Sabtu, 16 Januari 2021

Polis kompaun penganjur program pemberian ayam beku percuma jadi punca ribuan berkumpul dalam suasana PKP


Putrajaya: Polis mengeluarkan kompaun kepada penganjur program pengedaran ayam beku percuma secara pandu lalu kerana menganjurkan program itu tanpa kelulusan pihak berkuasa.


Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali, berkata kompaun dikeluarkan kepada pihak penganjur di bawah Seksyen 22(B) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 iaitu kesalahan di bawah Peraturan 15 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan) 2020.


Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat awal berkenaan program yang diadakan semalam dan mengeluarkan surat memaklumkan pihak penganjur bahawa program itu tidak mendapat kelulusan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya memandangkan Putrajaya berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19.


"Program pengedaran ayam beku percuma itu dibuat secara pandu lalu dengan konsep 'siapa cepat dia dapat' dan telah mengakibatkan kesesakan lalu lintas dan kehadiran ramai orang di lokasi program," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau berkata, hasil pemeriksaan pihak polis mendapati penjarakan fizikal sukar dilaksanakan dalam kalangan hadirin serta prosedur operasi standard (SOP) gagal dipatuhi oleh pihak penganjur dan orang awam yang hadir.


"Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu dalam menguatkuasakan undang-undang sepanjang tempoh PKP," katanya.



Tular di media sosial semalam gambar kesesakan di kawasan Presint 9 apabila orang ramai beratur untuk mendapatkan ayam beku percuma yang dianjurkan oleh Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya, pada Khamis 14 Januari di hadapan Rumah Perlindungan Kucing, Presint 9 Putrajaya. 


Difahamkan, ruang masa agihan dihadkan kepada 2 jam dari 4-6 petang dan menyebabkan orang ramai bersesak untuk mendapat bekalan ayam percuma. Akibatnya, jalanraya di kawasan itu menjadi sesak dengan kenderaan termasuk kereta dan motosikal.


Kejadian ini memberi perasaan bercampur, kerana Putrajaya berada di bawah perintah PKP dan merupakan zon merah yang telah melaporkan lebih 220 kes dalam tempoh dua minggu ini. Namun begitu, ada yang mengatakan yang penjarakkan telah cuba dikekalkan sebaik mungkin sepanjang agihan berkenaan.


Polis mengeluarkan kompaun kepada penganjur program pengedaran ayam beku percuma secara pandu lalu kerana menganjurkan program itu tanpa kelulusan pihak berkuasa. Gambar tular


EmoticonEmoticon