Ahad, 20 November 2022

"Penghormatan terbesar berkhidmat sebagai Menteri Kesihatan anda" - Khairy


"Terima kasih kepada pengundi P.107 Sungai Buloh. Saya telah berusaha sehabis baik, tahniah kepada Datuk R. Ramanan. Selamat berkhidmat".


Demikian kata-kata calon Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin Abu Bakar selepas tewas di Parlimen Sungai Buloh kepada calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Ramanan Ramakrishnan.


Khairy juga menyifatkan khidmatnya sebagai Menteri Kesihatan sebagai penghormatan tertinggi.


"Terima kasih kepada rakyat Malaysia. Satu penghormatan terbesar dalam hidup saya untuk berkhidmat sebagai Menteri Kesihatan anda semasa pandemik," katanya dalam kemas kini di media sosial.


R. Ramanan menang di kerusi Parlimen Sungai Buloh dengan 50,943 undi, manakala Khairy memperoleh 48,250 undi.


Terdahulu, Parlimen Sungai Buloh menyaksikan pertembungan tujuh penjuru antara PH, BN, Perikatan Nasional, Pejuang, Parti Rakyat Malaysia dan dua calon Bebas.


Ramanan berjaya memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 2,693 undi berbanding Khairy Jamaluddin.


Sebelum ini penyandang kerusi parlimen itu adalah R. Sivarasa mewakili PH pada PRU14 dengan majoriti 26,634.


Khairy adalah penyandang kerusi Parlimen Rembau selama tiga penggal sebelum diletakkan sebagai calon BN di Parlimen Sungai Buloh pada PRU-15.


Ia bagi memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk bertanding di kerusi Parlimen itu.


Khairy Jamaluddin.


EmoticonEmoticon