Memaparkan catatan dengan label Sarawak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sarawak. Papar semua catatan

Jumaat, 7 Mei 2021

Seorang Anggota Polis Mati Dengan Kesan Tembakan Di Kepala

Seorang Anggota Polis Mati Dengan Kesan Tembakan Di Kepala


SIBU - Tiga anggota polis direman selama tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes seorang konstabel yang mati tertembak oleh rakan sekerja sehingga maut di sebuah rumah di Lorong Permai Timur 9A di sini, semalam.


Permohonan reman sehingga 14 Mei terhadap tiga anggota, masing-masing berusia 21, 23 dan 27 tahun terbabit diluluskan oleh Majistrest Mohd Syukri Mokhtar


Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, pihak patologi dari Kuching akan dihantar ke Sibu untuk melakukan bedah siasat sama ada hari ini atau esok sebelum jenazah dihantar pulang ke Pahang.


Dalam kejadian kira-kira 7 malam pada Khamis, anggota Unit Rondaan Bermotosikal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu Konstabel Norhalim Tumiran, 25, ditemukan maut dengan kesan tembakan di kepala di rumah berkenaan dalam kejadian sekitar pukul 7.20 malam.


Berdasarkan siasatan awal, mangsa yang tinggal di rumah transit di IPD Sibu, datang ke rumah sewa yang didiami rakan setugasnya itu untuk bermain permainan video di ruang tamu rumah sebelum waktu berbuka.


Bagaimanapun, seorang rakan mangsa dikatakan bergurau dengan mengacukan pistol ke arah mangsa sebelum tertarik picu dan tertembak mangsa. Mangsa yang baru sebulan setengah ditugaskan di sini selepas menamatkan latihan asas kepolisan, meninggalkan seorang isteri dan seorang anak berusia setahun.


Stanley Jonathan Ringgit berkata, penghantaran balik jenazah mangsa ke kampungnya di Pahang sedang diuruskan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak. Kes akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.


Mangsa dilaporkan maut di tempat kejadian setelah cedera parah di bahagian kanan kepala.

Rabu, 7 April 2021

Kerana mulut badan binasa, lelaki maut ditetak sebab tuduh suspek amal ilmu hitam

Kerana mulut badan binasa, lelaki maut ditetak sebab tuduh suspek amal ilmu hitam

Pedang samurai yang digunakan suspek.


MUKAH - Berang selepas dituduh mengamalkan ilmu hitam, seorang lelaki warga Indonesia menetak rakan senegaranya menggunakan parang sehingga mati. Kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi tadi di rumah pekerja di Ladang Solar Green, di sini.


Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintendan Jimmy Panyau berkata, kejadian berlaku apabila kedua-dua mereka yang tinggal sebilik keluar bekerja, namun kemudian bertengkar apabila mangsa menuduh suspek mengamalkan ilmu hitam.


Katanya, suspek menafikan tuduhan mangsa dan bersumpah tidak amalkan ilmu hitam. Namun, mangsa terus menuduh suspek ada amalkan dan menyimpan ilmu hitam sehingga suspek marah.


"Berlaku pertengkaran antara mereka dan semasa mangsa masuk ke dalam bilik, suspek mengekori dari arah belakang dengan memegang parang dan terus menetak di bahagian belakang tengkuk mangsa. Mangsa terjatuh ke lantai ruang tamu sebelum disahkan meninggal dunia," katanya.


Jimmy berkata, ketika kejadian, hanya suspek dan mangsa berada di tempat kejadian dan mereka bekerja meracun rumput di ladang berkenaan. Suspek yang melarikan diri melalui pintu belakang dan bersembunyi di kawasan ladang, berjaya dikesan dan ditangkap tengah hari tadi.


Katanya, mayat mangsa yang berusia 32 tahun dari Ntonggu, Indonesia dihantar ke bilik mayat Hospital Mukah untuk dibedah siasat manakala suspek berusia 31 tahun dari Paradowane, Indonesia ditahan.


Menurutnya, parang sepanjang 80 sentimer yang digunakan suspek turut dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Rabu, 24 Mac 2021

Jumpa 'bakal suami' dalam talian, wanita rugi RM200,000 ditipu sindiket Love Scam

Jumpa 'bakal suami' dalam talian, wanita rugi RM200,000 ditipu sindiket Love Scam


Walaupun internet merupakan antara medium untuk menambah kenalan, namun pengguna internet harus bijak dan berjaga-jaga. Sebagai contoh, laman mencari cinta, atau dating, mungkin memudahkan proses mencari pasangan hidup, namun adakah orang kita kenali menggunakan identiti yang sebenar?


Atau terdapat identiti yang berbeza di sebalik gambar kacak atau cantik yang digunakan? Walaupun pelbagai amaran dan kesedaran tentang penipuan dalam talian telah dikeluarkan, mengapa masih ada yang menjadi mangsa? Terbaharu, seorang wanita kehilangan lebih RM200,000 selepas ditipu 'bakal suaminya' yang dikenali dalam sebuah laman pencari jodoh.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Superintendan Maria Rasid, berkata kes penipuan cinta atau 'love scam' itu membabitkan mangsa berusia 33 tahun yang juga penjawat awam bertugas di sebuah jabatan kerajaan di Miri.


Katanya, mangsa telah melayari laman web berkenaan pada 1 Jun tahun lalu dan berkenalan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai 'Mason Harrison Davis' dan kononnya bekerja sebagai doktor di sebuah hospital di Cardiff, United Kingdom.


"Suspek telah melamar mangsa untuk berkahwin serta mengatakan akan berpindah ke Malaysia dan mengatakan akan menghantar wang berjumlah £155,000 (RM878,016) melalui 'Syarikat Transfast' sebagai lamaran.


"Sejak perkenalan itu, mangsa telah berhubung (dating) dengan suspek satu jam setiap hari selama lebih kurang sebulan," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Menjelas lanjut, Maria berkata pada pada 7 Julai 2020, mangsa telah dihubungi oleh seorang wanita yang mengaku ejen dari "Syarikat Transfast" dan meminta mangsa membuat pembayaran sebanyak RM200,000 kononnya untuk pelepasan wang yang dikirimkan oleh lelaki itu.


Akibat terpedaya, mangsa telah membuat 20 transaksi pemindahan wang keseluruhan berjumlah RM203,642 ke dalam 11 akaun bank atas nama individu yang tidak dikenali antara 7 Julai 2020 hingga 17 Mac 2021 atas alasan pelepasan cukai dan juga pelepasan wang yang dihantar itu.


Maria berkata wanita itu mula menyedari ditipu selepas lelaki berkenaan masih meminta mangsa membuat bayaran tambahan dan seterusnya tampil membuat laporan polis.

Ahad, 28 Februari 2021

Kembali ke pangkuan keluarga selepas terkandas lebih 30 tahun di Sarawak, hidup merempat

Kembali ke pangkuan keluarga selepas terkandas lebih 30 tahun di Sarawak, hidup merempat


Seorang warga emas wanita berusia 70 tahun yang terkandas lebih 30 tahun di Sarawak akhirnya kembali ke pangkuan keluarganya di sini pada Sabtu dengan bantuan satu operasi belas ihsan.


Wanita itu yang dikenali pasti sebagai Salmah Adeh berasal dari Labuan meninggalkan kampung halamannya 32 tahun lepas demi kehidupan lebih baik di beberapa daerah di Sarawak sebelum berpindah ke Sibu, Sarawak namun nasib tidak menyebelahinya kerana selepas itu, dia terpaksa hidup merempat.


Ahli keluarga Salmah di Labuan telah melakukan segala yang terdaya untuk mengesannya namun tiada siapa yang tahu di mana dia berada. Keadaan hidup Salmah semakin memburuk selepas menjadi mangsa ragut di Sibu dan dia telah kehilangan kad pengenalan serta wang tunai yang disimpan di dalam dompetnya.


Semasa berada di Sibu, dia bekerja dengan seorang penjual di sebuah pasar di Sibu dan mempunyai tempat untuk berteduh namun selepas majikan yang dipanggil ‘hajah’ meninggal dunia, Salmah kehilangan tempat tinggal dan terpaksa hidup merempat.


Demi meneruskan kehidupan dan mengisi perutnya, Salmah kemudian membantu penjual sayur di pasar kering serta tidur di kaki lima setiap hari selama lebih 20 tahun.


Noredah berkata ketika berpisah dengan
ibunya yang berhijrah ke Sarawak untuk
mencari rezeki, dia berusia 15 tahun.


Pada 8 Januari lepas, dia telah dibawa ke Hospital Sibu untuk rawatan selepas ditemukan dalam keadaan lemah dan tidak bermaya oleh seorang insan yang baik hati.


Koresponden Bernama di Sibu kemudian menyiarkan kemelut hidup warga emas itu pada Februari dan berjaya menjejaki anak saudara lelakinya, Zamain Ma’in di Labuan yang kemudian melakukan usaha untuk membawa Salmah pulang ke tempat asal wanita tersebut namun menemui jalan buntu susulan sekatan pergerakan rentas negeri akibat penularan pandemik Covid-19.


Bagaimanapun, sebuah badan bukan kerajaan Persatuan Amal Kebajikan Insan Sarawak (PAKIS) serta Jabatan Kebajikan di Sibu dan Lawas yang memulakan usaha untuk menghantar Salmah pulang ke pangkuan keluarga serta bertemu semula anak perempuannya Noredah Saman, 47.


Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara Labuan Rithuan Ismail berkata pihaknya turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan perubatan dari Jabatan Penyelamat dan Bomba, anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Polis Marin Labuan yang terlibat dalam operasi belas ihsan itu.

Selasa, 23 Februari 2021

DJ ketawa terbahak-bahak persenda bahasa Inggeri guru, letak jawatan

DJ ketawa terbahak-bahak persenda bahasa Inggeri guru, letak jawatan


Penyampai radio Hitz FM Sarawak, DJ Yusuf meletak jawatan berkuat kuasa, semalam. Ia susulan kontroversi membabitkan Yusuf, 29, atau nama sebenarnya Muhammad Yusuf Shukri yang mempersenda bahasa Inggeris seorang guru di aplikasi TikTok.


Perletakan jawatan itu disahkan pihak pengurusan Hitz FM Sarawak menerusi hantaran di Instagram.


"Hitz FM tetap komited untuk terus memberi maklumat dan hiburan kepada rakyat Malaysia. Berikutan siasatan dalaman kami mengenai kontroversi baru-baru ini yang membabitkan salah seorang penyampai kami, pihak kami sudah menerima perletakan jawatannya berkuatkuasa 22 Februari 2021," tulisnya


Terdahulu, DJ Yusuf atau nama sebenarnya, Muhammad Yusuf Shukri, 29, terbabit kontroversi apabila memuat naik video di aplikasi TikTok mempersenda cara sebutan bahasa Inggeris seorang guru wanita.


Video yang dimuat naiknya itu mengundang kecaman netizen hingga dia akhirnya tampil membuat permohonan maaf di Instagram TV pada 20 Februari lalu.


Yusuf menerusi video permohonan maaf itu turut meminta bantuan secara terbuka supaya dia dapat dihubungkan dengan guru berkenaan bagi membolehkannya memohon maaf atas sikap yang ditunjukkan.


"Perkara pertama adalah saya dengan seikhlas hati memohon maaf kerana mempersenda guru terbabit. Ia langsung tidak lucu dan saya tak boleh menjadikan ini sebagai alasan untuk membenarkan sesuatu sikap buruk," katanya.


Terdahulu, tindakan Yusuf memuat naik video sebagai respons kepada sebutan bahasa Inggeris guru wanita sambil memaparkan reaksinya ketawa berdekah-dekah mencetuskan kemarahan netizen yang turut mendesak stesen radio Hitz FM Sarawak memecat Yusuf.


Susulan itu, Yusof digantung tugas serta-merta menerusi kenyataan dikeluarkan wakil pengurusan stesen radio itu pada 19 Februari lalu. Hasil tinjauan di Instagram Yusuf setakat ini, dia masih belum membuat sebarang kemaskini dan memaklumkan mengenai perletakan jawatannya itu.

Isnin, 8 Februari 2021

Seorang lelaki ingkar arahan kuarantin mahu sabung ayam, antara 5 lelaki ditahan di Sibu

Seorang lelaki ingkar arahan kuarantin mahu sabung ayam, antara 5 lelaki ditahan di Sibu


Sibu: Seorang lelaki yang diarahkan menjalani kuarantin Covid-19 di rumah antara lima individu yang ditangkap terbabit dalam kegiatan sabung ayam di Sibu Jaya di sini, semalam. Kelima-lima suspek lelaki tempatan berusia 23 hingga 46 tahun ditahan dalam serbuan anggota Balai Polis Sibu Jaya jam 3.30 petang.


Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, salah seorang suspek berusia 46 masih dalam pengawasan dan pemantauan di rumah (HSO) serta memakai gelang putih di tangan kirinya.


"Dia menjalani ujian swab di Klinik Kesihatan Sibu Jaya jam 8 pagi semalam dan keluar dari rumah pada jam 12.30 tengahari untuk menyabung ayam sebelum ditahan polis.


"Ketika serbuan semua suspek bertempiaran melarikan diri, namun lima daripada mereka berjaya ditahan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya, kesemua suspek melanggar syarat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sehingga 14 Februari ini bagi daerah Sibu.


"Mereka melakukan aktiviti yang boleh menyebabkan ramai orang hadir di suatu tempat hingga menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan kepada mana-mana arahan Ketua Pengarah Kesihatan dengan berjudi sabung ayam.


"Turut dirampas lima ayam sabung hidup dan alat penimbang yang digunakan dalam aktiviti itu," katanya.


Beliau berkata, kesemua suspek direman hari ini untuk siasatan lanjut dan akan dikeluarkan kompaun kerana melanggar arahan PKP mengikut Seksyen 3(1) LLPPB 1952/Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Isnin, 11 Januari 2021

Pecahkan mesin ATM selepas gagal keluarkan wang i-Sinar apabila kad bank ditelan

Pecahkan mesin ATM selepas gagal keluarkan wang i-Sinar apabila kad bank ditelan


Sibu: Seorang penganggur bertindak memecahkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) kerana berang tidak dapat mengeluarkan duit, malah kad banknya juga ditelan, perbuatan itu dilakukan di sebuah pasar raya di Jalan Salim di sini, semalam.


Dalam kejadian jam 5.55 petang, lelaki berusia 35 tahun itu ke ATM berkenaan bersama anak lelakinya berusia sembilan tahun, mahu mengeluarkan wang i-Sinar untuk membeli pakaian anaknya.


Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit, berkata tindakan lelaki itu dilihat pengawal keselamatan di pasar raya terbabit.


"Suspek bertindak agresif dengan menumbuk skrin mesin ATM sehingga rosak sebelum beredar keluar," katanya dalam kenyataan hari ini.


Pengawal keselamatan terdengar bunyi kuat dan apabila memeriksa dia ternampak lelaki terbabit memecahkan mesin ATM sebelum menangkapnya.


Dengan bantuan seorang lagi rakannya, pengawal keselamatan terbabit dapat menahan suspek. Suspek kemudian diserahkan kepada anggota Balai Polis Lanang tiba di lokasi selepas menerima maklumat.


Stanley berkata, suspek dikatakan berang selepas kad bank yang digunakan untuk mengeluarkan wang ditelan mesin ATM itu walaupun mendakwa memasukkan nombor PIN yang betul.


"Suspek mahu mengeluarkan wang i-Sinar untuk membeli pakaian anaknya," katanya sambil menambah semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB). Suspek ditahan reman mulai hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.