Isnin, 8 Februari 2021

Seorang lelaki ingkar arahan kuarantin mahu sabung ayam, antara 5 lelaki ditahan di Sibu


Sibu: Seorang lelaki yang diarahkan menjalani kuarantin Covid-19 di rumah antara lima individu yang ditangkap terbabit dalam kegiatan sabung ayam di Sibu Jaya di sini, semalam. Kelima-lima suspek lelaki tempatan berusia 23 hingga 46 tahun ditahan dalam serbuan anggota Balai Polis Sibu Jaya jam 3.30 petang.


Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, salah seorang suspek berusia 46 masih dalam pengawasan dan pemantauan di rumah (HSO) serta memakai gelang putih di tangan kirinya.


"Dia menjalani ujian swab di Klinik Kesihatan Sibu Jaya jam 8 pagi semalam dan keluar dari rumah pada jam 12.30 tengahari untuk menyabung ayam sebelum ditahan polis.


"Ketika serbuan semua suspek bertempiaran melarikan diri, namun lima daripada mereka berjaya ditahan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya, kesemua suspek melanggar syarat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sehingga 14 Februari ini bagi daerah Sibu.


"Mereka melakukan aktiviti yang boleh menyebabkan ramai orang hadir di suatu tempat hingga menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan kepada mana-mana arahan Ketua Pengarah Kesihatan dengan berjudi sabung ayam.


"Turut dirampas lima ayam sabung hidup dan alat penimbang yang digunakan dalam aktiviti itu," katanya.


Beliau berkata, kesemua suspek direman hari ini untuk siasatan lanjut dan akan dikeluarkan kompaun kerana melanggar arahan PKP mengikut Seksyen 3(1) LLPPB 1952/Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).


EmoticonEmoticon