Ahad, 22 Mei 2022

Wanita cedera parah diserang 2 ekor anjing jenis pit bull dan anjing baka German Shepherd


Ibu kepada tiga cahaya mata di Carolina Selatan, Amerika Syarikat berdepan detik ngeri apabila hilang dua tangan dan cedera pada tengkorak selepas diserang dua anjing jenis pit bull dan seekor anjing baka German Shepherd, lapor akhbar New York Post pada 4 Mei 2022.


Kyleen Waltman, 38, sedang berjalan pulang dari rumah teman lelakinya apabila tiga anjing itu menyerangnya di Abbeville County, pada 21 Mac lalu.


Waltman tidak sedarkan diri apabila anjing itu menggigitnya sehingga menampakkan tengkoraknya, kelopak mata dan bahagian kolon (usus besar).


Nasibnya baik apabila kejadian disedari seorang petani tempatan, Avery Presly, yang kebetulan lalu di kawasan berkenaan. Presly melepaskan tembakan ke udara menyebabkan tiga anjing yang menyerang Waltman itu lari.



"Apabila dia pengsan, mereka memakannya hidup-hidup," kata Amy Wynne, 41, kepada Daily Mail mengenai adiknya Waltman, yang diserang dengan kejam.


"Anjing-anjing itu menyeretnya. Mereka mengoyakkan kelopak mata kirinya. Mereka mengoyakkan pipi kanannya, meninggalkan lubang. Mereka memakan kulit bahagian dalam pahanya dan memakan daging dari lengannya dan mengoyaknya," katanya.


Waltman yang mengalami kecederaan serius dalam kejadian itu menghabiskan tujuh minggu untuk menerima rawatan di hospital. Akibat kejadian itu, kedua-dua tangan wanita itu terpaksa dipotong dan dia mengalami kecederaan pada kolon.


Tulang bahu juga teralih menyebabkan dia tidak boleh menggunakan tangan tiruan. Doktor juga tidak dapat membersihkan kulit kepala dan dahinya selama sebulan kerana terpaksa menunggu jangkitan akibat gigitan itu sembuh.


Mangsa menjalani puluhan pembedahan dan bercakap dengan bantuan alat khas kerana peti suaranya tidak dapat diselamatkan. Waltman dibenarkan pulang ke rumah pada sambutan Hari Ibu, menurut kakaknya.


"Ia sesuatu yang sukar tetapi kami sudah cuba untuk membantu dia kembali mendapat kehidupan yang baharu," tulis Wynne di halaman GoFundMe.


Menurutnya, Waltman, bekerja sebagai pelayan di Lou and Perry's di Honea Path, mempunyai tiga anak, seorang anak lelaki berusia 21 tahun dan anak perempuan berusia 18 dan 17 tahun.


Susulan kejadian, pemilik anjing berkenaan, Justin Minor, 36, didakwa atas tiga pertuduhan memiliki haiwan berbahaya menyerang manusia, pelanggaran rabies dan membiarkan haiwan berbahaya itu keluar ke tempat umum tanpa dikawal. - Sumber New York Post.


Kyleen Waltman yang menjadi mangsa serangan dua anjing. - Foto Amy Wynne/WYFF.

Minor, 36, didakwa atas tiga pertuduhan memiliki haiwan berbahaya menyerang manusia. - Foto Abbeville Co. Sheriff's Office.


EmoticonEmoticon