Jumaat, 25 Jun 2021

Misteri Alat Pengimbas Suhu Berbunyi Sendiri Kesan 'Seseorang' Tapi Tiada Orang Lalu

Misteri Alat Pengimbas Suhu Berbunyi Sendiri Kesan 'Seseorang' Tapi Tiada Orang Lalu


Tular di laman Twitter sejak Isnin lepas, seorang lelaki telah berkongsi pengalaman misterinya apabila pengimbas suhu badan yang disediakan di premis perniagaannya berbunyi sendiri seakan sedang mengimbas suhu seseorang.


Dipetik dari laporan Kosmo, mengatakan video tular berdurasi 11 saat itu memaparkan mesin pengimbas suhu, pada awalnya tidak mengesan apa-apa suhu badan kerana tiada orang, namun secara tiba-tiba mesin itu memaparkan suhu 35 darjah Celcius.


Menurut @afndysd yang merakam video tersebut memberitahu, mesin pengimbas suhu itu berbunyi pada waktu Maghrib sahaja seolah-olah sedang memeriksa suhu badan 'seseorang' walaupun tiada kelibat sesiapa.



"Jika mahu kata mesin pengimbas suhu itu sensitif, saya rasa tidak. Ini kerana, mesin pengimbas suhu itu hanya akan berbunyi pada waktu Maghrib. Waktu yang lain dia senyap sahaja kecuali ada pelanggan yang datang.


"Mengenai azan di kedai, kedai saya bersebelahan dengan sebuah surau dan saya masih tidak berani untuk membuat bacaan ruqyah. Mungkin juga ada masalah pepijat (bug) pada mesin pengimbas suhu tersebut," jelasnya.


Rata-rata pengguna laman Twitter berseloroh dan mahu menyedapkan hati tuan kedai tersebut daripada berfikir negatif mengenai kehadiran entiti yang menyeramkan itu.


Ada yang berkongsi pengalaman serupa, tak kurang juga ada yang membuat lawak jenaka. "Nasib baik suhu normal. Kalau demam, jangan bagi dia masuk," kata seorang netizen.


"Comel je hantu ni, main scan suhu pula. Baru saya tahu suhu badan hantu lagi rendah dari manusia. Mungkin sebab dah mati, hantunya sejuk," gurau netizen lain.


"Periksa suhu je? Cuba periksa aplikasi MySejahtera, mana tahu mungkin ada dalam senarai," balas seorang netizen. Sumber: Izzatul 'Ain Azman/Kosmo (25/6/2021).

Remaja terkejut jumpa lintah dalam burger McDonald

Remaja terkejut jumpa lintah dalam burger McDonald


Dua remaja mendakwa menemukan seekor lintah di dalam burger McDonald yang dibelinya daripada restoran makanan segera itu di Stoke, Staffordshire di London.


Menurut lapor berita Metro UK pada rabu lalu, Aimee Welch, 18, dan teman lelakinya Josh Bakin, 19, mengatakan burger yang mereka beli di restoran Festival Park, cawangan McDonald itu dimasukkan dalam beg, dan kemudian membawanya pulang untuk di makan.


Welch mengatakan ketika Bakin membuka bungkusan burger untuk lihat timun jeruk ada diletakkan atau tidak, dia menemui sejenis objek yang berlendir. Pada mulanya mereka sangka acar, apabila dipegang ia sebenarnya lintah.


"Ia berada di atas keju dan daun salad, apabila melihatnya dengan lebih dekat kami dapati ia adalah lintah.


"Ia amat menjijikkan untuk melihat lintah itu. Saya tidak mahu pergi atau makan di restoran itu lagi," katanya.


Welch berkata, mereka kemudian mengembalikan semula burger tersebut kepada cawangan restoran itu pada waktu petang. Pasangan kekasih itu diberi pulangan wang sebanyak 5 pound (RM29).


The McDonald's outlet in Festival Park (Image Google).

Dalam pada itu, jurucakap restoran makanan segera berkenaan meminta maaf kepada pasangan remaja tersebut atas insiden yang berlaku. Katanya, siasatan mendapati tiada bukti menunjukkan bahawa burger itu tercemar.


"Kami mohon maaf atas pengalaman pelanggan ini. Keselamatan makanan sangat penting bagi kami dan kami sangat menekankan kawalan kualiti, mengikuti standard yang ketat untuk mengelakkan ketidaksempurnaan.


 "Setelah melakukan penyelidikan di restoran, kami tidak menemukan apa-apa untuk menunjukkan produk itu tercemar dengan benda asing di restoran tersebut.


"Pasukan Perkhidmatan Pelanggan kami telah menghubungi pelanggan untuk meminta maaf dan membantu mencari penyelesaian," kata jurucakap McDonald.


John Bakin dan Aimee Welch mendakwa menemukan seekor lintah dalam burger yang dibeli di McDonald. - Foto BPM MEDIA.

Khamis, 24 Jun 2021

Dukun ikat 22 jin 'nakal' berusia 100 tahun dalam rumah

Dukun ikat 22 jin 'nakal' berusia 100 tahun dalam rumah


Seorang dukun di Indonesia yang baru bertaubat dari dunia perdukunan mendedahkan bahawa dia mengikat 22 jin berusia 100 tahun di dalam rumahnya, lapor Suara.com pada 23 Jun 2021, semalam.


Ki Joko Bodo dari Pondok Gede, Jakarta Timur berkata, jin-jin yang diikat itu adalah daripada spesies 'nakal' dan sering menimbulkan masalah. Tindakan itu dilakukan sebagai bentuk hukuman atas tindakan jahat makhluk tersebut.


Menurut Joko, dia mengikat makhluk halus tersebut di rumah kerana boleh mengawalnya agar tidak terlepas lalu mengganggu penduduk kampung.


Joko, turut mengatakan bahawa lampu di rumahnya hanya dinyalakan seketika, kerana bimbang beberapa perkara, salah satunya adalah untuk mengelak berlaku litar pintas yang disebabkan oleh roh, dan sebagainya.


"Saya selalu mematikan lampu, litar pintas mungkin berlaku kerana mereka tidak menyukai lampu. Saya hanya menyalakan lampu di beberapa tempat untuk seketika sebelum mematikannya.


"Kawasan rumah saya memang menjadi lokasi hantu, makhluk halus dan jin berkumpul. Malah pontianak juga sering singgah di pokok-pokok sekitar rumah," jelasnya.


Tambah Joko, walaupun dirinya sedang berusaha kembali ke pangkal jalan, dia masih meneruskan pekerjaannya sebagai penghalau hantu dan berinteraksi dengan dunia spiritual.


"Ini adalah pekerjaan dan sumber rezeki saya jadi sukar untuk ditinggalkan terus. Jika ada pelanggan yang datang meminta pertolongan halau hantu, saya masih cuba bantu," ujarnya.


Joko Bodo ikat 22 ekor jin dalam rumah kerana bersikap nakal dan suka mengganggu orang. - Foto Suara.com.
Tidak kisah gadai nyawa demi memiliki bibir paling tebal di dunia

Tidak kisah gadai nyawa demi memiliki bibir paling tebal di dunia


Seorang wanita Bulgaria yang obses mendapatkan bibir paling besar di dunia sanggup merisikokan nyawa bagi menjalani pembedahan yang boleh meragut nyawa, lapor akhbar The Sun, kelmarin (23/6/2021).


Andrea Ivanova, 23, dari Sofia berkata, selain menebalkan bibir, dia juga bercadang menambah saiz payudara dan mengubah struktur wajah agar kelihatan seperti patung mainan Barbie hidup.


Ivanova mula membesarkan bibirnya menjadi Barbie sejak tahun 2018, dan mengakui sudah melakukan 25 suntikan asid hyuluronat di bibir dan percaya bibirnya adalah yang terbesar di dunia.


"Namun saiz sekarang masih belum cukup bagus untuk saya dan saya akan terus menebalkan bibir walaupun ia kini sudah hampir menyekat lubang hidung," jelasnya.


Gadis itu turut memberitahu bahawa doktor yang bertanggungjawab merawatnya memberi amaran bahawa, pembedahan baharu boleh membawa maut.


"Beberapa hari yang lalu, saya menjalani prosedur menebalkan bibir. Doktor saya memberi amaran kepada saya jika bibir saya sakit atau ada masalah segera memanggilnya kerana terdapat risiko dehidrasi.



"Oleh itu, dia mengesyorkan saya melincirkan bibir saya dengan pelembap, walaupun doktor memberi amaran saya tidak peduli kerana saya tetap mahu capai impian bibir terbesar di dunia," katanya.


Ivanova menjelaskan, dia merasa sangat baik dan sangat gembira dengan bibir barunya itu, kerana dengan bibir yang lebih besar dia kelihatan lebih cantik. Walaupun mendapat kritikan dalam talian, Ivanova menegaskan bahawa dia menyukai penampilannya dan tidak peduli dengan pendapat orang lain.


"Ada orang yang menyukai saya dengan bibir yang lebih besar dan ada orang yang menyukai saya dengan bibir yang lebih kecil tetapi tidak menjadi masalah bagi saya, yang penting bagi saya bagaimana saya menyukainya," katanya.


Gambar Andrea Ivanova, selepas menebalkan bibirnya supaya kelihatan seperti patung mainan Barbie hidup. - Foto Jam Press.

Andrea Ivanova, sebelum dia menebalkan bibirnya. - Foto Jam Press.
Bapa pegang payung ketika anak ikuti kelas online tepi jalan

Bapa pegang payung ketika anak ikuti kelas online tepi jalan


Gambar seorang gadis yang sedang mengikuti kelas secara atas talian (online) dalam keadaan hujan sambil dipayungi ayahnya, menjadi tular di media sosial, dengan banyak orang mengatakan bahawa ia merangkumi inti pati Hari Bapa.


Gambar itu diambil oleh seorang wartawan di Ballaka, sebuah desa terpencil di daerah Dakshina Kannada, kelihatan lelaki yang dikenali sebagai Narayana sedang memegang payung sambil anak perempuannya tekun mengikuti pembelajaran di tepi jalan.


Mahesh Puchchappady, seorang wartawan telah mengambil gambar tersebut dan memuat naik di akaun Twitternya pada 15 Jun lalu, dengan kapsyen bahawa gadis tersebut akan datang ke tempat yang sama pada setiap petang. Gambar itu kemudian mula tular ketika sambutan Hari Bapa.


Beberapa pengguna platform media sosial itu menyatakan bahawa gambar tular tersebut menyoroti pelbagai masalah, termasuk kesulitan yang ditanggung oleh para pelajar, terutama dari luar bandar untuk mengikuti kelas dalam talian.


Menurut wartawan itu pula, situasi tersebut adalah normal di kawasan luar bandar, di mana pelajar yang mengikuti kelas online berdepan dengan masalah liputan internet. Sumber: Rita Singh/india.com (21/6/2021).


Narayana memegang payung ketika anak perempuannya mengikut pembelajaran online di tepi jalan. - Foto Mahesh Puchchappady.

Rabu, 23 Jun 2021

Peguam bangga tolong orang susah, terima ketam sebagai upah guaman

Peguam bangga tolong orang susah, terima ketam sebagai upah guaman


Seorang peguam di bandar Sorsogon, Filipina telah menerima upah beberapa ekor ketam selepas kliennya memaklumkan tidak mampu membayar yuran guaman, lapor laman berita GMA News Online 18 Jun 2021.


Dalam satu hantaran di Facebook, Noel Allen Bose memuatnaik sekeping gambar dirinya yang sedang memegang beberapa ekor ketam di tangan kananannya dan beg bimbit di tangan kirinya di perkarangan luar mahkamah.


Bose berkata selepas satu perbicaraan kes, seorang klien memberitahu bahawa dia tidak mempunyai wang untuk membayar yuran guaman, dan bertanya jika boleh membayar khidmatnya dengan ketam yang telah ditangkap. Bose bersetuju dan menerima ketam tersebut.


Perkongsian itu tular di internet - dia juga berterima kasih kepada warganet yang memberikan kata-kata baik buatnya. Bose turut memuatnaik gambar ketam yang sudah dimasak di ruangan komen.


"Hadiah ketam ini sememangnya mengenyangkan namun reaksi positif anda semua terhadap status ini menjadikan hati saya berasa terharu.


"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua peguam yang bertugas untuk sektor kerajaan dan swasta," tulis Bose pada hantaran itu.


Tambahnya, peguam jarang menulis atau berkongsi tentang kerjaya atau cabaran kes yang dihadapi namun mereka sentiasa berusaha keras untuk memenuhi janji bagi membantu warga Filipina.


Bose memuat naik gambar dia memegang ketam yang diterima sebagai upah khidmat guamannya. - Foto Noel Allen Bose.
Tayar Lori Pecah, Durian Bertaburan Atas Lebuh Raya

Tayar Lori Pecah, Durian Bertaburan Atas Lebuh Raya


Sebuah lori dengan muatan kira-kira satu tan durian yang sedang menuju ke Kuala Lumpur dari Segamat, Johor terbalik di Kilometer 279.9 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) berhampiran Nilai, Seremban.


Kejadian itu berlaku tengah hari tadi - menyebabkan durian bertaburan di lebuh raya, dipercayai berpunca apabila sebuah tayar lori itu pecah mengakibatkan ia terbabas dan terbalik.


Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, kejadian berlaku pada jam 1.55 tengah hari apabila lori membawa muatan durian itu terbabas dan terbalik.


Katanya, kejadian berlaku lebih kurang tujuh kilometer dari kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban.


"Kemalangan berlaku apabila sebuah lori muatan durian dipandu lelaki berumur 25 tahun dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Segamat hilang kawalan dipercayai tayar belakang sebelah kiri pecah.


"Lori berkenaan terbabas dan terbalik di lorong kiri. Pemandu lori dan kelindan masing-masing berumur 25 dan 52 tahun mengalami kecederaan ringan. Muatan durian yang dibawa bertaburan di lebuh raya," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat Unit Siasatan Lebuhraya Bukit Aman di bawah Rule 10 LN 166/59.


Keadaan durian yang berselerakan di lebuhraya selepas terbabit dalam kemalangan gara-gara tayar lorinya pecah.

Keadaan durian yang berselerakan di lebuhraya selepas terbabit dalam kemalangan gara-gara tayar lorinya pecah.

Lori membawa muatan durian terbalik di Kilometer 279.9 Lebuhraya Plus dekat Nilai, tengah hari tadi.

Lori membawa muatan durian terbalik di Kilometer 279.9 Lebuhraya Plus dekat Nilai, tengah hari tadi.
Bintang Liverpool, Sadio Mane Bina Hospital Di Kampung Halaman

Bintang Liverpool, Sadio Mane Bina Hospital Di Kampung Halaman


Kebanyakan peminat bola sepak pasti mengenali Sadio Mane merupakan penyerang sayap untuk Liverpool. Di negaranya dia dikenali dengan kemurahan hatinya yang suka membantu penduduk terutama di kampung halamannya.


Bintang bola sepak dari Senegal ini tidak pernah melupakan asal usulnya yang rendah hati, dia sering bekerjasama dalam pembangunan ekonomi dan sosial. Pada hari Ahad, 20 Jun, Sadio Mane merasmikan hospital yang dibina hasil wang sumbangannya di kampung halamannya di Bambali, Senegal.


Menurut media tempatan, hospital yang dibina dengan kos 500,000 pound (RM2.88 juta) itu mampu memberi manfaat kepada penduduk dari 34 buah kampung yang terletak di wilayah Sedhiou.


Hospital berkenaan merangkumi wad bersalin, bilik pemeriksaan kesihatan, dewan pembedahan, bilik mayat dan pelbagai kemudahan perubatan lain.



Mane tidak pernah mencari status selebriti, sebaliknya hanya mahu menggunakan kekayaan yang dimiliki sebagai bintang bola sepak untuk membantu menaiktaraf kehidupan masyarakat tempatan.


Pada 2019, pemain berusia 29 tahun itu menyumbang 250,000 pound (RM1.45 juta) untuk membina sekolah menengah di Bambali, malah dia turut memiliki sebuah pasar raya di sana.


"Hospital ini dibina sebagai tanda terima kasih untuk anda semua dan penduduk Sedhiou," kata Mane yang bangga kerana mampu memberi sumbangan kepada pembangunan wilayah kelahirannya.


Mane yang merupakan anak bekas imam dari kampung Bambali berazam untuk terus membantu pembangunan ekonomi dan sosial di wilayah berkenaan. Kata Mane, projek masa depannya selepas ini adalah membina sebuah pejabat pos dan stesen minyak.


Media dan penduduk tempatan hadir untuk melihat Sadio Mane merasmikan hospital di Bambali, wilayah Sedhiou semalam.

Sadio Mane berazam akan terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial di Sedhiou.
Ronaldo atlet paling laris, Nike bayar RM845 juta jadi duta

Ronaldo atlet paling laris, Nike bayar RM845 juta jadi duta


Tidak dapat dinafikan bahawa atlet di antara pekerjaan yang memberikan penghasilan paling banyak. Selain gaji seorang atlet profesional yang sangat tinggi, mereka juga dapat menjana pendapatan lumayan jika ada syarikat besar mengangkatnya sebagai duta.


Walaupun gaji atlet profesional sangat tinggi tetapi jumlahnya tidak dapat menandingi reputasi jenama terkemuka yang memberikan pulangan yang berkali-kali lebih tinggi. Walau bagaimanapun, atlet itu perlu mengekalkan pencapaian yang luar biasa di samping menjadi tokoh awam.


Cristiano Ronaldo adalah antara individu yang paling laris dalam pasaran dunia. Menurut kontrak yang dibocorkan, Ronaldo dibayar 147 juta pound (RM845 juta) sebagai duta Nike dan sudah menyarung jenama itu sejak beraksi bersama Manchester United.


Pemain itu menerima 14.7 juta pound (RM84.5 juta) setiap tahun selepas penyerang Juventus itu menandatangani kontrak 10 tahun pada September 2016 antara Nike dan Polaris Sports Limited yang memiliki hak pemasaran antarabangsa pemain itu.


Seperti yang didedahkan oleh Football Leaks, itu hanyalah kadar asas atau bonus seperti memenangi Ballon d'Or dan pendapatannya daripada Nike adalah lebih tinggi.


Difahamkan, dia dibayar 18.3 juta pound (RM105 juta) pada 2016 dan 2017 termasuklah bonus 3.6 juta pound (RM20 juta) selepas menjadi pemain terbaik dunia.


Ditambah dengan rundingan komersil Ronaldo yang lain seperti lapangan terbang yang dinamakan sempena namanya di Madeira dan jenama fesyen CR7, pendapatannya begitu lumayan.


Itu tidak termasuk gajinya sebagai pemain bola sepak apabila dipercayai dia memperoleh 850,000 pound (RM4.8 juta) seminggu di Juventus iaitu 44 juta pound (RM253 juta) setahun.


Polaris Sport Limited tidak menjawab pertanyaan Football Leaks, begitu juga ejen Ronaldo, Jorge Mendes dan agensinya, Gestifute sementara Nike memaklumkan 'kami tidak memberi komen mengenai kontrak dengan atlet."


Ronaldo juga difahamkan merupakan atlet termahal dibayar Nike sebaris Neymar, LeBron James, Tiger Woods dan Rafael Nadal. Untuk rekod, pesaing Nike adalah Adidas terutamanya dalam sukan bola sepak. Syarikat Jerman itu memiliki duta atlet sukan seperti Lionel Messi, Paul Pogba dan Dustin Johnson.

Misteri Kemunculan Telaga Neraka Digelar Penjara Jin di Yaman

Misteri Kemunculan Telaga Neraka Digelar Penjara Jin di Yaman


Kemunculan lubang besar di sebuah gurun di wilayah Al-Mahra adalah fenomena semula jadi yang masih diselubungi misteri. Lubang itu dikenali oleh penduduk tempatan sebagai Telaga Barhout atau Telaga Neraka.


Lubang besar yang terletak di sebuah gurun berhampiran sempadan Yaman-Oman ini berukuran lebar 30 meter dan kedalamannya dianggarkan sehingga 250 meter. Menurut cerita penduduk tempatan mengatakan, lubang itu dicipta sebagai penjara golongan syaitan dan jin.


Yang jelas, reputasi itu disokong dengan bau toksik dan busuk yang keluar dari lubang berkenaan. Manakala satu versi lagi mengatakan ia merupakan lubang neraka. Bau yang menyengat juga membuat orang tidak dapat meneroka lebih dalam dan tidak mengetahui kandungan dasar lubang tersebut.



Ketua Pengarah Badan Geologi dan Sumber Mineral di Yaman, Salah Babhair, mengakui bahawa pihaknya tidak tahu apa yang ada di dasar Telaga Barhout, kerana lubang itu sangat dalam dan hanya ada sedikit oksigen dan tidak ada pengudaraan.


"Kami telah mengunjungi kawasan itu dan masuk ke dalam lubang, mencapai lebih dari 50 hingga 60 meter ke bawah. Kami melihat sesuatu yang aneh di dalamnya, kami juga mencium sesuatu yang aneh, ini adalah keadaan yang misteri," katanya.


Beliau percaya lubang tersebut berusia jutaan tahun dan memerlukan lebih banyak kajian selanjutnya, namun sukar mendapatkan kerjasama dengan penduduk sekitar. Selain tidak berkunjung di lubang tersebut, penduduk tempatan juga tidak bercakap tentang hal berkenaan kerana bimbang boleh mendatangkan malang kepada mereka.


Selama berabad-abad, khabar angin tersebar mengenai makhluk ghaib atau jin yang tinggal di situ. Khabar angin lain mengatakan, lubang itu dapat menyedut apa sahaja yang berada berdekatan. Sesiapa yang berani mendekati atau bercakap mengenainya dikatakan tidak akan bernasib baik.



Malah, ada yang mengatakan kehidupan di mana Telaga Neraka berada turut terancam. Ini mungkin tidak ada kaitan dengannya tetapi, Yaman, mengalami nasib buruk. Negara ini dilanda perang saudara sejak 2014.


Tentera kerajaan bertempur dengan pemberontak Houthi. Ia semakin parah apabila penglibatan orang luar menjadikan konflik menjadi lebih rumit. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengatakan Yaman, mengalami krisis kemanusiaan terburuk di dunia.


Perang telah mengorbankan puluhan ribu orang, memaksa berjuta-juta lagi untuk melarikan diri dan dua pertiga daripada 30 juta penduduk negara itu bergantung pada bantuan.


Pemandangan udara yang diambil pada 6 Jun 2021 menunjukkan Telaga Barhout atau Telaga Neraka di gurun wilayah Al-Mahra, Yaman. - Foto AFP.

Pemandangan udara yang diambil pada 6 Jun 2021 menunjukkan Telaga Barhout atau Telaga Neraka di gurun wilayah Al-Mahra, Yaman. - Foto AFP.

Pemandangan udara yang diambil pada 6 Jun 2021 menunjukkan Telaga Barhout atau Telaga Neraka di gurun wilayah Al-Mahra, Yaman. - Foto AFP.