Memaparkan catatan dengan label Viral. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Viral. Papar semua catatan

Isnin, 26 Disember 2022

Lelaki batal nikah kerana mas kahwin tidak cukup RM200 yang dinaikkan secara tiba-tiba

Lelaki batal nikah kerana mas kahwin tidak cukup RM200 yang dinaikkan secara tiba-tiba


Seorang bakal pengantin di Palembang, wilayah Sumatera Selatan terpaksa membatalkan perkahwinannya sehari sebelum majlis pernikahan berlangsung selepas diherdik keluarga tunangnya kerana gagal menyerahkan baki duit mas kahwin berjumlah 700,000 rupiah (RM199).


Memetik lapor laman berita Tribun Sumsel pada 23 Disember 2022, kakak kepada calon pengantin lelaki, Elsa membuat sebuah hantaran di media sosial berkata, majlis perkahwinan adiknya sepatutnya berlangsung pada 18 Disember lalu.


Keluarga mereka akhirnya membatalkan perkahwinan tersebut kerana dimarahi pihak perempuan kerana gagal melunaskan baki mas kahwin yang dinaikkan secara tiba-tiba.


"Ketika meminang, kedua-dua keluarga bersetuju untuk menetapkan mas kahwin sebanyak 35 juta rupiah (RM9,939), barangan kemas dan wang 'hadiah' untuk ibunya bernilai 5 juta rupiah (RM1,419) selain beberapa hantaran.


"Namun, selepas keluarga kami menyerahkan mas kahwin seperti yang telah ditetapkan, keluarga pihak perempuan memberitahu mereka belum mendaftar pernikahan kepada jabatan agama Islam kerana belum cukup 5 juta (RM1,419) untuk diserahkan kepada ibu calon pengantin," kata Elsa.


Tambah Elsa, keluarga pihak perempuan turut meminta pihak lelaki menyerahkan wang belanja tambahan lain untuk membeli ayam dan mengurus surat nikah berjumlah sekitar 3.4 juta rupiah (RM965.50).


"Menjelang hari pernikahan, calon pengantin perempuan meminta baki wang tersebut yang belum sempat diserahkan. Kami memberikan semua wang itu kecuali 700,000 rupiah (RM199) yang masih belum mencukupi.


"Kami memberitahu mereka bahawa baki wang itu akan diserahkan kemudian namun, mereka memarahi kami," ujar Elsa.


Enggan menerima alasan itu, calon pengantin perempuan dikatakan menghempas pintu di hadapan ibu bapa tunangnya sambil memarahi mereka.


"Apa yang membuatkan kami terkilan adalah tunang adik saya menghempas pintu di hadapan ibu bapa kami sambil mulutnya tidak berhenti memaki hamun hanya kerana wang yang diserahkan kurang 700,000 rupiah (RM199).


"Kami sekeluarga akhirnya sepakat untuk membatalkan perkahwinan tersebut kerana dilayan begitu oleh keluarga pengantin perempuan," kata Elsa. - Sumber Tribun Sumsel.


Majlis perkahwinan pasangan ini terpaksa dibatalkan sehari sebelum majlis berlangsung. - Foto TikTok.

Ahad, 18 Disember 2022

Lelaki curi seluar dalam wanita untuk ritual ilmu pengasih berjaya ditangkap

Lelaki curi seluar dalam wanita untuk ritual ilmu pengasih berjaya ditangkap

Gambar Hiasan.

Seorang lelaki yang mencuri seluar dalam wanita untuk tujuan ritual ilmu pengasih berjaya ditangkap di Padukuhan Kropak, Kelurahan Candirejo, Kapanewon Semanu, di Yogyakarta, lapor portal berita Tribun Jatim pada 17 Disember 2022.


Seorang pegawai polis, Inspektor Mahmed Ali Bahonar berkata, kejadian berlaku ketika seorang suami mendengar bunyi tapak kaki di luar rumahnya dan keluar untuk menjejakinya.


"Suami si mangsa (wanita) mendapati pelaku menghendap masuk ke pekarangan rumah mangsa pada Khamis (15/12/2022) sekitar pukul 04.30 pagi (waktu tempatan).


"Si suami yang berusia 42 tahun melihat pelaku itu menuju ke tempat jemuran pakaian," katanya ketika dihubungi portal berita Kompas.com.


Pencuri itu kemudian mengambil seluar dalam wanita tersebut menyebabkan dia dikejar oleh si suami sehingga akhirnya berjaya ditangkap sebelum diserahkan kepada polis, kata Mahmed.


Selepas ditangkap, pemuda berusia 28 tahun dari Kapanewon Semanu, Gunungkidul itu kemudian mengaku mencuri seluar dalam tersebut untuk tujuan ritual ilmu pengasih.


Mahmed berkata, pendekatan kesepakatan penyelesaian bersama antara pencuri dengan pemilik seluar dalam itu dilakukan kerana nilai kerugian itu hanya melibatkan jumlah yang kecil. - Sumber Tribun News.


Seorang lelaki ditangakp selepas dia mencuri seluar dalam seorang wanita di Padukuhan Kropak, Kalurahan Candirejo, Kapanewon Semanu pada pagi Khamis. - Foto Radar Jogja.

Sabtu, 17 Disember 2022

CCTV rakam wanita berbikini rompak kedai dan rumah pada hari yang sama

CCTV rakam wanita berbikini rompak kedai dan rumah pada hari yang sama


Seorang pencuri wanita yang hanya memakai bikini ditahan selepas memecah masuk sebuah rumah dan kedai pembekal bahan binaan di ­Chiang Mai, Thailand, lapor portal berita Thaiger pada 14 Disember 2022.


Ketika kejadian, suspek berjaya melarikan wang tunai, te­lefon pintar jenama iPhone dan beberapa barangan lain. Pemilik kedai itu memuat naik rakaman kamera televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi keja­dian di laman Facebook baru-baru ini.


Rakaman itu menunjukkan pencuri wanita tersebut memanjat pagar setinggi tiga meter di belakang kedai dan cuba membuka pintu, namun dia berputus asa selepas gagal membukanya selama 30 minit.


Dia kemudian memanjat semula pagar dan melarikan diri, manakala kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada Sabtu lalu pada pukul 6 petang (waktu tempatan).


Pemilik kedai berkata, dia terkejut kerana wanita itu berani melakukan jenayah pada waktu petang disebabkan kawasan berhampiran yang sentiasa sesak dengan penjual dan para pe­ngunjung.


Dalam kejadian berasingan pada hari sama, wanita tersebut turut cuba memecah masuk sebuah rumah di Chiang Mai. Rakaman CCTV berhampiran lokasi kejadian itu merakamkan aksi suspek bersama barangan curi.


Dia memanjat bumbung, terjun ke dalam parit dan melarikan diri dengan membawa telefon, jam tangan, wang sebanyak 1,000 baht (RM126), alat pengencas dan beberapa helai pakaian dalam.


Pegawai-pegawai dari Balai Polis Chang Phueak memeriksa kamera keselamatan di sepanjang laluan iaitu tempat wanita itu melarikan diri.


Mereka kemudian melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan mengesan cap jari suspek sebelum wanita tersebut berjaya ditangkap pada Rabu lalu. - Sumber The Thaiger.


Suspek dirakam memanjat pagar sebuah kedai sebelum melarikan diri. - Foto NBT North.

Isnin, 12 Disember 2022

Perompak cedera parah silap langkah samun kedai emas milik juara menembak

Perompak cedera parah silap langkah samun kedai emas milik juara menembak


Sekumpulan empat perompak bersenjata cuba merompak sebuah kedai emas di daerah Mueang, wilayah Tak di utara Thailand, namun digagalkan oleh pemilik kedai yang merupakan seorang juara pertandingan menembak, lapor laman berita Thaiger pada 11 Disember 2022.


Empat perompak itu telah memecah masuk kedai emas yaowarat sekitar pukul 12.55 tengah hari (waktu tempatan). Kejadian itu berjaya dirakam oleh sistem televisyen litar tertutup (CCTV). 


Ketika salah seorang perompak cuba memotong palang keluli, pemilik kedai, Phisit Raphitpan, 41, melepaskan empat das tembakan ke arah mereka.


Perompak-perompak itu bertempiaran melarikan diri dengan tangan kosong, manakala salah seorang daripada mereka tergelincir pada kaca yang pecah.



Phisit melepaskan empat das tembakan lagi dan mengenai seorang perompak ketika suspek cuba melarikan diri dengan menaiki motosikal. Polis menemui lelaki itu terbaring dalam keadaan berlumuran darah di luar kedai emas tersebut.


Lelaki itu cedera parah dan dibawa ke Hospital Somdet Prachao Taksin Maharat untuk menerima rawatan, sebelum dipindahkan ke hospital di wilayah Phitsanulok. 


Seorang lagi perompak melarikan diri dengan berjalan kaki. Dia ditahan di sebuah lorong berhampiran kedai itu oleh anggota dari Balai Polis Mueang Tak.


Dua lagi perompak berjaya melarikan diri melalui daerah Wang Chao dan mungkin melarikan diri ke Myanmar. Polis berpendapat mungkin mereka menyeberang melalui kawasan hutan ke daerah Phop Phra, di sepanjang sempadan Burma.


Menurut polis, dua lelaki yang cedera dan ditahan itu pernah merompak sebuah kedai emas di daerah Phop Phra pada 12 Februari lalu.


Askar Tentera Diraja Thailand, Mejar Kitti Kerdphon memberitahu pemberita bahawa pemilik kedai emas, Phisit telah dilatih menggunakan senjata api.


Dia adalah seorang peminat senjata api dan datang ke lapangan menembak bersama isterinya sejak lebih lapan tahun lalu. Sejak itu dia kerap berlatih di sana. Phisit kemudiannya menyertai dan memenangi pertandingan menembak di wilayah Tak.


Peguam terkenal, Decha Kittiwittayanan berkata bahawa Phisit menggunakan senapang patah secara sah kerana penyerang cuba mencuri emasnya dengan mengacukan senjata. Lima tembakan yang dilepaskan oleh Phisit adalah untuk melindungi diri, kata Decha. - Sumber The Thaiger.


Dua daripada empat suspek masih bebas selepas cuba memecah masuk sebuah kedai emas di mana pemilik melepaskan beberapa das tembakan menyebabkan perompak itu melarikan diri. - Foto Thaiger.

Selasa, 6 Disember 2022

Tak jadi kahwin, bakal isteri minta geran rumah sebagai mas kahwin, lelaki bersanding olok-olok dengan 'pengantin palsu'

Tak jadi kahwin, bakal isteri minta geran rumah sebagai mas kahwin, lelaki bersanding olok-olok dengan 'pengantin palsu'


Seorang lelaki di Indonesia yang memutuskan pertunangannya tiga hari sebelum majlis pernikahan berlangsung, bertindak mengadakan persandingan olok-olok bersama seorang saudara perempuan bagi mengelakkan keluarganya mendapat malu besar, lapor laman berita Tribun Jateng pada 2 Disember 2022.


Lelaki tersebut, Ryan Dono mendedahkan perkara itu selepas timbul banyak salah faham di media sosial, mengenai dakwaan bekas tunangnya bahawa dia memutuskan pertunangan kerana mahu berkahwin dengan wanita lain.


Menurut Ryan, dia memutuskan pertunangan dengan wanita berkenaan, Yessy, selepas gadis itu meminta geran rumah sebagai mas kahwin pada saat-saat akhir.


Bagi menutup malu, Ryan dan keluarganya membuat keputusan meneruskan majlis perkahwinan yang sudah dijadualkan dengan cara mengadakan resepsi palsu bersama seorang saudara perempuannya.


Ketika acara berlangsung, tetamu undangan tidak mengetahui bahawa 'pengantin perempuan' bukan isteri Ryan sebaliknya, dia hanya 'berlakon'.


"Ibu saya mencadangkan supaya kami meneruskan majlis yang telah dirancang demi menjaga aib keluarga. Saya juga tidak mempersoalkan rancangan itu," katanya.


Tambah Ryan, tujuan majlis itu diteruskan salah satu daripadanya adalah untuk menjaga aib pengantin perempuan namun, Yessy sendiri telah 'membuka pekung di dada' menerusi media sosial dan membuat dia kelihatan seperti pihak yang menjadi mangsa.


"Begitulah maksud saya, jangan sampai diheboh-heboh hal ini kerana akhirnya anda yang malu," kata ibu Ryan.


Tambah Ryan, meskipun berasa sedih kerana tidak dapat meneruskan perkahwinan dengan Yessy, dia berusaha untuk kekal tabah.


"Saya berusaha untuk tabah dan tidak mahu ibu bapa melihat saya sedih. Saya berusaha untuk menjadi tabah di hadapan tetamu undangan tetapi di sebaliknya, saya amat sedih.


"Di hati kecil saya, saya tidak mempunyai dendam (terhadap Yessy). Walau bagaimana sekali pun dia menghina saya, saya tetap sabar dan diam," ujar Ryan.


Ryan meneruskan majlis perkahwinan yang sudah dirancang dengan bantuan saudara perempuannya (dua dari kiri) yang menyamar sebagai pengantin. - Foto Tribunnewsmaker.
Tular seorang lelaki kahwini pasangan kembar serentak

Tular seorang lelaki kahwini pasangan kembar serentak


Sebuah majlis perkahwinan di daerah Solapur, India menjadi perhatian ramai apabila pengantin lelaki mengahwini sepasang adik-beradik kembar secara serentak tanpa sebarang bantahan, lapor laman berita India Today pada 4 Disember 2022.


Menurut maklumat yang diperoleh India Today, pasangan kembar tersebut yang dikenali sebagai Rinki dan Pinky, bekerja sebagai jurutera teknologi maklumat (IT). Mereka mengahwini Atul, yang memiliki sebuah agensi pelancongan di Mumbai.


Majlis perkahwinan di Solapur, dalam negeri Maharashtra, pada Jumaat lalu itu turut mendapat restu kedua-dua keluarga.


Ketiga-tiga mereka dikatakan tinggal bersama dalam sebuah rumah sejak kecil di samping ibu Rinki dan Pinky selepas kematian bapa mereka.


Atul menjadi semakin akrab dengan pasangan kembar itu selepas ibu mereka jatuh sakit dan Rinki serta Pinky sering menggunakan kereta milik lelaki tersebut bagi membawa ibu mereka ke hospital.


Selepas video perkahwinan mereka tular di media sosial, ramai netizen meluahkan kebimbangan mengenai sama ada perkahwinan itu adalah sah atau tidak mengikut Akta Perkahwinan di India.


Selepas perkahwinan pelik tersebut, polis tempatan memulakan siasatan berhubung perkara itu, walaupun tiada maklum balas daripada ahli keluarga mengenai sebarang bantahan atau keputusan paksa. - Sumber India Today.


Atul tinggal bersama Rinki dan Pinky di dalam sebuah rumah sejak kecil di samping ibu mereka. - Foto India Today.

Sabtu, 5 November 2022

Sebuah video tular memaparkan lelaki tidur nyenyak atas motosikal di tengah jalan

Sebuah video tular memaparkan lelaki tidur nyenyak atas motosikal di tengah jalan


Sebuah video tular di media sosial Thailand memaparkan beberapa lelaki cuba mengejutkan seorang penunggang motosikal yang tidur nyenyak di atas kenderaannya di tengah jalan, lapor laman berita Thaiger pada 3 November 2022.


Berdasarkan video dimuat naik ke halaman Facebook berita tempatan bernama Hear On Board, penunggang motosikal itu dilihat tidur dengan amat nyenyak dengan keadaan mulutnya ternganga luas.


"Bangun. Adakah anda sedar anda sedang tidur di tengah jalan? Tolong bangun," kata kumpulan lelaki berkenaan ketika mengejutkan penunggang tersebut.


Dia kemudian terjaga dari tidur dan kelihatan keliru. Menurut lelaki tersebut, dia tidak berada dalam keadaan mabuk dan menunjukkan isyarat dua jari bagi menandakan keadaannya baik.



Dia kemudian meminta salah seorang daripada lelaki yang mengejutkannya agar menghantarnya pulang kerana berasa tidak berdaya lagi untuk menunggang motosikal.


Lokasi kejadian tidak dinyatakan, tetapi ia tidak kelihatan seperti jalan biasa yang anda temui di Bangkok. Jalan raya ibu kota pada umumnya sangat sibuk dan berbahaya.


Netizen memuji kumpulan lelaki itu kerana membantu. Ada yang beranggapan bahawa video itu kelakar, manakala yang lain berkata ia tidak kelakar sama sekali, menambah penunggang itu hanya bernasib baik kali ini.


Penunggang motosikal itu dilihat sedang tidur dengan amat nyenyak dengan keadaan mulutnya yang ternganga luas. - Foto Thaiger.