Jumaat, 8 Mac 2024

Nepal bakal uji kehebatan Harimau Malaya


Kerisauan terhadap persediaan Harimau Malaya akhirnya ternoktah apabila dijadualkan menentang Nepal pada aksi persahabatan tertutup sebelum terbang ke Oman untuk hadapi Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Oman, 22 Mac ini.


Walaupun ia hanya menentang pasukan di ranking ke 175, kesempatan itu dilihat menjadi peluang terbaik buat Harimau Malaya 'asah taring' sebelum hadapi Oman yang kini huni tangga ke 80 dunia.


Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon menjelaskan aksi berdepan Nepal akan berlangsung secara tertutup di Lembah Klang pada 15 Mac ini.


"Kita ada satu perlawanan sebelum ke Oman iaitu menentang Nepal pada 15 Mac ini. Ia sebahagian daripada persiapan pasukan untuk berdepan Oman," katanya.


Pan-gon berkata demikian kepada media sebelum sesi pertama kem latihan pusat di Wisma FAM pada Jumaat.


Selepas memulakan dua aksi awal Kumpulan D dengan rekod bersih, Oman bakal jadi ujian sebenar buat Harimau Malaya namun Pan-gon mula berkira-kira untuk cuba 'mencuri' sekurang-kurangnya satu mata bagi mengekalkan kedudukan selaku pendahulu kumpulan.


Pan-gon kini berdepan cabaran untuk merangka pendekatan terbaik memandangkan saingan Liga Malaysia (Liga M) hanya akan buka tirai Mei ini.


Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon berdepan cabaran untuk merangka strategi terbaik sebelum hadapi Oman, 22 Mac ini. - Foto Facebook/FAM.


EmoticonEmoticon