Jumaat, 17 Jun 2022

Makhluk menakutkan dirakam berkeliaran di zoo Texas


Pihak pengurusan Zoo Amarillo di negeri Texas, Amerika Syarikat meminta bantuan orang ramai untuk mengenal pasti makhluk ganjil dan menakutkan yang dirakam sistem televisyen litar tertutup (CCTV) milik fasiliti berkenaan, lapor akhbar The Sun pada 9 Jun 2022.


Paparan itu menunjukkan kelibat makhluk berbulu berdiri tegak di dalam kegelapan di luar pagar kawasan Zoo Amarillo. Kehadiran makhluk itu mengejutkan pegawai-pegawai zoo selepas gambarnya dirakam pada pukul 1:25 pagi (waktu tempatan) pada 21 Mei lalu.


"Zoo Amarillo merakam imej pelik di luar pagar pada 21 Mei lalu. Adakah ia seorang manusia bertopi pelik yang berjalan pada waktu malam?


"Atau ia adalah Chupacabra? Adakah anda mempunyai idea apakah sebenarnya entiti ini?" demikian ciapan di akaun Twitter rasmi Zoo Amarillo.


Pihak zoo memanggilnya sebagai UAO - Objek Amarillo Tidak Dikenali, tetapi mereka meminta bantuan orang ramai untuk mengenal pasti 'makhluk' tersebut.


"Kami hanya mahu membiarkan komuniti Amarillo berseronok dengan ini," kata Pengarah Taman dan Rekreasi City of Amarillo (COA), Michael Kashuba.


Pengarah taman itu berkata tiada haiwan atau individu dicederakan, dan tiada tanda-tanda aktiviti jenayah.


"Ia pasti satu imej yang pelik dan menarik. Mungkin penduduk Amarillo boleh membantu menyelesaikan misteri UAO kami. Mereka yang berpendapat boleh memecahkan misteri ini boleh menghubungi pejabat komunikasi COA," tambah Kashuba.


Chupacabra yang popular dalam legenda Amerika Latin adalah makhluk besar yang menyerang haiwan dan minum darahnya. Nama itu berasal daripada perkataan Sepanyol chupar (menghisap) dan cabra (kambing). - Sumber The Sun.


Tangkap layar rakaman CCTV menunjukkan kelibat entiti aneh di luar pagar Zoo Amarillo. - Foto Facebook/City of Amarillo, Texas.


EmoticonEmoticon