Memaparkan catatan dengan label Seram. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Seram. Papar semua catatan

Ahad, 25 September 2022

Lelaki tikam isteri dalam serangan ngeri kerana curang dalam mimpi

Lelaki tikam isteri dalam serangan ngeri kerana curang dalam mimpi

Polis Brazil akan mendakwa suspek dengan tuduhan cubaan membunuh. - AFP/Getty Images.

Seorang lelaki dituduh menikam isterinya selepas terjaga dari mimpi yang memaparkan wanita itu menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain, lapor akhbar Mirror UK pada 21 September 2022.


Lelaki berusia 37 tahun itu menikam isteri yang dikahwininya sejak 13 tahun lalu pada leher, tulang selangka dan tangan dalam kejadian di rumah mereka di Planaltina, Daerah Persekutuan Brazil.


Insiden dikatakan berlaku pada 9 Ogos lalu, manakala suspek melarikan diri dan ditahan lima minggu kemudian.


Menurut polis, pasangan suami isteri yang memiliki empat anak itu bertengkar di tengah malam selepas suspek bermimpi pasangannya menjalinkan hubungan sulit.


Suspek yang identitinya tidak didedahkan oleh polis, mengambil sebilah pisau dan dikatakan mengugut mangsa ketika bertanya tentang mimpinya.


Mangsa menafikan sebarang salah laku dan meyakinkannya bahawa itu hanyalah khayalan lelaki berkenaan.


Menyangka perkara tersebut selesai, mangsa kembali menyambung tidur, namun suspek dipercayai masih teringat-ingat akan mimpinya hingga menimbulkan rasa marah.


Lelaki itu kemudiannya mengambil pisau dan menikam badan mangsa berulang kali. Bagaimanapun, isterinya bernasib baik kerana berjaya melarikan diri daripada serangan itu dan dibawa ke hospital oleh jiran-jiran.


"Suspek dikatakan tidak berpuas hati dengan penjelasan isterinya kerana menganggap mimpinya sebagai petunjuk sebelum mengambil pisau dan menikam mangsa.


"Wanita itu sempat melarikan diri dan sedang dirawat di sebuah hospital perbandaran," kata ketua polis tempatan, Thiago Cesar.


César berkata, lelaki itu mengaku melakukan jenayah itu dan dia mempunyai rekod jenayah lampau bagi pembunuhan yang berlaku di Formosa, Negeri Goiás. Suspek kini berdepan pertuduhan cubaan membunuh. - Sumber Mirror UK.


Polis masih belum mendedahkan identiti suspek tetapi mengatakan dia telah mengaku melakukan jenayah itu. - Foto Sportsfile via Getty Images.

Rabu, 7 September 2022

Gempar! Pakar temui rangka mayat 'puntianak' di Poland

Gempar! Pakar temui rangka mayat 'puntianak' di Poland


Sekumpulan pakar arkeologi di Poland menemui rangka mayat perempuan dalam keadaan menyeramkan yang dipercayai merupakan 'puntianak', lapor akhbar Daily Mail pada 2 September 2022.


Penemuan tersebut dibuat semasa proses penggalian di sebuah tanah perkuburan abad ke-17 di kampung Pien dalam wilayah Mielec. Penyelidik juga mendapati sisa rangka itu mempunyai topi sutera di kepalanya, menunjukkan dia mempunyai status sosial yang tinggi.


Rangka tersebut dipercayai adalah puntianak kerana keadaan mayat semasa ditemui mempunyai sebilah sabit yang mengelilingi bahagian kerongkongnya. Ibu jari kaki kiri rangka tersebut turut dikunci, dipercayai menyerupai satu upacara yang kononnya akan menghalang mayat daripada hidup semula.



Ketua pasukan penyelidik tersebut, Profesor Dariusz Polinski dari Universiti Nicholas Copernicus berkata, bentuk pengebumian tersebut adalah luar biasa.


"Cara untuk melindungi diri daripada 'si mati yang hidup semula' adalah termasuk memenggal kepala atau memotong kaki, meletakkan si mati ke bawah dengan keadaannya menggigit tanah, membakar dan menghancurkannya dengan batu.


"Sabit itu diletakkan di leher sebagai amaran sekiranya si mati cuba untuk 'bangun', kemungkinan besar kepalanya akan dipotong atau cedera," kata Polinski.


Tambahnya, ibu jari kaki kiri yang dikunci mengukuhkan teori bahawa rangka mayat itu dianggap sebagai puntianak pada masa kematiannya.


"Individu yang didakwa merupakan puntianak sekitar abad ke-17 telah dibunuh secara ganas di seluruh Eropah Timur pada zaman tersebut," kata Polinski.


Ia bukan sesuatu yang luar biasa di rantau ini untuk mencari tapak pengebumian di mana batang logam atau pancang telah dipalu melalui tengkorak si mati. Orang ramai pada masa itu percaya ini adalah satu cara untuk memastikan orang itu terus mati.


Di beberapa bahagian benua terutamanya di kalangan orang Slavia, kepercayaan yang sangat meluas terhadap legenda puntianak menyebabkan histeria besar-besaran, malah membawa kepada hukuman mati terhadap orang yang dianggap sebagai puntianak.


Orang yang mati secara tidak sengaja seperti melalui bunuh diri juga sering disyaki puntianak, dan mayat mereka akan dicacatkan untuk menghalang mereka daripada bangkit daripada kematian. - Sumber Daily Mail.


Penyelidik menemui mayat semasa kerja arkeologi di tanah perkuburan abad ke-17 di kampung Pien. - Foto Beata Zielinska-golembiewska.

Terdapat sabit yang diletak mengelilingi leher rangka ini, dipercayai untuk menghalang daripada hidup semula. - Foto Miroslav Blicharski/Aleksander Poznan.

Rabu, 24 Ogos 2022

NASA rakam bunyi menyeramkan berasal daripada 'black hole' sejauh 200 juta tahun cahaya

NASA rakam bunyi menyeramkan berasal daripada 'black hole' sejauh 200 juta tahun cahaya


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mendedahkan bunyi menakutkan yang berasal daripada sebuah lohong hitam (black hole) di gugusan galaksi berjauh 200 tahun cahaya dari Bumi, lapor akhbar New York Post pada 22 Ogos 2022.


NASA merakam audio tersebut menggunakan pelbagai gelombang bunyi dan data pintar. Melodi tersebut dikatakan amat menakutkan seperti yang dijangka daripada sesuatu yang sangat misteri.


"Terdapat salah faham sebelum ini dengan ramai yang menyatakan bahawa tiada sebarang bunyi di angkasa lepas kerana kebanyakan ruang adalah vakum, tidak menyediakan cara untuk gelombang bunyi bergerak.


"Bagaimanapun, terdapat satu gugusan galaksi yang mengandungi banyak gas sehingga membolehkan kami merakam bunyi yang sebenar.


"Jadi, kami menguatkannya (bunyi) dan menggabung dengan sebilangan data lain untuk anda mendengar bunyi lohong hitam," kata NASA menerusi Twitter.


Lohong hitam tersebut ditemui di bahagian tengah gugusan galaksi digelar Perseus.


Pada 2003, ahli-ahli astronomi menyedari bahawa gelombang tekanan yang dihasilkan oleh lohong hitam menghasilkan ombak dalam gas panas gugusan bintang tersebut. Ia dipercayai boleh diterjemah ke dalam nota bunyi.


Bagaimanapun, manusia tidak dapat mendengar bunyi tersebut. Justeru, pakar-pakar telah mengubahnya menerusi proses sonifikasi bagi menghasilkan bunyi aneh yang didedahkan tersebut.


"Bunyi itu didengari 144 kuadrilion dan 288 kuadrilion kali lebih kuat daripada frekuensi asalnya," kata NASA. - Sumber New York Post.


Lohong hitam tersebut ditemui di bahagian tengah gugusan galaksi digelar Perseus. - Foto Twitter NASA Exoplanets.

Jumaat, 17 Jun 2022

Makhluk menakutkan dirakam berkeliaran di zoo Texas

Makhluk menakutkan dirakam berkeliaran di zoo Texas


Pihak pengurusan Zoo Amarillo di negeri Texas, Amerika Syarikat meminta bantuan orang ramai untuk mengenal pasti makhluk ganjil dan menakutkan yang dirakam sistem televisyen litar tertutup (CCTV) milik fasiliti berkenaan, lapor akhbar The Sun pada 9 Jun 2022.


Paparan itu menunjukkan kelibat makhluk berbulu berdiri tegak di dalam kegelapan di luar pagar kawasan Zoo Amarillo. Kehadiran makhluk itu mengejutkan pegawai-pegawai zoo selepas gambarnya dirakam pada pukul 1:25 pagi (waktu tempatan) pada 21 Mei lalu.


"Zoo Amarillo merakam imej pelik di luar pagar pada 21 Mei lalu. Adakah ia seorang manusia bertopi pelik yang berjalan pada waktu malam?


"Atau ia adalah Chupacabra? Adakah anda mempunyai idea apakah sebenarnya entiti ini?" demikian ciapan di akaun Twitter rasmi Zoo Amarillo.


Pihak zoo memanggilnya sebagai UAO - Objek Amarillo Tidak Dikenali, tetapi mereka meminta bantuan orang ramai untuk mengenal pasti 'makhluk' tersebut.


"Kami hanya mahu membiarkan komuniti Amarillo berseronok dengan ini," kata Pengarah Taman dan Rekreasi City of Amarillo (COA), Michael Kashuba.


Pengarah taman itu berkata tiada haiwan atau individu dicederakan, dan tiada tanda-tanda aktiviti jenayah.


"Ia pasti satu imej yang pelik dan menarik. Mungkin penduduk Amarillo boleh membantu menyelesaikan misteri UAO kami. Mereka yang berpendapat boleh memecahkan misteri ini boleh menghubungi pejabat komunikasi COA," tambah Kashuba.


Chupacabra yang popular dalam legenda Amerika Latin adalah makhluk besar yang menyerang haiwan dan minum darahnya. Nama itu berasal daripada perkataan Sepanyol chupar (menghisap) dan cabra (kambing). - Sumber The Sun.


Tangkap layar rakaman CCTV menunjukkan kelibat entiti aneh di luar pagar Zoo Amarillo. - Foto Facebook/City of Amarillo, Texas.

Ahad, 22 Mei 2022

Wanita cedera parah diserang 2 ekor anjing jenis pit bull dan anjing baka German Shepherd

Wanita cedera parah diserang 2 ekor anjing jenis pit bull dan anjing baka German Shepherd


Ibu kepada tiga cahaya mata di Carolina Selatan, Amerika Syarikat berdepan detik ngeri apabila hilang dua tangan dan cedera pada tengkorak selepas diserang dua anjing jenis pit bull dan seekor anjing baka German Shepherd, lapor akhbar New York Post pada 4 Mei 2022.


Kyleen Waltman, 38, sedang berjalan pulang dari rumah teman lelakinya apabila tiga anjing itu menyerangnya di Abbeville County, pada 21 Mac lalu.


Waltman tidak sedarkan diri apabila anjing itu menggigitnya sehingga menampakkan tengkoraknya, kelopak mata dan bahagian kolon (usus besar).


Nasibnya baik apabila kejadian disedari seorang petani tempatan, Avery Presly, yang kebetulan lalu di kawasan berkenaan. Presly melepaskan tembakan ke udara menyebabkan tiga anjing yang menyerang Waltman itu lari.



"Apabila dia pengsan, mereka memakannya hidup-hidup," kata Amy Wynne, 41, kepada Daily Mail mengenai adiknya Waltman, yang diserang dengan kejam.


"Anjing-anjing itu menyeretnya. Mereka mengoyakkan kelopak mata kirinya. Mereka mengoyakkan pipi kanannya, meninggalkan lubang. Mereka memakan kulit bahagian dalam pahanya dan memakan daging dari lengannya dan mengoyaknya," katanya.


Waltman yang mengalami kecederaan serius dalam kejadian itu menghabiskan tujuh minggu untuk menerima rawatan di hospital. Akibat kejadian itu, kedua-dua tangan wanita itu terpaksa dipotong dan dia mengalami kecederaan pada kolon.


Tulang bahu juga teralih menyebabkan dia tidak boleh menggunakan tangan tiruan. Doktor juga tidak dapat membersihkan kulit kepala dan dahinya selama sebulan kerana terpaksa menunggu jangkitan akibat gigitan itu sembuh.


Mangsa menjalani puluhan pembedahan dan bercakap dengan bantuan alat khas kerana peti suaranya tidak dapat diselamatkan. Waltman dibenarkan pulang ke rumah pada sambutan Hari Ibu, menurut kakaknya.


"Ia sesuatu yang sukar tetapi kami sudah cuba untuk membantu dia kembali mendapat kehidupan yang baharu," tulis Wynne di halaman GoFundMe.


Menurutnya, Waltman, bekerja sebagai pelayan di Lou and Perry's di Honea Path, mempunyai tiga anak, seorang anak lelaki berusia 21 tahun dan anak perempuan berusia 18 dan 17 tahun.


Susulan kejadian, pemilik anjing berkenaan, Justin Minor, 36, didakwa atas tiga pertuduhan memiliki haiwan berbahaya menyerang manusia, pelanggaran rabies dan membiarkan haiwan berbahaya itu keluar ke tempat umum tanpa dikawal. - Sumber New York Post.


Kyleen Waltman yang menjadi mangsa serangan dua anjing. - Foto Amy Wynne/WYFF.

Minor, 36, didakwa atas tiga pertuduhan memiliki haiwan berbahaya menyerang manusia. - Foto Abbeville Co. Sheriff's Office.

Sabtu, 7 Mei 2022

Kecoh mayat wanita dalam keranda hidup semula semasa pengebumiannya

Kecoh mayat wanita dalam keranda hidup semula semasa pengebumiannya


Satu majlis pengebumian di Peru menjadi kecoh apabila 'mayat' seorang wanita secara tiba-tiba hidup semula selepas didengari mengetuk dari bahagian dalam keranda, lapor akhbar Metro UK pada 2 Mei 2022.


Dalam kejadian pada 26 April lalu, ahli keluarga Rosa Isabel Cespedes Callaca berkumpul di bandar Lambayeque, untuk memberikan penghormatan terakhir kepada mayatnya selepas dia terlibat dalam kemalangan jalan raya.


Kemalangan tersebut turut mengorbankan abang iparnya selain dua anak saudaranya dilaporkan cedera parah. Rosa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital berikutan kemalangan ngeri itu.


Bagaimanapun, ketika ahli keluarganya bersiap sedia untuk mengangkat keranda wanita itu, mereka terdengar bunyi yang aneh dari dalam keranda.


Ketika membuka penutup keranda, mereka terkejut apabila melihat 'mayat' Rosa hidup semula dan wanita itu memandang ke arah mereka dalam keadaan lemah.


"Dia membuka mata dan kelihatan berpeluh. Saya dengan pantas kembali ke pejabat dan menghubungi polis," kata penjaga kubur, Juan Segundo Cajo.


Ahli keluarga wanita itu kemudian membawanya ke sebuah hospital di bandar Lambayeque. Doktor memberikan mesin bantuan pernafasan kepadanya sebelum keadaannya semakin merosot dan meninggal dunia beberapa jam kemudian.


Susulan kejadian itu, ahli keluarga Rosa kini menuntut jawapan daripada pihak pengurusan hospital kerana wanita itu disahkan mati pada awalnya, sedangkan dia masih hidup ketika itu.


"Kami ingin tahu mengapa anak saudara saya bertindak balas semalam, ketika kami membawanya untuk dikebumikan. Kami mempunyai video di mana dia menolak dan menyentuh keranda," kata seorang ibu saudaranya memberitahu media tempatan.


Polis di Peru kini sedang berusaha untuk menyiasat apa yang berlaku di Hospital Wilayah Lambayeque, tempat dia mula dirawat untuk mengetahui punca kepada keadaan tersebut. - Sumber Metro UK.


'Mayat' Rosa hidup semula dan wanita itu memandang ke arah orang ramai dalam keadaan lemah. - Foto CEN.

Sabtu, 9 April 2022

Nelayan Rusia temui makhluk laut yang mempunyai rupa seperti anak naga

Nelayan Rusia temui makhluk laut yang mempunyai rupa seperti anak naga


Seorang nelayan yang berpangkalan di Murmansk, Rusia menemui sejenis makhluk laut yang mempunyai rupa seperti seekor anak naga, lapor akhbar Daily Mail pada 4 April 2022.


Roman Fedortsov, 39, menangkap ikan kod, haddock dan tenggiri menggunakan pukat tunda komersial dan kadangkala, pukatnya mencapai kedalaman sehingga 3,000 kaki di bawah permukaan laut.


Aktiviti menangkap ikan laut dalam itu menyaksikan Fedortsov kerap menemui haiwan aneh dan yang terbaharu, makhluk laut itu yang digelar sebagai 'anak naga baru menetas' oleh pengguna media sosial.


Haiwan itu bagaimanapun dikenal pasti sebagai chimaera iaitu ikan rawan atau juga jerung hantu. Fedortsov turut menemui makhluk laut lain yang kelihatan mirip dengan burger keju dan donat. Itu hanyalah tiga daripada pelbagai spesies laut pelik dan indah yang ditemui oleh Fedortsov.



Dia menjadi sensasi di internet kerana kerap memuat naik gambar hidupan laut luar biasa. Fedortsov menemui kebanyakan hidupan unik itu di laut Norway dan Barents, utara Rusia.


"Semua jenis ikan cantik dengan cara tersendiri. Saya tidak menganggap hidupan ini menakutkan atau hodoh," kata Fedortsov.


Pengguna Instagram yang ingin tahu telah mempersoalkan apakah makhluk seperti burger keju itu di bahagian komen, dengan lebih daripada 11,000 menyukai siaran itu.


"Saya tidak menyedari itu adalah ikan," kata seorang netizen, manakala seorang lagi menambah; " Pada mulanya saya fikir ini adalah sandwic ayam yang baru untuk dimakan," ulasnya.


Makhluk laut yang pada pandangan pertama kelihatan seperti donat. - Foto Jam Press.

Ikan naga atau chimaera yang ditemui nelayan Rusia di perairan Norway baru-baru ini. - Foto Jam Press.