Memaparkan catatan dengan label Sarawak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sarawak. Papar semua catatan

Khamis, 14 Oktober 2021

Lupa Makan Ubat, Pesakit Mental Bersenjatakan Sebilah Pisau Mengamuk Di Pasar Raya

Lupa Makan Ubat, Pesakit Mental Bersenjatakan Sebilah Pisau Mengamuk Di Pasar Raya


Seorang lelaki bersenjatakan sebilah pisau bertindak memecahkan barangan di sebuah pasar raya di Sibu Jaya, Sarawak, dipercayai mengalami masalah mental, lapor Harian Metro, hari ini.


Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superintendan Collin Babat berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 1.15 tengah hari semalam, apabila suspek berusia 37 tahun itu masuk ke dalam pasar raya berkenaan dan mengamuk dengan bersenjatakan sebilah pisau.


"Suspek bertindak memecahkan barang-barang di dalam kedai sebelum mengacukan pisau ke arah dua juruwang wanita yang berada di kaunter pembayaran. Dua pekerja itu kemudiannya melarikan diri sebelum suspek menghempaskan mesin wang ke lantai," katanya.



Beliau berkata, tindakan berani orang awam yang berada di tempat kejadian berjaya menahan suspek sebelum diserahkan kepada pihak polis.


Collin berkata, tindakan suspek itu tidak mendatangkan sebarang kecederaan kepada orang ramai dan jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM2,500.


Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek merupakan memegang kad psikiatri. Suspek juga dipercayai tidak mengambil ubat untuk kesihatan mentalnya seperti yang dijadualkan.


Collin berkata, pisau yang digunakan suspek juga berjaya dirampas dan suspek turut direman untuk siasatan lanjut mengikut Sesyen 393 Kanun Keseksaan.


Barangan pasar raya di Sibu Jaya yang dipecahkan dan suspek berjaya ditahan orang ramai sebelum diserahkan kepada polis semalam. - Foto Melvin Joni.

Jumaat, 10 September 2021

Lelaki Panjat Pokok Tarap Maut Ditembak Selepas Disangka Kera

Lelaki Panjat Pokok Tarap Maut Ditembak Selepas Disangka Kera


Seorang lelaki maut serta-merta selepas ditembak kerana disangkakan kera ketika memanjat pokok buah tarap setinggi kira-kira 10 meter di Kampung Kejapil Bekenu, Miri.


Kejadian berlaku pada 12 tengah hari semalam itu menyebabkan mangsa, Mohamad Hallim Jamee, 32, tersangkut di atas pokok dan terpaksa dibawa turun oleh pasukan penyelamat.


Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, mangsa meninggal dunia serta-merta selepas ditembak lelaki berusia 70 tahun yang berasal dari kampung sama yang menyangkanya kera.


Katanya, pihaknya meminta bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah untuk khidmat khas menurunkan mangsa. Pasukan bomba menggunakan tali khas berjaya membawa turun mangsa pada jam 4.40 petang.


"Kita menahan suspek untuk membantu siasatan. Anggota turut merampas selaras senapang patah dan 13 butir peluru hidup dipercayai digunakan suspek," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Miri untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk pengebumian.


Keadaan mayat lelaki berkenaan yang masih berada pada dahan pokok buah tarap sebelum diturunkan pasukan bomba pada tengah hari semalam. - Foto Erika George.

Selasa, 7 September 2021

Kelibat Seekor Harimau Kumbang Berjaya Dirakam Oleh Pengguna Jalan Raya

Kelibat Seekor Harimau Kumbang Berjaya Dirakam Oleh Pengguna Jalan Raya


Baru-baru ini, satu klip video memaparkan kelibat seekor harimau kumbang yang sedang melintas sebatang jalan raya yang berjaya dirakam kini tular di media sosial.


Menerusi video berdurasi 1 minit 19 saat itu menyaksikan seekor harimau kumbang seperti sesat dan baru keluar daripada hutan berhampiran jalan raya tersebut.


Berdasarkan percakapan individu yang merakamkan kelibat harimau kumbang tersebut berkemungkinan kejadian itu berlaku di Sarawak. Namun, lokasi sebenar kejadian itu berlaku tidak dinyatakan secara tepat.


Dalam ruangan komen rata-rata orang ramai terkejut dan turut menasihatkan para penunggang basikal yang biasa melalui jalan sunyi seperti itu supaya lebih berhati-hati.


"Orang berbasikal perlu hati-hati, tidak mustahil kejadian ini akan berlaku lagi selepas ini. Dalam video ini ada nampak papan tanda warna hijau di sebelah kiri.


"Kalau pengetahuan saya ini bukan kawasan Langat (Hulu Langat) ini di tempat lain. Namun dekat mana kejadian ini saya harap biker berhati-hati," jelas Ismail Palatau.


"Saya rasa tidak perlu tahu kejadian ini di mana. Sekali orang dah tahu makin ramai orang nak cari dan tengok. Mendedahkan dia pada publik adalah cara yang salah. Pemburu di mana-mana sebenarnya," kata seorang netizen lagi.


Penemuan harimau kumbang bukan sesuatu yang pelik. Kalau ikutkan hutan simpan yang ada di negara kita memang ada habitat harimau kumbang. Itu menunjukkan hutan kita kaya dengan spesis hidupan liar.


Isnin, 30 Ogos 2021

Lelaki Maut 'Diserang' Ayam Laga Sendiri Ketika Melakukan Aktiviti Bersabung

Lelaki Maut 'Diserang' Ayam Laga Sendiri Ketika Melakukan Aktiviti Bersabung

Gambar hiasan.

BINTULU - Seorang lelaki meninggal dunia gara-gara terkena taji ayam laga sendiri ketika melakukan aktiviti sabung ayam di kebun kelapa sawit di kawasan Batu 21, Jalan Bintulu-Miri, semalam.


Memetik laporan Harian Metro, hari ini, dalam insiden kira- kira jam 2.30 petang itu, mangsa lelaki tempatan berusia 42 tahun itu sedang mengikat taji pada bahagian kaki ayam sabung miliknya untuk tujuan bersabung.


Namun, sebaik melepaskan ayam sabung terbabit, ia meluru ke arah mangsa lalu mencederakan pehanya. Mangsa yang cedera parah kemudiannya dihantar ke Hospital Bintulu sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 7.29 malam akibat mengalami pendarahan yang banyak.


Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, polis mengklasifikasikan kes ini sebagai kes mati mengejut (SDR). Sehubungan itu, polis menahan enam lelaki tempatan berusia antara 31 hingga 53 tahun pada jam 1.30 tengah hari tadi.


Menurutnya, mereka dipercayai terbabit dalam aktiviti sabung ayam itu ditahan bagi membantu siasatan dan akan mendapatkan perintah reman di Mahkamah Majistret Bintulu esok bagi membantu siasatan lanjut.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, seksyen 3(1) Langkah-Langkah Pencegahan Penganiayaan Terhadap Haiwan 1952 dan Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara) 2021," katanya.


Beliau berkata, bagi kesalahan sabung ayam, kesemua suspek berhadapan dengan hukuman penjara tiga bulan atau denda sebanyak RM1,000. Kesalahan cuai pula iaitu dengan sengaja merebakkan apa-apa jangkitan penyakit yang berbahaya kepada nyawa boleh dihukum penjara enam bulan atau denda atau keduanya.


"Manakala perbuatan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua suspek berhadapan dengan kompaun tidak lebih RM50,000 jika disabit salah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khamis, 22 Julai 2021

Polis 'ajar' seorang penunggang motosikal guna ekzos bising

Polis 'ajar' seorang penunggang motosikal guna ekzos bising


Biarpun pelbagai operasi khas dan tindakan saman dilaksanakan bagi membendung masalah ekzos bising, namun ia bagaikan mencurah air ke daun keladi dalam segelintir pengguna motosikal.


Tanpa rasa bersalah mereka sanggup mengeluarkan kos melakukan ubah suai ekzos bagi mendapatkan bunyi bising yang dipercayai mencipta kepuasan ketika beraksi di atas jalan raya.


Impaknya, tindakan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan ketidakselesaan terhadap penduduk khususnya yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan taman perumahan kos rendah.


Bercakap mengenai situasi berkenaan baru-baru ini tular menerusi media sosial satu rakaman video pendek memaparkan tindakan seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) 'mengajar' pengguna motosikal.


Dalam video berdurasi selama empat saat itu menunjukkan pihak berkuasa cuba meletakkan telinga pemuda terbabit berhampiran ekzos motosikal dipercayai miliknya.



Pada masa sama, anggota tersebut telah 'memerah throttle minyak' sehingga mengeluarkan bunyi yang sangat kuat.


Bagaimanapun, tidak dinyatakan lokasi sebenar kejadian itu dirakam, namun difahamkan ia mungkin berlaku di sekitar Sarawak berdasarkan nombor pendaftaran motosikal berkenaan.


Susulan tular klip video berdurasi selama empat saat itu, rata-rata pengguna laman sosial telah meninggalkan pelbagai komen dan reaksi yang menyokong tindakan yang dilakukan anggota itu.


Mereka menyifatkan langkah itu secara tidak langsung memberikan kesedaran kepada empunya diri dan pengguna motosikal lain terutamanya golongan yang obses melakukan ubah suai ekzos demi kepentingan diri tanpa memikirkan kesan pada orang sekeliling.


Tangkap layar aksi seorang penunggang motosikal yang dikenakan 'hukuman' oleh seorang anggota polis.

Ahad, 20 Jun 2021

Gagal kawal emosi lihat rumah terbakar, lelaki tumbuk anggota bomba direman empat hari

Gagal kawal emosi lihat rumah terbakar, lelaki tumbuk anggota bomba direman empat hari


Seorang anggota bomba cedera selepas diserang seorang lelaki yang dipercayai tidak berpuas hati, dan mendakwa bomba tiba lewat di lokasi kejadian di Kampung Belipat, Jalan Punang di Lawas, Sarawak pada Sabtu.


Menerusi satu rakaman video berdurasi 54 saat, lelaki tersebut dilihat berlari ke arah anggota bomba yang sedang terlibat dalam kerja-kerja pemadaman kebakaran sebelum menumbuknya, menyebabkan anggota berkenaan terjatuh di atas tanah.


Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Khirudin Drahman berkata, ia kejadian pertama serangan terhadap anggota bomba ketika sedang menjalankan tugas berlaku di Sarawak.



Pada mulanya, seorang lelaki dilihat mengamuk dan menghempas barang sambil memarahi anggota bomba yang sedang menjalankan tugas. Tidak lama selepas itu, seorang lagi lelaki tiba-tiba menyerang anggota bomba dari arah belakang menyebabkan anggota terbabit terjatuh.


Katanya, lelaki yang menyerang anggota bomba yang sedang menjalankan tugas memadam kebakaran sebuah rumah pada jam 3.18 petang, mendakwa gagal mengawal emosi selepas melihat rumah pusaka mereka musnah terbakar.


"Anggota bomba terbabit juga bertindak balas melalui saluran yang betul iaitu dengan membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada jam 9.14 malam pada hari yang sama.


"Bagaimanapun, kira-kira jam 12.45 tengah malam tadi, atas budi bicara anggota bomba terbabit menarik balik laporan polis yang dibuat selepas menerima permohonan maaf daripada pelaku yang menyesal dan menyedari kesalahan yang dilakukannya," katanya.


Menurut Khirudin, dalam isu itu, JBPM menunjukkan sikap profesional semasa menjalankan tugas dan sentiasa bertoleransi serta bertimbang rasa dalam menangani sebarang isu atau masalah yang dihadapi.


Bagaimanapun, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, polis meneruskan siasatan walaupun mangsa menarik balik laporan polis yang dibuatnya terhadap suspek berusia 30 tahun itu, malam tadi.


Katanya, lelaki yang menyerang anggota bomba itu ditahan reman empat hari mulai hari ini. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dan Seksyen 332 kanun yang sama kerana mencederakan penjawat awam.


Anggota bomba sedang menjalankan tugas memadam kebakaran rumah di Kampung Belipat, Lawas, petang semalam.

Seorang lelaki dilihat mengamuk dan menghempas barang sambil memarahi anggota bomba yang sedang menjalankan tugas.

Jumaat, 4 Jun 2021

Amerika Syarikat kutuk tindakan China ceroboh ruang udara Malaysia

Amerika Syarikat kutuk tindakan China ceroboh ruang udara Malaysia

Kapal induk USS Theodore Roosevelt dan antara rombongan kapal perang Amerika Syarikat yang berada di laut China Selatan, gambar ini diambil pada April 2021 lalu.


Pada isnin lalu kita dikejutkan dengan pencerobohan 16 pesawat China di ruang udara Zon Maritim Malaysia. Pesawat berkenaan yang dikesan Radar Pertahanan Udara TUDM dari Pusat Pertahanan Udara Sarawak pada jam 11.53 pagi, terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika antara satu sama lain.


Beberapa arahan supaya pesawat berkenaan menghubungi kawalan trafik udara KK IFR tidak dipatuhi, sekali gus TUDM melancarkan pesawat pemintas pada jam 1.33 tengah hari untuk melakukan identifikasi visual.


Komander Pasifik Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) turut mengutuk tindakan pesawat tentera China yang terbang berhampiran Malaysia dan Taiwan.


Jeneral Kenneth Wilsbach berkata, aktiviti penerbangan tentera China itu serta peningkatan jumlah pencerobohan zon pertahanan udara Taiwan, menambah senarai aktiviti China yang menggugat kestabilan dan meningkatkan ketegangan di rantau berkenaan.


"Kita hanya membuat perkiraan yang salah di rantau berkenaan dengan aktiviti seumpamanya, khususnya masuk ke ruang udara pihak lain," katanya pada Jumaat.


Beijing menuntut Taiwan sebagai sebahagian wilayah China dan menegaskan pesawatnya yang terbang berhampiran Borneo di Laut China Selatan, sedang menjalani latihan rutin dan tidak memasuki ruang udara Malaysia.


Beijing tidak mengendahkn keputusan tribunal antarabangsa pada 2016 yang mengisytiharkan tuntutannya terhadap hampir semua Laut China Selatan adalah tanpa asas.


Ketika ini, wujud kebimbangan dalam kalangan negara Barat bahawa pasukan tentera China yang semakin berkuasa, akan cuba merampas Taiwan menggunakan kekerasan.


Sejak beberapa bulan lalu, kekerapan penerbangan pesawat China di rantau itu meningkat secara dramatik, yang mengancam keupayaan pertahanan udara Taiwan.


TUDM meletakkan pesawat Hawk 208 di Pangkalan Udara Labuan dalam keadaan siap sedia melalui Operasi Curiga TUDM. - Foto BERNAMA

Pesawat Hawk 208 TUDM terbang di ruang udara Labuan, Rabu lalu. - Foto BERNAMA