Rabu, 13 Ogos 2025

Denda RM800, sebab gaduh tarik rambut antara madu, adik ipar

Denda RM800, sebab gaduh tarik rambut antara madu, adik ipar


Seorang kontraktor, isteri pertama dan kedua serta adik ipar perempuan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Batu Pahat pagi tadi, atas pertuduhan gaduh gempar dengan menarik rambut hingga cedera.


Haliff Hamsya Mohd Rozali, 30, selaku tertuduh pertama, isteri Rabiatul Adawiyah Mohd Adnan, 30 (kedua); Nor Ashikin Salam, 25 (ketiga) dan ipar Siti Nor Balkish Salam, 24, (keempat), mengaku bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan jurubahasa di hadapan Majistret Arun Noval Dass.


Keempat-empat tertuduh kemudian didenda RM800 seorang dan diperintah menjalani hukuman penjara sebulan jika gagal membayarnya. Kesemua tertuduh membayar denda.


Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa melakukan gaduh-gempar hingga menganggu ketenteraman awam di hadapan sebuah rumah di Taman Sri Penggaram, Batu Pahat pada jam 3 petang, 3 Ogos lalu.


Oleh itu, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga tertuduh pertama membuat laporan polis menyatakan semasa berada di rumah isteri kedua (tertuduh ketiga), didatangi isteri pertama (tertuduh kedua) yang mahu mengajaknya mengambil telefon bimbit.


Berlaku kekecohan di hadapan rumah itu dengan adik ipar (tertuduh keempat) pengadu keluar rumah lalu bertengkar dengan tertuduh kedua hingga membawa kepada insiden menarik rambut.


Sebelum itu, tertuduh kedua membuat bising di hadapan rumah dengan membunyikan hon. Insiden itu berlarutan sehingga berlaku pergelutan dengan tertuduh keempat dengan cara tolak-menolak dan memukul.


Pengadu berada di hadapan rumah datang untuk meleraikan pergaduhan tetapi bertindak menumbuk muka tertuduh ketiga dan menendang muka tertuduh keempat.


Kejadian itu menyebabkan tertuduh kedua, ketiga dan keempat mengalami kecederaan dan mendapat rawatan di hospital.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.


Nor Ashikin dan Siti Nor Balkish keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas mengaku salah bergaduh. - Foto Harian Metro.

Selasa, 12 Ogos 2025

Bapa didakwa 52 pertuduhan amang seksual, sumbang mahram dan rakam gambar bogel anak

Bapa didakwa 52 pertuduhan amang seksual, sumbang mahram dan rakam gambar bogel anak


Seorang bapa kepada enam anak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Melaka hari ini atas 52 pertuduhan termasuk melakukan sumbang mahram, amang seksual fizikal dan merakam gambar bogel anak kandungnya.


Tertuduh berusia 41 tahun dan bekerja sebagai juruteknik perkakas elektrik membuat pengakuan tidak bersalah sebaik kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Haderiah Siri.


Berdasarkan 17 pertuduhan, dia didakwa telah melakukan sumbang mahram terhadap anak kandungnya yang berusia 18 tahun.


Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan hendaklah juga dihukum dengan sebatan, jika disabit kesalahan.


Bagi 34 pertuduhan lain, tertuduh sebagai orang yang mempunyai hubungan amanah iaitu bapa kandung kepada mangsa sama didakwa dengan sengaja telah melakukan amang seksual fizikal.


Susulan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(b) dan 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (AKSTK 2017) dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.


Oleh itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan sebat bagi Seksyen 14(b) dan 14(a) AKSTK 2017, manakala penjara tidak melebihi lima tahun dan hendaklah dikenakan sebat tidak kurang daripada dua sebatan bagi Seksyen 16(1) AKSTK 2017.


Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Tambak Paya di Melaka antara jam 6.50 pagi sehingga 7.15 pagi pada 12 Mei 2025 sehingga 2 Ogos lalu.


Dia juga berdepan satu pertuduhan di bawah Seksyen 7 AKSTK 2017 atas kesalahan membuat pornografi kanak-kanak dengan merakam dua keping gambar yang memaparkan mangsa sama dalam keadaan tidak berpakaian di dalam bilik air ketika anaknya itu berumur 17 tahun 11 bulan.


Bagi kesalahan itu dia berdepan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan hendaklah juga dihukum dengan hukuman sebat tidak kurang daripada lima sebatan.


Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan berjumlah RM20,000 bagi setiap 52 pertuduhan berserta syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.


Pihak pendakwaan turut berhujah supaya tertuduh melapor diri setiap dua minggu di balai polis berhampiran dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.


Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar jumlah jaminan direndahkan dengan alasan hanya bekerja sebagai tukang baik pulih peti sejuk dan mesin basuh, selain mempunyai simpanan sebanyak RM8,000 sahaja.


Dia turut merayu dengan alasan tertekan sehingga mahu membunuh diri kerana hilang maruah sebagai bapa apabila dituduh melakukan kesalahan tersebut.


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM90,000 beserta syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.


Selain itu, mahkamah menetapkan 18 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.


Tertuduh (tengah) mengaku tidak bersalah atas 52 pertuduhan melakukan sumbang mahram, amang seksual dan merakam gambar bogel anak.
Peniaga didenda RM1,200, tumbuk mulut lelaki hingga berdarah berang ditegur buat sepah

Peniaga didenda RM1,200, tumbuk mulut lelaki hingga berdarah berang ditegur buat sepah


Mahkamah Majistret Yong Peng, Batu Pahat hari ini menjatuhkan hukuman denda RM1,200 terhadap peniaga kerana menumbuk mulut seorang lelaki hingga berdarah selepas berang ditegur kerana tidak menjaga kebersihan, Sabtu lalu.


Majistret Arun Noval Dass menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh SM Yusoff Othman, 56, selepas mengambil kira pengakuan bersalah, hujahan dan rayuan kedua-dua pihak.


Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda dikenakan terhadapnya. Tertuduh membayar denda terbabit.


Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap lelaki berusia 31 tahun dengan menumbuk mulut di Taman Putera Indah, Tongkang Pechah, 5 petang, 9 Ogos lalu.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.


Berdasarkan fakta kes, mangsa menegur tertuduh supaya tidak membuat sepah dan menjaga kebersihan namun teguran itu mengundang kemarahannya.


Berlaku perselisihan antara kedua-duanya dan kemuncaknya apabila tertuduh menumbuk mulut hingga berdarah.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).


SM Yusoff didenda RM1,200 selepas didapati bersalah menumbuk muka seorang lelaki lepas berang ditegur membuat sepah dan tidak menjaga kebersihan. - Foto Harian Metro.

Isnin, 11 Ogos 2025

Baru 2 hari kerja di rumah urut, hanya sempat kumpul komisen RM100 sudah dicekup imigresen

Baru 2 hari kerja di rumah urut, hanya sempat kumpul komisen RM100 sudah dicekup imigresen


Baru sempat mengumpul komisen kira-kira RM100 selepas dua hari bekerja, seorang wanita warga Thailand ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana menyalahgunakan pas lawatan bagi tujuan bekerja di rumah urut.


Wanita berusia 25 tahun itu baru tiga hari sampai ke negara ini dengan menaiki bas dari Bangkok melalui Hatyai dan masuk melalui sempadan utara.


Dia antara tiga suspek yang kesemuanya warga Thailand yang ditahan imigresen dalam serbuan Op Gegar melibatkan JIM Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor pada malam tadi di sebuah rumah urut di Tambun, Ipoh.


Pengarah JIM Perak, Datuk James Lee pada sidang media berkata, dalam serbuan serentak di 13 lokasi di sekitar Ipoh itu, 54 wanita warga asing berusia antara 20 hingga 35 tahun ditahan, dengan pecahan 48 warga Thailand, dua warga Indonesia dan empat warga Vietnam.



Lee berkata, kesemua suspek ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.


"Fokus kita pada malam ini adalah untuk membanteras kegiatan tidak bermoral khususnya di pusat-pusat urut. Pegawai risikan saya telah membuat risikan selama 14 hari dan saya telah arahkan pegawai penguat kuasa untuk buat serbuan pada malam tadi.


"Kebanyakan mereka datang sini menggunakan pas lawatan sosial, dan telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Imigresen 1963 (kerana bekerja)," katanya sambil menambah sebanyak 91 pegawai dan anggota JIM terlibat dalam operasi berkenaan.


Beliau berkata, ada suspek terbabit menawarkan perkhidmatan dibawa pulang ke rumah pelanggan, selain menggunakan aplikasi TikTok serta WhatsApp bagi menarik perhatian pelanggan dengan bayaran antara RM50 ke RM100 untuk setiap perkhidmatan.


Sebanyak 54 pelanggan lelaki tempatan dan warga asing turut ditahan dengan kesemua mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Ipoh bagi membantu siasatan lanjut serta dipanggil sebagai saksi.


54 wanita warga asing ditahan di rumah urut oleh Jabatan Imigresen Perak dalam operasi di sekitar Ipoh. - Foto Bernama.
Pelajar serang guru dalam kelas, berang gagal dapat markah penuh

Pelajar serang guru dalam kelas, berang gagal dapat markah penuh


Seorang pelajar lelaki berumur 17 tahun di Thailand menyerang seorang guru wanita di sebuah sekolah di wilayah Uthai Thani, lapor portal berita Thaiger hari ini.


Serangan fizikal itu terbongkar selepas mangsa berkongsi kisahnya dengan seorang guru terkenal yang mengendalikan laman Facebook, Teacher Arty.


Ketika kejadian, pelajar lelaki itu menghampirinya di dalam kelas untuk bertanya markah dan guru itu memaklumkan bahawa dia mendapat 18 daripada 20 markah.


Pelajar itu meminta penjelasan mengapa dia tidak mendapat markah penuh dalam peperiksaan matematik.


Guru tersebut menjelaskan bahawa walaupun jawapannya betul, dia gagal menunjukkan langkah kerja seperti yang dikehendaki dalam arahan tugasan.


Pelajar itu berulang kali menumbuk dan menendangnya, serangan hanya berhenti apabila seorang guru lelaki tiba.


Guru wanita itu mengalami lebam di mata, bengkak di kepala dan kecederaan serius pada tulang rusuk. Dia membuat laporan di Balai Polis Nong Chang.


Ibu bapa pelajar tersebut menghubunginya untuk memohon maaf bagi pihak anak mereka manakala pihak sekolah menggantung pelajar itu. - Sumber The Thaiger.


Seorang pelajar menyerang guru di dalam kelas. - Foto Amarin TV.

Ahad, 10 Ogos 2025

Lelaki Malaysia ditahan rakam video hubungan intim, peras ugut puluhan wanita Thailand

Lelaki Malaysia ditahan rakam video hubungan intim, peras ugut puluhan wanita Thailand


Seorang lelaki warga Malaysia didakwa merakam video wanita Thailand dan melakukan pemerasan bagi mendapatkan wang di Pattaya, lapor portal berita Thaiger semalam.


Perbuatan yang dilakukan secara rahsia itu akhirnya terbongkar apabila anggota polis dan imigresen menyerbu sebuah kondominium pada pukul l2.30 pagi (waktu tempatan) kelmarin.


Serbuan dilakukan selepas mereka menerima aduan daripada seorang wanita yang mendakwa diperdaya melalui aplikasi WeChat oleh suspek yang berusia 24 tahun.


Wanita itu mendakwa dia dijemput ke bilik suspek di mana terdapat kamera tersembunyi yang merakamkan pertemuan intim mereka. 


Suspek kemudian mengugut akan memuat naik video tersebut ke laman web pornografi sekiranya dia enggan memberi wang.


Pihak berkuasa merampas dua kamera mini tersembunyi, sebuah pemacu kilat, kad memori, pelbagai peranti elektronik dan dua telefon bimbit.


Pemeriksaan pada pemacu kilat menemui banyak video lucah yang dirakam selama beberapa tahun didakwa melibatkan berpuluh-puluh wanita Thailand.


Penyiasat percaya sesetengah mangsa membayar beberapa ratus hingga puluhan ribu baht untuk menghalang rakaman tersebut daripada didedahkan kepada umum.


Suspek mengaku menghasilkan video-video itu untuk tujuan pemerasan.


Menurut portal berita The Pattaya News, dia juga mengaku menggunakan kad kunci yang dicuri untuk memasuki sebuah kondominium di Jomtien yang dijadikan pangkalan aktivitinya.


Suspek ditahan di Balai Polis Bandar Pattaya dan siasatan sedang dilakukan sama ada rakaman tersebut telah dikongsi di platform rahsia atau laman web gelap.


Suspek (dua dari kiri) ditangkap di sebuah kondominium. - Foto The Pattaya News.
16 pub digempur, pusat hiburan haram dikendali warga asing jejas ketenteraman awam

16 pub digempur, pusat hiburan haram dikendali warga asing jejas ketenteraman awam


Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius kewujudan pusat hiburan haram yang dikendalikan warga asing kerana ia bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah menjejaskan ketenteraman awam.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau pihak terlibat dan akan terus mempergiatkan operasi bersepadu di seluruh negara.


Beliau berkata, sebanyak 22 premis hiburan dan restoran yang diubah suai menjadi pub serta bilik karaoke (KTV) dipercayai dikendalikan warga asing diserbu dalam Operasi Mega Pusat Hiburan bermula pukul 10.30 malam tadi.


Operasi itu melibatkan Bahagian D7 JSJ Bukit Aman bersama D7 JSJ Selangor dan Kuala Lumpur, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.


"Daripada jumlah tersebut, 16 premis diserbu berada di Selangor manakala enam lagi di Kuala Lumpur.


"Kesemua premis itu dipercayai beroperasi tanpa lesen sah selain menggaji pekerja asing tanpa dokumen perjalanan atau permit kerja yang sah," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Susulan itu, seramai 288 individu berusia 18 hingga 51 tahun ditahan terdiri daripada empat penjaga premis, 21 penjaga kaunter, 26 pekerja dan 66 wanita Myanmar yang merupakan pelayan pelanggan (GRO).


Sementara itu, seramai 170 pelanggan warga asing dan seorang lelaki yang berperanan sebagai 'jaga air' turut ditahan. Mereka terdiri daripada warga Myanmar, Nepal dan Bangladesh.


"Turut dirampas adalah wang tunai, peralatan hiburan, minuman keras pelbagai jenama dan beberapa dokumen berkaitan operasi premis," ujarnya.


Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Akta Hiburan, Akta Eksais, Akta Kastam 1976 dan Akta Imigresen 1959/63.


Antara GRO warga Myanmar yang ditahan dalam Operasi Mega Pusat Hiburan, malam tadi. - Foto PDRM.
Warga emas direman empat hari bakar rumah isteri kedua

Warga emas direman empat hari bakar rumah isteri kedua


Seorang warga emas direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes kebakaran melibatkan sebuah rumah di Kampung Langkap Baru, Bandar Permaisuri di Setiu.


Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, suspek berusia 79 tahun itu ditahan jam 4.11 pagi di pekarangan Balai Polis Chabang Tiga, Kuala Terengganu.


Menurutnya, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku kira-kira jam 1 pagi ketika pengadu yang berada di hadapan rumah melihat seorang lelaki melemparkan sesuatu ke dalam rumah melalui tingkap hadapan yang terbuka.


"Perbuatan itu menyebabkan api menyala di bahagian dalam rumah yang merupakan rumah isteri keduanya sebelum suspek beredar dari lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, lelaki warga emas itu berjaya dijejak sebelum berjaya ditahan di pekarangan Balai Polis Chabang Tiga kira-kira 45 kilometer dari lokasi.


Tambah beliau, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Setiu jam 10 pagi tadi bagi perintah tahanan reman.


"Suspek direman bermula hari ini (Ahad) hingga 13 Ogos bagi siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api," katanya.


Kesan kebakaran rumah seorang wanita disyaki dilakukan suaminya di Kampung Langkap Baru, Setiu hari ini.

Sabtu, 9 Ogos 2025

Penghulu kahwin dua wanita serentak tular di TikTok

Penghulu kahwin dua wanita serentak tular di TikTok


Seorang penghulu di Kotawaringin Timur, wilayah Kalimantan Tengah mengundang perhatian orang ramai kerana dikatakan berkahwin dengan dua wanita serentak, lapor portal berita Lambe Turah hari ini.


Majlis perkahwinan itu berlangsung di Desa Bajarau, daerah Parenggean.


Rakaman video di platform TikTok oleh akaun @officiallambeturah menunjukkan pengantin lelaki diapit dua wanita yang mengenakan gaun panjang.


Mereka turut mencium pipi si suami ketika bergambar di atas pelamin.


Seorang pengguna laman sosial kemudian menjelaskan bahawa salah seorang wanita merupakan isteri pertama penghulu terbabit.


Rakaman itu mencatatkan lebih 16,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.


"Senang hati ada dua isteri," kata seorang netizen. - Sumber Lambe Turah.


Tangkap layar menunjukkan pengantin lelaki diapit dua wanita di atas pelamin. - Foto TikTok.
Kelantan mohon kelulusan beberapa projek pembangunan utama daripada Kerajaan Persekutuan

Kelantan mohon kelulusan beberapa projek pembangunan utama daripada Kerajaan Persekutuan


Kerajaan Negeri Kelantan berharap Kerajaan Persekutuan memberikan pertimbangan sewajarnya untuk meluluskan 5 projek di negeri itu demi keperluan pembangunan dan keselamatan rakyat.


Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata antaranya pembinaan Empangan Sungai Lebir di Kuala Krai sebagai struktur mitigasi banjir, pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau di Tunjong, pembentukan Zon Ekonomi Khas Rantau Panjang.


Katanya, selain itu, pembangunan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) serta pembinaan CPPC di Lojing bagi menjadikan Kelantan sebagai hab pengeluaran makanan utama negara.


"Kerajaan Negeri amat berharap Kerajaan Persekutuan dapat memberikan pertimbangan sewajarnya terhadap projek-projek ini dan memastikan peruntukan yang diperlukan dapat disalurkan dalam tempoh terdekat.


"Kita percaya bahawa hanya dengan kerjasama erat yang berterusan, disertai semangat saling memperkukuh antara pusat dan negeri, maka agenda pembangunan menyeluruh yang inklusif dan berimpak tinggi kepada rakyat dapat direalisasikan dengan jayanya.


"Kerajaan Kelantan dengan budaya kerja berteraskan Ubudiyyah, Mas'uliyyah dan Itqan, sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada semua pihak, khususnya dalam meningkatkan agenda kesejahteraan rakyat dan memastikan negeri ini terus berada pada landasan yang tepat menuju Kelantan Sejahtera 2033 di bawah pelan strategi Penghayatan Membangun Bersama Islam," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Perasmian Penutupan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, hari ini.


Jelasnya, hasrat Kerajaan Persekutuan untuk memberikan tumpuan khusus kepada negeri-negeri yang dikategorikan sebagai kurang membangun agar mampu menangani ketidakseimbangan pembangunan, amatlah Kelantan hargai dan alu-alukan.


"Ini kerana agihan dan limpahan kemajuan untuk melonjakkan Malaysia sebagai negara maju menjelang tahun 2030 hendaklah dilaksanakan secara adil dan inklusif.


"Saya mengharapkan hasrat ini diberikan perhatian sewajarnya oleh Perdana Menteri disamping inisiatif yang telah diumumkan, demi memastikan negeri ini tidak terus ketinggalan dalam arus pembangunan nasional.


"Sudah tiba masanya Kelantan turut duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negeri-negeri lain, khususnya dalam aspek infrastruktur, pelaburan dan kesejahteraan rakyat," katanya.


Tambahnya, dengan menjunjung semangat federalisme, saya percaya jurang pembangunan dapat dirapatkan, sekaligus meningkatkan taraf hidup rakyat Kelantan secara inklusif dan berdaya saing.


Anwar Ibrahim (kanan) berbual dengan Mohd Nassuruddin pada perasmian Program Rancakkan MADANI Negeri Kelantan dan Peluncuran Program Aku Kasih Malaysia di Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian, hari ini. - Foto Bernama.