Memaparkan catatan dengan label Politik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Politik. Papar semua catatan

Ahad, 20 November 2022

"Tewas tipis sekali pun, tewas tetap tewas. Saya telah cuba yang terbaik, tetapi saya tak cukup baik" - Khairy

"Tewas tipis sekali pun, tewas tetap tewas. Saya telah cuba yang terbaik, tetapi saya tak cukup baik" - Khairy


Khairy Jamaluddin yang dilihat sebagai berprofil tinggi mewakili Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mengambil sikap berjiwa besar menerima kekalahannya di kerusi Parlimen Sungai Buloh, semalam.


Bagi Menteri Kesihatan itu, kalah di gelanggang pilihan raya merupakan hakikat yang perlu dilalui oleh ahli politik setiap lima tahun sekali.


"Saya sudah mencuba yang terbaik tetapi tidak cukup (baik)," luah bekas Menteri Kesihatan itu menerusi hantaran kapsyen pada gambarnya memakai baju T dan duduk di atas kerusi di Instagram (IG), hari ini.


Menerusi hantaran itu, Khairy berkata bahawa sebuah kekalahan tetap satu kekalahan walaupun dekat (dengan kemenangan) atau berapa ramai yang meluahkan kekecewaan (kerana kekalahan).


"Pilihan raya adalah asas kepada mana-mana demokrasi yang berfungsi tetapi ia juga sesuatu yang memberitahu ahli politik sama ada mereka cukup baik atau sebaliknya. Jika rakyat sukakan anda atau tidak.


"Saya rasa saya telah mencuba yang terbaik. Tetapi saya tidak cukup baik. Tewas tetap tewas, tidak kira seberapa kecil pun jumlah atau berapa ramai yang menyatakan kekecewaan atas kekalahan anda," kata Khairy dalam hantaran di akaun media sosial tersebut.


Biarpun yakin kekalahan itu bukanlah penamat cerita dan perjuangannya dalam politik, namun Khairy memaklumkan mahu mengambil sedikit masa untuk merangka perancangan seterusnya.


Khairy mengakui dia sebenarnya letih kerana tidak mempunyai masa untuk berehat sejak diminta menggalas tanggungjawab menguruskan wabak Covid-19.


"Dua tahun yang sukar untuk saya mengemudi negara keluar daripada Covid-19 tetapi ia adalah satu keistimewaan yang besar untuk berkhidmat pada masa yang kritikal.


"Saya gembira Malaysia sudah pulih lebih banyak daripada negara yang lain," katanya.


Dalam hantaran sama, Khairy turut menyatakan harapannya untuk parti atau calon dipilih oleh rakyat untuk berkhidmat dengan penuh semangat dan bertanggungjawab kerana negara memerlukan kestabilan serta kepimpinan yang lebih baik berbanding sebelumnya.


"Saya doakan yang terbaik untuk anda semua. Saya menantikan (untuk menonton) Piala Dunia di televisyen," tulisnya.


Dalam PRU15 semalam, Khairy, calon BN di Sungai Buloh, tewas kepada Datuk R. Ramanan dari Pakatan Harapan, yang menang di kerusi itu dengan 50,943 undi, manakala Khairy (48,250 undi) menjadikan majoriti 2,693 undi.


BACA: "Penghormatan terbesar berkhidmat sebagai Menteri Kesihatan anda" - Khairy.


Khairy berkata, beliau mahu mengambil sedikit masa untuk merangka perancangan seterusnya. - Foto Instagram KJ.
"Penghormatan terbesar berkhidmat sebagai Menteri Kesihatan anda" - Khairy

"Penghormatan terbesar berkhidmat sebagai Menteri Kesihatan anda" - Khairy


"Terima kasih kepada pengundi P.107 Sungai Buloh. Saya telah berusaha sehabis baik, tahniah kepada Datuk R. Ramanan. Selamat berkhidmat".


Demikian kata-kata calon Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin Abu Bakar selepas tewas di Parlimen Sungai Buloh kepada calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Ramanan Ramakrishnan.


Khairy juga menyifatkan khidmatnya sebagai Menteri Kesihatan sebagai penghormatan tertinggi.


"Terima kasih kepada rakyat Malaysia. Satu penghormatan terbesar dalam hidup saya untuk berkhidmat sebagai Menteri Kesihatan anda semasa pandemik," katanya dalam kemas kini di media sosial.


R. Ramanan menang di kerusi Parlimen Sungai Buloh dengan 50,943 undi, manakala Khairy memperoleh 48,250 undi.


Terdahulu, Parlimen Sungai Buloh menyaksikan pertembungan tujuh penjuru antara PH, BN, Perikatan Nasional, Pejuang, Parti Rakyat Malaysia dan dua calon Bebas.


Ramanan berjaya memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 2,693 undi berbanding Khairy Jamaluddin.


Sebelum ini penyandang kerusi parlimen itu adalah R. Sivarasa mewakili PH pada PRU14 dengan majoriti 26,634.


Khairy adalah penyandang kerusi Parlimen Rembau selama tiga penggal sebelum diletakkan sebagai calon BN di Parlimen Sungai Buloh pada PRU-15.


Ia bagi memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk bertanding di kerusi Parlimen itu.


Khairy Jamaluddin.

Selasa, 18 Oktober 2022

'Pengundi hantu sudah mari' didakwa sudah tiba di KLIA

'Pengundi hantu sudah mari' didakwa sudah tiba di KLIA


Isu kemasukan beramai-ramai pekerja asing Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kononnya sebagai 'pengundi hantu' kembali hangat diperkatakan oleh netizen.


Ia selepas sekeping gambar yang ditular di laman Twitter yang memperlihatkan sekumpulan warga asing yang dipercayai baharu tiba di lapangan terbang tersebut.


Berdasarkan gambar yang tular itu, kelihatan ratusan pekerja asing sedang berbaris di satu kawasan dipercayai di KLIA.


Pada ciapan di Twitter itu jelas kelihatan gambar tersebut dikongsi oleh individu berkenaan pada 11 Oktober lalu dan beberapa kapsyen turut diletakkan pada hantaran itu.


"Di KLIA sekarang. Pengundi hantu dah tiba. #PRU15 #PRUbanjir," ciap individu tersebut.


Susulan perkongsian itu, rata-rata pengguna mempersoalkan kesahihan gambar tersebut dan juga yang mendakwa ia hanya drama serta modal pihak tertentu ketika tibanya musim Pilihan Raya Umum.


"Drama setiap kali PRU sudah bermula, tiap kali PRU mesti ada isu pengundi hantu yang masuk memenangkan parti politik tertentu," ujar seorang netizen.


"Modal lama diguna pakai semula. Lawaknya masih ada yang percaya," kata netizen lain.


"Itu pekerja asing yang amat diperlukan di sektor perladangan dan pembinaan. Tapi masih ada orang percaya," komen seorang lagi netizen.


Tangkap layar ciapan Twitter yang mendakwa ketibaa pengundi hantu di KLIA.

Sabtu, 16 Januari 2021

Polis kompaun penganjur program pemberian ayam beku percuma jadi punca ribuan berkumpul dalam suasana PKP

Polis kompaun penganjur program pemberian ayam beku percuma jadi punca ribuan berkumpul dalam suasana PKP


Putrajaya: Polis mengeluarkan kompaun kepada penganjur program pengedaran ayam beku percuma secara pandu lalu kerana menganjurkan program itu tanpa kelulusan pihak berkuasa.


Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali, berkata kompaun dikeluarkan kepada pihak penganjur di bawah Seksyen 22(B) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 iaitu kesalahan di bawah Peraturan 15 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan) 2020.


Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat awal berkenaan program yang diadakan semalam dan mengeluarkan surat memaklumkan pihak penganjur bahawa program itu tidak mendapat kelulusan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya memandangkan Putrajaya berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19.


"Program pengedaran ayam beku percuma itu dibuat secara pandu lalu dengan konsep 'siapa cepat dia dapat' dan telah mengakibatkan kesesakan lalu lintas dan kehadiran ramai orang di lokasi program," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau berkata, hasil pemeriksaan pihak polis mendapati penjarakan fizikal sukar dilaksanakan dalam kalangan hadirin serta prosedur operasi standard (SOP) gagal dipatuhi oleh pihak penganjur dan orang awam yang hadir.


"Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu dalam menguatkuasakan undang-undang sepanjang tempoh PKP," katanya.



Tular di media sosial semalam gambar kesesakan di kawasan Presint 9 apabila orang ramai beratur untuk mendapatkan ayam beku percuma yang dianjurkan oleh Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya, pada Khamis 14 Januari di hadapan Rumah Perlindungan Kucing, Presint 9 Putrajaya. 


Difahamkan, ruang masa agihan dihadkan kepada 2 jam dari 4-6 petang dan menyebabkan orang ramai bersesak untuk mendapat bekalan ayam percuma. Akibatnya, jalanraya di kawasan itu menjadi sesak dengan kenderaan termasuk kereta dan motosikal.


Kejadian ini memberi perasaan bercampur, kerana Putrajaya berada di bawah perintah PKP dan merupakan zon merah yang telah melaporkan lebih 220 kes dalam tempoh dua minggu ini. Namun begitu, ada yang mengatakan yang penjarakkan telah cuba dikekalkan sebaik mungkin sepanjang agihan berkenaan.


Polis mengeluarkan kompaun kepada penganjur program pengedaran ayam beku percuma secara pandu lalu kerana menganjurkan program itu tanpa kelulusan pihak berkuasa. Gambar tular

Jumaat, 6 November 2020

Belanjawan 2021 kurang membantu merangsang dan memacu pertumbuhan ekonomi - Anwar

Belanjawan 2021 kurang membantu merangsang dan memacu pertumbuhan ekonomi - Anwar


Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Belanjawan 2021 yang diumumkan hari ini tidak memberi gambaran bagaimana ia boleh merangsang dan memacu pertumbuhan ekonomi supaya boleh hidup dan segar.


Presiden PKR itu berkata, beberapa unjuran angka dilihat amat membimbangkan sebagai contoh cukai korporat dan pendapatan.


"Itu cukai sita yang disebut hanya berkurangan RM4 billion berbanding 2019, itu sukar diterima kerana perniagaan banyak yang hampir bankrup atau kerugian serta mengalami keuntungan kecil.


"Yang keduanya ialah beberapa bentuk perbelanjaan untuk propaganda Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) menjangkau lebih RM80 juta kalau dibanding dengan rakyat miskin dan orang kelainan upaya (OKU) adalah kecil," katanya menerusi satu video di laman Facebook rasminya, hari ini.


"Harus ada sikap yang lebih telus yang menyatakan fakta kerana ia dapat dikaji dan akan dapat mempengaruhi dasar kita.


"Namun kelemahan yang paling ketara ialah tidak ada satu lonjakan bagaimana kita boleh pulihkan ekonomi ini, itu adalah satu kelemahan besar bagi saya," katanya.


Anwar turut menegaskan, inisiatif kerajaan dalam penyelesaian masalah pengangguran dan membantu golongan pekerja yang dibuang kerja juga hanya bersifat sementara.


"Ini perkara paling besar, nak bayar RM500 itu adalah perkara sementara dan bukan jawapannya.


"Kita juga sebut mengenai morotarium, kita lihat Menteri Kewangan ini lebih memihak kepada kepentingan bank dan bukan kepentingan peminjam serta ekonomi.


"Kenyataan saya terkait pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021, insyaallah Isnin ini saya akan mengulas dengan lebih lanjut," katanya.

Khamis, 5 November 2020

Jika perlu, kerajaan sedia nasihat Agong isytihar darurat - Datuk Takiyuddin Hassan

Jika perlu, kerajaan sedia nasihat Agong isytihar darurat - Datuk Takiyuddin Hassan


Kuala Lumpur: Kerajaan sedia mempertimbangkan keperluan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya diisytiharkan darurat bagi kawasan Parlimen Batu Sapi dan Sarawak berikutan pilihan raya yang akan berlangsung dalam tempoh terdekat.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, berkata Yang di-Pertuan Agong memiliki kuasa yang jelas untuk mengisytiharkan proklamasi darurat di seluruh negara atau mana-mana bahagian berdasarkan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.



"Baru-baru ini, seperti yang semua rakyat Malaysia maklum, kerajaan memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong supaya menggunakan Perkara 150 ke seluruh negara disebabkan lebih 20 alasan yang diputuskan Kabinet.


"Jika dirasakan perlu, kerajaan akan memikirkan (beri nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong), kalau tidak keseluruhan (negara), atau mana-mana bahagian (kawasan tertentu untuk dilaksanakan darurat).


"Pokoknya, dari segi Perlembagaan, ia adalah dibolehkan," katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan rakyat hari ini.


Beliau menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) sama ada kerajaan bercadang menghadap Yang di-Pertuan Agong sekali lagi bagi mendapatkan perkenan isytihar darurat di kawasan tertentu bagi menangguhkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak berikutan penularan COVID-19.


Menjawab soalan asal Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang meminta kerajaan menyatakan kos disalurkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi PRN Sabah baru-baru ini, Takiyuddin berkata, ia membabitkan peruntukan sebanyak RM130 juta.


"Kos bagi pelaksanaan PRN Sabah oleh SPR adalah berjumlah RM130 juta yang merangkumi perolehan pembelian dan sewaan peralatan pilihan raya, keperluan peralatan dan sistem komunikasi dan teknologi (ICT), logistik, elaun petugas pilihan raya serta keperluan lain yang berkaitan.


"Perbelanjaan ini turut mengambil kira keperluan peralatan mengikut garis panduan pencegahan COVID-19," katanya.


Sumber: Berita Harian

Isnin, 2 November 2020

30,000 jangkitan Covid-19 tercetus dikaitkan perhimpunan penyokong Trump

30,000 jangkitan Covid-19 tercetus dikaitkan perhimpunan penyokong Trump


Washington: Perhimpunan musim panas penyokong Donald Trump mengakibatkan 30,000 kes Covid-19 dan kemungkinan menyebabkan 700 kematian, menurut satu kajian baharu.


Kajian berkenaan yang diterbitkan Institut Penyelidikan Polisi Ekonomi Universiti Stanford, menyiasat impak 18 perhimpunan terhadap komuniti tempatan.


Mirror UK melaporkan, kajian itu mendapati acara berkenaan meningkatkan kes berkaitan Covid-19 pada kadar purata lebih 250 kes bagi setiap 100,000 penduduk.


Presiden Amerika Syarikat (AS) itu mengadakan perhimpunan harian pada minggu penutup kempen dengan anggara sehingga lima perhimpunan sehari. Peserta perhimpunan hanya memakai topeng dan bukan pelitup muka serta gagal menjaga jarak fizikal sesama mereka.


Malah, Trump turut menyatakan berulang kali bahawa virus berkenaan hanyalah konspirasi media untuk menyekat orang ramai keluar pada pilihan raya.


Beliau turut mengejek mereka yang mengenakan pelitup muka, meremehkan risiko virus itu serta menuduh doktor mereka-reka jumlah kematian untuk menjana wang.


Keadaan ini berlaku selepas The Villages, komuniti pesara yang besar di Florida, melaporkan peningkatan kes, seminggu selepas kunjungan Trump ke kawasan itu untuk menghadiri perhimpunan besar.


Kajian oleh Stanford itu melihat rantaian acara pada Julai, Ogos dan September yang bermula dengan perhimpunan utama di Tulsa, Oklahoma.


Penulis kajian itu, B Douglas Bernheim, Nina Buchmann, Zach Freitas-Groff dan Sebastián Otero berkata, anggaran jumlah kematian tidak terhad kepada mereka yang menghadiri perhimpunan kerana ia merebak dari peserta ke keluarga dan rakan-rakan pada hari serta minggu berikutnya.


Sumber: Harian Metro