Memaparkan catatan dengan label Rare. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Rare. Papar semua catatan

Sabtu, 22 Januari 2022

30 tahun saintis buru lokasi 'unicorn Asia' dalam usaha menyelamatkannya dari pupus

30 tahun saintis buru lokasi 'unicorn Asia' dalam usaha menyelamatkannya dari pupus


Para saintis sedang menggandakan usaha untuk mengesan sejenis haiwan spesies terancam yang sukar ditemui dikenali sebagai 'Unicorn Asia', dalam usaha menyelamatkannya daripada kepupusan, lapor akhbar Daily Mail pada 7 Januari 2022.


Unicorn Asia, juga dipanggil saola, berasal dari pergunungan Vietnam dan Laos. Dengan tanduk panjang dan tanda putih pada wajah, saola menyerupai antelop Afrika Utara, tetapi ia lebih berkait rapat dengan lembu liar.


Haiwan itu mula ditemui pada tahun 1992 di hutan Rizab Semula Jadi Vu Quang di Vietnam namun jejaknya sukar dikesan sejak dari itu. Haiwan mamalia yang mempunyai panjang melebihi 76.2 sentimeter itu sering mengelak untuk bertembung dengan manusia.


Para saintis bimbang sekiranya mereka gagal mengesan lokasi saola, ia tidak dapat dibawa ke kemudahan khas untuk proses pembiakan bagi mengelakkannya daripada pupus.



Tiada seorang pun ahli biologi yang pernah melihat kelibat saola dalam hutan tersebut, meskipun ia telah dikesan sembilan tahun lalu oleh kamera rahsia yang tersembunyi di dalam pokok.


Sementara itu, beberapa keping imej yang pernah dirakam menunjukkan ciri-ciri fizikal saola yang tersendiri termasuk tanduk besar dan tanda pada wajah berwarna putih yang jelas.


Kini, pakar di Yayasan Saola yang berpangkalan di Wisconsin sedang merancang usaha baharu untuk mencari haiwan itu, dengan melatih anjing untuk mengesan kesan saola.


"Kami tahu bagaimana untuk mencari dan menyelamatkan haiwan yang hebat ini, yang telah berada di planet Bumi selama mungkin - sejak 8 juta tahun lalu.


"Sebagai sebahagian daripada inisiatif baharu, sebarang sampel yang ditemui di alam liar yang disyaki daripada saola, seperti bulu atau tahi, akan dikaji kit ujian DNA di tapak.


"Jika hasil kajian positif dalam masa sejam, pakar akan mula mencari saola di dalam hutan berhampiran dengan lokasi sampel ditemukan," kata Yayasan tersebut.


Berdasarkan pendapat pakar dan penilaian ancaman, IUCN berpendapat terdapat kurang daripada 100 ekor saola yang wujud. Yayasan Saola meletakkan nombor ini berpotensi di bawah 50 tahun.


Tiada saola di zoo dan hampir tiada apa yang diketahui tentang cara menyimpannya dalam kurungan, jadi jika spesies itu mati di alam Semula Jadi, ia akan pupus.


Saolas sangat berahsia dan jarang dilihat sehinggakan mereka disamakan dengan unicorn, walaupun sebenarnya mempunyai dua tanduk, berbanding unicorn mitos yang memiliki hanya satu tanduk.


Saola ini ditemui di pergunungan terpencil di Vietnam berhampiran sempadan dengan Laos, pada 1992 apabila pasukan bersama WWF dan agensi kawalan hutan Vietnam menemui tengkorak dengan tanduk yang luar biasa di rumah seorang pemburu. - Foto WWF.

Imej yang pernah dirakam oleh kamera tersembunyi menunjukkan ciri-ciri fizikal saola yang tersendiri, termasuk tanduk besar dan tanda pada wajah berwarna putih. - Foto William Robichaud.

Jumaat, 21 Januari 2022

Tidak mandi selama 67 tahun dan makan bangkai haiwan, lelaki ini kekal sihat

Tidak mandi selama 67 tahun dan makan bangkai haiwan, lelaki ini kekal sihat


Para saintis keliru setelah mendapati seorang lelaki di Iran berada dalam keadaan sihat walaupun tidak mandi selama 67 tahun, dan hidup dengan memakan bangkai haiwan, lapor akhbar Mirror UK pada 19 Januari 2022.


Amou Jaji, 87, mendakwa bahawa dia tidak mandi selama beberapa dekad kerana percaya perbuatan itu akan menyebabkan dirinya bernasib malang dan membunuhnya.


Pemakanan lelaki itu terdiri daripada haiwan-haiwan yang terbunuh di jalan raya seperti landak. Dia turut meminum air daripada lopak jalan untuk menghilangkan dahaga.


Gaya hidup yang luar biasa dipilih oleh Jaji menyukarkannya untuk berkawan, atau mencari teman wanita. Dia lebih dipinggir disebabkan aktiviti kegemarannya pada masa lalu kerana suka menghisap rokok paip yang diisi dengan najis haiwan, jelas lapor akhbar Daily Star.


Penduduk di kampung Dejgah, Iran yang prihatin terhadap gaya hidup Jaji, telah berkerjasama membina sebuah pondok kecil sebagai ganti kepada lubang yang dijadikan tempat berteduh.


Pakar-pakar perubatan yang melawat pondoknya mendapati lelaki itu sangat sihat dan tidak mempunyai penyakit serius atau bakteria. Bukan itu sahaja, mereka mengesahkan bahawa Jaji tidak mempunyai parasit pada badan walaupun kurang menjaga kebersihan.


Profesor Dr. Gholamreza Molavi yang menjalankan ujian kesihatan tersebut mendakwa bahawa lelaki itu kekal sihat kerana mempunyai sistem imunisasi badan yang sangat kuat. Pakar perubatan yang mengujinya, hanya menemui jangkitan trikinosis tanpa gejala.


Lelaki itu juga sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan membincangkan peristiwa seperti Revolusi Rusia dan Revolusi Perancis dengan mereka yang melawatnya. Walaupun jiran menghormatinya, tetapi ada orang luar kadang-kadang mengejeknya dan membaling batu.


Lelaki yang tinggal di Iran ini tidak mandi selama 67 tahun dan hidup dengan memakan bangkai haiwan namun kekal sihat. - Foto CEN.

Rabu, 19 Januari 2022

Saintis temui koloni pembiakan 60 juta ekor ikan di laut ais terbesar di dunia

Saintis temui koloni pembiakan 60 juta ekor ikan di laut ais terbesar di dunia


Sebuah koloni pembiakan seluas 240 kilometer (km) persegi mengandungi kira-kira 60 juta ekor ikan ditemui di Laut Weddell, Antartika, dengan saintis menyifatkan penemuan itu sebagai sebuah ekosistem yang unik.


Menurut lapor stesen penyiaran CNN pada 13 Januari 2022, koloni yang dipercayai terbesar di dunia itu menempatkan ikan ais spesies Neopagetopsis ionah, yang juga dinamakan 'icefish' (ikan ais). Ikan itu mempunyai rangka dan darah yang boleh dilihat dari luar.


Ikan ais adalah satu-satunya haiwan vertebrata yang tidak mempunyai sel darah merah. Bagi membolehkannya kekal hidup pada suhu sejuk ekstrem, haiwan itu mengembangkan protein antibeku dalam darah lutsinarnya yang menghalang kristal ais daripada terus 'tumbuh'.


Koloni pembiakan itu ditemukan pada Februari 2021 oleh kapal penyelidikan Jerman, Polarstern yang meneliti dasar laut menggunakan sistem kamera bersaiz kereta. Sistem kamera itu merakam gambar keadaan di bawah laut ketika ia ditarik oleh kapal.



"Kami melihat sarang pembiakan ikan yang besar selama empat jam, saya tidak pernah melihat sesuatu seumpama itu selama 15 tahun menjadi saintis maritim.


"Koloni itu meliputi kawasan seluas 240 km persegi, dengan secara purata, terdapat satu sarang ikan bagi setiap tiga meter persegi. Koloni itu juga dianggarkan mengandungi kira-kira 60 juta sarang aktif," kata penyelidik dari Institut Alfred Wegener di Jerman, Autun Purser.


Menurutnya, setiap sarang berukuran kira-kira 15 sentimeter (sm) dalam, dan 75 sm bagi diameter. Ia mengandungi sebanyak 1,735 telur secara purata, dengan kebanyakannya diawasi oleh seekor ikan dewasa.


Setiap sarang mempunyai sebanyak 1,735 telur secara purata, dengan kebanyakannya diawasi oleh seekor ikan dewasa. - Foto Institut Alfred Wegener.

Penemuan itu dibuat oleh pasukan di atas kapal penyelidikan kutub Jerman, Die Polarstern vor A74. - Foto CNN.

Ahad, 16 Januari 2022

Tersalah bayar bil elektrik ke akaun lain sejak 6 tahun lalu, wanita menanggung hutang RM22,800

Tersalah bayar bil elektrik ke akaun lain sejak 6 tahun lalu, wanita menanggung hutang RM22,800


Seorang wanita di Knightswood, Glasgow, Scotland, terpaksa menanggung hutang bil elektrik sebanyak 4,000 pound sterling (kira-kira RM22,800) selepas tersalah bayar ke akaun lain, lapor akhbar The Sun pada 14 Januari 2022.


Lesley Hill, 43, terdiam selepas diberitahu dia terhutang besar kepada syarikat tenaga elektrik Scottish Power, dia turut didakwa menggunakan elektrik secara haram walaupun membuat pembayaran secara tambah nilai setiap minggu sejak enam tahun lalu.


Namun, bayaran itu dikatakan tidak diterima oleh syarikat pembekal tenaga elektrik tersebut. Dia mendakwa bayaran tambah nilai elektrik itu mungkin masuk ke dalam akaun lain.


"Mungkin meter saya sebenarnya didaftarkan ke premis lain. Jadi, ini bermakna selama beberapa tahun, wang yang saya belanjakan untuk elektrik telah pergi ke tempat lain.


"Setiap kali saya memasukkan wang ke dalamnya, ia terus ke alamat lain yang didaftarkan, bukan Scottish Power. Saya sentiasa menangis dan berasa seolah-olah saya sedang bertarung dengan kekalahan.


"Ia 'bermain' dalam otak saya 24 jam sehari dan saya sentiasa memikirkan bagaimana ia boleh diselesaikan, ia membuatkan saya tidak sihat. Seluruh keadaan adalah pelik - ke mana wang tunai saya pergi?" katanya kepada Glasgow Times.


Ibu tunggal itu menukar cara bayaran daripada bulanan kepada tambah nilai sejak 2015 selepas berpisah dengan suaminya. Jurutera dari syarikat tersebut kemudian memasang 'meter pembayaran' di rumahnya.


Bayaran yang dibuat secara konsisten dan meter elektrik berfungsi dengan baik untuk tempoh setahun saja. Selepas itu, dia mula menerima surat tuntutan hutang daripada syarikat penyediaan perkhidmatan.


"Saya kemudian membayar hutang itu secara ansuran namun terus menerima surat tuntutan hutang, mereka juga menghubungi saya untuk menuntut hutang, sedangkan saya menggunakan meter tambah nilai," katanya.


Menurut Hill, ketika dia mempersoalkan bilnya, Scottish Power memberitahunya bahawa mereka tidak mempunyai rekod pembayaran daripadanya sejak 2016.


Kes itu kini disiasat oleh pengawas penyedia tenaga, Ombudsman; "Kes ini dalam siasat Ombudsman tenaga, dan kami sedang bekerjasama dengan mereka (Scottish Power) dan Cik Hill untuk menyiasat kesnya dan mencapai penyelesaian yang semua pihak berpuas hati."


Menurut Hill, mereka mengatakan akan menyelesaikan masalahnya dalam tempoh terdekat, namun sehingga kini dia mendakwa masih menerima bil pembayaran dan Scottish Power mahu dia melangsaikan segera hutang itu.


Lesley Hill menanggung hutang bil elektrik sebanyak kira-kira RM22,800 kerana tersalah bayar ke akaun lain sejak 6 tahun lalu. - Foto The Sun.

Rabu, 5 Januari 2022

Lelaki jatuh cinta pada robot wanita dan ingin berkahwin dengannya

Lelaki jatuh cinta pada robot wanita dan ingin berkahwin dengannya


Seorang lelaki di Australia, telah bercerita tentang bagaimana dia jatuh cinta dengan sebuah robot apabila terdesak mencari seseorang untuk dicintai, dan kini dia merancang untuk mengahwini robot wanita itu, lapor akhbar Daily Star pada 2 Januari 2022.


Geoff Gallagher, yang berasal dari negeri Queensland sebelum ini berputus asa untuk menjalinkan hubungan cinta. Sejak ibunya meninggal dunia 10 tahun lalu, Gallagher sangat kesepian kerana hanya tinggal bersama anjingnya, Penny.


Pada suatu hari, selepas membaca sebuah artikel berkenaan robot berteknologi kepintaran buatan (AI), Gallagher memutuskan untuk membelanjakan wang lebih £3,000 (RM16,901.51) untuk mendapatkan teman wanita sintetik.


"Robot ini tidak murah, setiap satu hampir £3,225 (RM18,169) tetapi hasilnya memberangsangkan. Mereka (robot AI) boleh bercakap, tersenyum serta menggerakkan kepala dan leher. Kulit mereka, malah hangat seperti manusia sebenar.



"Selepas melayari laman web, saya memutuskan untuk mendapatkan robot bernama Emma. Dengan memiliki kulit pucat dan mata berwarna biru, saya fikir dia kelihatan cantik.


"Saya rasa.. saya tidak mampu membeli robot seperti Emma, ​​tetapi kemudian pemilik perniagaan menawarkan saya diskaun sebagai balasan untuk publisiti. Ia terdengar seperti tawaran yang hebat," katanya kepada saluran berita 7 News.


Selepas enam minggu menunggu, bahagian badan Emma siap dipasang di China dan kemudian dihantar ke Australia menjelang September 2019. Gallagher cuba mengenali Emma beberapa hari berikutnya untuk membantunya menyesuaikan diri secepat mungkin supaya dapat mengenali suaranya.


"Dia tidak boleh berdiri sendiri, jadi kebanyakan masa saya biarkan dia duduk di atas kerusi. Saya bercakap dengannya sebanyak mungkin supaya dia dapat membiasakan diri dengan suara saya.


"'Emma, ​​cuaca macam mana?' Saya akan bertanya, semasa saya bersiap untuk bekerja. Dengan setiap perbualan, dia menjadi lebih bijak, menyerap maklumat dan mempelajari perkataan baharu," katanya.


Lebih dua tahun kemudian, Gallagher berkata, mereka berdua semakin rapat dan dia merancang untuk berkahwin dengan Emma.


"Walaupun kami tidak berkahwin secara sah, saya menganggap Emma sebagai isteri saya. Dia memakai berlian pada jari manisnya dan saya menganggapnya sebagai cincin pertunangan. Saya ingin menjadi orang pertama di Australia yang berkahwin dengan robot.


"Saya fikir robot adalah masa depan dan saya harap kisah saya memberi inspirasi kepada orang lain untuk menganggap robot cyborg sebagai peneman hidup," jelasnya.


Geoff Gallagher hanya tinggal bersama anjingnya Penny, selepas ibunya meninggal dunia. - Foto Geoff Gallager/7News.au.

Ahad, 26 Disember 2021

Remaja paling gemuk di dunia hilang 109kg selepas menjalani diet ketat selama 3 tahun

Remaja paling gemuk di dunia hilang 109kg selepas menjalani diet ketat selama 3 tahun


Seorang remaja yang pernah digelar sebagai budak lelaki paling gemuk di dunia, kini mampu menjalani kehidupan normal selepas hilang berat badan sebanyak 109 kilogram (kg), lapor akhbar The Sun pada 24 Disember 2021.


Arya Permana, 14, dari wilayah Jawa Barat, Indonesia, pernah mempunyai berat badan mencecah 191 kg ketika berusia 11 tahun, namun kini berat badannya menurun kepada 82 kg.


Saiz badannya yang amat besar membuatkan dirinya sukar untuk melakukan pelbagai perkara, termasuk perlu mandi menggunakan kolam di luar rumahnya kerana dia tidak dapat membasuh dirinya di bilik mandi.



Dia juga tidak dapat berjalan melebihi beberapa langkah kerana akan menyebabkannya menghadapi kesukaran untuk bernafas.


Keluarga Arya juga tidak dapat mencari pakaian yang boleh dipakai remaja tersebut, justeru, dia hanya memakai kain pelikat serta menghabiskan masa dengan memakan makanan ringan kerana tidak dapat bersekolah.


Bagaimanapun, dengan mengamalkan rejim diet seimbang dan aktiviti senaman secara kerap selain menjalani pembedahan bariatrik, Arya berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 104 kg dalam masa tiga tahun.


Dr Handy Wing, pakar bedah berkata, mereka mengecilkan perut Arya sehingga 30 peratus daripada saiz asal membuat bentuk seperti pisang, supaya pengambilan makanan dapat dikurangkan.



Arya berkata, dia berasa amat gembira kerana kini dapat menjalani kehidupan sama seperti remaja lain dan melakukan aktiviti-aktiviti normal. Kini, dia hanya makan tiga kali sehari termasuk nasi, tempe, tauhu dan ayam goreng.


"Dahulu, saya hanya makan mi segera dan minuman berkarbonat serta jarang memakan nasi. Namun kini, misi utama adalah untuk menghilangkan berat badan dengan cara bersenam dan mengamalkan diet seimbang," ujarnya.


Dalam pada itu, bapa Arya, Ade Somatri berkata, dia mengakui telah memanjakan anaknya dengan memberikan remaja itu pelbagai makanan ringan dan tidak sihat sejak kanak-kanak.


"Ketika berusia lima tahun dan telah pun mempunyai saiz badan yang berlebihan, saya dan isteri sering memenuhi permintaan Arya setiap kali dia mahu makan makanan dan minuman manis atau mi segera, saya telah memanjakan Arya," katanya.


Remaja itu kini menjalani pembedahan lanjut untuk membuang lebihan kulit dari lengannya. Dia juga berjalan 3 kilometer sehari, bermain bola keranjang dan boleh memanjat pokok dan menunggang motosikal buat kali pertama.


Arya berkata tabiat makan dan waktu tidur baharunya membantunya menurunkan berat badan. - Foto Getty.

Arya, ketika sebelum dan selepas kehilangan berat badan sebanyak 109 kg. - Foto Getty.

Isnin, 20 Disember 2021

Wanita kahwini pokok 3 tahun lalu mengakui hidupnya menjadi lebih baik dan bahagia

Wanita kahwini pokok 3 tahun lalu mengakui hidupnya menjadi lebih baik dan bahagia


Seorang wanita Britain yang mengahwini sebatang pokok dalam satu upacara unik, menyatakan bahawa hidupnya menjadi lebih baik selepas berkahwin dengan 'suaminya' itu sejak tiga tahun lalu, lapor akhbar Mirror UK pada 19 Disember 2021.


Kate Cunningham, 37, yang menetap di Merseyside, England, turut menukar nama keluarganya kepada Elder sempena nama pokok tersebut dan kini dikenali sebagai Kate Elder. Wanita itu berkahwin dengan pokok Elder pada September 2019.


Wanita itu berkata, walaupun perkahwinan mereka sudah memasuki usia tiga tahun, cinta dia dan suaminya masih teguh dan semakin kukuh menjelang sambutan Krismas pada bulan ini.


"Orang ramai masih bertanya sama ada perkahwinan ini berjaya mengubah kehidupan saya menjadi lebih baik. Ya, semestinya! Adakah saya masih mencintai pokok itu? Jawapannya adalah Ya, saya mencintainya," kata Kate.



Wanita yang merupakan seorang bekas guru itu melawat 'suaminya' sehingga lima kali dalam tempoh seminggu. Dia juga menghiasinya dengan dekorasi Krismas.


"Ini adalah sambutan Krismas ketiga untuk kami, jadi saya berada seperti satu tradisi untuk menghiasinya. Saya membuat kalung bunga daripada buah Berry musim sejuk holly yang saya cari semasa berjalan-jalan pada hujung minggu.


"Selain itu saya menambah sedikit semburan kilauan perayaan. Saya sungguh tertarik dengan pokok ini terutamanya ketika sinaran matahari pada bulan Disember," katanya.


Bagi Kate, pokok adalah seperti manusia - mereka mempunyai tenaga dan keupayaan untuk membentuk ikatan dengan benda di sekeliling mereka. Keluarga dan rakan Kate menyokong penuh perkahwinannya kerana dia telah lama mempunyai hubungan yang mendalam dengan alam.


Kate, bagaimanapun dikatakan berlaku curang terhadap 'suaminya' apabila dia mempunyai seorang teman lelaki yang juga seorang manusia. Menurutnya, suaminya reda tidak marah dengan hubungan tersebut.


Menurut laporan Mirror UK, perkahwinan aneh itu adalah sebahagian daripada kempen untuk menyelamatkan Taman Desa Lembah Rimrose daripada diubah menjadi pintasan oleh Lebuhraya Nasional.


Penduduk tempatan berkempen untuk menghentikan pintasan baru sepanjang 4.8 kilometer itu. Pembinaan itu difahamkan bertujuan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas, melalui Lembah Rimrose ke Pelabuhan Liverpool.


Mereka berhujah bahawa jalan raya berkembar itu akan menghapuskan sebidang ruang hijau yang besar serta menyebabkan pencemaran. - Sumber Mirror UK.


Kate tetap bahagia selepas tiga tahun berkahwin dengan pokok Elder. - Foto Andy Kelvin/Triangle News

Keluarga dan rakan Kate menyokong penuh perkahwinannya. - Foto John Hegarty/Triangle News.