumahnya untuk bertemu dengan pelajar itu pada Jumaat lalu, sebelum kedua-duanya gagal dihubungi.


"Bapa mangsa kemudian menemui kereta miliknya di tempat letak kereta Bandar Sejati Walk sebelum menemui kedua-dua mangsa selepas membuka pintu kereta menggunakan kunci pendua," katanya.


Ramasamy berkata, pemeriksaan awal juga tidak menemui sebarang unsur jenayah atau khianat dan mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk proses bedah siasat.


Katanya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.


Dua mangsa ditemui meninggal dunia dalam kereta dalam kejadian di Bandar Sejati Walk, di Sandakan. - Foto Berita Harian.
Peserta larian malam diganggu sembilan 'entiti' menyeramkan

Peserta larian malam diganggu sembilan 'entiti' menyeramkan


Bukan sekadar program larian biasa, sebaliknya keberanian peserta 'Nightmare Run' di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban 3 benar-benar diuji apabila mereka terpaksa berdepan 'gangguan' sembilan entiti berkostum menyeramkan, pada malam Jumaat.


Program larian yang bermula jam 9 malam itu pada awalnya berlangsung dalam keadaan tenang, namun bertukar menjadi suasana mengujakan apabila kelibat 'hantu' yang diimport dari pelbagai watak filem Hollywood mula kelihatan.


Antara yang ditampilkan ialah ghostface, grim reaper, scarecrow dan werewolf.


Pengarah Program, Muhammad Najmi Afiq Mohd Suhaimi, 24, berkata, seramai 150 peserta termasuk dari luar kampus yang terlibat dalam program terbabit.


"Peserta perlu melalui empat 'checkpoint' yang menempatkan sembilan entiti yang akan muncul secara mengejut.


"Kehadiran entiti inilah yang membuatkan acara larian malam ini jadi lebih menarik dan mengujakan kerana tema begini belum pernah lagi dibuat," katanya ditemui di lokasi program.



Menurutnya, program berkenaan dianjurkan oleh penuntut semester lima Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran serta Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar UiTM Seremban 3 dengan kerjasama pengumpul koleksi kostum hantu Hollywood.


Tambahnya, idea penganjurannya juga secara tidak langsung mahu memeriahkan suasana kolej dengan aktiviti sihat.


"Biasanya kawasan kampus agak lengang pada waktu malam, jadi kami mahu membuktikan aktiviti malam juga boleh diisi dengan program sihat dan menyeronokkan.


Sementara itu, penuntut Kolej Mara Seremban, Nurul Adeella Mohamad Asri, 19, berkata, dia tertarik untuk menyertai larian tersebut yang dianggap lain daripada kebiasaan.


"Ia bukan program biasa, tapi penuh suasana mendebarkan kerana tiba-tiba kami dikejutkan dengan entiti yang menyeramkan," katanya. - Sumber Sinar Harian.

Sabtu, 10 Januari 2026

Kerajaan akan terus ambil tindakan terhadap "ikan besar" - PM Anwar

Kerajaan akan terus ambil tindakan terhadap "ikan besar" - PM Anwar


Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan kerajaan akan terus mengambil tindakan terhadap 'ikan besar', termasuk bekas Perdana Menteri dan bekas menteri dalam usaha membanteras rasuah.


Perdana Menteri, berkata rasuah bukan saja berleluasa namun bersifat sistemik dan memerlukan usaha yang sangat besar.


"Walaupun ada kejayaan, kita masih berdepan isu besar. Anda juga sedar bahawa dalam kalangan pemimpin politik, termasuk pembangkang, sokongan tidak begitu kuat.


"Setiap kali kerajaan menyentuh pemimpin besar atau tokoh korporat utama, akan ada suara yang mempertikaikan tindakan berkenaan," ketika sidang media selepas menghadiri majlis pembukaan rasmi Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP) di Zoo Negara, hari ini.


Anwar berkata, beliau juga akan terus memantau Kabinet serta jentera kerajaan dengan sangat rapi.


Sementara itu, ditanya mengenai keperluan melakukan reformasi besar-besaran dalam pasukan pertahanan negara susulan siasatan kes rasuah dalam pasukan itu, Anwar berkata jika dibandingkan beberapa tahun lalu, tahap penguatkuasaan sekarang adalah berkesan dan agak membanggakan.


"Saya tidak mengatakan bahawa saya berpuas hati sepenuhnya. Tetapi saya memuji agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Imigresen dan lain-lain," katanya.

'Persepsi Pas punca PN hilang sokongan bukan Melayu tidak tepat' - Tuan Ibrahim

'Persepsi Pas punca PN hilang sokongan bukan Melayu tidak tepat' - Tuan Ibrahim


Persepsi yang ditanam oleh pihak luar kononnya Pas menjadi punca orang bukan Melayu berasa takut dan tidak menyokong Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai tidak tepat.


Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tanggapan sedemikian tidak berlandaskan fakta kerana prestasi PN dalam beberapa pilihan raya membuktikan bahawa gabungan itu terus menerima sokongan merentasi kaum.


Ujar beliau, kejayaan PN memenangi beberapa negeri termasuk Kedah, Perlis dan Terengganu jelas menunjukkan sokongan rakyat termasuk dalam kalangan bukan Melayu, masih wujud dan semakin bertambah.


"Jika nak katakan Pas gagal dan menjadi sebab orang bukan Melayu tidak menyokong PN, analisis itu tidak tepat.


"Hakikatnya, ketika Pas belum menerajui PN sekalipun, ada parti yang tetap gagal menarik sokongan bukan Melayu.


"Apa yang penting ialah semua parti komponen bergerak bersama di bawah payung PN, bukan bergerak atas parti masing-masing," katanya ketika ditemui di Bangi hari ini.


Sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN.


Pada Khamis, media melaporkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa wujud kebimbangan dalam kalangan ahli dan pemimpin Gerakan serta Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) sekiranya Pas menerajui PN.


Wan Saiful berkata, dua parti itu melihat kemungkinan sukar untuk mereka meneruskan mandat menarik sokongan bukan Melayu sekiranya Pas mengetuai gabungan berkenaan.


Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, setiap parti komponen perlu memperkukuh gerak kerja masing-masing dan memainkan peranan bersama bagi memastikan PN terus mendapat sokongan rakyat.


"PN bertahan sebagai satu gabungan. Selagi kita bekerja sebagai satu pasukan dan menilai berdasarkan pencapaian serta tadbir urus, isu sokongan bukan Melayu tidak seharusnya dijadikan alasan," ujarnya.


Mengulas mengenai kenyataan bekas pemimpin Pas, Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang menyatakan belum sampai masanya untuk Pas memimpin PN atau mempertaruhkan calon parti itu sebagai 'poster boy' Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), beliau menegaskan ia hanyalah pandangan peribadi dan bukan pendirian parti.


"Dia bukan lagi sebahagian daripada kepimpinan PN. Setiap orang boleh memberi pandangan peribadi, tetapi yang penting ialah senario sokongan rakyat terhadap kepimpinan Pas ketika ini tidak menunjukkan sebarang masalah.


"Pas bukan hanya dianggotai oleh golongan ulama, sebaliknya turut disertai ramai profesional, teknokrat dan pakar dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi dan pentadbiran.


"Contohnya Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mereka bukan daripada latar belakang ulama tetapi terbukti berkeupayaan mentadbir negeri dengan baik serta mencatatkan pencapaian yang membanggakan," katanya.

Jumaat, 9 Januari 2026

UMNO nafi terima surat peletakan jawatan Akmal

UMNO nafi terima surat peletakan jawatan Akmal


UMNO menafikan menerima sebarang maklumat rasmi mengenai dakwaan peletakan jawatan Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Akmal Saleh yang tular di media sosial hari ini.


Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya tidak berpandukan kepada spekulasi atau khabar angin yang berlegar di media sosial dalam menentukan kedudukan kepimpinan parti.


"Tidak ada. Setakat ini tiada surat rasmi diterima. Sebagai Setiausaha Agung parti, kita tidak berpandukan kepada apa yang diperkatakan di media sosial atau cakap-cakap yang berlegar," katanya ketika diminta mengulas perkara itu.


Sebelum ini, sebuah portal mendakwa Akmal sudah menyatakan hasratnya untuk melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pemuda Umno dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau.


Menurut sumber yang rapat dengan UMNO, Akmal memaklumkan perkara itu kepada sekumpulan pemimpin Pemuda menerusi mesej dalam aplikasi WhatsApp semalam.


Menurut sumber, Akmal ketika ini masih berada di Shanghai, China. Dalam pada itu, Asyraf Wajdi secara peribadi turut menasihatkan Akmal supaya tidak mengambil hati dengan perbezaan pendapat yang berlaku kini.


"Secara peribadi, sebagai abang kepada Dr Akmal yang juga bertanggungjawab meletakkan dia di situ (Ketua Pemuda), perbezaan pandangan itu biasa.


"Saya dulu pun pernah jadi Ketua Pemuda, pada satu ketika pandangan saya tidak diterima oleh semua Majlis Kerja Tertinggi (MKT), tetapi itu tidak menyebabkan kita harus mengundur diri ataupun lemah semangat kerana itu biasa di dalam tradisi berorganisasi.


"Kadang-kala pandangan kita itu diterima kadang-kala ia tidak diterima, Tapi paling penting dalam prinsip UMNO ini kita sentiasa berpandukan kepada syura. Agree to disagree dan kalau tak bersetuju, akhirnya kita akan ada kata sepakat," katanya.

Duda, janda beri alasan bincang 'bisnes' ketika ditangkap khalwat di sebuah rumah teres

Duda, janda beri alasan bincang 'bisnes' ketika ditangkap khalwat di sebuah rumah teres


Seorang duda memberi alasan mahu berbincang mengenai 'bisnes' ketika dicekup bersama seorang wanita berstatus janda oleh pihak Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di sebuah rumah teres di Batu Pahat pada Selasa.


Menurut sumber dari laman Facebook Lampu Suluh Banteras Maksiat JAINJ, pihak penguatkuasa melakukan serbuan pada jam 8.15 pagi selepas mendapat aduan awam.


"Setibanya di lokasi, penguat kuasa melihat kereta milik wanita terbabit berada dalam garaj berpagar. Dua penguat kuasa ditugaskan di belakang rumah dalam usaha mencegah suspek melarikan diri.


"Setelah 10 minit mengetuk pintu dan panggilan tidak berjawab, pintu akhirnya dibuka oleh seorang wanita yang memakai telekung labuh dan seluar panjang.


"Setelah memperkenalkan diri dan menunjukkan kad kuasa, pihak penguat kuasa seterusnya masuk ke rumah bagi tujuan pemeriksaan," menurut sumber berkenaan.


Hasil pemeriksaan katanya, pihak penguat kuasa memaklumkan keadaan ruang tamu didapati kemas dan tiada individu lain ditemukan kecuali makanan bungkus yang sudah dimakan separuh.


Bagaimanapun jelasnya, pemeriksaan lanjut di bilik belakang telah menemukan seorang lelaki sedang bersembunyi di sebalik pintu.


"Wajah lelaki berkenaan kelihatan pucat dipercayai ingin melarikan diri mengikut pintu belakang.


"Lelaki ini hanya berseluar panjang dan tidak memakai baju. Baju lelaki dijumpai atas kerusi dalam bilik dan katil didapati berselerak, cadar dan bantal bersepah dan selimut jatuh ke lantai.


"Dalam almari pula ditemukan pakaian wanita dan tiada pakaian lelaki. Pemeriksaan seterusnya di bilik tingkat atas tidak menemui sesiapa dan mereka disahkah berdua sahaja dalam rumah itu." katanya.


Sementara itu, sumber memaklumkan siasatan lanjut mendapati kedua-duanya bukan suami isteri yang mana wanita berumur 30-an itu berstatus janda manakala lelaki pula berusia 40-an dan berstatus duda.


"Ini adalah rumah wanita dan lelaki berkenaan dikatakan datang ke rumah tersebut sekitar jam tujuh pagi dengan menaiki motosikal dan masuk melalui pintu belakang.


"Mereka sudah lama berkenalan dan sering berjumpa kononnya atas urusan perniagaan. Apabila ditanya apa tujuan lelaki itu datang ke rumah itu, mereka kata hendak bincang pasal 'bisnes.'


"Apabila penguat kuasa bertanya sama ada mereka ada hasrat untuk bernikah, mereka mendakwa ada perancangan tapi belum ditetapkan tarikh tersebut," menurut sumber itu lagi.

Khamis, 8 Januari 2026

Albert Tei saman SPRM, dakwa dipaksa pakai baju lokap ketika dalam siasatan

Albert Tei saman SPRM, dakwa dipaksa pakai baju lokap ketika dalam siasatan


Ahli perniagaan, Albert Tei memfailkan saman sivil terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Azam Baki serta kerajaan, susulan dakwaan beliau dipaksa memakai baju lokap berwarna jingga ketika masih dalam siasatan.


Tei memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam. Peguamnya, N Surendran, mempersoalkan asas undang-undang yang mewajibkan seseorang yang sekadar disiasat dipakaikan pakaian lokap.


Beliau berkata, gambar Tei yang kemudiannya tersebar luas telah menimbulkan persepsi bahawa anak guamnya sudah bersalah, walaupun belum dibicarakan di mahkamah.


Menurut Surendran, Tei memohon deklarasi mahkamah bahawa tindakan berkenaan adalah tidak berperlembagaan, selain menuntut ganti rugi yang akan ditaksirkan oleh mahkamah.


"Walaupun ketika saya menjadi Ahli Parlimen lapan atau sembilan tahun lalu, saya sudah membangkitkan isu ini - seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah.


"Di bawah undang-undang mana menyatakan bahawa sesiapa yang ditangkap dan masih disiasat, termasuk orang awam, mesti dipaksa memakai baju lokap berwarna jingga?


"Gambar mereka dirakam dan disebarkan di internet, media dan televisyen. Apa akan berlaku jika akhirnya mahkamah membebaskan mereka?


"Adakah maruah yang tercalar itu boleh dipulihkan semula?" katanya sambil menegaskan tiada undang-undang di Malaysia yang membenarkan amalan sedemikian.


Kenyataan itu dibuat selepas prosiding sebutan kes rasuah membabitkan Tei, yang turut dikaitkan dengan bekas setiausaha politik Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.


Tei berkata, saman berkenaan bukan satu-satunya tindakan undang-undang yang akan diambilnya, selain mendakwa beliau dipaksa memakai kemeja-T jingga tertera perkataan "lock-up", digari dan dibawa ke beberapa lokasi.


"Dengan pakaian sama, saya dibawa ke beberapa tempat dan dilihat oleh ramai orang. Apakah niat SPRM? Tindakan ini jelas bertujuan menimbulkan prejudis terhadap saya di mata masyarakat," katanya.


Beliau turut mendakwa SPRM bertindak secara sengaja untuk memberi tekanan mental dan melemahkan semangatnya.


"Saya ingin menegaskan dan memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta Azam bahawa mereka telah memandang rendah kesungguhan, ketegasan dan keazaman saya dalam perjuangan ini.


"Saya tidak akan berputus asa," katanya sambil mendakwa dirinya adalah mangsa dan pemberi maklumat dalam beberapa skandal membabitkan tokoh berpengaruh.


Tei turut mempersoalkan mengapa individu berprofil tinggi seperti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, isterinya dan beberapa yang lain tidak dikenakan pakaian sama, sekali gus mendakwa wujud layanan tidak sama rata dalam penguatkuasaan.


Beliau mendakwa SPRM seolah-olah telah menjatuhkan hukuman sebelum keputusan mahkamah dan mencabar agensi itu menjelaskan asas undang-undang amalan berkenaan, termasuk mendedahkan statistik individu yang ditahan, dipakaikan baju lokap jingga dan kemudiannya dibebaskan oleh mahkamah.


Sebagai simbol perjuangannya, Tei membeli sendiri baju sama secara dalam talian dan mewujudkan platform media sosial yang memaparkan gambarnya mengenakan pakaian berkenaan, yang dinamakan Albert Tei Reformati.