Memaparkan catatan dengan label Terkini. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Terkini. Papar semua catatan

Rabu, 13 Mac 2024

Lelaki didakwa curang maut ditikam kekasih, polis rampas pisau

Lelaki didakwa curang maut ditikam kekasih, polis rampas pisau


Polis merampas sebilah pisau disyaki digunakan oleh seorang wanita yang merupakan seorang model sambilan untuk menikam kekasihnya di sebuah unit kondominium di Kota Kemuning, Kuala Langat, pada Isnin lalu.


Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, senjata itu dirampas bagi membantu siasatan.


"Kita rampas pisau yang disyaki digunakan suspek dalam kejadian itu," katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.


Ahmad Ridhwan berkata, wanita itu direman enam hari bermula Selasa hingga Ahad untuk siasatan lanjut.


Semalam, media melaporkan seorang lelaki maut ditikam kekasihnya yang merupakan seorang model sambilan dalam kejadian tersebut.


Difahamkan, punca kejadian dipercayai bermotifkan cemburu kerana mangsa yang merupakan jurufoto sambilan itu didakwa curang.


Suspek berusia 26 tahun yang juga bekas pelajar perubatan itu berjaya diberkas anggota polis di sekitar kawasan Hospital Cyberjaya pada jam 12.30 tengah hari, selepas dipercayai membawa kekasihnya itu ke hospital untuk mendapatkan rawatan.


Laporan sebelum itu, dibuat pada jam 9.41 pagi oleh doktor yang menerima mangsa di hospital.


Doktor berkenaan mendapati mangsa dibawa dari sebuah klinik swasta. Doktor itu kemudiannya memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) kepada mangsa namun tiada sebarang tindak balas.


Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia pada jam 7.25 pagi akibat kecederaan luka tikaman di pergelangan tangan kiri dan kaki kiri. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Mangsa maut ditikam kekasihnya dalam kejadian di sebuah unit kondominium di Kota Kemuning, Kuala Langat, pada Isnin. - Gambar hiasan.

Isnin, 11 Mac 2024

Bekas anggota polis buat onar selepas dibuang kerja diberkas

Bekas anggota polis buat onar selepas dibuang kerja diberkas


Seorang bekas anggota polis yang sudah dibuang kerja diberkas Jumaat lalu kerana disyaki menggunakan uniform pasukan itu untuk melakukan jenayah di sekitar ibu negara.


Difahamkan, suspek lelaki berusia 40-an itu ditahan anggota unit kereta peronda polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul yang sedang membuat rondaan berhampiran Plaza Tol Duta, di Kuala Lumpur.


Terdahulu, satu klip video berdurasi 14 saat tular di media sosial memaparkan suspek yang memakai pakaian seragam lengkap dengan pangkat koperal dan vest Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditahan dua anggota MPV terbabit.


Difahamkan suspek yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha cuba menahan sebuah kereta bagi tujuan 'pemeriksaan' sebelum kelakuannya yang mencurigakan itu dikesan anggota yang sedang membuat rondaan.


Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid ketika dihubungi berkata suspek adalah bekas anggota polis yang sudah dibuang kerja.


"Ini kes menyamar sebagai anggota polis yang mana suspek berkenaan adalah bekas anggota yang sudah dibuang kerja pada tahun 2022.


"Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai anggota polis," katanya.


Tangkap layar video tular menunjukkan bekas anggota polis yang sudah dibuang kerja diberkas Jumaat lalu kerana disyaki menyamar.

Jumaat, 8 Mac 2024

Nepal bakal uji kehebatan Harimau Malaya

Nepal bakal uji kehebatan Harimau Malaya


Kerisauan terhadap persediaan Harimau Malaya akhirnya ternoktah apabila dijadualkan menentang Nepal pada aksi persahabatan tertutup sebelum terbang ke Oman untuk hadapi Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Oman, 22 Mac ini.


Walaupun ia hanya menentang pasukan di ranking ke 175, kesempatan itu dilihat menjadi peluang terbaik buat Harimau Malaya 'asah taring' sebelum hadapi Oman yang kini huni tangga ke 80 dunia.


Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon menjelaskan aksi berdepan Nepal akan berlangsung secara tertutup di Lembah Klang pada 15 Mac ini.


"Kita ada satu perlawanan sebelum ke Oman iaitu menentang Nepal pada 15 Mac ini. Ia sebahagian daripada persiapan pasukan untuk berdepan Oman," katanya.


Pan-gon berkata demikian kepada media sebelum sesi pertama kem latihan pusat di Wisma FAM pada Jumaat.


Selepas memulakan dua aksi awal Kumpulan D dengan rekod bersih, Oman bakal jadi ujian sebenar buat Harimau Malaya namun Pan-gon mula berkira-kira untuk cuba 'mencuri' sekurang-kurangnya satu mata bagi mengekalkan kedudukan selaku pendahulu kumpulan.


Pan-gon kini berdepan cabaran untuk merangka pendekatan terbaik memandangkan saingan Liga Malaysia (Liga M) hanya akan buka tirai Mei ini.


Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon berdepan cabaran untuk merangka strategi terbaik sebelum hadapi Oman, 22 Mac ini. - Foto Facebook/FAM.

Rabu, 6 Mac 2024

Ferrari milik bintang F1 ditemui selepas 28 tahun dicuri

Ferrari milik bintang F1 ditemui selepas 28 tahun dicuri


Polis Britain akhirnya menemui sebuah kereta Ferrari yang dicuri daripada pemandu Formula Satu (F1) Austria, Gerhard Berger, di Itali hampir tiga dekad lalu, lapor laman berita NBC News pada 4 Mac 2024.


Ferrari F512M berwarna merah itu adalah salah satu daripada dua supercar yang dicuri semasa pemandunya berada di Imola untuk menyertai acara Grand Prix San Marino pada April 1995.


Pasukan Polis Metropolitan London dimaklumkan oleh pengeluar kereta itu pada bulan Januari lalu bahawa sebuah Ferrari dalam proses dijual kepada pembeli Amerika Syarikat (AS) oleh seorang broker dari Britain.


Siasatan yang dilakukan oleh Unit Jenayah Kenderaan polis mendapati kereta itu telah dibawa ke Britain dari Jepun pada akhir 2023.


Anggota polis kemudian merampas kereta itu, yang dikatakan bernilai hampir £350,000 (RM2.1 juta).


Bagaimanapun, sebuah lagi Ferrari yang dicuri masih belum ditemui.


Ferrari mengeluarkan 501 model F512M antara 1994 dan 1996. Kereta itu mempunyai kelajuan tertinggi 315 Kilometer sejam. - Sumber NBC News.


Sebuah Ferrari F512M ditemui semula 28 tahun selepas ia dicuri daripada bekas pemandu Formula Satu Gerhard Berger. - Foti Polis Metropolitan/AP.

Jumaat, 1 Mac 2024

'Ibu ayam' dan dua pekerja seks disambung reman lima hari

'Ibu ayam' dan dua pekerja seks disambung reman lima hari


Polis mendapat lanjutan reman selama lima hari terhadap seorang wanita yang berperanan sebagai 'ibu ayam' dan dua pelacur wanita warga Indonesia.


Lanjutan reman ketiga-tiga suspek berusia 45 hingga 57 tahun itu bermula Jumaat hingga Selasa depan bagi membantu siasatan kes pelacuran di sebuah lot kedai di Banting.


Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor berkata, perintah lanjutan tersebut selepas tempoh reman mereka berakhir pada semalam.


"Sebelum ini, ketiga-tiga wanita ini telah direman tujuh hari sehingga semalam (Khamis) sebelum reman dilanjutkan lima hari untuk siasatan lanjut.


"Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang diselamatkan selepas disyaki dipaksa untuk melacur turut berada di bawah perlindungan dan pemantauan polis," katanya ketika dihubungi hari ini.


Sementara itu, sumber memaklumkan kanak-kanak perempuan tersebut sebelum ini telah ditinggalkan ibu bapa mereka kepada ibu ayam itu.


"Kanak-kanak perempuan itu telah 'dibuang' dan dijaga wanita tersebut yang akhirnya mengambil kesempatan melacurkan kanak-kanak perempuan tersebut," jelasnya.


Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang dieksploitasi dipercayai menjadi hamba seks sejak dua bulan lalu berjaya diselamatkan dalam serbuan di sebuah lot kedai di Banting.


Serbuan pukul 3.30 petang itu turut menyelamatkan seorang wanita bersama bayinya selain seorang lagi kanak-kanak lelaki yang kesemuanya berusia 11 bulan hingga 25 tahun.


Modus operandi rumah pelacuran itu adalah menyediakan empat bilik dengan menggunakan tirai langsir dan menyasarkan pelanggan dalam kalangan warga asing.


Kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007.


Antara suspek yang ditahan dalam operasi di Banting, Kuala Langat. - Foto Kosmo Online.

Rabu, 28 Februari 2024

Wanita nekad tikam 'burung' kekasihnya selepas mengaku playboy

Wanita nekad tikam 'burung' kekasihnya selepas mengaku playboy

 

Seorang wanita tergamak menikam kemaluan teman lelakinya dengan sebilah gunting patah selepas dia mengaku mempunyai hampir 50 kekasih pada masa lalu, lapor portal berita Daily Star semalam.


Kejadian berlaku semasa pasangan itu menikmati makanan dalam temu janji romantis di sebuah kafe di Manila, Filipina baru-baru ini. Ketika itu, perbualan mereka bertukar serius apabila menyentuh topik sensitif.


Selepas mendengar tentang senarai panjang bekas kekasih teman lelakinya, wanita itu tenang seketika sebelum dia bertukar marah.


Dia kemudian mengambil gunting yang patah dari tempat pembuangan sampah berdekatan dan menusuk objek tersebut pada pangkal paha teman lelakinya.



Orang ramai terkejut melihat darah memercik keluar daripada paha lelaki itu.


Seorang pegawai polis, Kapten Anthony Abundo berkata, ketika kejadian terdapat seorang anggota pihak berkuasa yang membuat rondaan di lokasi kejadian dan menghubungi ambulans.


"Kami kemudian menjalankan siasatan dan berjaya mengesan suspek.


"Wanita itu kecewa apabila dia mendapati bilangan kekasih lampau yang dimiliki teman lelakinya hampir 50 orang. Dia sengaja menikamnya di bahagian kemaluan kerana perkara ini," ujarnya.


Anggota paramedik, Hugo Cruz berkata, lelaki itu mengalami sakit yang amat sangat ketika mereka tiba di lokasi kejadian dan dia telah kehilangan banyak darah.


Bagaimanapun, kemaluannya berjaya dirawat dan dia kini berada dalam keadaan baik di sebuah hospital.


Sementara itu, wanita tersebut tidak memberitahu apa-apa tentang apa yang berlaku apabila disoal siasat. Polis Lawton tidak mendedahkan nama pasangan itu dan siasatan masih dijalankan. - Sumber Daily Star.


Anggota paramedik membantu merawat mangsa yang ditikam oleh kekasihnya di Manila baru-baru ini. - Foto Viral Press.

Jumaat, 23 Februari 2024

Tujuh 'samseng' bola terima balasan selepas mengaku salah cederakan pasukan lawan

Tujuh 'samseng' bola terima balasan selepas mengaku salah cederakan pasukan lawan


Tujuh pemain kelab bola sepak amatur termasuk seorang penjawat awam mengaku salah di Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu semalam atas dakwaan mencederakan pasukan lawan ketika perlawanan Liga Bolasepak Terengganu (TFL) pada bulan lalu.


Tertuduh, Ahmad Zaim Zahirulhaq Roslan, 24, Muhamad Supian Al Shaari, 29, Mohd. Zulkifli Abdullah, 36, Mohd. Hazwani Ab. Karim, 32, Tuan Faiz Hakimie Tuan Rosli, 29, Ahmad Najmie Adnan, 34, dan Wan Muhamad Aidid Ghazali, 22, turut berdepan hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.


Kesemua mereka didenda RM1,000 sehingga RM4,500 selepas mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood dan Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd. Shukri, semalam.


Muhamad Supian didenda RM4,500 selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan, Mohd Zulkifli didenda RM3,000 atas dua pertuduhan manakala yang lain didenda RM1,500 dan penjawat awam, Ahmad Najmie, didenda RM1,000.


Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada tiga lelaki berusia 18, 19 dan 36 tahun.


Mereka didakwa melakukan perbuatan itu ketika satu perlawanan TFL di Padang Sintetik, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, jam 11 pagi, 12 Januari lalu.


Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 34 KK.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aisyah Mohamad dan Nur Amalina Najwa Mohd Ali manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Muhammad Nadzir Abdullah.


Sebelum ini, media melaporkan berlaku insiden pergaduhan melibatkan beberapa individu ketika minit akhir perlawanan antara NAG FC dan KESA FC yang berlangsung di padang sintetik Kompleks Sukan Negeri Terengganu.


Tertuduh dikatakan mencederakan mangsa dengan menghantuk menggunakan kepala, memukul, menumbuk dan memijak mangsa menyebabkan kecederaan di bahagian dada, bahu dan muka.


Difahamkan, pergaduhan itu tercetus sebelum perlawanan antara kelab NAG FC dengan KESA FC tamat dengan NAG FC mendahului 4-1 pada kejohanan edisi kedua tersebut. - Sumber Harian Metro.


Sebahagian daripada tujuh individu didenda RM1,000 sehingga RM4,500 atas tuduhan mencederakan tiga orang lelaki. - Foto Harian Metro.